Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Aug 26, 2011

Ponteng Sekolah

Gambar hiasan semata-mata

Definisi
Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.

Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan bukannya kes-kes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Definisi sebenar mungkin berbeza mengikut sekolah, tetapi biasanya diterangkan secara jelas di dalam peraturan sekolah.

Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.

Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian.



Punca gejala ponteng
1. Suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi, seperti pembinaan arked permainan video, kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran sekolah
2. Pengaruh media elektronik
3. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
4. Pengaruh rakan sebaya
5. Persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan, umpamanya guru yang terlalu garang

Menangani pelajar ponteng
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, di beberapa tempat seperti di Lembah Klang, Polis Diraja Malaysia menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan.

Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar.


Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak. Sumber:Wikipedia bm

Kesan Ponteng Sekolah
Antara kesan-kesan negatif yang timbul ialah seperti berikut:
1. Pembaziran masa: Masa dan peluang belajar disia-siakan.
2. Dipandang serong oleh masyarakat: Mereka “dianggap sebagai kutu rayau / sampah” dan ini akan memalukan keluarga
3. Menjejaskan masa depan: Pelajar yang tertinggal di dalam pelajaran menjurus kepada gagal di dalam peperiksaan. Susah mendapat pekerjaan. Malu kepada rakan-rakan / masyarakat.
4. Terjebak dengan gejala sosial: Menjurus kepada masalah lepak, merokok, berjudi, pecah rumah, rogol dan sebagainya.

5. Pembaziran wang: Pengorbanan ibu bapa mencari rezeki untuk membiayai persekolahan anak-anak sia-sia.
6. Mengangu proses pembelajaran: Guru kerana terpaksa mencuri masa untuk mengulang kembali pelajaran yang tertinggal serta tidak difahami oleh pelajar ponteng.
7. Menjejaskan peratus kelulusan: Memburukkan pencapaian mata pelajaran di dalam peperiksaan awam/ menjejaskan kredebiliti guru subjek / nama baik sekolah.


Dirogol ketika ponteng sekolah
MAHANG, 1 Ogos 2011 - Seorang bapa berusia 56 tahun yang dipanggil ke sekolah untuk berjumpa guru anak perempuannya berusia 16 tahun terkejut apabila dimaklumkan anaknya dirogol dua pelajar lelaki. Gambar fail.

Rahsia perlakuan sumbang itu terbongkar apabila mangsa dipanggil seorang guru lelaki untuk membuat pengakuan terhadap kejadian yang berlaku kepada diri mangsa. Bapa mangsa yang kecewa dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Mahang.

Pada hari kejadian, mangsa bersama dua rakan perempuannya mengambil keputusan untuk ponteng sekolah. Mereka turut ditemani tiga pelajar lelaki lain. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk pergi ke sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit.

Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dirogol dua pelajar lelaki berusia 15 tahun di hadapan seorang rakan perempuannya.

Aug 22, 2011

Suaka Politik

Pertukaran Suaka Politik Malaysia - Australia


Definisi
Suaka politik ialah perlindungan politik. Sebagai contoh, seseorang rakyat negara China yang berfikiran demokrasi merasa tidak selamat untuk terus tinggal di China yang mengamalkan sistem komunis. Oleh itu beliau telah melarikan diri ke sebuah negara yang difikirkan selamat. Orang seperti ini mencari perlindungan politik atau suaka politik. Pendirian sesebuah negara seperti Malaysia mengenai suaka politik juga merupakan salah satu elemen dalam Dasar Luar Negara.

MELBOURNE 8 Mei c— Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra memberi jaminan kepada Australia bahawa pemohon suaka yang dipindahkan ke Malaysia akan dilayan dengan penuh perikemanusiaan dan bermaruah. Datuk Salman Ahmad memberitahu Sky TV pada Ahad bahawa, pemohon suaka yang dihantar ke Malaysia akan diberi kebebasan bergaul dengan masyarakat sementara menuggu permohonan mereka diproses.

"Mereka tidak akan ditempatkan di mana-mana pusat tahanan,” katanya. Salman membayangkan bahawa cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia itu mungkin dilaksanakan sekali sahaja dan butiran terperinci mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen Australia untuk mengambil lebih banyak pelarian di Malaysia yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang 94,000 orang.

