Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Nov 24, 2012

Masa itu Emas?


Masa...lebih berharga dari emas mahupun intan permata! Seringkali kita leka dan lalai sehingga tidak sedar bahawa banyak tindakan kita sebenarnya merupakan menjurus kepada pembaziran dari segi masa. Terlalu banyak masa terbazir begitu sahaja sedangkan masa tersebut boleh dimanfaatkan untuk membuat sesuatu perkara yang berfaedah.

Cuba kita renungkan 10 situasi di bawah….
1. Semasa hujan [anda tidak keluar bermain]
2. Semasa menunggu kenderaan.
3. Semasa menunggu rancangan tv yang anda minati bermula.
4. Semasa menaiki kenderaan dalam perjalanan pergi / balik sekolah.
5. Semasa menunggu kedatangan guru / menunggu kelas bermula.
6. Semasa waktu rehat
7. Semasa menunggu sarapan,makan tengahari dan malam.
8. Masa antara selang kuliah / kelas.
9. Semasa menunggu kawan.
10. Sebelum masuk tidur.

Alangkah eloknya kalau kita [terutamanya mereka yang bergelar pelajar] dapat menggunakan situasi di atas untuk membaca [terutama nota ringkas], membaca dan menghafal formula serta meneliti gambar rajah. Sudah pasti masa tidak terbuang begitu saja sekaligus pemahaman dan ingatan kita terhadap pelajar semakin kuat. Siapa yang mendapat manfaatnya? Sesungguhnya, masa itu lebih berharga dari intan mahupun berlian. Berbanding dengan intan berlian, masa yang berlalu tidak mampu dibeli atau diganti mahupun diputarkan kembali!

Nov 3, 2012

Cara Beroleh Kedamaian& Kebahagiaan


Di celah-celah kehidupan yang penuh cabaran ini, seringkali persaingan untuk terus 'hidup' membuatkan kita dilanda kecelaruan emosi [bukan sakit jiwa]. Hidup terasa hambar, jiwa terasa sepi di sebalik keriuhan dan diri bagaikan terasing di sebalik keramaian.

Berikut saya kongsikan cara untuk beroleh kedamaian dan kebahagiaan sekaligus menikmati hidup ini dengan seadanya.

1. Dekatkan diri dengan Tuhan. Dia Maha Mengetahui...berdoalah, luahkan segala keluh kesah anda dan mintalah Dia campur tangan dalam hidup anda. Mendekatkan diri dengan Tuhan adalah cara terindah untuk mengisi 'kekosongan' dalam jiwa kita.
2. Fikirkan yang baik-baik. Isilah hati anda dengan fikiran tentang kedamaian, keberanian, kesihatan serta harapan sebab ’hidup kita dibentuk oleh fikiran kita sendiri’.
3. Jauhi api dendam. Jangan menaruh dendam kepada musuh. Jangan membuang masa memikirkan orang yang tidak kita senangi.
4. Bersyukurlah. Perhatikan dan ingatlah selalu berkat dan keberuntungan yang anda terima, sebaliknya lupakan keburukan yang menimpa.
5. Berusaha untuk ikhlas. Usah mengharapkan balasan / penghargaan / terima kasih sebaliknya berbahagialah kerana dapat ’memberi’.
6. Jangan meniru atau mencuba untuk menjadi orang lain. Carilah peribadi sendiri sebab ‘iri hati itu bodoh’ dan ‘meniru itu membunuh diri’.
7. Setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya. Ambillah seberapa banyak keuntungan dari nasib buruk yang menimpa. Ubahlah perkara yang negatif jadi positif.

Selamat berbahagia....

Nov 2, 2012

Mengenali Potensi Diri


Siapa Sebenarnya Kita?

Saya adalah salah seorang yang kadang kala dihimpit rasa tidak yakin akan kemampuan diri. Secara sedar atau tidak, belenggu rasa kurangnya keyakinan diri banyak membataskan usaha untuk mencapai keinginan hati sekaligus mengekang segala kebolehan dan kreativiti diri. Masa terus berlalu, dan saya masih di situ [ditakuk lama]. Saat saya menoleh ke belakang, hati bagaikan terpukul melihat beribu jejak saya menapak tetapi sebenarnya langkah saya tidak kemana. Semuanya kerana saya terlalu takut untuk ke 'depan'.

Saya seorang pencinta buku bercorak motivasi. Saya memiliki koleksi buku tulisan Dale Carnegie dan Dr. HM Tuah Iskandar. Buku-buku bernsur motivasi inilah yang banyak mengubah diri saya. Walaupun masih 'takut-takut' tetapi sekurang-kurangnya perasaan tersebut semakin menipis.

Baiklah, saya ingin kongsikan sebuah artikel yang pernah saya baca beberapa tahun lalu. Terima kasih kepada penulisnya [maaf, lupa sumbernya].

Keyakinan Diri adalah keberanian yang datang dari kepastian tentang kemampuan, nilai-nilai dan tujuan diri kita. Ia menjadi faktor penting yang menimbulkan perbezaan besar antara berjaya dan gagal seseorang dalam bidang yang diceburi atau kerjaya.

Ciri-Ciri Individu Yang Berkeyakinan Tinggi
1. Percaya kemampuan diri, hingga tidak memerlukan / mengharapkan pujian, pengakuan, penerimaan, ataupun penghormatan orang lain,

2. Tidak terdorong untuk menunjukan sikap mengampu (sehingga mengorbankan hal-hal yang prinsip) demi diterima oleh orang lain.

