Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

May 16, 2011







Antara gambar semasa Program Jalinan Mesra Warga Tingkatan Enam SMKKalaka 2011 [13 Mei]. Pertandingan memasak gabungan guru dan pelajar T6.

Buli 2: Punca & Langkah Menangani

Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media. Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian. Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan.

Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan psikologi) adalah tinggi. Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius.

Terdapat pelbagai sebab pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok. Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya!

Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa. Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru tidak akan digemari rakan.

Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli. Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka, mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi.

Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti. Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin.

Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari pelajar baru turut menjadi sasaran.

Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.

Terdapat tiga peringkat untuk menangani masalah buli.

1. Bagi peringkat sekolah
[i] Langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli.
Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.

[ii] Sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli.
Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa.

Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli. Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi.

[iii] Satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk.
Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.

[iv] Perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG.


2. Peringkat kelas
-Satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya.

Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah. Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.


3. Peringkat individu
-Ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka.

Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa.

Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku.

Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita.- Oleh Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.
Sumber: www.srikasih.co

Buli 1: Contoh Kes

Masalah buli di sekolah kian membimbangkan masyarakat terutama ibu bapa dan para pelajar. Banyak kes buli berlaku sehingga ada diantaranya mengakibatkan kematian. Berikut ialah contoh-contoh kes buli yang dilaporkan oleh media massa dari tahun 2004 hingga tahun 2009.

• 2004 – Muhammad Farid Ibrahim meninggal dunia akibat dipukul dan dipijak lapan pelajar senior Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

• 2006 – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS), Syafiqah Borhan dibunuh dan dirogol sebelum mayatnya dicampak ke sebuah longkang di Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru.

• 2007 – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Asrama Penuh Persint 1, Putrajaya, Muhammad Ritzwan Roslan dibelasah dua jam dengan kemaluannya ditendang 20 pelajar senior termasuk anak seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor, berusia 16 tahun kerana salah faham dan membalas dendam.

• 008 – Sekumpulan pelajar tingkatan dua dan tiga sebuah sekolah menengah di Johor membelasah beramai-ramai seorang pelajar baru dikenali Muhamad di luar pintu sekolah hanya kerana mangsa menjeling mereka.

• 2009 (Februari) – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Dalat disepak dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar di bilik asrama dan aksinya dirakam dan disiarkan selama 3.05 minit menerusi laman Youtube

• Mac – Mohd Azwan Md Ribi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Pekan, Kuantan melecur teruk lengan kanan akibat diseterika senior di asrama kerana enggan membelikannya rokok.

• Ogos – Disebabkan tidak puas hati hanya memperoleh 50 sen selepas memeras ugut rakan sekelas, seorang murid tahun satu sanggup bertindak ganas dengan menoreh buah zakar rakannya, Muhammad Amir Amri dengan sebilah pisau lipat di sebuah sekolah kebangsaan di Alor Setar, Kedah.
Sumber: BHO


Buli Harus Diperangi
Berdasrkan contoh kes di atas, jelaslah bahawa gejala negatif ini wajar diperangi habis-habisan oleh semua pihak.

Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali (Hazler & Hoover, 1993).

Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malahan apabila Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru mula menangani kes samseng dan buli ini secara serius sehingga dibentuk Jawatankuasa Petugas Khas, dan talian hotline tentangnya ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung terhadap usaha gigih wanita ini tentang buli dan implikasinya terhadap pengurusan sekolah.

Menurut Trump, KS (2000) dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent And Manage School Crises buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut beliau lagi jika pendidik peka terhadap masalah perlindungan, mereka harus bermula dengan sebab-sebab yang mencetuskan gejala buli, berusaha untuk meminimumkannya ketika pelajar masih dalam usia kecil dan memeranginya secara konsisten. Ini termasuklah dalam melaksanakan strategi-strategi perlindungan dan pencegahan ketika anak-anak membesar dalam saat-saat persekolahan mereka.

Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School. Urutan kehangatan peristiwa-peristiwa tembak-menembak yang berlaku di sekolah di sekitar Amerika Syarikat pada akhir 1990-an.

Wujudnya hot line buli di bawah kementerian pelajaran yang baru dilihat betapa seriusnya masalah buli. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar. Ibu bapa pelajar percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai in loco parentis dalam tempoh masa rasmi persekolahan.

Semua pihak tidak kira dari peringkat manapun wajar berganding bahu bagi mencari alternatif terbaik bagi mengatasi masalah ini. Sikap saling salah-menyalahi tidak akan memberi manfaat. Oleh itu, semua pihak harus duduk semeja dan berbincang bagi memastikan anak-anak turun ke sekolah dengan perasaan selamat.

Keldai Dadah 3: Risiko @ Kesan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir (kiri) bersama pegawainya menunjukan dadah yang disorok dalam kasut dan berjaya dirampas daripada dua lelaki warganegara Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Julai tahun lepas.

MENURUT statistik, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun lepas berbanding 16 tangkapan pada tahun 2009. Daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada "keldai dadah", iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

Dadah jenis syabu pula diseludupkan menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Teheran melalui transit di Emiriah Arab Bersatu, Armenia, Qatar dan Sri Lanka sebelum tiba di Malaysia. Pastinya kegiatan pengedaran dadah mencacatkan nama baik negara itu.

Namun Iran juga seperti kebanyakan negara-negara lain tetap berhadapan dengan masalah penduduk miskin yang kemudiannya cuba mencari jalan mudah dengan mengedar dadah. Pendapatan sebagai petani diibaratkan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dikenal pasti punca menyebabkan ramai warga Iran sanggup menjadikan diri sendiri sebagai 'kurier' untuk membawa dadah ke Malaysia kerana upah yang lumayan.

Mangsa Facebook
Selain itu laman sosial Facebook telah disalah gunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan untuki direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat Malaysia bagi dijadikan keldai dadah. Melalui laman sosial ini, sindiket menggunakan ahli-ahli di kalangan lelaki tempatan akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.

Wanita tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional dan ada juga di kalangan janda akan dilayan dengan baik sekali sepanjang tempoh bercinta apabila diberikan hadiah barang-barang mewah serta dibawa melancong ke luar negara.

Setelah yakin wanita terbabit mempercayai mereka, anggota sindiket akan mengambil kesempatan itu memperdayakan mangsa untuk membawa dadah ke luar negara sehingga akhirnya tertangkap dan meringkuk dalam penjara. Berikutan itu adalah pemandangan biasa jika kita melihat bandar di sempadan Iran seperti Zahedan yang terletak di dalam wilayah Seistan-Baluchistan menjadi tapak penyeludupan utama.

Walaupun gambar Ayatollah Khomeini memenuhi bandar ini, namun sebaik matahari melabuhkan tirainya, aktiviti pemunggahan dan penyeludupan dadah berleluasa walaupun ada masanya trak yang membawa dadah dan anggota polis sering saja berselisih di jalanan.

Dari bandar Zahedan, harga sekilo candu hanya sekitar AS$100 (RM320) sebelum meningkat kepada AS$600 (RM1,920) di Teheran. Harga ini meningkat berkali ganda kepada AS$2,400 (RM7,680 ) apabila tiba di Turki. Candu ini kemudiannya akan diperhalusi menjadi heroin dengan menggunakan asetik anhidrid.

Pasaran
Bagi harga pasaran di Eropah pula heroin yang mempunyai ketulenan sekitar 35 peratus, dijual pada harga AS$30 (RM96) sekilogram. Menariknya 90 peratus dadah yang digunakan di Eropah datangnya dari Afghanistan. Proses ini dijalankan cukup teratur dari mula ia ditanam oleh petani-petani miskin di Afghanistan yang kemudian di seludup ke sempadan Iran sebelum menjadi satu perniagaan yang cukup menguntungkan dari Eropah hinggalah Malaysia.

Dalam penyelesaian masalah ini kesukaran timbul akibat dari Afghanistan itu sendiri terlalu bergantung kepada perniagaan dadah. Usaha untuk menggantikan tanaman berkaitan dadah ini masih gagal akibat dari kurangnya bantuan dan kesungguhan dari negara-negara Barat membantu. Ditambah pula dengan kedudukan Iran yang dilabel sebagai negara paksi kejahatan, pastinya negara seperti AS tidak akan bersungguh dalam membantu menyelesaikan masalah penyeludupan dadah.

Yang pasti, akibat dari keinginan untuk keluar dari kemiskinan dan mencari kemewahan singkat menyeludup dadah, mengakibatkan manusia sanggup merentas benua dan sempadan malah berkorban nyawa di tali gantung.
Sumber: Utusan Online April 11

Keldai Dadah 2: Warga Tempatan Terpedaya?