Di bawah persetujuan sedia ada, Malaysia akan mengambil 800 orang yang cuba pergi ke Australia manakala Australia pula bersetuju mengambil 4,000 pelarian yang berada di Malaysia. — Bernama



Pertukaran pemohon suaka Malaysia-Australia diteruskan


PUTRAJAYA 17 Jun – Cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia akan diteruskan, dan perbincangan mengenainya turut membabitkan wakil Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) serta Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun terdapat bantahan daripada pihak tertentu, rancangan itu berkemungkinan memulakan kaedah baru bagi menyelesaikan jenayah transnasional yang mungkin digunakan 50 tahun akan datang.

"Urusan tidak boleh berjalan seperti biasa, jika Malaysia dan Australia mahu berfikir di luar kebiasaan serta mencari penyelesaian yang tidak pernah dibuat orang lain, manalah kita tahu, ia mungkin berjaya,” katanya kepada pemberita selepas bertemu delegasi Australia dan wakil UNHCR serta IOM di pejabatnya hari ini.
Mengikut cadangan itu, Australia akan menghantar 800 orang hanyut ke Malaysia untuk diproses, dan menerima 4,000 pemohon suaka politik sebagai pertukaran.
Ditanya sama ada bantahan pemimpin pembangkang di Australia bakal menjejaskan rancangan itu, Hishammuddin berkata, sudah menjadi amalan mereka akan berbuat demikian.

"Pada akhirnya, kita perlu meyakinkan majoriti rakyat Australia dan Malaysia bahawa kita tidak mempunyai niat lain, sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini,” katanya. – Bernama



Pakatan unik bendung pemerdagangan manusiaOleh Azmi Hassan


RAMAI yang mungkin tertanya-tanya mengapa terdapat bantahan terhadap perjanjian pertukaran pencari suaka di antara Malaysia dan Australia, sedangkan matlamat persefahaman tersebut untuk mengurangkan aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang sering membabitkan kedua-dua negara.

Perjanjian itu yang bakal dimeterai tidak lama lagi melibatkan pertukaran dua hala, iaitu Australia akan menghantar ke Malaysia 800 pencari suaka yang tiba di negara tersebut selepas perjanjian dimeterai.

Sementara Australia pula akan menerima 4,000 pencari suaka yang ditempatkan di Malaysia dalam jangka masa empat tahun. Kos pelaksanaan persefahaman itu yang dianggarkan sebanyak AUS$292 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Australia.
Persefahaman tersebut dianggap unik kerana tidak pernah dilaksanakan di antara dua negara dan secara dasarnya dianggap sebagai situasi menang-menang untuk semua pihak.

Malaysia menerima manfaat kerana dapat mengurangkan jumlah pencari suaka secara sistematik yang pada ketika ini melebihi 92,000 orang. Australia pula bakal menerima pencari suaka dengan cara lebih teratur dan terhormat. Sementara pencari suaka pula tidak akan tertipu dengan janji-janji penyeludup yang tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan kewangan.

Secara dasarnya persefahaman Malaysia- Australia ini mampu membendung aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia kerana ia memberi isyarat bahawa pencari suaka yang tiba di Australia secara haram akan dihantar ke Malaysia untuk diproses permohonan mereka.

Kriteria yang paling menarik adalah pencari suaka tersebut akan diproses menurut turutan, iaitu pencari suaka yang sudah lama berada di Malaysia akan diberi keutamaan.


Strategi sebegini memberi isyarat tiada gunanya pencari suaka yang baru menggunakan Malaysia sebagai transit untuk ke Australia kerana mereka akan berada di belakang turutan proses jika ditahan oleh pihak berkuasa. Ini secara tersirat akan mengurangkan jumlah pencari suaka yang pada ketika ini sukar dibendung.

Pihak yang membantah persefahaman ini menggunakan alasan bahawa Malaysia bukan negara ahli Konvensyen Mengenai Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebagai bukan negara ahli, pihak tersebut membuat anggapan bahawa Malaysia tidak menghormati hak orang pelarian atau imigran.

Memang benar Malaysia bukan ahli konvensyen tetapi ini bukan bermakna pelarian yang berada di negara ini dilayan secara hina atau tidak berperi kemanusiaan.
Ada sebab-sebab tertentu mengapa Malaysia berat menyertai konvensyen tersebut dan kebanyakannya berkisar dengan masalah keadaan setempat dan bukannya kerana mencari sebab untuk memberi layanan buruk.