3. Berani menerima dan menghadapi penolakan orang lain, berani menjadi diri sendiri.

4. Bijak mengawal diri, tidak moody dan emosinya stabil,

5. Memiliki Internal locus of control (memandang kejayaan atau kegagalan, bergantung kepada usaha diri sendiri dan tidak mudah menyerah pada nasib atau keadaan serta tidak bergantung / mengharapkan bantuan orang lain)

6. Memandang positif terhadap diri dan orang lain serta situasi luar dirinya.

7.Memiliki harapan yang realistik terhadap diri sendiri. Meskipun hampir gagal, tetapi tetap mampu melihat dirinya dari perspektif positif dan berani menghadapi situasi yang bakal terjadi.

Ciri-Ciri Individu Yang Kurang Keyakinan Diri
1. Berusaha menunjukan sikap mengampu / mengorbankan prnsip diri, semata-mata demi diterima oleh orang lain / kelompok.

2. Menyimpan rasa takut / kekhuatiran terhadap penolakan.

3. Sulit menerima realiti diri (terlebih menerima kekurangan diri) dan memandang
rendah kemampuan diri sendiri, namun dalam masa yang sama terus memasang harapan yang tidak realistik terhadap diri sendiri.

4. Pesimis, mudah menilai segala sesuatu dari sisi negatif.

5. Takut gagal, sehingga menghindari segala risiko dan tidak berani menetapkan target / sasaran untuk berjaya.

6. Cenderung menolak pujian yang ditujukan secara tulus, karena undervalue (memandang rendah) diri sendiri [menganggap pujian sebagai hinaan]

7. Selalu menempatkan dirinya sebagai yang terakhir, karena menilai dirinya tidak mampu dan takut.

8. Mempunyai external locus of control (mudah menyerah pada nasib, sangat bergantung pada keadaan dan penerimaan / pengakuan serta bantuan orang lain.

Siapakah anda?

Oct 28, 2012

Bijak Mengurus Pendapatan

Menghadapi masalah kewangan memang membuntukan. Walaupun gaji naik setiap tahun [terutama bagi yang berkerja kerajaan] tetapi masalah kewangan masih menyesakkan fikiran. Masih lagi belum mencukupi. Malah, sukar sekali untuk menabung! Kenapa?

FaktOr utama: Kelemahan dalam pengurusan kewangan

 Berikut ialah secebis saranan yang mungkin boleh kita praktikkan untuk mengurangkan beban masalah kewangan.

1. Buat anggaran belanja yang paling sesuai dengan pendapatan serta keperluan kita.

- Belanjakan wang sebijak mungkin dan elakkan dari membeli barang yang tidak perlu atau mengatasi kemampuan kita.






 

2. Catat aliran keluar wang kita agar kita tahu kemana atau untuk apa wang kita dibelanjakan.

-Ini memudahkan kita menganalisis kewajaran perbelanjaan kita sama ada kita telah berbelanja untuk keperluan atau ikut nafsu. Juga bakal membantu memastikan kita menggunakan wang dengan betul.

3. Tetapkan jumlah simpanan [walau sekecil manapun jumlahnya] dan simpan terus di bank agar kita tak "terbelanja" wang tersebut.

- Bagi kita yang berpendapatan sederhana, amat susah untuk mendapat lebihan perbelanjaan. Oleh sebab itu, wang untuk tabungan wajar diasingkan bagi memastikan kita menabung secara tetap setiap bulan. Simpan terus wang yang kita asingkan bagi mengelakkan kita 'terpakai' wang tadi.

 4. Latih anak-anak untuk menghargai nilai wang [sematkan sikap berjimat cermat].
 - Bagi kita yang sudah berkeluarga, elakkan terlalu memanjakan anak-anak dengan wang ringgit. Beli perkara yang 'patut' sahaja dan bukannya terikut-ikut dengan budaya berbelanja sekadar untuk suka-suka.

5. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh "menghilangkan" wang dalam sekelip mata seperti berjudi, bertaruh dan skim cepat kaya.

- Selain salah di sisi agama dan undang-undang, menjebakkan diri dalam perbuatan di atas boleh menyebabkan kita muflis dalam sekelip mata. Nisbah mereka yang kaya akibat berjudi atau skim cepat kaya amat sedikit, jadi usah jadikan golongan ini sebagai idola.

6. Buat inisiatif untuk menambahkan pendapatan [bagi yang mempunyai pekerjaan tetap atau suri rumah].

- Setiap daripada kita mempunyai bakat terpendam yang kadang kala kita sendiri tidak menyedari kelebihan tersebut. Terokai potensi diri anda. Sekiranya anda berbakat dalam masakan, cubalah berjual secara-kecil-kecilan. Bagi yang mahir dalam dunia internet, buatlah sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan [bukan menipu]. Sekurang-kurangnya hasil usaha anda meringankan beban suami / keluarga.
 
*Teringat peristiwa sewaktu saya membayar bil di pejabat pos. Seorang nenek tua [rasa rasa berusia lewat 50-an] yang berbaris di depan saya menambahkan tabungannya dalam ASB. Tahu tak berapa jumlah yang dia simpan? RM24.00!  Sumpah, saya tak bohong sebab saya secara tak sengaja terlihat dia menghitung wangnya dan memberi kepada kerani. Saya betul-betul tersentuh. Tersentuh kerana walaupun jumlahnya sedikit tetapi dia masih mampu menabung. Bayangkan, mungkin itulah jumlah lebihan perbelanjaannya pada bulan tersebut. Merenung ke dalam diri, terasa malu sangat. Walaupun bergaji 4 angka, masih tidak mampu menabung setiap bulan.
 

Walau bagaimanapun, jika masalah kewangan anda masih sukar diperbaiki, berusahalah untuk bersikap positif. Terima seadanya dan teruskan berusaha. Paling penting, jangan sekali-kali melibatkan diri dengan ALONG!