Artikel 1: Sindiket Antarabangsa guna Ejen Tempatan

KUALA LUMPUR: Penggunaan ejen rakyat tempatan kini dikenal pasti sebagai taktik terbaru sindiket dadah antarabangsa untuk mencari "keldai dadah" melalui laman web sosial Facebook.

Taktik yang menggunakan rakyat tempatan untuk merekrut "keldai dadah" itu masih menggunakan cara yang sama iaitu menabur janji manis, kemewahan dan percutian menarik kepada mangsa sebelum ditugaskan membawa dadah ke negara ketiga.

"Di dalam Facebook mereka berkenalan, menjalin hubungan rapat dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk dijadikan keldai dadah," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim. Beliau berkata, taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.

"Hasil soal siasat polis negara itu, lelaki terbabit mendedahkan tiga rakyat Malaysia memperdayanya untuk ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Noor Rashid berkata, sebelum ini tugas merekrut mangsa untuk dijadikan "keldai dadah" dilakukan rakyat Iran dan Nigeria, tetapi selepas mendapati taktik itu kurang mendapat sambutan, mereka mengubahnya menggunakan rakyat Malaysia.

Beliau mengulas taktik terkini sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang kini menggunakan rakyat tempatan sebagai ejen mencari keldai dadah. "Kita akan terus membuat pemantauan dan mengingatkan orang ramai melalui program-program kemasyarakatan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan sindiket antarabangsa ini," katanya.

Beliau berkata sepanjang 2010 seramai 35 rakyat tempatan termasuk 12 wanita ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah, jumlah itu berkurangan berbanding tiga tahun sebelumnya, iaitu 54 orang pada 2009, 66 orang (2008) dan 84 orang (2007). Kebanyakan mereka berumur 40 tahun ke bawah dan ditahan di beberapa negara antaranya Taiwan, Peru, Brazil dan Thailand.

Sementara itu, seramai 14,652 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah narkotik dan polis berjaya merampas dadah yang bernilai RM38.77 juta sepanjang Januari lalu. Noor Rashid berkata, dalam tempoh itu juga, empat makmal memproses dadah -- dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Perak dan Pulau Pinang -- dibongkar dan lapan orang ditahan.

"Dalam tempoh sebulan itu, kita juga berjaya menahan 24 orang termasuk 17 rakyat Iran dalam penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)," katanya. Beliau berkata, 19 orang ditahan di KLIA dan lima lagi di LCCT dengan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 49.8 kg yang kesemuanya bernilai RM3.29 juta.

"Serami 103 orang diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang Januari lepas dan sebanyak RM3 juta harta di sita termasuk kes yang meyumbang nilai sitaan tertinggi dalam Ops Ramelia yang membabitkan sindiket pengedaran dadah rakyat Iran," katanya.-Bernama
Sumber: MyMetro



Artikel 2: Warga Tempatan Jadi Keldai Dadah
TAK habis-habis! Mungkin itu frasa paling sesuai merujuk kes rakyat negara ini yang dijadikan keldai dadah dan mangsa penipuan internet oleh sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika termasuk terbaru di Perak, 1 Mei lalu.

Sungguh menghairankan, ketika isu keldai dadah dan penipuan internet atau dikenali ‘African Scam’ hangat diperkatakan selain pelbagai taktik digunakan untuk memerangkap mangsa didedahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih ada rakyat kita khususnya wanita yang terpedaya.

Deretan kes keldai dadah dipaparkan media nampaknya belum cukup untuk menjadi perisai dan memberi kesedaran kepada warga kita untuk menghindari sindiket atau bentuk pemerdayaan dan penipuan seperti itu. Lebih membimbangkan, perkembangan terkini menunjukkan kes keldai dadah sejak setahun lalu ‘kembali panas’ dengan beberapa laporan penahanan ke atas rakyat kita atas dakwaan menyeludup dadah di luar negara.

Natijahnya, mereka yang terperangkap dengan helah, muslihat dan janji manis anggota sindiket selain ditokok sikap mangsa sendiri yang alpa, tamak, mahu mendapat wang mudah atau cepat kaya, akhirnya menyebabkan diri sendiri yang merana.

Kesannya tidak bernokhtah di situ kerana keluarga mereka turut menanggung azab dengan meratapi nasib malang yang menimpa orang yang mereka sayangi apabila terpaksa meringkuk dalam penjara di luar negara.

Bayangkan kesan psikologi terpaksa ditanggung seorang kanak-kanak yang bermanja dengan ibu atau bapanya, namun tiba-tiba orang yang membelai mereka saban hari hilang dalam sekelip mata. Tangisan dan kerinduan dizahirkan ‘si kecil’ pasti lebih menyentuh perasaan sanak saudara.

Kes terbaru keldai dadah di Perak membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang sudahpun mempunyai lima anak yang kebetulan berlaku ketika sambutan Hari Buruh lalu. Wanita itu yang tinggal di Ipoh, terjebak sebagai keldai dadah selepas termakan pujukan seorang rakan lama yang juga warga tempatan dikenali sebagai Aishah untuk memulakan perniagaan spa.

Namun, dalam mengejar hasratnya itu, mangsa terperangkap dalam sindiket dadah didalangi dua warga Afrika hingga mangsa mendakwa dipaksa menelan 75 bungkusan kecil dadah sebelum dipaksa menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Australia pada hari berkenaan. Nasib tidak menyebelahinya apabila ditahan polis negara berkenaan.

Bagi penulis, seperkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak polis dalam kes terbaru itu adalah kemunculan wanita bernama Aishah. Mungkin wanita itu menggunakan nama samaran, namun hakikatnya dalam beberapa kes sebelum ini, nama Aishah dikaitkan oleh beberapa rakyat kita yang ditahan di luar negara sebagai individu yang memperkenalkan mereka kepada lelaki Afrika untuk direkrut sebagai keldai dadah.

Dalam kes keldai dadah ini juga saranan Kementerian Luar yang mahu tahap pemeriksaan ke atas individu yang hendak meninggalkan negara ini dipertingkatkan bagi mengekang masalah itu, perlu diberi perhatian serius.

Jika dadah itu dapat dikesan di pintu keluar negara kita, mungkin masih ada ruang bagi mereka yang benar-benar teraniaya sebagai keldai dadah untuk diselamatkan selain memudahkan lagi pihak berkuasa mengesan dalang yang memerangkap dan memaksa mereka berbuat demikian.

Namun, jika rakyat kita ditahan di negara lain, kita perlu menghormati undang-undang negara lain selain kemungkinan ada maklumat diperoleh pihak berkuasa kita terhad bergantung kepada kesediaan pihak berkuasa negara asing menyalurkan maklumat.

Mengikut rekod Kementerian Luar, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk sembilan wanita ditahan di luar negara kerana terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dalam tempoh 20 tahun, rakyat Malaysia antara paling ramai ditahan di luar negara kerana terbabit dengan pengedaran dadah iaitu 833 orang, selain Thailand (272), Singapura (164), Taiwan (125) dan China (82).

Merujuk penipuan melalui internet pula, pihak berkuasa meluahkan rasa kecewa kerana masih ada yang terpedaya hingga mengalami kerugian besar dalam bentuk wang ringgit.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, sendiri masih menerima banyak laporan kes individu khususnya wanita belum berkahwin kerugian wang akibat ditipu lelaki Afrika yang berpura-pura mencintai mereka selepas berkenalan secara maya.

Kepada warga kita, penulis berharap bukalah minda dan mata seluas-luasnya agar menjadi seorang yang lebih arif untuk menghindari dan menjauhkan diri daripada punca yang boleh memerangkap mereka sebagai keldai dadah atau kerugian wang melalui penipuan di internet.
Sumber: BH Mei 2011

Keldai Dadah 1: Taktik

Sejak belakangan ini, kes keldai dadah semakin menjadi-jadi di negara kita. Hari-hari kita disogokkan dengan berita tentang rakyat Malaysia menjadi mangsa keldai dadah. Ada yang lakukannya secara sukarela. Ada yang dipaksa. Kalau yang sukarela jadi keldai dadah, sebab nak jadi Orang Kaya Baru (OKB. Kalau yang diperdaya atau dipaksa, bolehlah kita tumpang simpati. Contohnya, Roslaila Abdul Aziz, 35, dari Kampung Sungai Tapah Tambahan yang ditahan polis Australia Sabtu lepas atas tuduhan menyeludup 75 bungkusan disyaki dadah dalam perut. Semuanya angkara kawan durjana. Kawan makan kawan.