Menarik jika diperkatakan bahawa Perdana Menteri, Julia Gillard memberi jaminan sebelum ini kepada rakyat Australia bahawa perjanjian pertukaran pencari suaka tidak akan dibuat dengan negara yang berada di luar konvensyen kerana untuk melindungi hak orang pelarian tersebut. Umpamanya perjanjian dengan Nuaru, Kepulauan Pasifik ditolak kerana negara tersebut seperti Malaysia bukan ahli konvensyen PBB.

Jika Malaysia berlaku kejam dan tidak adil terhadap pencari suaka, sudah pasti Gillard tidak akan akur dengan perjanjian tersebut. Ini adalah kerana beliau amat memahami keadaan sebenar di Malaysia dan yakin pencari suaka akan dilayan dengan adil.

Tambahan pula persefahaman ini dilaksanakan bukan semata-mata di antara dua negara berkepentingan tetapi turut dipantau oleh Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Pesuruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).


Amat mustahil sekali perjanjian ini bakal menghukum pencari suaka sedangkan IOM dan UNHCR turut sama terlibat dalam program pertukaran tersebut. Amat mustahil jika Malaysia berlaku kejam terhadap pelarian di sini, mengapakah masih begitu ramai bukan sahaja menggunakan Malaysia sebagai negara transit bahkan sudah menjadikan negara tetap.

Tidak menghairankan terdapat generasi kedua atau ketiga pelarian yang menetap di Malaysia dan menganggap mereka sebahagian daripada rakyat negara ini.
Malaysia sedaya upaya melaksanakan usaha untuk mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Sebagai contohnya pada tahun lepas Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dipinda bagi memasukkan kesalahan berhubung penyeludupan migran menjadi akta baru itu dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sememangnya diakui terdapat kelemahan dalam membanteras kegiatan terkutuk ini terutama sekali dalam soal peruntukan undang-undang namun penguatkuasaan diperkukuhkan sehingga ke proses keputusan mahkamah.

Tumpuan banyak dilakukan terhadap pendakwaan dan penyelesaian kes perburuhan. Malaysia juga mempunyai Pelan Tindakan Kebangsaan berkaitan pemerdagangan orang yang menzahirkan mengapa Australia begitu yakin dengan keadilan Malaysia.

Bukan sahaja Australia, tetapi Amerika Syarikat (AS) juga mempunyai keyakinan dengan kesungguhan Malaysia untuk berlaku adil terhadap pelarian. Jika pada 2009 AS meletakkan Malaysia pada Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP), tetapi 2010 menyaksikan peningkatan ke Tahap 2. Laporan TIP merupakan senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia akan hanya dapat dihapuskan melalui kerjasama serantau dan mustahil dilakukan hanya oleh sebuah negara sahaja.


Semoga persefahaman unik Malaysia-Australia ini akan menjadi model terbaik dalam usaha memberi keadilan kepada mereka yang mencari kehidupan yang lebih sempurna.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), UTM. Sumber: Internet

Aug 11, 2011

Budaya Hedonisme


Budaya HEDONISME ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Faktor Menularnya Budaya Hedonisme Dalam Kalangan Masyarakat Kita;
1. Pengaruh media massa [tv, internet, majalah dll]
2. Pengaruh rakan / persekitaran
3. Institusi kekeluargaan yang semakin longgar - kurang perhatian dan kawalan ibu bapa
4. Gaya hidup hari ini mementingkan keseronokan tanpa batasan
5. Kurang didikan agama

Kesan
1. Masyarakat menjadi alpa / lalai [lupa pada pelajaran / keluarga / kerja dan tanggungjawab kepada negara]
2. Penyakit sosial [pergaulan bebas / seks bebas / pembuangan bayi / perjudian / lepak dll]
3. Menularnya penyakit kelamin [AIDS dan sifilis]
4. Lahirnya generasi yang tidak ada pegangan hidup
5. Pembangunan negara terjejas - mudah dijajah

Hedonisme Melalaikan
Semua orang tahu, masalah lepak di kalangan remaja bukan lagi fenomena baru, malah seolah-olah sudah menjadi budaya yang boleh disifatkan sebagai berkesinambungan dari satu generasi ke generasi baru. Cuma bezanya dengan generasi terdahulu, remaja yang melepak sekarang kelihatan lebih mewah kerana ramai daripada mereka kelihatan bergaya dengan telefon bimbit, selain berpakaian berjenama, malah ada yang berkenderaan sama ada motorsikal ataupun kereta. Senario ini mencerminkan kehidupan generasi hari ini lebih senang dan mewah berkat hasil kemajuan yang dicapai sejak merdeka.

Masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapannya seperti perabot dan peralatan elektriknya mestilah yang serba moden dan canggih. Kenderaan pula bukan sahaja dari jenama yang terkenal, tetapi juga ia harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori mutakhir yang memperlihatkan kehebatan pemiliknya. Begitu juga dengan pakaian, harus dari jenis yang berjenama dan bergaya dan kalau bersantai ataupun berhibur, harus pula di tempat-tempat yang ada kelas. Pengaruh budaya hidup serupa inilah yang menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah sejak kebelakangan ini.


Tidak menghairankan kita bila berita rompakan bank dan kedai emas, kehilangan kenderaan, rasuah, peras-ugut, pengedaran dadah dan lain-lain lagi hampir setiap hari menghiasi dada-dada akhbar. Kesemua jenayah yang dilakukan itu lebih bermotifkan untuk mendapatkan wang, justeru wang adalah umpama kuasa yang dapat menjana segala keperluan manusia seperti harta, hiburan dan sebagainya. Pendek kata, demi mendapatkan wang yang disifatkan sebagai sumber kesenangan dan kemewahan hidup di dunia, ada manusia yang sanggup melakukan apa saja pekerjaan meskipun barangkali terpaksa menjatuhkan orang lain dengan pelbagai tipu muslihat ataupun barangkali terpaksa menggadai nyawa dan maruah diri serta mengorbankan nyawa orang lain. Sesuatu hal yang amat membimbangkan kita ialah jenayah-jenayah ini turut membabitkan golongan remaja.

Kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan diistilahkan sebagai budaya hedonisme. Budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri ini seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Gejala sosial yang kian membimbangkan pelbagai pihak ini dikesan dirangsang oleh pengaruh iklan, rakan-rakan serta keadaan persekitaran.

Sungguhpun keinginan untuk hidup senang dan mewah adalah sebahagian daripada naluri semula jadi manusia, namun bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan itu tidak boleh dibiarkan terus menular dan membudaya dalam masyarakat kita. Budaya hedonisme boleh mengakibatkan pelbagai gejala negatif. Di samping ia boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah jenayah, amalan berhutang dan fitnah menfitnah, budaya hedonisme juga berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa yang lena dibuai dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup serta didodoikan dengan pelbagai jenis hiburan akan menjadi lalai terhadap kewajipannya, malah menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah. Demikianlah juga dengan budaya hedonisme yang sedang menular dalam masyarakat kita hari ini turut mengakibatkan penyakit lalai di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang asyik berhibur dengan berkaraoke dan bersuka ria bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam tertentu akan dilalaikan oleh perbuatannya daripada melaksanakan kewajipannya terhadap Allah seperti bersembahyang, berpuasa dan sebagainya di samping lalai terhadap kewajipannnya terhadap sesama manusia seperti memberi perhatian yang sepenuhnya sama ada kepada ibu bapa mahupun kepada isteri dan anak-anak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya hedonisme atau budaya berhibur ini turut dikesan semakin menjadi kegemaran di kalangan kaum remaja di negara ini. Masalah ini sangat berat dan membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang bakal mewarisi dan memimpin negara ini pada masa depan. Justeru, pembabitan semua pihak perlu dalam mengatasi budaya ini tanpa diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata. Ia boleh dibendung jika semua pihak berganding bahu kerana kerajaan atau remaja tidak dapat mengatasi semua masalah berkenaan secara bersendirian.

Dalam hubungan ini, kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah. Para ibu bapa harus memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Sungguhpun ada di kalangan kita yang barangkali berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaliknya, suburkanlah anak-anak ataupun golongan remaja kita dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tugas ibu bapa, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Ini penting kerana tanda keruntuhan nilai budaya dan moral di kalangan remaja semakin terasa di negara ini sejak kebelakangan ini.

Tragedi Rusuhan London

Punca Rusuhan London 2011


Keganasan yang bermula di Tottenham, utara London Sabtu lalu merebak ke selatan dan timur ke Brixton, Streatham, Walthamstow, Edmonton, Enfield, Oxford Circus dan Islington keesokan hari.
Rusuhan serius kemudian merebak ke Hackney, Peckham dan Ealing selain Deptford, Camden, Kensington, Lewisham, Bethnal Green dan Woolwich

• Bermula dengan satu protes kecil secara aman dipinggir kota London di Tottenham, Sabtu lalu, berpunca seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis.
• Ekoran itu, protes bertukar menjadi rusuhan dan merebak ke seluruh kota itu sebelum ke tiga bandar raya utama iaitu Birmingham, Bristol dan Liverpool, semalam.
• Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan.
• Seorang pelajar Malaysia mengalami patah tulang rahang dan gigi selepas dibelasah sekumpulan perusuh ketika keluar membeli juadah berbuka puasa.





