Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jan 26, 2012

Statistik Kes Keldai Dadah



Artikel 1: Keldai Dadah
Berikut ialah antara rentetan kes Keldai Dadah yang melibatkan wanita Malaysia

16 Mac 2010: Dua wanita, G.Rasundri, 50 Tahun dan Darina Ibrahim, 43 Tahun yang bekerja sebagai tukang jahit di Kuala Lumpur ditahan di penjara Itali kerana membawa dadah jenis candu ke negara itu.

29 April 2010: Pelajar berketurunan Iban, Cristina anak Luke Miju, 22 Tahun ditangkap disebuah lapangan terbang di China selepas pihak berkuasa negara itu menemui sejumlah dadah di dalam beg tangannya.

16 Ogos 2010: Nur Dhiya Ain, 19 Tahun yang mengikut kenalannya seorang warga Afrika kerana mendapat tawaran pekerjaan ditahan polis Afrika Selatan di Lapangan Terbang Cape Town kerana membawa 1.2 kg dadah jenis syabu.

1 September 2010: 7 gadis Malaysia nyaris ditahan pihak berkuasa si Karachi, Pakistan kerana disyaki menyeludup dadah ke negara itu selepas terpedaya dengan janji manis warga Afrika di Kuala Lumpur.

Berdasarkan statistik yang dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah menunjukkan penahanan terhadap pendatang dari benua Afrika meningkat kepada 173 orang berbanding hanya 65 orang pada tahun lepas. Daripada jumlah itu, 139 adalah rakyat Nigeria dan ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 50 orang rakyat Nigeria yang ditahan pada tahun lepas kerana kesalahan dadah. Sumber: http://promahasiswausm.wordpress.com

Artikel 2: Keldai Dadah
Perkenalan singkat dalam laman sosial Facebook dengan seorang lelaki kulit hitam tahun lalu, mengubah sama sekali hidup seorang gadis berketurunan Dayak yang berasal dari Sarawak. Gadis berusia 22 tahun yang pernah menuntut di Kolej Segi itu, ditahan di Shenzhen China sejak 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa China menemui sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam perutnya.

Disebabkan teruja dengan bayaran RM5000, dia dengan rela menelan 100 bungkus dadah jenis heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen. Lain pula kisahnya dengan Nur Dhiya Ain Rosman yang juga menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa yang beroperasi di Nigeria. Dia ditipu dengan tawaran kerja sebagai operator pelancongan dengan gaji yang lumayan.

Kemudian, dia yang dikenali sebagai “Baby” dilaporkan menghilangkan diri dipercayai mengikut kenalannya, seorang warga Afrika ke luar negara. Akhirnya, Baby dan kenalannya ditahan di Lapangan Terbang Cape Town atas kesalahan menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram pada 14 Ogos 2010. Dia sekarang ditahan di pusat tahanan Ravensmead Afrika Selatan sementara menunggu perbicaraan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, sehingga 31 Mac 2011, sebanyak 833 orang daripada 1880 orang rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah berkaitan dengan kes dadah. Daripada jumlah itu, sebanyak 675 orang membabitkan lelaki, manakala 158 orang ialah wanita.

Paling banyak rakyat Malaysia ditahan ialah di China. Ketika ini sahaja terdapat sebanyak 72 orang rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa China kerana cuba menyeludup dadah dan kes paling banyak berlaku di Ghuangzou iaitu sebanyak 33 kes. Sumber: http://dwnmasyarakat.dbp.my

Artikel 3: Keldai Dadah
ISU penyeludupan dadah bagaikan tiada penghujungnya. Lebih malang, sudah ramai wanita tempatan diperdaya, kebanyakannya oleh kekasih warga Afrika mereka di Malaysia, untuk menyeludup dadah ke luar negara.

Setiausaha Kerja Penyelidikan dan Pemantauan Program, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Zuriah Abu Bakar, 48, berkata pendapatan berniaga dadah memang lumayan. Sekilogram dadah boleh memberi pulangan sehingga RM1.8 juta kepada pengedarnya.
Australia, China, Brazil, Peru, Argentina dan Jepun ialah antara destinasi penyeludupan dadah yang sering dikaitkan dengan gadis rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Zuriah mengakui masih ramai wanita tempatan diperdaya oleh warga asing untuk melakukan kerja kotor itu. Selebihnya mereka sedar, tahu dan mengakui tindakan mereka menyeludup dadah ke negara asing,” ulasnya.