10 Taktik Keldai Seludup Dadah .

1. Taktik sembunyi dalam perut.
- Tiada cara lain dadah (dadah berpeket) boleh masuk ke dalam perut melainkan melalui mulut. Jadi keldai atau mangsa ini akan menelannya untuk disimpan dalam perut untuk beberapa hari sehingga sampai ke lokasi yang ditetapkan. Paket dadah dalam ketulan kecil yang diikat ini akan diambil semula ketika "melepaskan hajat". Jika paket dadah dalam plastik kecil yang ditelan tidak pecah, keldai ini akan selamat. Jika pecah, boleh ucap selamat tinggal jika terpaksa dimasukkan ke wad ICU.

2. Taktik sembunyi dalam kasut.
Dalam kasutpun boleh sorok dadah. Geliga betul otak keldai ini. Jika pecah, organ dalam tubuh tetap selamat. Tak terjejas apa-apa. Tak macam sembunyi dalam perut. Mungkin keldai ini fikir masakan pegawai kastam boleh jangka dalam kasut dia ada bahan terlarang. Paling tidakpun, keldai ini fikir dia pasti selamat jika pegawai kastam ini bimbang mengambil risiko memeriksa kasutnya. Takut tumbang terhidu aroma stokin. :-)

3. Taktik upah nelayan tradisional
Nelayan ini mungkin rasa selamat. Sebab kegiatan haram dia tak perlu buat pemeriksaan kastam dan imigresen. Dadah ini akan disorok dalam tong ikan bersama longgokan ais. Diorang fikir genius jugak otak diorang. Kiranya sambil menyelam sambil minum air. Sambil bawa ikan, sambil sumbat sekali dengan dadah. Daripada jual ikan kembong, ikan lolong, ikan tongkol entah bila nak kaya. 2020 belum tentu. Lagi baiklah bawa dadah. Ini cara keldai nelayan berfikir barangkali.

4. Taktik "Lost & Found"
Taktik ini tidak guna keldai sepanjang penerbangan. Penghantar selamat. Mereka cuma perlu poskan beg pakaian berisi dadah ke mana-mana lokasi. Bila sampai di lokasi tersebut, di lapangan terbang biasanya, bagasi ini tidak dituntut segera. Seolah-olah bagasi ini hilang dari tangan pemilik. Esoknya, baru ada keldai sebenar yang akan tuntut bagasi ini. Dia akan dakwa beg dia hilang. Bila diperiksa, kantoi terdapat dadah dalam beg tu.

5. Taktik add saya di Facebook.
Hati-hatilah kalau ada mat negro nak berkawan rapat dengan kita. Kalau dia minta kita add dia, jangan dilayan. Buat muka sardin. Walaupun rupanya tidak kita kenal, tapi lubang hidungnya tetap menjadi pujaan bila kita dah jatuh cinta dan kemaruk tergila-gilakannya. Masa inilah, diaorang akan ambil kesempatan dengan mempergunakan kita untuk menyeludup dadah keluar.

6. Taktik pakai bengkung.
Selepas seludup dadah guna bagasi asyik kantoi, keldai dadah ini tukar pula dengan cara sorok dalam bengkung yang dipakainya di perut. Apa kes lelaki pakai bengkong. Bukannya lepas beranak. Bila diselak perut, ada bengkung, kalau tak kerana buang tabiat, ini mesti ada simpang "barang baik". Macam mana nak selamat kalau pihak imigresen syak bukan-bukan. Akhirnya, kantoi jugak

7. Taktik tampal logo.
Sekali buat lepaslah. Dua tiga kali buat tentu kantoi. Sindiket ini akan tampal macam-macam logo di kenderaan untuk mengelak disoal siasat semasa melalui sekatan jalan raya. Bila tampal logo polis, askar, pihak berkuasa lain dan ahli politik, biasanya orang tersebut boleh lepas mudah dalam mana-mana sekatan jalan raya oleh pihak polis. Tapi polispun cerdik. Cara penjenayah jawab soalan itupun polis dah tahu logo itu palsu atau betul. Jika palsu, sudah tentu ada yang tak kena dalam kenderaan tu. Apatahlagi orangnya.

8. Taktik seludup dalam kuantiti yang kecil.
Jika kuantitinya banyak, pihak berkuasa senang kesan. Nak sorok pun susah. Keldai dadah dari Iran tukar pula taktik kepada membawanya dalam kuantiti yang kecil antara 1 kilogram hingga 3 kilogram. Prinsip mereka, biar sedikit asal banyak. (Jangan pening. Maksudnya biar sedikit dadah tapi banyak wang)

9. Taktik rendam dengan cecair dadah.
Ini juga taktik yang popular. Suspek akan merendam apa saja pakaian termasuk tuala dan sapu tangan ke dalam cecair dadah. Tuala yang direndam dalam cecair dadah itu kemudiannya dibalut dengan plastik lutsinar sebelum disorokkan dalam bagasi yang dibawa. Dari segi luarannya memang tiada kelihatan bungkusan apa-apa jenis dadah tapi cecair dari resapan tuala itulah akan digunakan balik untuk memproses dadah.

10. Taktik guna burung merpati.
Ini kisah di Colombia. Dekat Malaysia belum ada lagi. Burung merpati dilatih untuk terbang ke satu-satu tempat. Penjara misalnya. Bila merpati tu dah lulus ujian, giliran dia buat kerja dengan mengangkut dadah tu untuk dihantar ke penjara. Paket dadah akan diikat ke badan merpati sebelum diarah terbang untuk diberikan kepada orang-orang tertentu.

Dadah 3: Langkah Menanganinya

PENAGIHAN dadah adalah satu-satunya fenomena sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 1970-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif.

Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosiobudaya, politik mahupun keselamatan.

Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain sentiasa mengingatkan orang ramai, padahnya penyalahgunaan dadah, malah turut mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat seperti pengedar, penagih, penjual dan pembekal, tetapi hakikat ini seolah-olah langsung tidak mendatangkan kesan.
Mengikut statistik, kategori umur antara 25 hingga 29 tahun merupakan bilangan penagih paling ramai dikesan (20.07 peratus), satu hakikat yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadi satu wabak dan bencana yang menakutkan masyarakat dan negara.

Ini kerana dadah menjadi punca kepada bermacam perbuatan jenayah yang boleh membawa kepada kekacauan serta permasalahan dalam rumah tangga, masyarakat dan negara.
Golongan ini menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya manakala pengedar dadah pula menjadi ancaman besar kepada setiap individu dan boleh menjejaskan kesejahteraan negara dan agama.

Jika ini berlaku, bagaimana kita mahu memperjudikan masa hadapan negara dan bangsa di tangan mereka kelak?

Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Menurut statistik, mereka yang terjerumus ke kancah ini disebabkan pengaruh kawan atau teman sebaya bagi tempoh sepanjang Januari hingga Mac 2007 adalah seramai 1,550 orang (53.71 peratus) manakala faktor dorongan perasaan ingin tahu menyumbang 639 orang (22.14 peratus), sementara mereka yang mencari keseronokan menyumbang kepada 491 orang (17.01 peratus).

Sehubungan dengan itu, peranan ibu bapa penting. Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan gejala ini, tidak dinafikan perasaan marah, kecewa dan malu akan dirasai namun jangan pula membiarkan semua perasaan ini menguasai diri.
Seluruh ahli keluarga amat penting untuk menentukan sama ada si anak atau ahli keluarga yang terlibat akan pulih, seterusnya menjadi manusia biasa atau akan terus menjadi penagih dadah tegar.

Di era globalisasi yang serba mencabar, negara kita memerlukan golongan belia yang berwawasan korporat, berkemahiran dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan bagi meneruskan agenda negara. Oleh itu, jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah.

Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.

Sumber: Artikel oleh MOHD. FAIZAL MOHD. SALLEH [Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial, GPM].

Dadah 2: Tanda-Tanda

Berikut merupakan ciri-ciri penyalahguna dadah yang dikenal pasti:
a) Gejala fizikal
• Berpeluh
• Meremang bulu roma
• Pening kepala
• Menggigil (tremor)

b) Gejala psikologi
• Keresahan
• Insomnia - tidak dapat tidur
• Kerisauan
• Gangguan emosi dan perasaan

c) Gejala perlakuan
• Sentiasa ponteng kerja
• Penurunan prestasi kerja
• Digantung atau dibuang sekolah
• Mabuk semasa memandu yang boleh menyebabkan kemalangan
• Ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam
• Mencuri

Di antara dadah-dadah yang sering disalahgunakan termasuklah kanabis (ganja), amfetamin, ekstasi dan heroin.