Apa iktibar rusuhan di London?Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my
2011/08/11

Keterbukaan Britain terhadap generasi muda akhirnya undang padah

RUSUHAN di London dan beberapa bandar lain di sekitarnya yang dilakukan oleh generasi muda di negara berkenaan adalah cerminan sebenar sikap remaja di Britain – terlalu nakal, angkuh, ganas dan tidak menghormati orang lain akibat budaya bebas tanpa batasan.

Kejadian yang berlaku menyebabkan Britain terjebak dengan kesan negatif keterbukaannya. Remaja terbabit bukan saja bersikap sedemikian kepada rakyat tempatan, tetapi juga terhadap pelancong asing.

Ini adalah sebahagian daripada sikap ‘hooligan’ golongan ini, yang juga dikenali sebagai ‘Yob’ atau remaja ganas dan agresif. Pendek kata, jika berada di London, jangan cuba bertembung atau berselisih dengan kumpulan ini. Jika nasib tidak baik, padah akibatnya.

Perkara sama berlaku ke atas seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, kelmarin, yang patah gigi dan cedera rahangnya selepas dibelasah dan disamun kumpulan perusuh itu. Menurut rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, mereka sedang berbasikal untuk berbuka puasa di rumah seorang rakan di Hartslane dan tiba-tiba terserempak dengan perusuh yang jumlahnya terlalu ramai. Asyraf terus mengayuh basikalnya dan diserang.

Rusuhan ‘Yob’ itu bermula Sabtu lalu di Tottenham, apabila sekumpulan remaja membantah tindakan polis menembak seorang suspek berkulit hitam, Mark Duggan dua hari sebelumnya.



Tottenham ialah sebuah daerah yang mempunyai kadar pengangguran tertinggi di London. Menurut laporan, ia juga mempunyai rentetan ketegangan kaum di kalangan generasi muda, terutama berkulit hitam.
“Isu ini antara kami dan mereka, pihak polis,” kata seorang remaja di sebuah kawasan perumahan mundur di daerah Hackney, yang mana perusuh itu mula menyerbu masuk ke dalam premis kedai dan melakukan kecurian pada malam Isnin lalu.

Polis berkata, mereka tiada sebab untuk membantah. “Tiada sebarang ketidakadilan atau sesuatu yang berlaku sehingga mencetuskan huru-hara. Ia adalah perbuatan jenayah semata-mata, sesuatu yang paling dahsyat pernah saya lihat sebesar ini,” kata Penolong Ketua Konstabel, Gary Shewan.

Keganasan turut melanda bandar raya lain di England malam kelmarin, tetapi di London, di mana anggota tambahan polis ditempatkan, keadaan secara umumnya sudah kembali pulih berikutan huru-hara selama tiga malam berturut-turut di mana remaja merempuh dan merosakkan harta benda awam.

Kejadian itu juga bukti bahawa bahayanya jika perhimpunan haram dibiarkan berlarutan sehingga boleh mencetuskan rusuhan. Peristiwa di England itu harus menjadi pengajaran kepada negara lain, termasuk Malaysia, bahawa api perkauman dan kemarahan tidak boleh dibiarkan menyemarak kerana ia boleh menjadi bertambah buruk sehingga tidak dapat dikawal lagi.

Bayangkan apa yang akan terjadi di sebuah negara pelbagai kaum seperti negara kita jika perhimpunan haram dibenarkan? Sudah tentu ada pihak lain akan mengapi-apikannya sehingga mencetuskan huru-hara dan memudaratkan kehidupan rakyat lain yang tidak menyokong tindakan sedemikian.

Ketika perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang lalu, polis dikecam kerana menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air bagi meleraikan penunjuk perasaan. Kini polis di England pula dikatakan sudah mempunyai hasrat untuk menggunakan kaedah itu kerana gagal dengan cara tindakan minimum yang diamalkan sekarang.

Rusuhan selama empat hari itu mengakibatkan kerugian £100 juta (RM501 juta), sementara pihak polis memerlukan peruntukan tambahan bagi menampung operasi yang dijalankan. Sebanyak 16,000 anggota daripada 30 pasukan ditempatkan di London bagi mengawal rusuhan berkenaan, berbanding 6,000 pada malam Isnin lalu.

