Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jun 29, 2012

Bahana Kemarau

Dalam artikel sebelum ini saya menjelaskan serba sedikit mengenai bencana kemarau. Kali ini saya ingin mengajak pembaca semua melihat bencana kemarau dari aspek kesannya terhadap kesihatan manusia.

Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, kemarau ialah kejadian hujan tidak turun di sesebuah kawasan untuk tempoh yang lama sehingga menimbulkan masalah panas @ suhu melampau dan krisis bekalan air. Masalah ini sudah pasti paling teruk dirasai oleh mereka yang belum mendapat bekalan air paip / bertapis.

Kanak-kanak  cenderung menghadapi kesihatan apabila  mereka terdedah kepada cuaca panas yang melampau. Selain itu, masalah bekalan air bersih juga menjurus kepada penggunaan air yang kurang bersih. Penggunaan bekalan air yang tidak bersih memudahkan seseorang itu terutama kanak-kanak terdedah kepada jangkitan penyakit seperti taun. Hal ini disebabkan oleh tahap keimunan kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa.

Perubahan cuaca juga menggalakkan pembiakkan mikroorganisma seperti bakteria dan virus. Keadaan ini sudah pasti memberikan kesan negatif kepada kesihatan manusia. Gelombang haba misalnya, boleh memudaratkan bahkan menyebabkan kematian, khususnya kepada pesakit jantung dan asma ( respiratori).

Justeru kita sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga semasa musim kemarau. Pastikan kita mengambil bekalan air yang bersih bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sebagainya. Kalau boleh, elakkan dari terlibat dengan aktiviti luar rumah yang terlalu lama kerana kemarau biasanya turut 'membawa' bersama jerebu. Perhatikan anak-anak anda agar tidak terdedah kepada sebarang risiko kesihatan.

Jun 24, 2012

Kemarau Datang Lagi

Bulan Jun sudah hampir ke penghujungnya. Cuaca panas kian membahang dan hujan jarang sekali turun. Itulah petanda bermulanya musim kemarau. Kemarau ialah satu tempoh cuaca kering yang berpanjangan dengan terdapat sedikit hujan atau tiada hujan langsung.  Kemarau mampu memberi kesan buruk kepada sesuatu kawasan [Wikipedia]

Kesan Fenomena Kemarau

1.     Menyebabkan persekitaran menjadi panas.

2.     Berlakunya pembakaran hutan secara semulajadi akibat daripada persekitaran yang panas udara kering

Contoh: kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera pada tahun 1997 akibat daripada fenomena El-Nino

3.    Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan habitat flora dan fauna,kemusnahan rantaian makanan [ekosistem] dan menyebabkan pembentukan jerebu.

4.    Menjejaskan ekosistem akuatik seperti paya, tasik dan kolam.

5.    Kemarau yang berpanjangan turut  menyebabkan kawasan gurun bertambah luas.

6.    Menyebabkan sumber bekalan air terjejas.

7.    Menjejaskan produktiviti pertanian terutama pertanian makanan seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Contoh: hasil pertanian di negara seperti Somalia dan Ethopia amat sedikit akibat bencana kemarau sehingga penduduknya mengalami kebuluran.

8.    Berlakunya krisis air  terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti di bandar-bandar besar.



Langkah-Langkah Mengatasi Krisis Air

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi krisis air ialah memajukan sumber air.

1.      Penggunaan air tanih amat mudah diperoleh dan murah

Contoh: Kawasan yang dikenalpasti hanya perlu digerudi dan dipam airnya untuk disalurkan ke loji pembersihan sebelum diagihkan kepada penduduk. Kos pengendalian ini jauh lebih murah berbanding kos pembinaan empangan.

Gambar hiasan
2.      Menjalankan aktiviti pembenihan awan

Larutan garam disemburkan ke atas awan Kumulusnimbus yang terletak pada ketinggian 800-6000 meter untuk menghasilkan benih awan sekaligus membawa kepada turunnya hujan.

3.      Membina laluan air

Laluan ini dibina bertujuan untuk memindahkan air antara lembangan

Sebagai contoh, terowong air yang pertama telah dibina menghubungkan Empangan Pedu danEmpangan Muda di Kedah yang dikenali sebagai Terowong Saiong pada tahun 1970.

4.      Penggunaan teknologi moden

Teknologi moden ini boleh digunakan untuk memproses air. Air  daripada tasik dan kolam tinggalan perlombongan bijih timah boleh diproses menggunakan teknologi dari Perancis iaitu alat ‘Ultra-Source’. Alat ini berupaya memproses air yang banyak.

Siapa Nak Kisah?