Gejala-gejala yang biasa dipamerkan oleh penyalahguna dadah adalah:
• Gangguan koordinasi
• Mata merah
• Insomnia - tidak dapat tidur
• Hilang selera makan
• Penurunan berat badan
• Kemurungan
• Cakap banyak
• Tidak dapat mengimbang diri
• Loya dan muntah
• Mengetap gigi dan rahang
• Peningkatan tenaga
• Kerap menggosok hidung
• Berpeluh berlebihan
• Mengantuk
• Menggunakan tandas terlalu lama
Walau bagaimanapun, sesetengah dadah menghasilkan gejala yang khusus. Contohnya, mempamerkan simptom yang dikenali sebagai cocaine bug iaitu rasa sesuatu merayap di atas kulit. Ekstasi pula mempamerkan gejala yang ganjil iaitu rasa tersangat dahaga.

Artikel dipetik dari Kementerian Kesihatan [http://kitasihat.blogspot.com]

Dadah 1: Punca dan Kesan

Punca Penagihan Dadah & Langkah Mengatasinya

1. Pengaruh rakan sebaya
Ini merupakan punca yang paling ramai bagaimana seseorang mula terjebak dengan penagihan dadah. Cuba kita merenung sejenak, pernah kita dengar atau lihat seorang ayah mengajar anaknya menagih dadah atau mengajar anaknya bercita-cita menjadi pengedar dadah?
Sudah tentu tidak atau jarang dilihat dan dengar. Dari sini bolehlah disimpulkan bahawa kita kenal dan mula menagih dadah sebahagian besarnya dari rakan-rakan kita.

Cara menghindarkannya ialah:
* Mempunyai keyakinan pada diri sendiri
* Menerima kebaikan dan kelemahan diri sendiri
* Menghormati diri anda serat orang lain
* Merasa senang dengan diri sendiri dan orang lain
* Mempercayai diri sendiri
* Membuat keputusan sendiri kerana anda tahu apa yang baik bagi anda


2. Perasaan ingin tahu
Keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru dikenali merupakan perkara lumrah bagi seseorang. Perasaan ini lebih menonjol dalam usia remaja.
Sebab itulah kita lihat masalah sosial banyak berpunca dari golongan remaja seperti lumba haram, bohsia, peras ugut dan lain-lain.
Semuanya berpunca dari alasan, saja suka-suka nak cuba nanti kalau tak berkenan boleh berhenti. Ia ke boleh berhenti?

Cara menghindarkannya ialah:
* Sedarilah risiko yang akan ditanggung
* Fikir dengan teliti situasi tersebut
* Fikir mengenai akibatnya
* Buat keputusan agar tidak terpengaruh


3. Keseronokan
Masa di usia remaja merupakan zaman yang sungguh manis dan penuh dengan keseronokan.
Pada usia ini kebanyakan aktiviti-aktiviti yang paling digemari kebanyakannya ialah berbentuk keseronokan yang sementara. Fikir dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Cara menghindarkannya ialah:
* Renungkan sejenak perbuatan itu positif atau negatif terhadap diri anda
* Fikirkan tentang kesan jangka pendek dan juga kesan jangka panjang
* Keseronokan yang dicari tidak semestinya memberikan kebaikan kepada anda


4. Tidak mengetahui bahaya dadah
Tidak mengetahui atau tidak mempunyai sebarang maklumat tentang bahaya dadah terutamanya dadah jenis baru yang berada di pasaran.
Kebanyakan selepas mengambil, menggunakan, memakan dan sebagainya dadah ini barulah kita mencari kesannya dari segi perundangan dan kesannya pada diri kita.
``Eh... salah ke ambil pil ni? Eh... apa kesannya selepas ambil pil ni, serius ke? Tak tahu pun!''
Secara logiknya jika tidak salah kenapa membeli dan mengambil pil ini secara sorok-sorok?

Cara menghindarkannya ialah:
* Luaskan pengetahuan anda mengenai dadah melalui pembacaan atau dengan mendapatkan maklumat di dalam Internet
* Jangan malu bertanya kepada orang yang berpengetahuan dan boleh dipercayai
* Menghadiri dan turut serta dalam seminar-seminar dan juga aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dadah.


5. Masa lapang yang membosankan
``Bosan betullah! Eee boringnya. Tak tau nak buat apalah hari ini.''
Itulah antara perkataan yang sering diluahkan oleh setiap orang khususnya remaja.
Berdasarkan pengamatan, sebahagian besar punca sebenar perasaan ini timbul ialah tinggal di rumah yang terlalu sempit, tiada aktiviti dan tempat riadah yang dijalankan oleh penduduk di sekitar tempat tinggalnya, kurang aktiviti yang menepati minatnya diadakan, keluarga yang sentiasa sibuk dan sebagainya.

Cara menghindarkannya ialah:
* Isi masa lapang dengan perkara yang berfaedah
* Wujudkan satu hobi yang berfaedah dan menggembirakan kepada diri kita
* Sibukkan diri kita dengan pelbagai tugasan


6. Mencari ketenteraman jiwa
Jiwa yang tenang akan dapat mengimbangi keputusan tindakannya. Jiwa merana, badan juga turut sengsara. Kita pernah terdengar bidalan mandi tak basah, makan tak kenyang dan tidur tak lena. Begitulah umpama jiwa yang perlukan bantuan dan ketenteraman.

Cara mendapatkan ketenteraman jiwa ialah:
* Tingkatkan amalan berbentuk keagamaan
* Bersukan
* Beriadah (Berkelah dan sebagainya)
* Amalkan cara hidup yang sihat
* Minta nasihat kaunselor/pakar jiwa

Pilihan ada di tangan kita. Terpulang jalan mana yang kita pilih. Inginkan keseronokan yang sementara dan inginkan kebahagiaan yang hanya dalam angan-angan.
Cuba renungkan sejenak, jika menagih dadah itu membawa bahagia kenapa ramai penagih dadah yang longlai di merata tempat, mendapat penyakit AIDS, terlibat dengan jenayah dan tiada sebarang kisah yang menyatakan dia lebih bahagia selepas menagih dadah.
Sumber: AADK

May 15, 2011

Kantin Sekolah dan Peranannya

Banyak duit negara dapat dijimatkan jika tidak menjual makanan ringan di kantin sekolah.Satu cara mudah dan cepat mendapat untung ialah menjual makanan ringan, terutamanya berhampiran dengan kawasan sekolah.

Kanak-kanak memang suka makan makanan ringan atau jajan. Makanan ringan ini bukan sahaja tidak berkhasiat tetapi juga mengandungi campuran bahan pewarna, pengawet dan perasa yang boleh membawa mudarat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Pengeluar dan peniaga makanan perlu mempunyai rasa tanggungjawab, selain dari menjual makanan yang sedap dan digemari, mereka juga mesti memastikan bahan makanan yang dijual tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia.

Semua orang suka memakan makan yang enak dan lazat, tetapi makanan yang sedap-sedap ini mungkin juga mengandungi banyak gula, garam, lemak, bahan kimia, cholesterol dan trans fat.

Begitu juga dalam mengeluarkan hasil pertanian dan ternakan untuk dijadikan bahan makanan seperti bijiran, sayuran, ayam dan lembu, banyak bahan kimia digunakan dalam penyediaan baja, menggunakan racun serangga perosak dan ubat suntikan vaksin dan hormon penggalak pembesaran. Semua bahan-bahan sampingan ini banyak memberi mudarat kepada kesihatan manusia.

Apabila kita menjual makanan untuk mengejar keuntungan yang banyak dan cepat, tanpa mengira mudarat kepada kesihatan orang ramai, maka sikap ini akan merugikan negara kita sendiri. Akhirnya belanja yang besar terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk meyediakan ubat dan rawatan kepada rakyat yang sakit.

Hospital perlu ditambah, doktor dan kakitangan hospital juga perlu ditambah dan lebih banyak duit diperlukan untuk membeli ubat-ubat bagi menampung pesakit yang semakin bertambah.

Untung yang diperolehi dari menjual makanan yang tidak sihat ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan negara bagi merawat rakyat yang sakit akibat dari memakan makanan yang tidak sihat itu.

Sudah ramai rakyat negara ini kena sakit darah tinggi, kencing manis, serangan jantung, sakit buah pinggang dan barah, semuanya itu penyakit-penyakit yang berpunca dari memakan makanan yang tidak sihat.