Menurut Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), sebuah badan bebas pemantauan kuasa undang-undang, semakin ramai wanita muda di Asia menjadi mangsa sindiket berkenaan.
Berdasarkan statistik tersebut, pengedar dadah kini giat menggunakan laman web sosial untuk menarik perhatian wanita di Asia Tenggara untuk bekerja sebagai keldai dadah di negara-negara di timur dan Asia Tenggara.

Dadah kini disembunyikan di dalam kasut, pakaian, beg, barangan kraf tangan, alatan elektronik dan kenderaan. Ini termasuk kaedah mencairkan dadah dalam rebusan air sebelum dicelupkan pakaian dan dibiarkan hingga kering. Menurut Zuriah, apabila individu yang membawa dadah dalam bentuk terlarut pada fabrik tiba di destinasi yang disasarkan, pakaian tersebut akan diproses menggunakan aplikasi penyulingan untuk mengumpulkan kembali kandungan dadah yang melekat pada fabrik berkenaan.

“Buktinya, seorang gadis warganegara Filipina sebelum ini pernah ditangkap ketika cuba menyeludup dadah ke Malaysia dengan cara mencelupkan pakaian dan tuala ke dalam cecair sebatian dadah sebelum datang ke negara ini,” jelasnya.

Selain itu mereka juga melekatkan pek dadah di badan, untuk menampakkan seseorang wanita sedang mengandung, dadah juga dilekatkan pada anggota tubuh lain seperti punggung dan belakang sehingga individu berkenaan kelihatan berbadan gempal. Mereka juga rela menelan dadah yang berupaya membunuh diri mereka sendiri sekiranya pembalut dadah berkenaan pecah di dalam usus.

Beliau memberi contoh kes seorang gadis berasal dari Pulau Pangkor, Perak yang menelan 25 pek dadah yang telah disumbat ke dalam kondom tetapi dapat dikesan pihak berkuasa Australia.

Jelas Zuriah lagi, sehingga bulan September tahun lalu [2011] seramai 1,597 rakyat Malaysia ditahan di negara luar dan kebanyakan mereka disabitkan kesalahan menyeludup dadah.
Daripada jumlah tersebut, seramai 150 orang yang ditangkap adalah wanita iaitu 62 wanita Melayu, 58 Cina dan 28 India. Statistik yang dikumpulkan oleh Pemadam turut mendapati seramai 127 orang wanita Malaysia ditahan di 37 negara sejak tahun 2007.

Nasihat Zuriah, teman baik mungkin menjadi musuh [tikam belakang] seseorang dan tidak mustahil ia mampu mengheret ke kancah penderitaan seumur hidup.Sumber: http://www.kosmo.com.my

Jan 25, 2012

Baucar RM200.00

Minggu lepas, sebelum cuti saya terlibat dalam penyerahan Baucar Bantuan RM200 yang diperuntukkan bagi pelajar Tingkatan Enam. Sekali lagi kerajaan menunjukkan keperihatinan kepada masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

Kebaikan
1. Membantu pelajar yang berasal dari keluarga susah untuk membeli buku rujukan atau keperluan persekolahan. Keperluan persekolahan yang lengkap ini sudah pasti mampu menaikkan semangat pelajar untuk berusaha lebih gigih.
2. Meringankan beban ibu bapa untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang serba-serbinya cukup, masalah buku sekolah anak-anak bukan satu isu tetapi bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan anak-anak masih ramai yang bersekolah, bantuan sebegini amat bernilai.

Saranan
Secara peribadi saya merasa terdapat dua perkara utama yang patut diambil kira oleh kerajaan jika Baucar bantuan ini diberikan pada masa akan datang iaitu tempoh pengagihan dan juga kedai yang mengikuti pelan pelaksanaan ini.

1. Tempoh pengagihan yang agak kurang sesuai. Baucar bantuan ini seelok-eloknya diagihkan semasa pelajar Tingkatan Enam berada di Tingkatan Enam Bawah. Hal ini kerana, semasa di Tingkatan Enam Bawah inilah pelajar pra-u sibuk mencari buku-buku rujukan yang akan digunakan sehingga ke Tingkatan Enam Atas.
2. Kedai yang mengikuti pelan pelaksanaan Baucar ini juga agak terhad @ tidak ada terutama di pekan atau bandar-bandar kecil. Menjadi satu masalah kepada pelajar jika ingin membeli keperluan persekolahan jika terpaksa pergi ke bandar-bandar utama @ besar yang menempatkan gedung-gedung buku. Molek sekali jika pihak berkaitan dapat menetapkan @ mengenal pasti ataupun paling tidak menyenaraikan sekurang-kurangnya terdapat kedai yang terpilih menyertai pelan ini bagi setiap bandar atau pekan.