Oct 19, 2012

Lambaian Pulau Nami


Pagi yang nyaman. Aku membuka jendela kamar. Angin sejuk yang segar menyerbu masuk. Aku berpeluk tubuh, kononnya mengurangkan kesejukan. Namun kedinginan tetap terasa. Tetapi aku tidak kisah. Badan yang lesu akibat perjalanan yang jauh semalam terasa segar kembali. Isteri tercinta dan dua orang puteri kecilku masih lena beradu. Semalam kedua-duanya mengadu letih yang teramat tetapi seronok! Berkali-kali kedua-duanya mengucapkan terima kasih kerana menunaikan hajat mereka untuk menjejak kaki ke bumi kelahiran artis kegemaran mereka, Lee Minho.

Sudah dua hari kami anak-beranak meredah kesibukan kota Seoul. Namsan Tower, Namdaemun Market, Dongdaemun Market, Myeondong dan 63 Building adalah antara tempat menarik dan pusat membeli belah yang terkenal di Korea yang telah kami lawati. Rambang mata dibuatnya. Isteri tersayang bukan main lagi, seolah-olah semua barang yang dijual nak diborong. Aku tersenyum.

Deruan ombak menyedarkan aku. Di depan sana, terbentang laut membiru, sayup pandangan. Di pantainya, berbaris pokok-pokok yang tengah menghijau. Bebunga mekar menguntum. Berkembang segar, sungguh memukau mata. Maklumlah, sekarang musim bunga. Bumi yang ku pijak ini begitu indah. Aku benar-benar terpukau. Benar-benar jatuh cinta. Seolah-olah aku ingin menetap di sini. Menjadi penghuni pulau yang begitu bersih, indah dan kental dengan alam sekitar yang terpelihara. Pulau Nami, pulau impian semua pencinta. Pulau nostalgia Winter Sonata.

Daddy! Daddy! Daddy! Aku berpaling bila namaku dipanggil. Pasti itu panggilan dari puteri bongsuku. Daddy! Daddy! Aku terasa bahuku digoncang. Apa pula ni, aku bisik dalam hati. "Kacaulah, nak mengelamun pun tak boleh", aku bersuara. "Daddy, bangun. Sekarang dah pukul 6.00. Daddy tak turun kerja?. Aku kehairan. Kerja apa pula di bumi Korea ni, kan kami sedang melancong? Aku betul-betul hairan.
"Sayang. Bangunlah, nanti lewat nak turun kerja" Ha tu dia, suara isteriku. Bahuku ditepuk lembut, tetapi cukup membuatkan aku terkejut. Aku terpisat-pisat. Pulau Nami hilang dari pandangan.....



Pulau Nami, pulau impian

Oct 10, 2012

Lebih sibuk daripada PM?

PMR sudahpun memasuki hari ke 3 hari ini. Rasanya masih tak terlewat untuk kita sama-sam mengucapkan selamat berjuang dan selamat maju jaya kepada calon-calon PMR tahun ini. Kita mengharapkan mereka beroleh kejayaan yang cemerlang. Merekalah harapan kita, generasi pelapis masa depan negara.

Haaa... dah lebih seminggu saya tak update blog ini. Alasannya;
1. Kekeringan idea. Hampir tiga minggu ini saya kerap sakit kepala terutama di bahagian kanan. Walaupun bukan sakit sangat atau berdenyut-denyut tetapi ia memberi rasa yang tidak selesa. Saya sendiri boleh rasa, ia bukan suatu kebiasaan. Dengan kata lain, ada sesuatu yang tak kena. Rasa 'ada yang tak kena' inilah yang membuatkan saya tak larat nak update blog. Saya nak rehat untuk seketika.

Beberapa hari lepas saya pergi berjumpa doktor. Walau bagaimanapun, rasa 'itu' masih tak reda. Saya merancang nak pergi berjumpa doktor lagi [doktor yang lain pula kali ni]. Harap-harap tidak ada apa-apa yang mudarat. Mintalah dijauhkan penyakit2 yang kronik haha. Takutnya....

2. Sibuk
Alasan klise..., dah tak berapa nak boleh pakai lagi. Tapi memang pun sedikit sibuk lebih-lebih lagi time nak dekat exam macam ni. Bulan Oktober merupakan antara bulan tersibuk dalam diari guru-guru. Meneruskan kelangsungan kelas tambahan, program gerak gempur, menyemak kertas percubaan pelajar dan latih tubi pelajar adalah antara agenda utama. Masa semakin suntuk, perhatian untuk pelajar perlu dilebihkan. Kesibukan inilah yang membuatkan saya slow kan sikit aktiviti berbelog ni. Pelajar didahulukan, pencapaian diutamakan! Lepas exam nanti, bolehlah lepas gian.

Apapun, saya tetap bersama anda. Tetap berkongsi apa saja dengan anda. Jadi, janganlah pergi meninggalkan saya keseorangan. Jenguk-jenguklah saya di sini ok....... salam ceria...

Oct 3, 2012

Bunga-bunga Cinta

Salam ceria semua...

Haha... kalau baca tajuk artikel ini bukan main dramatik bunyinya. Apa-apa pun, artikel ini tidak ada kaitannya dengan cinta pada teruna mahupun dara melainkan menzahirkan kekaguman pada keindahan alam ciptaan Tuhan. Ini adalah sebahagian daripada koleksi gambar bunga yang saya rakamkan menggunakan kamera digital kompak yang biasa. Kualitinya tidaklah sehebat mana, sekadar suka-suka atas nama hobi.

 







 
 

Fotografi adalah salah satu hobi yang sangat menyeronokkan malah boleh menjana pendapatan yang lumayan.

Sep 30, 2012

Telefon Awan: Masih Relevan?