Hujung minggu ni balik kampung lagi. Jalan ke kampung yang masih tidak berturap [sekadar ditabur batu-batu jalan yang besar] bukan main berdebu lagi. Debu yang tebal dan pekat akan berterbangan apabila dilalui kenderaan apatah lagi saat kenderaan berpapasan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, untuk beberapa saat selepas berselisih dengan kenderaan lain, jarak pengelihatan tidak lebih dari LIMA METER SAHAJA. Bayangkan! Sangat bahaya kepada semua pengguna jalan raya.
 Pandangan yang diambil dari depan selepas berpapasan dengan kenderaan lain.
 Jalan raya yang tidak berturap, di kebanyakkan tempat tidak ubah bagaikan  jalan tanah liat.
Pemandangan yang diambil dari bahagian belakang kenderaan. Debu pekat yang menjejaskan jarak penglihatan.
Sepanjang perjalanan pergi dan balik, beberapa kali saya memberhentikan kereta di tepi jalan untuk menunggu debu menghilang. Memang bimbang memikirkan kenderaan yang mungkin berada di belakang mahupun yang datang dari arah bertentangan.
Lambang kemajuan vs lambang kemusnahan?


Tambah terkejut bila di suatu tempat, bertimbun kayu balak di tepi jalan. Alamak! Sejak bila pula wujud pusat memunggah balak ni? Jalan raya yang memang teruk bertambah parah bila dilalui lori-lori balak yang memang 'kurang ajar' bila berpapasan dengan kenderaan penduduk kampung. Siapa yang nak kisah?

Jun 17, 2012

Elektrik Pula Bila?

Semalam balik ke kampung. Walaupun gawai hari tu dah berkumpul dan bertemu emak tersayang, rasa rindu pula. Dalam perjalanan balik, nampaklah bangunan tangki air yang dibina tidak jauh dari rumah panjang tersergam kukuh. Masih di dalam pembinaan. Sebelum ni, kita guna air paip yang bersumberkan air gunung. Fresh dan menyegarkan!
Kalau bekalan air bersih sudah nampak 'tandanya', bekalan elektrik bila lagi? Setakat ni belum nampak bayang lagi. Takkan sudah lebih 50 tahun negara merdeka dan hanya tinggal 8 tahun lagi negara kita mencapai status negara maju, masih ada masyarakat yang belum menerima kemudahan elektrik!!! Setakat ini, generator masih menjadi punca kuasa elektrik. Penggunaannya bukan sahaja kurang praktikal tetapi juga mahal kos operasinya [harga bahan bakar yang tinggi dan masa operasi yang terhad]. Duhai YB-YB sekalian, tolehlah kami di sini walau untuk seketika!

Jun 15, 2012

Alam Inspirasi

Terasa free pulak setelah sibuk membersihkan dapur petang tadi. Anakku Esther sibuk dengan laptop mummynya. Si bongsu, Marya pula leka menonton cerita kartun kegemaran. Mummy pula sedang melipat pakaian. Memang free betul hehe... Sejenak, aku membuka membuka folder album gambar yang aku ambil sejak 2005. Seronok pula rasanya. Walaupun kualiti gambarnya tidaklah sebaik mana [maklumlah, kamera jenama biasa je] namun sekeping gambar menyimpan seribu makna.
Pemandang di belakang rumah [Bau, Kuching]
Pemandang di tepi sungai, bersebelah rumah [Bau, Kuching]
Sungai di depan rumah, jernih, sejuk dan menyegarkan. Setiap kali
balik ke kampung, Esther dan Marya pantang melepaskan peluang
mandi sungai.
Suatu ketika, sungai yang dulu jernih dan indah bertukar menjadi coklat dan
berkelodak gara-gara aktiviti penarahan bukit di kawasan hulu.
Pemandangan indah di belakang rumah [Bau, Kuching]

Sesungguhnya, keindahan alam semula jadi yang kita miliki hari ini harus dikekalkan demi kelestarian alam di samping dapat kita wariskan kepada generasi akan datang. Sikap sambil lewa dan tamak haloba menjarah kekayaan khazanah alam semula jadi seharusnya dikikis dari hati setiap daripada penduduk bumi.

Statistik Kes Buang Bayi

 

Amat mengejutkan apabila kita meneliti statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang kes buang bayi di negara kita sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, mendedahkan statistik yang merisaukan khalayak. Menurut Mohd. Bakri, berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 517 kes buang bayi direkodkan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Yang menakutkan kita ialah statistik ini dilihat semakin hari semakin bertambah dan belum menampakkan titik noktah yang kita harapkan. Buktinya, bagi tahun ini sahaja, statistik menunjukkan sebanyak 19 kes telah dilaporkan untuk bulan Januari yang jelas dilihat sebagai permulaan yang tidak sihat bagi tahun 2011 kepada kehidupan sosial masyarakat kita.

Daripada 517 bayi yang dibuang, 203 bayi lelaki, 164 bayi perempuan dan lebih menyedihkan lagi apabila 150 bayi lagi tidak diketahui jantinanya kerana dilahirkan ketika belum cukup sifat. Kes paling banyak dilaporkan pada tahun 2008 dengan 102 kes dan diikuti 91 kes pada tahun 2010. Sepanjang enam tahun tersebut, hanya 37 orang suspek sahaja yang berjaya ditahan untuk membantu siasatan termasuk empat orang pada tahun ini. Hal ini menunjukkan ramai pelaku jenayah ini yang masih bebas dan tidak dibawa ke muka pengadilan.