Walau apapun, wajar bagi ibu bapa mengucapkan terima kasih kepada usaha murni kerajaan ini. Para pelajar juga harus membayar kebaikan keperihatinan kerajaan ini dengan cara belajar bersungguh-sungguh agar berjaya menjadi warganegara yang berguna kepada bangsa dan negara.
*Pendapat peribadi penulis sahaja.

Jan 20, 2012

Sedih!

Dua bayi mati tersedak susu di pusat asuhan
KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dari sebuah pusat asuhan maut dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh mereka di Taman Pertama, Ampang dekat sini, tengah hari semalam. Kejadian jam 1 tengah hari itu dikatakan berlaku tidak lama selepas kedua-dua bayi malang itu, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Harris, tujuh bulan, diberikan susu di pusat asuhan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas dikejarkan petugas pusat asuhan terbabit ke sebuah poliklinik di Taman Permata sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. ...

Begitulah tajuk berita pilu yang terpampang di dada akhbar Berita Harian hari ini, Jumaat 20 Januari 2012. Memang satu berita yang menyedihkan bagi para pembaca apatah lagi ibu bapa dan keluarga bayi malang tersebut.

Kejadian tragis ini mengundang reaksi pelbagai pihak berhubung peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh sesebuah pusat asuhan atau jagaan kanak-kanak. Kita tidak mahu menunding jari kepada sesiapa tetapi pemantauan ke atas sesebuah pusat asuhan wajar menjadi antara agenda utama kerajaan kerana mereka yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan biasanya mereka yang berkerja.

Antara perkara yang wajar diberikan perhatian ialah;
1. Pemberian lesen untuk membuka pusat asuhan harus lebih ketat. Pihak berwajib harus memastikan pengurusan / pengasuh pusat asuhan mendapat pendidikan atau kelayakan yang sepatutnya. Kita tidak mahu pusat asuhan hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab besar terutama dalam aspek 'asuhan' dan keselamatan anak-anak.

2. Ketepikan dulu soal keuntungan, pihak pengurusan pusat asuhan harus memastikan mereka memiliki tenaga kerja yang berkelayakan dan mencukupi. Jika tenaga kerja tidak berkelayakan, sudah pasti tidak mampu memikul beban tugas yang berat ini. Anak-anak yang masih kecil memerlukan seorang pengasuh yang bukan sahaja 'bijak' tetapi juga penyabar. Tenaga kerja juga wajar berpadanan dengan nisbah anak-anak yang 'diterima masuk' ke pusat tersebut. Kita tidak mahu bilangan kanak-kanak yang ramai menjadikan para pengasuh tidak menang tangan sehingga akhirnya segelintir si kecil tadi terabai.

3. Bihak berkuasa juga sewajarnya sentiasa memantau atau mengawal selia perkembangan pusat asuhan kanak-kanak. Sudah pasti setelah membayar yuran yang agak mahal, para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan mengharapkan anak mereka dijaga dengan baik dan terjamin keselamatanya. Jadi, pemantauan berkala atau mengejut mampu mengurangkan sikap leka dan lalai pihak pengurusan pusat asuhan.

4. Peranan pusat asuhan kanak-kanak juga antara isu yang wajar dititik beratkan. Aspek asuhan, keselamatan dan kesihatan anak-anak di bawah jagaan mereka harus menjadi agenda utama mereka. Sekiranya aspek ini diberi penekanan, nescaya tidak akan timbul soal anak-anak cedera kerana bergaduh sesama sendiri, anak-anak terjatuh dan luka, jangkitan penyakit dan lain-lain.

Kita berharap, insiden sedih ini tidak akan terus mewarnai dunia pusat jagaan kanak-kanak termasuk tadika dan juga taska. Pihak berwajib, pihak pengurusan pusat jagaan, ibu bapa dan orang ramai harus sedia untuk berganding bahu mencari resolusi bagi mengelakkan berita sedih berulang kembali.

*Artikel ini ditulis secara umum dan bukannya ditujukan kepada mana-mana pihak.