Sepuluh tahun lalu, telefon awam masih menduduki rating yang tinggi dalam hati pengguna. Ia kekal sebagai pilihan terutama mereka yang tidak mampu membeli telefon bimbit. Walau bagaimanapun, perkembangan pesat dunia ICT menyaksikan perubahan selera pengguna. Pengeluaran pelbagai jenis telefon bimbit oleh syarikat-syarikat telekomunikasi menyebabkan pengguna mulai beralih arah kepada telefon bimbit yang ternyata lebih praktikal dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

Telefon bimbit yang dipasarkan mempunyai pelbagai aplikasi menarik dan canggih ternyata menarik minat pengguna. Selain itu, kepelbagaian jenama, bentuk, warna dan harga yang mampu milik semua golongan juga menyebabkan pasaran telefon bimbit mendapat sambutan hangat dari segenap lapisan masyarakat. Bukan hanya golongan berkerjaya, bahkan remaja @ pelajar sekolah dan orang kampung @ penduduk luar bandar rata-rata mempunyai telefon bimbit.

Senario ini seakan-akan memperlihatkan nasib telefon awam yang semakin terpinggir. Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apakah nasib telefon awam di masa depan? Masihkah telefon awam mendapat tempat di hati masyarakat kita sedangkan telefon bimbit terus mengalami revolusi yang mengkagumkan? Tidak mustahil telefon awam akan lenyap ditelan kepesatan perkembangan bidang ICT. Sayang seribu kali sayang, tetapi kita tidak mampu menafikan telefon awam tidak mampu bersaing dalam menongkah arus kemajuan. Ledakan jalur lebar memperkuatkan lagi kemungkinan berakhirnya legasi telefon awam.
Lenyapnya telefon awam mungkin juga memberi impak positif kepada kerajaan. Kita tidak akan ada lagi terdengar rungutan tentang kegiatan vandalisme iaitu merosakkan atau menconteng pelbagai corak dan kata-kata di telefon awam. Kita juga tidak akan sakit mata melihat dinding-dinding telefon awam dipenuhi oleh tampalan pelbagai iklan. Kerajaan juga boleh menjimatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan telefon awam. Hal ini sudah pasti mengurangkan beban kerajaan yang selama ini terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit bagi membaiki telefon awam yang dirosakkan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab.
 
Apapun, telefon awam tetap menjadi memori terutama kepada generasi pengguna telefon awam. Seandainya suatu ketika nanti telefon awam akan lenyap, ia tetap pernah  berjasa dan meninggalkan memori indah kepada kita. Ia pernah menjadi pengubat rindu, penghubung kasih dan pembantu di kala kita ditimpa situasi yang tak terduga.

Sep 27, 2012

Perang PRU13

Saya bukanlah orang yang cerdik pandai mahupun berpengetahuan luas di dalam bidang politik. Jauh sekali berani mengakui diri sebagai penganalisis politik. Malah tulisan ini pun sekadar tulisan orang biasa yang melihat aspek politik dari kaca mata yang tidak sempurna. Saya tidak berminat dengan politik apatah lagi untuk menjadi penyokong taksub kepada mana-mana parti.

Bagi saya, cukuplah kalau saya menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi iaitu MENGUNDI! Senang cerita, saya adalah pemerhati di atas pagar yang tidak mahu melibatkan diri dalam karenah politik yang memeningkan kepala. Bukan bermakna mereka yang berada di atas pagar ini tidak ada pendirian mahupun prinsip! Bukan juga bermaksud mereka yang tidak menyertai mana-mana parti ini senang dipengaruhi. Tidak!

Secara peribadi, saya menghormati golongan di atas pagar ini. Golongan ini bukan golongan yang mudah diperkotak-katikkan. Puak atas pagar merupakan orang yang teliti mengamati sesuatu dasar mahupun perubahan. Mereka juga boleh dikatakan sebagai penilai dan penganalisis yang mungkin lebih tajam dan liberal pertimbangannya. Mereka ini bukan golongan fanatik yang mudah dipengaruhi oleh sentimen kepartian membuta-tuli.

Puak atas pagar ini merupakan puak yang bebas melontarkan pandangan mahupun prinsip masing-masing. Dengan kata lain, mereka tidak terikat dengan sesetengah "peraturan @ dasar" parti yang kadang-kala bercanggah dengan pendirian mereka. Fikiran mereka tidak disempitkan dengan 'etika' parti yang ada di antaranya terlalu bias sehingga merencatkan perkembangan pemikiran. Puak atas pagar ibarat pemerhati bebas!

Belakangan ini, isu PRU13 semakin heboh diperkatakan. Pelbagai telahan, jangkaan dan ramalan dikeluarkan oleh pelbagai pihak tentang tarikh keramat PRU13. Perang propaganda sudah sekian lama meletus. Tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain sudah semakin menjadi mainan sama ada di tv, dada-dada akhbar, radio mahupun internet. Kadang-kadang saya merasa jelik dengan sikap sesetengah ahli politik yang tidak segan silu melontarkan makian dan cacian kepada pihak lawan. Perbuatan sebegitu nampak sangat murahan dan tidak mencerminkan pemikiran ahli politik yang sepatutnya "tinggi".
Seharusnya, sebagai pemimpin mereka mesti menunjukkan keperibadian yang elok bukan sahaja dari sudut pemikiran, malah perlakuan. Kalau tidak slogan "Kepimpinan Melalui Tauladan" sekadar tinggal slogan yang tidak memberi apa-apa makna. Setiap patah perkataan yang mereka lontarkan biarlah beralas, berunsur nasihat dan dorongan. Biarlah kepetahan mereka berhujah digunakan untuk berdebat tentang masalah dan kepentingan rakyat bukannya saling mengutuk! Kutuk-mengutuk tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat yang dahagakan pembangunan.