Hari-hari kita minum teh tarik di kedai mamak yang tidak ada pun sehelai daun tehnya, dan susunya adalah susu lemak berkerim yang mengandungi lemak kelapa sawitnya lebih banyak dari susu lembu.

Hari-hari kita masak dan menggoreng menggunakan minyak kelapa sawit yang banyak lemak tepu itu, yang boleh menyesakkan saluran darah dan jantung.

Dengan adanya kopi dan teh tiga dalam satu yang dijual dalam bentuk paket, memudahkan lagi orang ramai minum kopi dan teh. Nampak dan rasa serupa macam kopi susu atau teh susu, tetapi kalau kita baca pada labelnya, tidak ada pun susu, sebaliknya lemak kelapa sawit digunakan menggantikan susu.

Orang-orang yang tinggal di kawasan Mediterranean sangat kurang mendapat sakit jantung kerana mereka banyak menggunakan minyak zaitun dalam masakan mereka.

Kalau kita pergi hospital kerajaan, adalah biasa kalau orang ramai selalu merungut dengan layanan yang mereka terima bila berdepan dengan kakitangan hospital. Kita kena fahamlah, pesakit ramai, sedangkan kakitangan dan kemudahan di hospital tidak cukup. Kalau bilangan kakitangan dan kemudahan banyak, tentu mereka tidak ada masalah untuk melayan kita.

Kita kena terima hakikat yang kerajaan pun tidak mampu hendak menanggung belanja kesihatan yang begitu besar itu, banyak perkara-perkara lain lagi yang juga perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.

Untuk mengurangkan beban, kerajaan menggalakkan penubuhan hospital swasta yang mana belanja bagi merawat pesakit dibiayai melalui wang insuran. Walaupun tidak sakit, orang ramai terpaksa membeli insuran untuk melindungi mereka dari membayar kos perubatan dan rawatan yang tinggi jika mereka jatuh sakit.

Syarikat insuran juga membuat keuntungan dan kakitangan insuran juga dibayar gaji dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.
Sumber: Internet

May 10, 2011

Bank Sel Stem 2

DASAR Bioteknologi Kebangsaan telah dilancarkan pada 28 April 2005. Bidang bioteknologi merupakan suatu disiplin ke arah aplikasi teknologi yang menggunakan sistem biologi atau organisma hidup untuk dijadikan produk bagi kegunaan tertentu. Proses ini melibatkan pengetahuan dan kemahiran tinggi untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran yang berguna dan dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Sel stem merupakan satu bidang bioteknologi yang sudah lama diperkenalkan di dunia. Sel stem yang diperkenalkan di Malaysia sejak beberapa tahun yang lepas menjadi jalan penyelesaian kepada beberapa permasalahan penyakit terutama penyakit genetik.

Sel stem ialah Master Cells kerana dari sel utama inilah terbentuknya pelbagai tisu, organ, dan sistem di dalam keseluruhan sistem tubuh kita. Sel stem mempunyai kemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu dalam badan manusia yang lain.

Darah tali pusat adalah darah yang berada di dalam salur tali pusat dan uri yang keluar bersama-sama dengan kelahiran bayi apabila tali pusat tersebut dipotong. Secara tradisinya dalam masyarakat Melayu, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh dan ditanam. Darah tali pusat merupakan punca yang baik bagi sel stem.

Kira-kira 20 tahun yang lalu, saintis dan penyelidik mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel termasuk sel stem. Pada tahun 1998 pula, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit fanconi anemia.

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major yang didermakan oleh adiknya yang baru lahir. Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita penyakit leukemia.

Kebaikan Sel Stem
Sel stem memiliki keupayaan terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel kosong dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Darah di dalam tali pusat bayi anda adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya unik kepada bayi dan keluarga anda sahaja.

Sel stem yang ada di dalam tali pusat adalah building block kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelets iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk menjana sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat lebih 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis multipel, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

Darah tali pusat berlainan dengan darah dari sel stem yang lain kerana darah tali pusat adalah darah yang paling muda dan selamat. Ia juga mudah diperolehi iaitu hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.

Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput selagi teknik menyimpannya dilakukan dengan baik iaitu disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku 196°c. Penyelenggaraan yang baik akan sentiasa memberi manfaat kepada bayi ini dan ahli keluarganya apabila mereka ditimpa penyakit-penyakit yang kritikal.

Kelemahan
Walau bagaimanapun, keberkesanan darah tali pusat ke atas saudara jauh atau individu di luar kelompok keluarga bergantung kepada keadaan penyakit yang dihadapi. Dan darah tali pusat bayi yang menghadapi penyakit sindrom down pula, hanya boleh digunakan ke atasnya sahaja.

Pemindahan darah tali pusat juga bergantung kepada keserasian penderma-penerima, jumlah sel stem yang berada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Proses pengumpulan darah tali pusat juga tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko kepada ibu dan bayi. Selain itu, sel stem darah tali pusat jua lebih mudah diterima oleh badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah.

Kini, darah tali pusat yang disimpan di dalam bank mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah usaha menyebarkan kebaikan dan kepentingan darah ini kepada masyarakat dilakukan secara telus. Melalui bank darah tali pusat oleh Pusat Darah Negara yang disediakan oleh kerajaan, setiap ibu bapa boleh menyimpan aset biologi ini dengan lebih selamat dan terancang untuk jangka masa panjang yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi dan ahli keluarga yang lain sekiranya diperlukan.

Pusat penyimpanan darah tali pusat swasta yang turut mengembangkan teknologi ini kepada masyarakat iaitu Stemlife Berhad, Cryocord Sdn.Bhd., dan Cellsafe International (CSI) Sdn. Bhd. Bergantung kepada ibu bapa mahu memilih pusat yang mana satu sebagai pusat pelaburan sel stem anak-anaknya. Ini merupakan satu insuran hayat yang berkesan dari segi kos dalam menghadapi penyakit yang tidak dijangka.

Namun, jumlah darah tali pusat yang dikutip sewaktu lahir adalah 80 -100 ml yang hanya cukup untuk bayi atau anak yang kecil. Apabila mereka dewasa, sel stem yang telah disimpan sejak mereka kecil tidak mencukupi untuk membantu mereka menjalani rawatan penyakit kritikal.

Oleh itu, orang awam mengambil inisiatif menyimpan tali pusat bayi untuk kegunaan bersama. Pengumpulan tali pusat ini akan membantu mereka yang memerlukan dan bukannya untuk kegunaan sendiri sahaja kerana telah terbukti tiada anggaran yang tepat kebarangkalian anak memerlukan sel sendiri yang disimpan.

Memandangkan keistimewaan darah tali pusat ini, ibu bapa harus berhati-hati dengan teknologi baru yang mula berkembang di Malaysia. Setiap darah tali pusat yang ingin disimpan harus mengambil kira soal kepercayaan kepada penyimpannya. Jika kita berhasrat untuk menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan peribadi keluarga, tujuan kaji selidik dan perubatan, anda harus sentiasa meningkatkan pengetahuan dan memantau perkembangan teknologi sel stem di sekitar anda agar tiada unsur penyalahgunaan sel ini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jika berhasrat untuk menderma darah tali pusat bayi, ia merupakan suatu usaha yang murni yang boleh membantu orang lain untuk sembuh daripada penyakit mereka. Pemilihan Bank Darah Tali Pusat Nasional yang bukan bertujuan mendapatkan keuntungan, agak bertepatan dengan objektif anda membantu orang lain. Ini kerana melalui bank darah ini, doktor-doktor boleh melakukan carian di senarai penderma awam untuk mendapatkan sampel daripada orang yang bukan saudara pesakit sebagai punca alternatif pemindahan sel stem.

Bank Sel Stem 1

Apakah darah tali pusat atau biasa disebut sebagai “Stem Cells”? Darah tali pusat (cord blood) atau disebut “placental blood” adalah darah yang berada di dalam salur tali pusat dan uri yang keluar bersama sama dengan kelahiran bayi apabila tali pusat tersebut dipotong.Darah di dalam tali pusat bayi anda ini adalah sumber “stem cell” yang sangat bernilai yang secara genetiknya unik kepada bayi dan keluarga anda sahaja.