Setakat ini, 111 pegawai polis cedera dalam keganasan itu selepas mereka dilempar batu, botol dan kayu. Kira-kira 685 orang ditahan oleh Scotland Yard sepanjang empat malam rusuhan itu berlaku dan 111 orang diheret ke mahkamah bagi kesalahan mencuri dan memiliki senjata api.



Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa mengadakan sidang tergempar Parlimen semalam bagi membincang rusuhan itu.

Kejadian itu adalah ujian terbesar kepada Cameron ketika Britain berusaha untuk keluar daripada kemelut ekonominya. Ia juga menunjukkan kepada dunia imej buruk London, sebelum menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Sukan Olimpik 2012, satu-satunya acara yang diharapkan dapat menarik tumpuan seperti perkahwinan diraja April lalu.

Aug 8, 2011

Tanah Runtuh 2




Artikel 1: Definisi & Punca Tanah Runtuh
Tanah runtuh merupakan salah satu tragedi yang berkaitan dengan kegelongsoran tanah dan boleh menyebabkan kematian.
Tanah runtuh merupakan kejadian geologi yang termasuk sebahagian besar pergerakan tanah, seperti batu jatuh, kegagalan dalam cerun, dan aliran sampah cetek, lihat aliran.

Walaupun graviti bertindak pada cerun curam merupakan punca utama tanah runtuh, terdapat faktor tambahan lain:
• hakisan oleh sungai, glasier, atau ombak laut yang menghasilkan cerun curam
• Cerun batu atau tanah yang lemah akibat tepu oleh cairan salji atau hujan lebat
• gempa bumi yang menghasilkan ketegangan yang menyebabkan cerun lemah runtuh (lihat pencairan (liquefaction)
• letusan gunung berapi menghasilkan mendakan abu, hujan lebat, dan aliran sampah.
• gegaran dari mesin, trafik, bahan letupan, malah guruh mungkin mencetuskan keruntuhan cerun lemah.
• berat melampau yang terhasil dari pengumpulan hujan atau salji, timbunan batu atau bijih, daripada timbunan sampah, atau struktur binaan manusia yang memberi tekanan kepada cerun lemah hingga runtuh dan struktur lain
• Tekanan air bawah tanah bertindak menjadikan cerun tidak stabil
• pada tanah cetek, penebangan tumbuhan berakar dalam yang mengikat colluvium kepada batu asas.


Contoh tragedi: Tanah runtuh Bukit Antarabangsa 2008 adalah sebuah peristiwa kejadian tanah runtuh yang telah berlaku pada 6 Disember 2008 di kawasan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor, Malaysia. Empat orang terkorban dan 15 yang lain cedera di samping 14 buah rumah banglo ranap dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi (waktu Malaysia). Tragedi itu berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan tragedi Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993. Sumber: Wikipedia, ensiklopedia bebas.



Artikel 2: Faktor Berlakunya Tanah Runtuh
Tanah runtuh merupakan salah satu daripada fenomena geobencana yang sering berlaku samada secara semulajadi atau akibat aktiviti manusia. Proses kejadian tanah runtuh melibatkan gelongsoran tanah atau pergerakan tanah dari satu kedudukan yang tidak stabil dan ianya berlaku secara pantas atau perlahan oleh tarikan graviti. Sekiranya ia berlaku secara kecillan dan perlahan, ia mungkin kurang membahayakan alam. Tetapi jika ia berubah kepada skala yang lebih besar dan pantas, ia boleh memberi kesan buruk dan mengakibatkan kemusnahan dan kematian pada sesuatu kawasan.
Kejadian tanah runtuh merupakan salah satu daripada proses susutan darat yang disebabkan oleh ketakstabilan jisim tanah. Ia merupakan masalah utama yang dihadapi oleh beberapa negara terutama di kawasan tanah tinggi dan di kawasan yang berisiko gempabumi dan gunung berapi (volkano).


