Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Sep 27, 2012

Perang PRU13

Saya bukanlah orang yang cerdik pandai mahupun berpengetahuan luas di dalam bidang politik. Jauh sekali berani mengakui diri sebagai penganalisis politik. Malah tulisan ini pun sekadar tulisan orang biasa yang melihat aspek politik dari kaca mata yang tidak sempurna. Saya tidak berminat dengan politik apatah lagi untuk menjadi penyokong taksub kepada mana-mana parti.

Bagi saya, cukuplah kalau saya menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi iaitu MENGUNDI! Senang cerita, saya adalah pemerhati di atas pagar yang tidak mahu melibatkan diri dalam karenah politik yang memeningkan kepala. Bukan bermakna mereka yang berada di atas pagar ini tidak ada pendirian mahupun prinsip! Bukan juga bermaksud mereka yang tidak menyertai mana-mana parti ini senang dipengaruhi. Tidak!

Secara peribadi, saya menghormati golongan di atas pagar ini. Golongan ini bukan golongan yang mudah diperkotak-katikkan. Puak atas pagar merupakan orang yang teliti mengamati sesuatu dasar mahupun perubahan. Mereka juga boleh dikatakan sebagai penilai dan penganalisis yang mungkin lebih tajam dan liberal pertimbangannya. Mereka ini bukan golongan fanatik yang mudah dipengaruhi oleh sentimen kepartian membuta-tuli.

Puak atas pagar ini merupakan puak yang bebas melontarkan pandangan mahupun prinsip masing-masing. Dengan kata lain, mereka tidak terikat dengan sesetengah "peraturan @ dasar" parti yang kadang-kala bercanggah dengan pendirian mereka. Fikiran mereka tidak disempitkan dengan 'etika' parti yang ada di antaranya terlalu bias sehingga merencatkan perkembangan pemikiran. Puak atas pagar ibarat pemerhati bebas!

Belakangan ini, isu PRU13 semakin heboh diperkatakan. Pelbagai telahan, jangkaan dan ramalan dikeluarkan oleh pelbagai pihak tentang tarikh keramat PRU13. Perang propaganda sudah sekian lama meletus. Tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain sudah semakin menjadi mainan sama ada di tv, dada-dada akhbar, radio mahupun internet. Kadang-kadang saya merasa jelik dengan sikap sesetengah ahli politik yang tidak segan silu melontarkan makian dan cacian kepada pihak lawan. Perbuatan sebegitu nampak sangat murahan dan tidak mencerminkan pemikiran ahli politik yang sepatutnya "tinggi".
Seharusnya, sebagai pemimpin mereka mesti menunjukkan keperibadian yang elok bukan sahaja dari sudut pemikiran, malah perlakuan. Kalau tidak slogan "Kepimpinan Melalui Tauladan" sekadar tinggal slogan yang tidak memberi apa-apa makna. Setiap patah perkataan yang mereka lontarkan biarlah beralas, berunsur nasihat dan dorongan. Biarlah kepetahan mereka berhujah digunakan untuk berdebat tentang masalah dan kepentingan rakyat bukannya saling mengutuk! Kutuk-mengutuk tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat yang dahagakan pembangunan.

Kempen yang berbau seribu janji biarlah dikotakan dan bukan hanya retorik semata-mata. Lambakkan projek biarlah sampai kepada sasaran iaitu rakyat jelata di segenap ceruk dan bukannya hanya untuk rakyat atau penyokong di sesetengah tempat sahaja. Selagi bergelar rakyat Malaysia, sama ada penyokong parti kerajaan mahupun pembangkang, hak untuk menikmati kemudahan dan juga bantuan tidak wajar diperlekehkan. Biarlah 'hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicubit'. Istilah 'kawasan putih' dan 'kawasan hitam' tidak harus diamalkan jika para pemimpin benar-benar ikhlas membantu rakyat.

PRU13, diramalkan sebagai pilihanraya terhangat dan menjadi penentu kepada legasi pihak pemerintah yang ada sekarang dan juga kelangsungan parti pembangkang. Dengan bertambahnya pengundi muda yang terdedah dengan ICT dan pengetahuan baru, pilihan biarlah tepat. Pilihan tidak seharusnya bersifat warisan. Buat penilaian tentang trak rekod pemimpin yang bertanding dan bukannya bersandarkan lambang parti. Jika trak rekodnya bagus, membawa banyak perubahan mahupun kemajuan, mesra dan berjiwa rakyat, berwawasan dan berkeperibadian mulia, calon inilah yang layak disokong. Calon yang 'banyak kuah dari isi', suka menabur janji palsu dan hanya timbul kelibatnya bila tiba musim pilihanraya wajar ditolak.

Ingatlah wahai rakyat Malaysia, kitalah penentu pemimpin yang akan mencorakkan kanvas politik Malaysia. Pilihan ada ditangan kita. Pilihlah dengan bijak kerana masa depan Malaysia adalah pilihan kita. HIDUP MALAYSIA!!!
Sekadar pandangan peribadi penulis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...