Stem Cells ialah “master cells” kerana dari “sel master” inilah terbentuknya pelbagai tisu, organ dan sistem di dalam keseluruhan sistem tubuh kita. Sel stem mempunyai kemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu dalam badan manusia yang lain. Stem cell yang ada di dalam “tali pusat” ini adalah “building blocks” kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada:
1. Sel Darah Merah
2. Sel Darah Putih
3.Platelets (Sel yang akan memulihkan kecederaan)

Sel stem manusia boleh diprogram untuk menjadi sel otot, sel saraf, sel jantung dan sel darah. Oleh itu, ia boleh diguna untuk menjana sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat beberapa penyakit seperti Parkinson, Alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, sklerosis multipel, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

Terdapat dua punca utama untuk sel stem:
1. Sel Stem Dewasa. Ia boleh diperoleh daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sumsum tulang, darah dan otak. Sel-sel ini kurang mampu bertukar menjadi sel-sel khas berbanding dengan sel stem embrionik. Bilangannya agak kurang dan ada kalanya sukar untuk diperoleh (contohnya daripada bahagian otak dan retina mata).

2. Sel Stem Embrionik. Sel ini diperoleh daripada embrio yang terbentuk akibat persenyawaan luar tubuh (in-vitro fertilisation) ataupun melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik). Terdapat suatu perbahasan moral dan etika yang hangat dan berterusan tentang penggunaan embrio untuk penyelidikan.
Darah tali pusat merupakan punca yang agak baik untuk mendapat sel stem hemopoietik. Kira-kira 100ml boleh membina balik sistem hemopoietik dalam pesakit-pesakit yang kecil; biasanya kanak kanak.

Kebaikan transplantasi darah tali pusat berbanding dengan transplantasi sumsum tulang atau transplantasi darah periferal termasuk:
• Si penderma tidak perlu memasuki hospital untuk menjalani prosedur pendermaan. Pergerakan sel stem memerlukan ubat, misalnya cyclophosphamide dan G-CSF (untuk penderma darah periferal) dan ubat bius untuk penderma sumsum tulang.
• Darah tali pusat mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menyebabkan penyakit graft vs host berbanding dengan transplantasi sumsum tulang dan darah tepi.
• Kutipan darah tali pusat juga disyorkan dalam situasi-situasi yang tertentu, misalnya: Seorang anak yang menghidap leukemia, supaya adanya bekalan sel stem sekiranya penyakitnya berulang dan dia memerlukan transplantasi. Seorang anak yang memerlukan transplantasi sel stem tetapi penderma yang sesuai tidak ditemui.

Dewasa ini, tumpuan yang besar diberikan kepada usaha menemui dan memperkembangkan suatu punca tetap sel yang mampu menjana jenis-jenis sel yang pelbagai. Ia juga bertujuan mengelakkan masalah penolakan tisu transplantasi (pemindahan). Sel-sel tersebut yang dikenali sebagai sel stem mempunyai kemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu dalam badan manusia.

Sel stem manusia boleh diprogram untuk menjadi sel otot, sel saraf, sel jantung dan sel darah. Oleh itu, ia boleh diguna untuk menjana sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat beberapa penyakit seperti Parkinson, Alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, sklerosis multipel, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

Darah tali pusat merupakan punca yang agak baik untuk mendapat sel stem hemopoietik (HSC). Kira-kira 100ml boleh membina balik sistem hemopoietik dalam pesakit-pesakit yang kecil; biasanya kanak-kanak. Transplantasi darah tali pusat pertama berjaya dilakukan 16 tahun yang lalu. Sejak itu, lebih daripada 3,000 transplantasi sudah dilakukan di seluruh dunia. Hanya sebilangan kecil transplantasi dilaporkan di kalangan orang dewasa.

Kelemahan Bank Darah Tali Pusat
Walaubagaimanapun, tiada panduan yang rasmi di Malaysia tentang isu kutipan dan penyimpanan darah tali pusat untuk transplantasi pada masa depan. Pusat Darah Negara sejak beberapa tahun dahulu telah mengutip dan menyimpan darah tali pusat sebagai projek Bank Darah Tali Pusat Nasional yang tidak bertujuan mendapat untung.

Doktor-doktor boleh melakukan carian di senarai penderma awam untuk mendapat sampel daripada orang yang bukan saudara pesakit sebagai punca alternatif bagi transplantasi sel stem. Isu ini bertambah rumit dengan adanya bank darah tali pusat swasta yang membuat tuntutan kesihatan tanpa sokongan fakta perubatan. Akademi Pediatrik Amerika Syarikat memberi amaran bahawa keluarga mudah terpedaya dengan aktiviti “pemasaran emosi” apabila anak mereka baru lahir.

Kemungkinan untuk seorang anak menghidap suatu penyakit yang memerlukan transplantasi darah tali pusat masih belum dikenal pasti. Tiada anggaran tepat untuk kebarangkalian seorang anak memerlukan sel-sel sendiri yang disimpan. Petunjuk saintifik untuk kutipan dan simpanan darah tali pusat amat sedikit dan kecil.

Keluarga yang mempunyai penyakit genetik yang boleh dirawat dengan transplantasi sel stem harus mengutip dan menyimpan darah tali pusat setiap anaknya. Kutipan darah tali pusat juga disyorkan dalam situasi-situasi yang tertentu, misalnya:
1. Seorang anak yang menghidap leukemia, supaya adanya bekalan sel stem sekiranya penyakitnya berulang dan dia memerlukan transplantasi.

2. Seorang anak yang memerlukan transplantasi sel stem tetapi penderma yang sesuai tidak ditemui.

Penyimpanan darah tali pusat oleh bank tali pusat swasta berdasarkan premis bahawa sel-sel disimpan untuk digunakan oleh ahli-ahli keluarga dan khususnya untuk anak tersebut sendiri (transplantasi autologus).

Transplantasi autologus menimbulkan masalahnya yang tersendiri kerana sel-sel stem seseorang mungkin tidak dapat mengubati patologi yang menyebabkan penyakit tersebut. Dalam kes leukemia dan penyakit kongenital seperti Talasemia dan Anemia Fanconi, memindahkan sel-sel sendiri dengan gen dan struktur imun yang cacat (dan menjadi punca penyakit tersebut) adalah kurang logik kerana ia akan “memulangkan” penyakit tersebut kepada diri sendiri.

Jumlah darah tali pusat yang dikutip pada waktu lahir, iaitu 80-100ml memadai untuk bayi atau si anak kecil. Bilangan sel stem tidak mencukupi sekiranya si bayi memerlukannya pada masa depan di alam remaja dan dewasa.Oleh itu, konsep “insurans biologi” yang kerap dipromosikan oleh bank tali pusat swasta tidak tepat dan tidak kukuh. Perkiraan aktuari menunjukkan bahawa kemungkinan sel-sel tersebut akan digunakan sangat rendah. Dan juga, keperluan seseorang untuk ditransplantasi dengan darah tali pusatnya sendiri amat kecil.

Sebaliknya, penyimpanan darah tali pusat awam harus diperluaskan bagi kebaikan orang ramai. Kutipan darah tali pusat yang altrusitik (yang menguntungkan orang ramai) dan pendermaan khusus untuk keluarga berisiko tinggi harus digalakkan. Bank Darah Tali Pusat Nasional telah ditubuhkan untuk mencapai objektif-objektif ini tanpa kos. Di samping menyimpan darah tali pusat untuk penggunaan sendiri, orang lain yang memerlukan darah tali pusat boleh memanfaatkannya melalui transplantasi alogenik (berbeza dari segi genetik).

Sampah Angkasa 2

Pelanggaran Satellite USA-Russia: Wujudkan Sampah -Ancam Bumi
MOSCOW: Pelanggaran dua satelit boleh menyebabkan anggaran berpuluh-puluh ribu serpihan sisa di ruang angkasa lepas mengelilingi bumi dan bakal menjadi ancaman kepada satelit lain bagi tempoh 10,000 tahun akan datang. Serpihan yang mengelilingi planet turut membahayakan pesawat angkasa lain.

Seorang pakar angkasa lepas yang menyifatkan pelanggaran berkenaan sebagai 'satu malapetaka', berharap dapat memaksa pentadbiran Presiden Barack Obama menekankan isu yang diabaikan sejak sekian lama membabitkan serpihan di ruang angkasa lepas.

Ketua Misi Kawalan Russia, Vladimir Solovyov, berkata pelanggaran satelit tentera Russia dan satelit komersial Iridium Amerika Syarikat berlaku di bahagian paling sibuk berhampiran ruang bumi kira-kira 800 kilometer dari bumi.

"Jarak 800 kilometer adalah orbit paling popular yang digunakan oleh satelit komunikasi dan menjejaki bumi," kata Solovyov kepada pemberita, kelmarin.