Statistik ini mencetuskan persoalan yang penting untuk perhatian semua pihak. Antaranya, apakah hala tuju kehidupan sosial masyarakat kita? Adakah kita mahu terus membiarkan gejala ini berlarutan dan menghantui kita? Apakah punca yang menyebabkan berlakunya gejala ini? Sejauh manakah pula masyarakat memainkan peranan dalam membantu menangani gejala ini?

Persoalan seperti ini sudah sering kali dilontarkan oleh pelbagai pihak sejak kes buang bayi menggemparkan masyarakat kita secara serius dalam tempoh dua tahun belakangan ini. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita masih gagal menangani gejala ini seperti yang diharapkan, malah banyak orang meramalkan kes buang bayi akan terus meningkat pada tahun ini. Walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran dianjurkan kerajaan, NGO, agensi yang berkaitan serta masyarakat, hasilnya masih belum membanggakan. Pendedahan statistik ini menyebabkan kita berasa ragu terhadap keberkesanan program tersebut.
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Dewan Masyarakat

Jun 12, 2012

Bukan Penamatnya!

"Saya masuk ke Tingkatan Enam kerana terpaksa. Ibu bapa yang suruh, padahal saya tak berminat untuk belajar lagi"

"Saya tak ada pilihan. Saya tidak sanggup bekerja membantu orang tua di kebun 'dll' "

" Kalau tak sambung belajar di Tingkatan Enam, emak bising, ayah pula tak bagi duit"

"Saya tidak layak memohon melanjutkan pelajaran ke IPTA"

"Malas nak duduk rumah"

"Masuk Tingkatan Enam dapat ramai kawan"

Begitulah antara alasan segelintir pelajar yang ditawarkan masuk ke Tingkatan Enam. Jika inilah faktor yang membawa mereka menjejak kaki ke T6, memang menyedihkan! Mereka masuk ke T6 bukan atas kehendak diri sendiri tetapi TERPAKSA. Melakukan kerja secara terpaksa amat membebankan.

Sebenarnya kita harus keluar dari kepompong sempitnya pandangan. Ibu bapa misalnya, tidak harus mengecilkan skop hala tuju masa depan anak mereka. Tidak masuk ke T6, tidak bermakna tidak ada masa depan. Menolak tawaran ke T6 bukan bererti hidup akan berakhir. Masih banyak ruang dan peluang lain yang mungkin selari dengan minat anak-anak kita. Tidak salah kita mengesyorkan anak-anak kita mengikuti kursus-kursus kemahiran yang semakin diperlukan dalam pasaran kerja pada masa ini.

Memaksa anak-anak untuk belajar di T6 tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, malah mungkin mendatangkan kesan seperti anak-anak mendapat keputusan peperiksaan yang teruk. Logiknya, jika keputusan teruk, sudah pasti sukar untuk mereka bersaing masuk ke IPTA atau pasaran kerja. Setahun setengah terbazir begitu sahaja.

Minat anak-anak perlu diambil kira. Ibu bapa seharusnya peka dengan naluri anak-anak dan memberi bimbingan dan galakkan yang sewajarnya. Kecenderungan anak-anak wajar diberi perhatian, dan sokongan ibu bapa memberi kesan yang amat positif kepada usaha anak-anak.

Walau apapun, bukan bermakna saya pesimis terhadap pelajar yang masuk ke T6. Pengalaman mengajar T6 banyak memberi pengetahuan baru. Memang ramai yang layak dan patut menerima tawaran masuk ke T6. Golongan ini bukan sahaja layak dari segi akademik tetapi juga mempunyai semangat yang tinggi. Cuma yang menjadi masalah ialah apabila terdapat segelintir pelajar yang menjadikan T6 sebagai tempat escapisme atau transit. Bukankah ianya sia-sia sahaja.

Tuntasnya, kejayaan ada di mana-mana. Lorongnya mungkin berliku tetapi penghujungnya menjanjikan madu. Peranan kita ialah berusaha menemukan lorong-lorong tersebut. Bertindaklah secara bijak dan berfikirlah secara waras agar tidak tersesat di tengah jalan.

Jun 7, 2012

Berita Baik

Semalam saya mengikut Taklimat Pendaftaran Secara Online Sistem Pentaksiran Baharu STPM. Seronok juga dapat bertemu rakan-rakan dan menambah kenalan baru. Banyak informasi diperoleh terutama berkaitan dengan pendaftaran pelajar dan juga Pentaksiran Berasaskan Sekolah. 11 Jun ini bermulalah SPB STPM. Berita baik, buku rujukan sudahpun berada di pasaran. Guru-guru dan para pelajar sudah boleh menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, lenyaplah sudah kegelisahan tentang ketiadaan buku rujukan.Apa lagi, dapatkan di kedai berhampiran rumah anda! Hehe
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...