Kempen yang berbau seribu janji biarlah dikotakan dan bukan hanya retorik semata-mata. Lambakkan projek biarlah sampai kepada sasaran iaitu rakyat jelata di segenap ceruk dan bukannya hanya untuk rakyat atau penyokong di sesetengah tempat sahaja. Selagi bergelar rakyat Malaysia, sama ada penyokong parti kerajaan mahupun pembangkang, hak untuk menikmati kemudahan dan juga bantuan tidak wajar diperlekehkan. Biarlah 'hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicubit'. Istilah 'kawasan putih' dan 'kawasan hitam' tidak harus diamalkan jika para pemimpin benar-benar ikhlas membantu rakyat.

PRU13, diramalkan sebagai pilihanraya terhangat dan menjadi penentu kepada legasi pihak pemerintah yang ada sekarang dan juga kelangsungan parti pembangkang. Dengan bertambahnya pengundi muda yang terdedah dengan ICT dan pengetahuan baru, pilihan biarlah tepat. Pilihan tidak seharusnya bersifat warisan. Buat penilaian tentang trak rekod pemimpin yang bertanding dan bukannya bersandarkan lambang parti. Jika trak rekodnya bagus, membawa banyak perubahan mahupun kemajuan, mesra dan berjiwa rakyat, berwawasan dan berkeperibadian mulia, calon inilah yang layak disokong. Calon yang 'banyak kuah dari isi', suka menabur janji palsu dan hanya timbul kelibatnya bila tiba musim pilihanraya wajar ditolak.

Ingatlah wahai rakyat Malaysia, kitalah penentu pemimpin yang akan mencorakkan kanvas politik Malaysia. Pilihan ada ditangan kita. Pilihlah dengan bijak kerana masa depan Malaysia adalah pilihan kita. HIDUP MALAYSIA!!!
Sekadar pandangan peribadi penulis.

Sep 26, 2012

Operasi Fogging

Sedang khusyuk melayari dunia maya, isteri tersayang tergesa-gesa datang menghampiri. "Operasi Fogging" ujarnya tanpa aku sempat bertanya. Aku menjenguk keluar jendela [hamboi...], betullah. Kenderaan 'Kementerian Kesihatan Malaysia' sudahpun berlabuh di depan kuartes salah seorang staf guru, jaraknya hanya beberapa ela  dari kuartes yang kami sekeluarga duduki. Beberapa orang pekerja mulai menjalankan operasi membasmi nyamuk dan suku-sakatnya.

Nah...Rasakan! Bisikku gembira. Pasti suku-sakat pembawa penyakit itu akan mati termasuk yang tersembunyi haha... Aman sikit hidup. Terima kasih pihak KKM. Cuma yang kurang 'cun' ialah kita tidak dimaklumkan dengan kedatangan mereka [ataupun kami yang tak tengok notis]. Isteri yang tengah memasak terburu-buru 'menyelamatkan' masakan daripada dihembus oleh angin sepi-sepoi yang membawa bersama asap.
Flat staf turut di'sembur'.

Apapun...sekali lagi jutaan terima kasih kepada kakitangan KKM yang sudi membantu membasmi nyamuk di kawasan kami. Jasa kalian kami hargai.

Sep 19, 2012

Jatuh Cinta Lagi

Alamak...
Jatuh cinta lagi
Lagi-lagi ku jatuh cinta
Kepada.....???

Jangan salah sangka, bukan jatuh cinta kepada semua wanita tetapi jatuh cinta kepada drama Korea haha... Tapi betullah, sejak dua menjak ni makin asyik pula menonton drama-drama Korea. Pelakon-pelakon yang hensem dan cantik [meskipun banyak yang menjalankan pembedahan plastik untuk tampil menarik] itu satu hal tetapi faktor yang lebih kuat tarikannya ialah jalan cerita, mutu lakonan dan sinematografi yang sangat hebat.
 
Glass Castle
 
 To The Beautiful You
Latar belakang budaya dan lokasi yang menarik dan berbeza dari negara kita merupakan satu daya tarikan. Maklumlah, saya sendiri tak pernah pergi ke Korea apalagi mengenali budayanya secara dekat. Sekurang-kurangnya dengan menonton drama mereka, dapatlah saya 'melancong' dan melihat sendiri budaya dan cara hidup mereka. Lakonan mereka juga hebat dan berkesan. Jika kisah romantik memang romantik dan fiillll sangat. Jika sedih, memang sedih sesangat dan air mata serta ekspresi muka betul-betul real. Bukan dibuat-buat.
Stay With Me My Love

Yes Captain

Saya merasakan itulah kekuatan cerita Korea. Kisah hidup masyarakat, pergolakan rumah tangga, kisah persaingan empayar perniagaan dan cerita remaja digarap dengan begitu baik sehingga terasa begitu dekat dengan penonton. Ini hanya pandangan peribadi saya. Mungkin kerana menggemari drama Korea maka saya merasakan semuanya menarik belaka [Tak semua cerita Korea menarik]. Bagi yang kurang tidak berminat, mungkin lain pendapatnya. Semuanya ada citarasa masing-masing.
 
The First Wives Club


Lagu tema dan OSTnya best...walaupun sepatah haram tak tahu tapi boleh layannnn....

Sep 12, 2012

Oh My English!