"Serpihan berkenaan mendatangkan ancaman serius kepada kawasan terbabit." Solovyov berkata, serpihan pelanggaran berkenaan akan terus berada di orbit untuk lebih 10,000 tahun, walaupun ia amat kecil boleh mengancam kapal angkasa kerana kedua-dua berada pada kelajuan orbit tinggi berkenaan.

James Oberg, seorang jurutera angkasa lepas berpengalaman yang bekerja dengan program kapal angkasa NASA dan kini seorang perunding, menyifatkan pelanggaran di utara Siberia itu sebagai satu malapetaka.

NASA berkata, kejadian itu adalah pelanggaran berkelajuan tinggi pertama antara dua kapal angkasa membabitkan pesawat Iridium seberat 560 kilogram, manakala pesawat Russia seberat hampir satu tan.

David Wright daripada pertubuhan Union of Concerned Scientists Global Security berkata, pelanggaran berkenaan mungkin membentuk berpuluh-puluh ribu partikel lebih besar daripada satu sentimeter yang boleh menyebabkan kerosakan besar atau mungkin menghancurkan satelit.

Wright, dalam satu halaman web kumpulan itu berkata, dua blok serpihan besar daripada pelanggaran Selasa lalu boleh membentuk sebuah kelompok mengelilingi bumi.

Beliau menyifatkan serpihan itu umpama tembakan senapang yang boleh mengancam satelit lain.

Sampah Angkasa 1

SAMPAH-SARAP angkasa lepas, kotoran atau buangan ruang angkasa. Bahan buangan ini telah mengundang masalah besar kepada ruang angkasa planet Bumi. Ini termasuk nat, kepala bolt dari satelit atau Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), bahan binaan stesen, pelbagai bahan yang dibuang secara tidak sengaja seperti sarung tangan angkasawan dan kamera.

Tidak mengambil kira badan kapal angkasa yang meletup dalam kemalangan, ia sudah pasti menambah jumlah sampah di angkasa. Jika dibiarkan, isu ini boleh membangkitkan masalah besar pada masa akan datang. Pusat Operasi Angkasa Eropah baru-baru ini mendedahkan beberapa imej yang mengejutkan berhubung isu ini. Gambar-gambar ini sebenarnya menunjukkan objek-objek yang dapat dikesan mengelilingi bumi pada orbit rendah iaitu kira-kira 35,786 kilometer (GEO).

Di antara tempoh masa pelancaran Sputnik pada 4 Oktober 1957 dan 1 Januari 2008, kira-kira 4,600 pelancaran telah dilakukan sekali gus meletakkan 6,000 satelit di orbit. Sebanyak 400 daripadanya mengelilingi planet Bumi. Daripada 5,600 satelit yang lain, hanya 800 yang berfungsi.

Kira-kira 50 peratus daripada benda-benda yang dikesan ini dipercayai boleh meletup atau berlanggar di antara satu sama lain. Seorang pegawai dari program perkhidmatan angkasa lepas Amerika Syarikat berkata, stesen angkasa kerap berlanggar dengan bahan buangan dan lebih daripada 80 tingkap perlu diganti setakat hari ini.

ISS sendiri kadang-kala terpaksa digerak untuk mengelakkan pelanggaran teruk. Satelit Envisat umpamanya, mempunyai halaju di antara satelit dan sampah-sarap pada 52,000 kilometer sejam. Jika objek ini melanggar satelit, ia boleh meninggalkan kesan kerosakan yang buruk dan mungkin menyebabkan bencana.

Selepas sesebuah misi berakhir, bateri, sistem dan tangki minyak yang meletup meninggalkan banyak bahan buangan yang hanya menambah bilangan buangan di orbit. Ada yang sebesar mikro meter dan sehingga 10 sentimeter atau lebih.

Letupan pertama pada 1961 meningkatkan bilangan objek buangan di ruang angkasa. Dalam dekad-dekad yang lalu, kebanyakan bilik operasi menggunakan kaedah pasif yang menghapuskan sumber tenaga yang berkait-rapat dengan bateri, tangki minyak dan lain-lain. Tetapi ini belum cukup baik.

Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, pelanggaran yang menyebabkan letupan boleh menambah lebih banyak jumlah sampah sarap di angkasa. Salah satu cara yang dipertimbangkan ialah mengurangkan misi membawa objek. Pendekatan lain ialah mengadaptasikan mesin membersih ruang angkasa lepas.

Koleksi Soalan Siri 6

Bahagian A

Arahan: Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini dan tulis karangan yang panjangnya antara 250 hingga 300 patah perkataan. [25 markah]

1. Kajian Kementerian Kesihatan mendapati rakyat Malaysia mengambil gula dua kali ganda lebih daripada had yang disarankan. Kajian ini mendapati gula menjejaskan kesihatan pengguna. Langkah-langkah pengawalan pengambilan gula yang berlebihan hendaklah dilakukan oleh pengguna itu sendiri. Bincangkan.

2. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak berwajib untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat di Negara ini. Walau bagaimanapun, usaha-usaha tersebut masih samar hasilnya. Masyarakat lebih gemar membaca bahan bacaan picisan berbanding bahan bacaan berilmiah. Huraikan faktor yang menyebabkan gejala ini berlaku dan berikan saranan bernas untuk mengatasinya.

Bahagian B
Arahan: Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini dan tulis karangan yang panjangnya antara 250 hingga 300 patah perkataan. [25 markah]

3. Tekonologi laser telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penggunaan ini member manfaat yang sangat besar kepada pembangunan negara.
Jelaskan faedah penggunaan laser kepada manusia manusia sejagat.

4. Penilaian Kesan Alam Sekitar [EIA] yang ketat harus dilakukan sebelum sesuatu projek pembangunan di kawasan hutan diluluskan. Laporan ini amat penting untuk memastikan ekologi dan ekosistem alam sekitar tidak terjejas. Huraikan kesan-kesan pemusnahan hutan dan langkah yang patut dilakukan untuk menangani masalah ini.


Bahagian C
Arahan: Jawab dua soalan sama ada soalan 5a atau 5b dan 6a atau 6b.[20 markah]

5a. ”...Hari Wanita merupakan salah satu pentas pengiktirafan kerajaan kepada golongan wanita. Golongan wanita bukan hanya berperanan dalam institusi kekeluargaan malah mencakupi aspek yang lebih luas. Peranan dan sumbangan wanita hari ini dalam pelbagai lapangan seperti politik, ekonomi, kebudayaan dan keselamatan tidak boleh lagi dipandang sebelah mata. Diskriminasi terhadap golongan hawa ini tidak sepatutnya wujud dalam zaman ini...”
[Dipetik dan diubahsuai daripada Dewan Masyarakat, Jun 2009]

5a [i] Nyatakan salah satu bentuk pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan golongan wanita di negara ini.

5a [ii] Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 pata perkataan, huraikan sumbangan wanita di dalam bidang ekonomi dan politik.

ATAU

5b [i] “…Secara umum, Sekolah Wawasan merujuk kepada tiga aliran sekolah yang berbeza iaitu SK, SJK (C) dan SJK (T) ditempatkan dalam satu perkarangan yang besar dengan harapan integrasi kaum dapat diwujudkan melalui aktiviti sekolah seperti aktiviti kokurikulum. Walaupun penerangan tentang konsep Sekolah Wawasan sudah dijelaskan oleh kerajaan, namun masih ada pihak memberikan reaksi yang kurang menyenangkan…”
[Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan Masyarakat, Jun 2009]

5a [i] Apakah yang dimaksudkan dengan Sekolah Wawasan?

5a [ii] Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan kebaikan Sekolah Wawasan dalam aspek perpaduan negara.

DAN

6a. “...Kanak-kanak indigo ialah kanak-kanak yang menonjolkan persepsi luar deria [ESP] atau keupayaan yang tidak dapat dijelaskan dari segi saintifik atau akliah. Kanak-kanak indigo berkebolehan membayangkan perasaan orang lain, menterjemahkan sebarang keadaan spiritual, paranormal dan ghaib. Mereka dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi. Mereka diberi kepercayaan membantu pihak polis...”
[Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan Kosmik, Februari 2009]

6a [i] Siapakah kanak-kanak indigo?

6a [ii] Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, nyatakan bagaimana kanak-kanak dapat membantu pihak polis.

ATAU

6b “…Makanan organik semakin popular di negara kita, terutamanya bagi mereka yang mementingkan kesihatan dan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, barah dan alah kepada bahan sesuatu bahan kimia. Makanan organik sebenarnya dihasilkan tanpa penggunaan baja, racun serangga, bioteknologi, pertumbuhan hormone, iradiasi dan antibiotik. Lantaran sifatnya demikian, makanan organik lazimnya dirujuk sebagai makanan yang asli dan dikaitkan dengan makanan golongan kaya…”
[Dipetik dan diubahsuaikan daripada Majalah Estidotmy, Julai 2005]

6b [i] Apakah yang dimaksudkan makanan organik?