FAKTOR BERLAKUNYA TANAH RUNTUH
Punca berlakunya tanah runtuh boleh disebabkan oleh beberapa faktor ringkas iaitu:
a. Berlakunya luluhawa hakisan (erosion) oleh sungai atau ombak laut yang menghasilkan tebing atau cerun yang curam dan lebih terdedah kepada permukaan luluhawa
b. Penarahan bukit dan penebangan pokok hutan oleh aktiviti manusia juga mengundang risiko berlakunya hakisan yang lebih teruk pada cerun. Tiada lagi tumbuhan sebagai pengikat tanah
c. Kandungan air yang tinggi menyebabkan tanah menjadi tepu dan hilang sifat kohesifnya. Tanah akan menjadi longgar dan mudah bergerak serta mengalir ke tempat lain. Tekanan air bawah tanah bertindak menjadikan cerun tidak stabil
d. Gempa bumi (earthquakes) yang menghasilkan gegaran dan ketegangan boleh menyebabkan struktur cerun yang sedia lemah mengalami runtuhan atau menyebabkan pergerakan sesar (discontinuity) menjadi lebih aktif lagi
e. Letusan gunung berapi boleh menyebabkan runtuhan gunung dan menghasilkan mendakan piroklas, hujan lebat, dan aliran lumpur yang banyak dan boleh memasuki sungai-sungai atau tasik
f. Gegaran dari mesin, trafik, bahan letupan, malah guruh juga mungkin mencetuskan keruntuhan cerun lemah. Aktiviti perlombongan dan pengkuarian yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.
g. Berat melampau yang terhasil dari pengumpulan hujan atau salji, timbunan batu atau bijih, daripada timbunan sampah, atau struktur binaan manusia yang memberi tekanan kepada cerun lemah hingga runtuh
h. Hujan lebat yang berterusan juga boleh mengakibatkan tanah cerun menjadi tepu dan longgar serta berkemungkinan besar mengalami runtuhan.


RISIKO
Kawasan bertopografi cerun lebih berisiko mengalami kejadian tanah runtuh akibat ketakstabilan cerun berbanding kawasan yang agak landai dan rata. Walaubagaimanapun, risikonya seringkali sukar diramal dan dielak oleh manusia. Fenomena ini boleh mengakibatkan kemusnahan insfrastruktur, pengangkutan dan merosakkan penempatan manusia. Terdapat pelbagai faktor dan contoh kejadian tanah runtuh yang sentiasa dikaji oleh ahli sains. Kajian yang lebih mendalam dan kesedaran di kalangan masyarakat perlu sentiasa diteruskan bagi mengurangkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku dengan lebih teruk lagi. Sumber: pkukmweb

Statistik Tanah Runtuh



Setakat ini, kejadian tanah runtuh di negara kita telah meragut banyak nyawa. Dicatatkan lebih kurang 11 kejadian tanah runtuh di negara kita bermula dengan Tragedi Highland Towers pada tahun 1993. Berikut kronologi kejadian tanah runtuh di negara kita dan jumlah mangsa yang terkorban.

<strong>11.12.1993- Highland Towers, Hulu Klang [48]

30.06.1995- Jalan susur Genting Highlands [21]

01.01.1996- Jalan 3/11 Pesiaran Tiga, Bandar Baru Selayang [0]

25.12.1997- Km17 Lebuhraya Ampang-Hulu Klang [3]

15.05.1999- Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay [1]

02.11.2002- Taman Hillview, Hulu Klang [7]

31.05.2006- Kampung Pasir, Hulu Klang [4]

09.10.2006- Seksyen 10, Wangsa Maju [0]

30.11.2008- Ulu Yam Perdana, Hulu Selangor [2]

06.12.2008- Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang [5]

29.01.2011- Bandar Ramai-Ramai, Kampung Gelam & Kampung Sundang Darat, Sandakan [2]

21.05.2011- Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al-Taqwa, Batu 14, Hulu Langat [16]