Salam penuh kerinduan buat pembaca semua.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang sebuah program terbitan Astro yang memang superb! Pasti semua tahu akan rancangan Oh My English! Secara peribadi saya memang suka rancangan tersebut apatah lagi anak-anak saya yang berumur 8 dan 6 tahun. Walaupun diulang berpuluh kali, kedua-duanya tidak jemu-jemu. Nama-nama seperti Mr. Henry, En. Mohd Salleh, Pn. Hajar, Jibam, Anusha, Azlin, Faiz dan lain-lain tidak lekang daripada mulut comel mereka. Bagus juga daripada mereka menonton lambakan cerita seram, ganas, lawak poyo dan cerita fantasi Indon yang tidak memberi sebarang manfaat [maaf, ini hanya pendapat peribadi].

Syabas kepada Astro kerana menerbitkan banyak rancangan berbentuk pendidikan seperti OME, Art Attack, Sains Comot, Finger Tips, Tutor TV, Backyard Science dan lain-lain lagi. Rancangan sebegini amat bermanfaat bagi kanak-kanak. Ia bukan sahaja mampu memperbaiki penguasaan bahasa dan pengiraan malah mempertajamkan daya pemikiran dan kreativiti. Saya sendiri melihat banyak perubahan anak-anak saya. Sebutan bahasa Inggeris mereka lebih tepat dan lancar. Kedua-duanya juga semakin bijak menonjolkan kreativiti masing-masing. Semoga program sedemikian diteruskan ataupun diperbanyakkan lagi dengan pengisian yang lebih berkualiti.



Sep 9, 2012

Wajar Rasional

Sempena sambutan merdeka kali ini, kita dikejutkan dengan isu kononnya ada pihak nak menukar bendera Jalur Gemilang kepada Sang Saka Merah Putih. Alasannya mudah, bendera yang ada sekarang tidak menggambarkan ciri-ciri nusantara tetapi lebih condong ke arah kebaratan.
 Bendera Amerika Syarikat
 
Jalur Gemilang
 

Berikut ialah bendera Indonesia dan Singapura yang dikatakan bercirikan Sang Saka nusantara. Kedua-dua bendera ini dikatakan menjadi inspirasi kepada bendera Malaysia yang baru.
 Bendera Indonesia
 
Bendera Singapura
 
Gambar di bawah adalah wajah bendera baru negara Malaysia yang diwar-warkan menggantikan Jalur Gemilang.



Apapun tindakan kita, ia harus berlandaskan pemikiran yang waras dan rasional. Pendapat pelbagai pihak termasuk  rakyat umum wajar diambil kira. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat sebarang usul atau perubahan semata-mata taksub dengan ideologi mana-mana pihak yang berkepentingan. Bendera amat besar maknanya kepada mana-mana negara yang berdaulat!

Sep 4, 2012

Memandang Ke Depan

Beberapa minggu yang lalu, saya sempat berkunjung ke rumah saudara [makcik]. Sambil berborak, saya sempat memandang gantungan manik di dinding. "Menantu saya yang buat" jelas makcik. Sebelum ini, anak dan menantunya bekerja di Johor. Hanya baru-baru ini mereka menetap di rumah panjang.

Cantik dan halus buatannya. Saya sangat tertarik melihat hasil kraf tangan yang begitu menyerlah. Alangkah sayangnya jika hanya dijadikan sebagai penghias dinding. Memanglah cantik tak terkata tetapi jika dijual tentu lebih berbaloi.

Bukan bermakna saya ni mata duitan hehe... tetapi hasil kerja yang begitu tinggi nilainya tidak seharusnya terperap begitu sahaja. Kalau dijual, pasti berharga dan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan. Cuba kita perhatikan orang Cina, apa sahaja barang @ produk yang boleh dijual mereka akan jual walaupun dikutip di tengah jalan. Itulah bezanya mentaliti orang kita berbanding mentaliti orang Cina.

Orang kita mempunyai pelbagai produk yang boleh diketengahkan di pasaran tetapi kita tidak mempunyai mentaliti berniaga. Kita tidak mempunyai keinginan untuk berniaga. Tidak ada kemahuan. Kita tidak melihat @ "buta" untuk melihat kemampuan diri menjana ekonomi keluarga dengan kebolehan yang ada. Ini merupakan satu pembaziran.





 Menawan hati. Ini adalah hasil kerja tangan menantu kesayangan makcik saya ni hehe... Satu lagi hasil yang sangat menarik ialah tali leher yang diperbuat daripada manik [Sori, tak sempat ambil gambar. Tunggu...]. Saya sempat membeli satu. Tanpa disangka, rupa-rupanya ramai pula rakan sekerja yang tertarik dan membuat tempahan. Kan....!!! Rantai ini sesuai digayakan untuk ke tempat kerja, majlis makan malam atapun digantung di dinding mahupun kereta. Ia juga sesuai dijadikan sebagai cendera hati. Harga? Taklah mahal sangat...RM30 - RM120.00 jer, bergantung kepada saiz.

Aug 30, 2012

Selamat Hari Merdeka!!!
 
Marilah kita anak Malaysia
menadah tangan tanda berdoa
semoga Malaysia aman sejahtera
terhindar dari segala bahaya
rakyat bersatu tiada sengketa
melangkah maju menuju jaya
 



Aug 29, 2012

Sikap Orang Kita

Apa khabar semua? Harap-harap semuanya sihat sejahtera, tersenyum ceria di samping keluarga tercinta. Dah beberapa hari tak menulis di ruangan kesayangan hamba ini. Alasan biasa, sibook! Boleh caya ker?

Kali ni nak kongsi sedikit dengan pembaca semua tentang sikap orang kita. Bukan semua ye, segelintir sahaja! Sikap segelintir inilah yang memberi imej kurang manis kepada semua. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, habis semua benda terpalit. Ha... begitulah lebih kurang mukadimah berkenaan cerita yang ingin aku kongsikan.

