Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Oct 24, 2011

Kepentingan Bioteknologi

Contoh esei

Bioteknologi memberi banyak manfaat kepada manusia. Teknologi yang mencakupi kejuruteraan genetik dan pengklonan ini begitu besar sumbangannya dalam memajukan sektor pertanian dan penternakan.

Kemajuan dalam bidang bioteknologi membantu menghasilkan tanaman yang berkualiti. Melalui kaedah mutasi aruhan, baka padi yang lebih baik dapat dihasilkan. Baka padi ini mempunyai rintangan yang lebih tinggi terhadap penyakit. Selain itu, baka padi ini lebih cepat membesar dan mengeluarkan hasil yang lebih banyak. Kaedah kultur sel juga membantu membiakkan tanaman dalam kuantiti yang lebih banyak. Kaedah ini dapat menjamin pengeluaran hasil yang berterusan bagi menampung keperluan pengguna.

Bioteknologi juga dapat menghasilkan tanaman yang mempunyai rintangan terhadap penyakit yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ubi kentang New Leaf yang bakanya dihasilkan melalui teknologi genetik mempunyai system pertahanan yang lebih kebal. Gen yang mempunyai rintangan terhadap penyakit diterapkan di dalam baka yang baru. Selain itu, bau yang sering menarik perhatian kumbang juga dikurangkan. Oleh hal yang demikian, ubi kentang ini tidak mudah diserang oleh kumbang kentang Colorado.

Di samping itu, bioteknologi juga menjamin hasil tanaman tahan lebih lama. Betik Eksotika, Pisang Mutan dan nangka madu adalah contoh baka buah-buahan yang dihasilkan melalui bioteknologi. Betik Eksotika misalnya mempunyai tempoh matang tiga minggu lebih lewat daripada betik biasa. Pisang Mutan pula dapat bertahan dua bulan sebelum kulitnya bertukar warna. Buah-buahan ini tahan lebih lama berbanding buah-buahan baka asli dan senang untuk dieksport keluar negara.

Selain itu, bioteknologi juga membantu menghasilkan baka ternakan yang lebih baik. Kaedah kimera, teknik in-vitro dan permanian beradas adalah antara kaedah di dalam bioteknologi yang membantu menghasilkan baka ternakan yang berkualiti. Melalui kaedah tersebut, lembu yang dapat menghasilkan susu lebih banyak dapat dihasilkan. Penghasilan baka ayam daging yang dapat membesar dalam tempoh 51 hari sahaja sudah pasti dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan penternak. Melalui teknik in-vitro, ternakan ini tidak perlu menunggu musim untuk mengawan.

Tegasnya, bioteknologi penting dalam usaha memajukan sektor pertanian dan penternakan. Walau bagaimanapun, penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini perlu dipergiatkan lagi bagi memastikan bidang bioteknologi ini dapat diperluaskan lagi.

Oct 1, 2011

Frasa Dalam Penulisan Esei PA




Memulakan sesebuah esei Pengajian Am [2] kadang kala memerlukan pelajar memeras otak. Bukan masalah tidak tahu tetapi masalah 'kesesuaian / ketepatan / kewajaran'. Berikut ialah frasa yang mungkin boleh membantu para pelajar agar mampu menulis esei yang 'matang'.

Berikut ialah antara contoh frasa untuk memulakan perenggan pengenalan sesebuah esei.
1) Dewasa ini…. / Mukhtahir ini…. / Belakangan ini….
2) Sejak kebelakangan ini… / sejak dekad yang lalu….
3) Isu / Masalah / Gejala / fenomena …. kian menjadi-jadi / menjadi perdebatan.…
4) Seiring dengan perkembangan semasa / terkini, masalah / gejala….
5) Perkembangan pesat / kemajuan dalam bidang ….telah membawa kepada ….
6) Kajian terkini oleh ….menunjukkan ….


Frasa yang cantik dan boleh digunakan dalam permulaan perenggan isi [isi pertama]
1) Faktor ibu bapa yang sibuk menjadi punca utama….
2) Pelbagai punca yang dikenal pasti….antaranya ialah….
3) Punca utama masalah… ialah….
4) Salah satu langkah yang paling berkesan untuk….ialah….


Frasa yang boleh digunakan dalam permulaan perenggan isi [isi ke2, ke3 dan ke4].
Frasa ini penting bagi menggambarkan kesinambungan isi perenggan seterusnya dengan isi sebelumnya.

1) …..ISI….. juga menjadi faktor yang menyumbang kepada…
2) Selain itu,…
3) Di samping itu,…
4) Langkah / Kaedah /alternatif lain yang boleh dijalankan ialah ….

*Perlu diingatkan bahawa kehendak soalan boleh lebih daripada satu. Oleh itu, pelajar hendaklah memastikan penggunaan frasa yang dipilih adalah tepat [selaras dengan kehendak soalan] dalam memulakan perenggan agar idea / isi memperlihatkan kesinambungan.


Frasa yang boleh digunakan dalam huraian isi esei
1) Hal ini berlaku kerana…
2) Hal ini demikian kerana…
3) Hal ini disebabkan oleh…
4) Walaupun begitu,
5) Seharusnya kita sebagai…
6) Sehubungan dengan itu…
7) Namun demikian, perkara itu….
8) Namun begitu, hal ini….
9) Sungguhpun begitu, hal ini…


Frasa yang boleh calon gunakan dalam menulis contoh esei.
1) Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh……..kes….
2) Badan bukan kerajaan boleh membantu dalam usaha untuk mengatasi masalah ini,misalnya….
3) Kes terbaharu ialah….
4) Sebagai contoh….





• Pelajar harus memperluaskan skop pembacaan agar dapat memperkayakan penguasaan perbendaharaan kata dan meningkatkan kematangan berhujah.

>Sebarang teguran dan saranan amat dialu-alukan<
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...