Sumber: Mazlan66.wordpress

Tanah Runtuh 1



ABAI KETAHANAN STRUKTUR TANAH PUNCA TANAH RUNTUH
Sumber: Berita Harian
PEMBANGUNAN yang tidak mengambil kira aspek ketahanan struktur tanah serta kesan alam sekitar adalah punca utama tanah runtuh di kawasan tanah tinggi dan lereng di negara ini.
Pembangunan tidak terkawal dan terancang itu diburukkan lagi dengan sikap pemaju yang sering mengetepikan ciri keselamatan, khususnya kawal kejuruteraan di kawasan cerun.
Masalah itu sukar dibendung tanpa pengawasan teliti daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji semula semua projek tanah tinggi dan lereng bukit yang sedang dan akan dibangunkan. Ini bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti di Highland Towers, sembilan tahun lalu serta Taman Hillview, baru-baru ini tidak berulang.
Naib Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Dr Alias Abdullah, berkata kerajaan perlu memperketatkan peraturan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta pelaksanaan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 bagi memastikan pihak pemaju sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.
Begitu juga dengan garis panduan mengenai pembangunan di tanah tinggi atau lereng bukit perlu dipatuhi serta dipastikan ketelusannya oleh pihak berkuasa tempatan yang meluluskan sesuatu projek.
Beliau berkata, ini penting kerana apabila berlaku tragedi tanah runtuh, pihak berkuasa boleh merujuk kepada laporan EIA dan pelan perancangan pemaju bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Katanya, kawasan tragedi mungkin kawasan selamat ketika dibangunkan tetapi disebabkan kesan pembangunan di kawasan persekitaran, kawasan dulunya tidak berisiko kini turut terancam.
"Taman Hillview di Ampang mungkin tidak ada masalah tetapi pencerobohan oleh projek di kawasan berdekatan atau di sebelah bukit mengubah struktur tanah.
"Kegiatan, terutama penebangan pokok yang berleluasa menyebabkan sokongan tanah menjadi longgar dan mudah dihakis air hujan.
"Kesannya, apabila hujan lebat dan tiada kawasan untuk menampung air akibat bukit menjadi gondol, kecenderungan berlaku hakisan sangat besar. Ini kerana tiada benteng untuk menghalang aliran air. Itu yang berlaku kepada banglo di Taman Hillview," katanya.
Bagaimanapun, Dr Alias berkata, geoteknikal kawasan tragedi perlu dikaji bagi memastikan penempatan itu tidak termasuk dalam kawasan tadahan hujan yang sepatutnya dipelihara sebagai kawasan sumber air.
Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, tragedi yang berlaku turut menimbulkan pelbagai persoalan. Di antaranya sejauh mana kesungguhan pihak berkaitan menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan sebelum sesuatu projek diluluskan.
Ini kerana, katanya, UIAM pernah membuat kajian kawasan tadahan air di Selangor dalam mengenal pasti kawasan yang dianggap sensitif untuk pembangunan.
Sejauh mana hasil laporan itu dimanfaatkan, sukar untuk dipastikan memandangkan kebanyakan projek pembangunan di kawasan tanah tinggi dilakukan di sekitar Selangor.
Dr Alias berkata, tragedi tanah runtuh sebelum ini sepatutnya menjadikan semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pembeli untuk lebih berhati-hati dalam mengambil langkah pencegahan supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Katanya, pihak berkepentingan tidak sepatutnya bersikap tamak sehingga sanggup mengetepikan soal kemanusiaan, tanggungjawab kepada alam sekitar dan pengekalan sumber tadahan air yang menjadi keperluan harian.
Beliau berkata, tidak rugi jika kawasan yang mempunyai nilai ekonomi tidak dimajukan jika kesan jangka panjang adalah lebih baik demi memelihara nyawa, harta benda dan alam semula jadi.
"Jika kita serius mengenai nyawa, maka kita mesti serius melihat kawasan yang hendak dibangunkan.
"Adakah kita ingin melihat hutan di Selangor dan Wilayah Persekutuan terus diterokai atas nama pembangunan. Ini persoalan yang perlu difikirkan semua pihak," katanya.
Mengenai langkah pencegahan, katanya, sistem amaran awal seperti yang dilakukan negara lain ketika menghadapi bencana alam seperti letupan gunung berapi atau ribut taufan perlu diperkenalkan untuk kejadian tanah runtuh di negara ini.
Ini, katanya, dapat dilakukan menggunakan kaedah terkini seperti `remote sensing' untuk meninjau pergerakan tanah dan aliran air supaya langkah awal dapat diambil apabila masalah berjaya dikesan.


Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca perlu memberi gambaran jelas mengenai jumlah hujan yang tepat kerana limpahan hujan berterusan atau dalam jumlah besar boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan berisiko.
Dr Alias juga menyarankan diwujudkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai pakar geologi, geoteknik, jurutera tanah, menggunakan teknologi terkini bagi memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan sensitive atau sering berlaku tanah runtuh.
Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan seperti pemaju dan pihak berkuasa tempatan dan dicadangkan diletakkan dalam Majlis Bencana Negara.
"Jawatankuasa ini perlu ada satu unit yang berupaya melaksanakan operasi pemantauan supaya apabila berlaku saja perubahan pada struktur tanah, tindakan pantas boleh diambil untuk pencegahan," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...