Cuti lepas, kami anak beranak mengambil peluang berjalan-jalan di sebuah pasaraya. Tempat parking yang strategik semuanya sudah penuh. Pusing punya pusing, terjumpa sebuah tempat parking kosong. Kira-kira 20 meter dari pintu masuk pasaraya. Masuk aje, bunyi bingit suara manusia bergabung dengan pelbagai jenis muzik. Riuh rendah jadinya. Happening! Anak-anak gembira tak terkata.

Setelah selesai membeli barang keperluan, aku menyorong sebuah troli yang hampir penuh. Agak banyak juga barang yang dibeli. Semasa memunggah barang ke dalam kereta, aku terpandang sebuah keluarga kecil [suami isteri dengan dua orang anak yang berumur bawah 10 tahun, lebih kurang]. Si suami menyorong troli. Si isteri sibuk mengelap peluh @ minyak di muka. Selepas mengelap, dengan selamba si isteri mencampakkan tisu muka tadi ke jalan. Hati aku berbisik [busy body betul], hamboiii.... Baik punya tabiat!

Si suami pula mengangkat dua plastik kecil [tak sampai 3 kilo kot] dari dalam troli lantas bergerak menuju ke kereta. Kereta pacuan 4 roda, Hilux lagi! Troli ditinggalkan begitu sahaja di tempat parking. HAMBOiiii.... baik punya perangai! Aku pulak terlebih geram. Macamlah aku baik sangat hehe. Tapi aku memang tak pernah tinggalkan troli macam tu. Itu aku boleh jamin. Walaupun tak ada sesiapa yang menegur tetapi rasa malu pula nak berbuat demikian.

Tabiat ni boleh dilihat di mana-mana pasaraya @ gedung membeli-belah. Kadang-kadang, nak parking pun sudah sebab troli dah parking awal-awal di petak parking. Rasa geram pula. Dah tahu barang tak banyak mana, tak perlulah guna troli bagai. Kalau pun nak pakai troli, pandai-pandailah hantar ke tempat yang disediakan.  Tapi siapalah aku nak betulkan keadaan. Aku hanya mampu pesan dengan anak isteri agar jangan amalkan tabiat tersebut.

Haaa... begitulah cerita tentang sikap @ mentaliti orang kita. Itu hanya secebis kisah. Banyak lagi tabiat kurang manis yang kita lakukan dan kadang kala memang kita sengajakan. Tak elok kan?Kepada pembaca semua, jadilah warga Malaysia yang menjunjung nilai-nilai murni. Takkan kita mahu dicop sebagai warga yang kurang kesedaran sivik!




Aug 23, 2012

Kongsi Hobi

Selamat bertemu kembali.
Seperti yang aku khabarkan dalam artikel sebelum ni, minat aku tentang fotografi ni memang dah menebal sejak lama lagi. Tapi hanya baru-baru ini aku mampu menzahirkan mimpiku dengan membeli kamera model Nikon [Sebelum ni pakai kamera digital biasa jer]. Bukan model terkini, tapi cukuplah sekadar untuk suka-suka. Nak beli yang mahal, aku tak mampu.

Aku suka sangat dengan alam semula jadi. Mungkin kerana aku memang dilahirkan di pedalaman yang dikelilingi kehijauan. Dan keindahan alam itulah yang aku potretkan dengan lensa kameraku. Memang hasilnya tidak seperti orang yang pro ataupun mereka yang dah lama berkecimpung dalam bidang fotografi tetapi aku tetap mencuba.
Lagi satu, aku ni takde objek khusus untuk dipotretkan. Asalkan cantik dan menarik pada pandangan mata, aku terus KLIK! Rumput pun aku ambik gambar haha...

Buah jambu yang menawan kalbu...

Aug 22, 2012

Kesayanganku

Gajet kesayanganku yang wajib dibawa kemana pergi...
Apa khabar semua?
Semoga keceriaan dan kedamaian milik anda semua. Pastinya mereka yang menyambut Hari Raya masih dengan mood raya. Bagi mereka yang masih bercuti, tentunya masih tersenyum lebar. Manakala mereka yang sudah pun memulakan tugas masing-masing pastinya sudah memulakan tugasan harian dengan penuh semangat.

Saya sendiri masih dalam mood cuti. Kerana mood cuti inilah, blog ini saya 'tinggalkan' hampir seminggu. Rasa rindu pula.

Cuti ni, sempat bawa keluarga jalan-jalan. Mengambil peluang shopping sempena 'sale' Raya. Hehe... apapun, dalam keghairahan membeli belah, berhati-hatilah dengan kempen 'potongan harga'! Bukan sesuatu yang asing bila ada peniaga yang mengambil peluang 'menyembelih' leher pengguna @ pembeli. Selain berjalan-jalan, sempat juga menjenguk emak di rumah panjang, menjenguk keluarga mertua dan paling penting ialah dapat 'menunaikan' hobi yang satu ini: fotografi! Inilah sebahagian hasil fotografi seorang amatur seperti saya [itupun kalau boleh dipanggil hasil fotografi hehe...].
Klik imej untuk visual yang lebih jelas

Selamat Hari Raya
&
Salam Kemerdekaan

Aug 13, 2012

Bahaya 'Smoke Candy'

Sikap rakus dan tamak sesetengah peniaga yang sanggup mengenepikan norma dan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat amat dikesali. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mengaut keuntungan walaupun terpaksa mempertaruhkan kepentingan pihak lain. Sebagai contoh, keghairahan kumpulan peniaga tamak begitu ketara sehingga sanggup menjual Smoke Candy atau gula-gula rokok.