Jan 10, 2012

Laptop 1Malaysia

SALAM 1Malaysia pembaca budiman. Kali ini ingin saya kongsikan perihal pemberian LAPTOP 1MALAYSIA kepada semua pelajar di Malaysia. Bukan isu baru, malah fasa terbaru pengagihan laptop 1Malaysia dalam proses akhir.

Saya melihat perkara ini dari 2 aspek utama iaitu KEBAIKAN, KEBURUKAN dan izinkan saya memberikan sedikit CADANGAN berhubungan perkara ini. Walau apapun, intipati yang saya luahkan ini hanyalah pendapat peribadi sahaja. Ia mungkin tidak selari dengan pandangan segelintir pembaca. Maaf.

KEBAIKAN
1. Pendedahan awal kepada para pelajar khususnya di luar bandar dan pelajar yang tidak mampu membeli komputer sendiri. Usaha ini amat murni untuk membantu pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan.

2. Dapat mengurangkan jurang digital antara pelajar bandar dengan luar bandar. Pengetahuan malah tahap celik IT pelajar luar bandar dapat dikurangkan.

3. Akses maklumat, berita dan perkembangan terkini yang bermanfaat dalam menambahkan pengetahuan pelajar.

KEBURUKAN
1. Pelajar yang masih mentah pemikirannya hanya menggunakan laptop untuk hiburan semata-mata. Download game, lagu atau video boleh melalaikan pelajar sehingga mengabaikan pelajaran.

2. Pemberian laptop berserta broadband memudahkan lagi sesetengah pelajar menerawang ka laman blog yang tidak sepatutnya terutama laman web lucah. Situasi ini sudah pasti memberi impak negatif terhadap pemikiran pelajar.

3. Pengaruh laman sembang sosial seperti facebook dan twitter begitu membuai perasaan sesetengah pelajar [yang cetek pemikirannya]. Kerana terlalu ghairah mencari kenalan, tidak kurang yang terperangkap sehingga terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan seks atau lari dari rumah.

CADANGAN

1. Pemberian laptop 1Malaysia dilihat kurang adil kerana terdapat pelajar yang tidak menerimanya. Alangkah eloknya jika kos laptop 1Malaysia ini disalurkan ke sekolah-sekolah untuk menaiktaraf Makmal Komputer sedia ada [semua pelajar boleh menggunakan kemudahan ini]. Sekurang-kurangnya, aktiviti penggunaan komputer di Makmal Komputer sekolah dapat dipantau oleh guru-guru.

2. Kos pengagihan laptop ini juga lebih bermanfaat kepada semua golongan jika digunakan untuk menaiktaraf alat bantu mengajar di kelas seperti LCD Projektor, skrin ataupun bahan multimedia yang lain. Bukan sahaja pelajar, malah guru juga dapat menggunakan kemudahan ini sekaligus dapat merangsang proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan.

3. Pemberian laptop 1Malaysia juga dilihat lebih sesuai diberikan kepada pelajar yang lebih matang terutama mereka yang menuntut di Matrikulasi atau IPTA. Pelajar di peringkat ini lebih memerlukan laptop untuk membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Walau bagaimanapun, kita merasakan wajar semua penerima laptop ini bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha murni untuk membantu golongan pelajar. Semoga semua penerima bertuah menggunakan kemudahan yang diberikan untuk tujuan baik selaras dengan hasrat murni kerajaan.

*Hanya pendapat peribadi penulis semata-mata.

Jan 6, 2012

Salam Rindu

Esther & Marya di bersiar-siar di taman sempena tahun baru...


Rasanya belum terlambat lagi untuk mengucapkan selamat tahun baru 2012 kepada semua pembaca budiman. Semoga di tahun baru ini kita beroleh kejayaan dan kebahagiaan lebih dari tahun sebelumnya. Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan dilindungi oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Sejuta kemaafan diucapkan kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini. Bukan apa, sudah lebih seminggu saya tidak update apa-apa info dalam blog ini. Bukan disengajakan tetapi ada kekangan yang menghalang;
1. Online begitu perlahan dan kadang kala tak boleh buka langsung [faktor musim hujan atau memang ada masalah talian].
2. Kesibukan membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2012. Banyak perkara kena difikir, dirancang dan dilaksanakan. Serabut kepala dibuatnya.

Apapun, lepas ini saya akan lepas gian di blog kesayangan saya ini [walaupun tidak sehebat mana hehe...]. Saya akan cuba memberikan info isu semasa yang berguna kepada semua terutama pelajar.



"Salam penuh kerinduan"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...