6b[ii] Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan faktor makanan organik mahal harganya.



SKEMA JAWAPAN

BAHAGIAN A & B

SOALAN 1

- Kehendak soalan- Kesan pengambilan gula berlebihan dan langkah mengurangkan pengambilan gula berlebihan.

Isi 1- Kerosakan gigi
- Gigi mudah rosak – sakit gigi
- Menjejaskan penampilan / keyakinan seseorang
- Perlu baik pulih- memerlukan kos

Isi 2- Penyakit
- Pengguna yang mengambil gula secara berlebihan mudah diserang penyakit
- Menaikkan paras gula dalam darah
- Cth- kencing manis – bahaya- kaki atau tangan pesakit boleh dipotong – mencacatkan pengelihatan
- Kos rawatan tinggi- membebankan

Isi 3- Amalkan tabiat pemakanan seimbang
- Berpandukan piramid makanan
- Elakkan pengambilan gula berlebihan dalam minuman atau makanan
- Perlu sedar akan bahaya pengambilan gula secara berlebihan

Isi 4- Mengikut saranan doktor / pegawai perubatan
- Pengambilan gula mengikut sukatan yang dibenarkan
- Mengelak dari mengambil makanan / minuman manis yang berasaskan gula
- Membuat pemeriksaan tahap gula dalam darah secara berkala



SOALAN 2
Kehendak soalan- faktor masyarakat kurang gemar membaca bahan bacaan berilmiah dan langkah mengatasinya

Isi 1- pengaruh media massa
- Lambakkan stesen tv-tv1,tv2, tv3, tv9 dan Astro- pelbagai cerita dipaparkan- menarik minat penonton
- Kemunculan stesen radio dan pekhidmatan jalur lebar seperti internet – masyarakat lebih berminat menonton tv, mendengar radio dan melayari internet mengurangkan masa untuk membaca

Isi 2 – Penerbitan bahan bacaan picisan yang tidak dikawal
- Bahan bacaan picisan- bersifat humor / hiburan – mudah diterima
- Senang diperolehi – harga murah
- Masyarakat gemar membaca bahan bacaan ringan – tidak memberatkan fikiran
- Bahan bacaan berilmiah lebih formal sifatnya dan memerlukan pembaca untuk berfikir / mengingati dan memahami fakta atau isi

Isi 3 – Peranan kerajaan / kementerian – mengadakan kempen
- Kempen membaca – melalui tv, radio dan media massa
- Mengadakan ceramah – penerangan tentang faedah membaca kepada pelajar terutama pelajar sekolah
- Mempergiatkan lagi pelaksanaan program NILAM di peringkat sekolah

Isi 4 – Menyediakan kemudahan perkhidmatan perpustakaan bergerak
- Khusus untuk penduduk di pinggir bandar / luar bandar
- Memberi peluang kepada penduduk yang jauh dari perpustakaan / akses maklumat seperti internet
- Pelajar / penduduk luar bandar tidak ketinggalan


SOALAN 3
Kehendak soalan: Kepentingan / faedah teknologi laser kepada manusia

Isi 1 – Bidang perubatan
- Untuk memusnahkan sel-sel kanser
- Rawatan mata
- Pembedahan berskala besar – mengurangkan risiko pendarahan / kesakitan
- Menjamin tahap kesihatan manusia

Isi 2 – Bidang hiburan
- Laser memiliki pancaran dan kilauan menarik
- Menjana kreativiti manusia – rancangan hiburan di tv bertambah menarik
- Digunakan di kelab2 malam / tapak ekspo.
- Sukan Komanwel 1998 di KL, Malaysia menggunakan pancaran laser semasa perasmian / penutupan.
- Begitu juga dalam Sukan Olimpik di Beijing 2008.

Isi 3 – Bidang perindustrian
- Membantu dalam industri berat – cth- menggerudi, memotong dan menanda logam
- Pancaran berketumpatan tinggi- diguna untuk memotong batu permata – hasilnya halus dan bermutu
- Menjimatkan kos dan masa
- Menjamin kualiti dan produktiviti

Isi 4 – Bidang persenjataan / pertahanan
- Dijadikan sebagai senjata – menghasilkan letupan
- Kekuatan letupan bergantung kepada kekuatan laser
- w/bgmanapun – penggunaannya masih dipertikaikan – bahayanya sama dengan bom atom
- Mengesan musuh – menambahkan ketepatan bidikan / sasaran.


SOALAN 4
Kehendak soalan: menghuraikan kesan pemusnahan hutan dan langkah mengatasinya

Isi 1 – Kemusnahan ekosistem
- Menjejaskan ekosistem – sungai dan hutan
- Hutan digondolkan – berlaku bencana alam seperti hakisan / tanah runtuh
- Sungai – menjadi cetek / kotor / berlumpur – mudah berlaku banjir
- Memusnahkan kawasan tadahan air – menjejaskan kualiti kehidupan manusia terutama masyarakat setempat

Isi 2 – Kemusnahan flora dan fauna
- Penerokaan hutan untuk pembangunan – hutan ditebang – sepsis pokok berharga turut musnah – cth- meranti, cengal, ramin dan belian
- Haiwan liar kehilangan habitat dan sumber makanan – turut mati / lari ke tempat lain
- diancam kepupusan – badak, harimau, tapir, pelanduk, tenggiling, kenyalang dll.

Isi 3 - Penilaian Kesan Alam Sekitar [EIA] yang ketat
- Kajian dan laporan terperinci harus dilaksanakan sebelum projek pembangunan bermula – bertujuan mengetahui tahap kemusnahan ekologi dan ekosistem alam sekitar
- Langkah mengurangkan kesan pembangunan ke atas alam sekitar harus dijalankan dengan telus
- Cth- projek Empangan Bakun menyebabkan banyak kemusnahan flora dan fauna

Isi 4- Program pemeliharaan dan pemuliharaan
- Penghutanan semula - menanam semula hutan yang telah ditebang dengan spesies pokok yang cepat tumbuh dan bermutu – cth: pokok jenis pain, batai, dan sesenduk.
- Jabatan Perhutanan Malaysia- bertanggungjawab- penghutanan semula – membuat kaji selidik langkah saintifik mengurangkan kemusnahan flora dan fauna
- Contoh penghutanan semula - di Hutan Simpan Kemasul, Pahang dan Hutan Simpan Paya Laut, Perak.


BAHAGIAN C
Soalan 5a [i]- Mengadakan Hari Wanita, Hari Tokoh Wanita Kebangsaan dan Ibu Mithali.

5a [ii]
Isi 1- Dalam bidang politik- dilantik menjadi menteri- cth Datuk Seri Dr Ng Yen Yen [Menteri Pelancongan], Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil [MPW dan M]

Huraian 1 – Beri sumbangan dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara.

Isi 2- Dalam bidang ekonomi- menjadi usahawan- Datuk Sosilawati Lawiya dan Datin Moniroh Kassim

Huraian 2- turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Contoh Jawapan penuh
Soalan 5a
5a [i] Salah satu bentuk pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan kaum wanita di negara ini ialah mengadakan Hari Wanita / Ibu Mithali / Tokoh Usahawan Wanita Kebangsaan.

5a [ii]
Terdapat ramai ahli politik wanita seperti Datuk Seri Dr Ng Yen Yen [Menteri Pelancongan]dan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil [MPW dan M]. Tokoh-tokoh politik wanita ini banyak memberi sumbangan dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Selain itu, wanita juga terlibat dalam bidang ekonomi seperti Datin Moniroh Kassim dan Datuk Sosilawati Lawiya yang menjadi usahawan kosmetik. Usahawan-usahawan wanita ini banyak memberi sumbangan dalam pembangunan ekonomi negara.

[50 patah perkataan]

Soalan 5b
5b[i] Sekolah Wawasan merujuk kepada sekolah pelbagai aliran yang ditempatkan di satu kawasan dengan tujuan mewujudkan integrasi antara kaum.

5b[ii]
Isi 1- menyemai semangat toleransi dan kerjasama antara pelbagai kaum melalui aktiviti kokurikulum.
Huraian 1- mengurangkan prasangka atau sentimen perkauman antara pelajar.

Isi 2- Memupuk integrasi antara kaum
Huraian 2- mengikis semangat perkauman – menjayakan konsep satu bangsa satu negara iaitu 1 Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...