Sasaran utama penjualan Smoke Candy sudah semestinya kanak-kanak yang begitu mentah akal dan pertimbangannya. Untuk menarik minat orang membeli gula-gula ini, Smoke Candy ini dibungkus menyerupai corak dan reka bentuk rokok sebenar yang berada di pasaran. Smoke Candy juga dibungkus dan dijenamakan mengikut jenama rokok terkenal seperti Kent, Malboro dan King. Selain rasa manisnya yang memang menjadi kegemaran kanak-kanak, bungkusan yang menarik juga begitu menarik hati. Jadi, tidak mustahil kanak-kanak akan terpikat.

Daripada sekadar suka-suka berlagak seperti orang dewasa yang merokok, tidak mustahil kanak-kanak yang masih cetek pengetahuannya ini akan terjebak dengan amalan merokok. Hal ini amat membimbangkan dan mendukacitakan. Dalam kesibukan kerajaan menganjurkan kempen anti merokok, ada pihak yang seolah-olah menggalakkan budaya merokok dalam kalangan generasi muda.

Perkara yang lebih merisaukan kita ialah Smoke Candy ini dipercayai diimport dari negara China. Selain  tidak mempunyai sebarang label nutrisi, ia juga tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia. Selain itu, status halalnya juga turut diragui. Smoke Candy ini tidak memaparkan logo halal dari negara pembuat apatah lagi logo halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).

Jadi ibu bapa dan pihak sekolah iaitu orang yang terapat dengan pelajar seharusnya memberi penjelasan tentang keburukan Smoke Candy kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah. Pihak kerajaan melalui kementerian berwajib juga wajar membuat pemantauan terhadap penjualan gula-gula rokok ini. Pihak kerajaan harus memandang perkara ini dengan serius dan tidak salah jika undang-undang berkaitan digubal. Kita sudah pasti tidak mahu anak-anak kita menjadi generasi perokok yang berisiko diserang pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit jantung, kanser dan sebagainya.


Aug 11, 2012

Sisa Pepejal vs Kitar Semula


Pernahkah kita mengambil berat tentang masalah alam sekitar yang semakin kronik? Isu sampah-sarap, pencemaran sungai, pencemaran udara dan lambakan sisa pepejal adalah antara isu alam sekitar yang menjadi perbincangan hangat di peringkat global. Pernahkan kita terfikir, salah satu cara mudah untuk mengurangkan beban pencemaran alam sekitar ialah memperhebatkan kempen kitar semula. Sejauh mana kempen ini mampu menyelamatkan alam sekitar?
                Masyarakat global semakin risau dengan bahana kepupusan sumber alam dan juga pencemaran alam. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menangani masalah ini termasuklah pelaksanaan kempen kitar semula. Kempen kitar semula yang menggabungkan kaedah recycle, refuse dan reuse dianggap antara langkap paling praktikal untuk mengatasi masalah ini.
                Pelaksanaan kempen kitar semula mampu memelihara alam sekitar daripada tercemar. Kepesatan pembangunan termasuklah perindustrian, pertanian, penternakan dan petempatan menghasilkan banyak bahan buangan sisa pepejal. Besi dan plastik yang mengambil masa puluhan tahun untuk reput menambahkan lagi kroniknya pencemaran alam sekitar. Justeru, dengan adanya kempen kitar semula ini, bahan-bahan besi , plastik, kertas dan kaca boleh diproses semula atau digunakan semula. Langkah ini sudah pasti dapat mengurangkan kuantiti sampah yang mencemarkan alam sekitar.
                Selain itu, program kitar semula juga mampu untuk memelihara sumber yang terhad.
Kerakusan manusia untuk mengaut keuntungan menyebabkan hutan ditebang dan perlombongan dijalankan tanpa had. Sekiranya kegiatan ini dijalankan secara tidak terancang, tidak mustahil kita akan mengalami kepupusan sumber yang bernilai. Oleh yang demikian, kitar semula mampu kertas dan tin-tin aluminium mampu menyelamatkan hutan dan sumber galian. Tegasnya, langkah mengitar semula ini mampu memelihara sumber daripada mengalami kepupusan.

                Langkah kitar semula juga dapat menjimatkan kos. Sebagai contoh, kos melombong mineral sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos mengutip dan meleburkan semula besi buruk atau tin-tin aluminium yang jauh lebih murah. Kos menebang dan memproses pokok menjadi kertas juga jauh lebih mahal daripada kos memproses semula terpakai. Langkah bijak ini sudah pasti member pulangan yang lumayan kepada pengusaha.  Mereka bukan sahaja dapat  menjimatkan kos tetapi membantu dalam meningkatkan keuntungan.

                Di samping itu, langkah mengitar semula ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Orang ramai boleh melakukan pekerjaan ini secara sambilan dari rumah. Para peniaga juga berpeluang menjalankan perniagaan mengumpul dan membeli  barangan terpakai. Secara tidak langsung hal ini akan membawa kepada wujudnya kilang pemprosesan barang buangan ataupun barang terpakai. Berdirinya kilang pemprosesan ini sudah pasti akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

                Sebagai warganegara yang bijak, kita seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan program kitar semula ini. Sokongan padu semua pihak amat penting bagi menjamin kelestarian alam kita. Kita sudah pasti tidak mahu menyesal dikemudian hari apabila bumi yang satu ini tercemar dan kehilangan sumber pentingnya.

Aug 8, 2012

Pemerdagangan Kanak-kanak


Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Sumber: Wikipedia, ensiklopedia bebas



ARTIKEL: DERITA KANAK-KANAK MANGSA PEMERDAGANGAN
LINA (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran. Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.

Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya. Dia, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil ‘uncle’, tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.

Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat. Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.

Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.


Kenapa kanak-kanak?
Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka. Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya. Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul. Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.
Sumber: Utusan Malaysia, 17 Mei 2011


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...