Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jan 10, 2012

Laptop 1Malaysia

SALAM 1Malaysia pembaca budiman. Kali ini ingin saya kongsikan perihal pemberian LAPTOP 1MALAYSIA kepada semua pelajar di Malaysia. Bukan isu baru, malah fasa terbaru pengagihan laptop 1Malaysia dalam proses akhir.

Saya melihat perkara ini dari 2 aspek utama iaitu KEBAIKAN, KEBURUKAN dan izinkan saya memberikan sedikit CADANGAN berhubungan perkara ini. Walau apapun, intipati yang saya luahkan ini hanyalah pendapat peribadi sahaja. Ia mungkin tidak selari dengan pandangan segelintir pembaca. Maaf.

KEBAIKAN
1. Pendedahan awal kepada para pelajar khususnya di luar bandar dan pelajar yang tidak mampu membeli komputer sendiri. Usaha ini amat murni untuk membantu pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan.

2. Dapat mengurangkan jurang digital antara pelajar bandar dengan luar bandar. Pengetahuan malah tahap celik IT pelajar luar bandar dapat dikurangkan.

3. Akses maklumat, berita dan perkembangan terkini yang bermanfaat dalam menambahkan pengetahuan pelajar.

KEBURUKAN
1. Pelajar yang masih mentah pemikirannya hanya menggunakan laptop untuk hiburan semata-mata. Download game, lagu atau video boleh melalaikan pelajar sehingga mengabaikan pelajaran.

2. Pemberian laptop berserta broadband memudahkan lagi sesetengah pelajar menerawang ka laman blog yang tidak sepatutnya terutama laman web lucah. Situasi ini sudah pasti memberi impak negatif terhadap pemikiran pelajar.

3. Pengaruh laman sembang sosial seperti facebook dan twitter begitu membuai perasaan sesetengah pelajar [yang cetek pemikirannya]. Kerana terlalu ghairah mencari kenalan, tidak kurang yang terperangkap sehingga terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan seks atau lari dari rumah.

CADANGAN

1. Pemberian laptop 1Malaysia dilihat kurang adil kerana terdapat pelajar yang tidak menerimanya. Alangkah eloknya jika kos laptop 1Malaysia ini disalurkan ke sekolah-sekolah untuk menaiktaraf Makmal Komputer sedia ada [semua pelajar boleh menggunakan kemudahan ini]. Sekurang-kurangnya, aktiviti penggunaan komputer di Makmal Komputer sekolah dapat dipantau oleh guru-guru.

2. Kos pengagihan laptop ini juga lebih bermanfaat kepada semua golongan jika digunakan untuk menaiktaraf alat bantu mengajar di kelas seperti LCD Projektor, skrin ataupun bahan multimedia yang lain. Bukan sahaja pelajar, malah guru juga dapat menggunakan kemudahan ini sekaligus dapat merangsang proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan.

3. Pemberian laptop 1Malaysia juga dilihat lebih sesuai diberikan kepada pelajar yang lebih matang terutama mereka yang menuntut di Matrikulasi atau IPTA. Pelajar di peringkat ini lebih memerlukan laptop untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Walau bagaimanapun, kita merasakan wajar semua penerima laptop ini bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha murni untuk membantu golongan pelajar. Semoga semua penerima bertuah menggunakan kemudahan yang diberikan untuk tujuan baik selaras dengan hasrat murni kerajaan.

*Hanya pendapat peribadi penulis semata-mata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...