Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jul 29, 2012

Emas Pertama Malaysia?

Temasya Olimpik yang bermula semalam menyaksikan tirai pembukaan yang gilang-gemilang. Jutaan penonton terpancing untuk menyaksikan siaran pembukaan yang dianggap 'terbaik' setakat ini. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk sama-sama 'merasai' kehebatan dan kemeriahan acara pembukaan melalui siaran di tv. Rasa bangga dan megah melihat kontingen  Malaysia yang didahului oleh Pandalela Rinong melangkah penuh bergaya sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Walaupun hanya sepintas lalu, tergambar senyuman penuh semangat atlit negara yang membawa harapan dan impian 27 juta rakyat Malaysia untuk melihat sekurang-kurangnya sebutir pingat emas dibawa balik.

Persoalannya, mampukah impian ini dijelmakan menjadi sebuah realiti dan bukannya mimpi ngeri lagi? Perjuangan ini pastinya begitu payah, penuh onak dan duri. Kalau tidak, masakan penembak terbaik wanita negara kita awal-awal lagi sudah ditunjukkan jalan balik ke Malaysia.

Maaf, saya bukanlah bersikap pesimis ataupun memperkecilkan kemampuan atlet kita. Tidak ada yang mustahil dan kita juga punyai slogan keramat pembakar semangat iaitu Malaysia Boleh! Tetapi realitinya, persaingan begitu hebat. Sesetengah atlet kita yang mewakili negara pula masih terkial-kial untuk menonjolkan diri di peringkat Asean apatah lagi bersaing di peringkat DUNIA! 

Sekali lagi saya mohon maaf. Mungkin harapan kita banyak disandarkan ke bahu pemain badminton utama kita, Datuk Lee Chong Wei. Tetapi DLCW juga berdepan dengan ranjau yang berliku walaupun dikatakan laluannya kali ini lebih mudah. Dibayangi isu kecederaan dan masalah keluarga, DLCW juga pasti tambah tertekan dengan kehadiran dua seteru utamanya iaitu Cheng Long dan Lin Dan. Mampukan DLCW menggalas tugas maha berat ini?

Bagaimana atlet-atlet negara yang lain? Mungkin emas agak sukar dijangkau, tetapi sekurang-kurangnya biarlah kita dihadiahkan dengan pingat tak kira apapun warnanya. Bukan satu perkara yang mustahil jika ada di antara wakil negara kita mampu menyerlah di persada Olimpik London 2012. Malaysia Boleh!

Apapun kita berharap agar berlaku magik yang mungkin membantu kita merealisasikan impian kita selama ini. Perak dan gangsa sudah kita miliki, kita berharap agar kali ini lagu Negaraku berkumandang di bumi London! Biarlah tahun 2012 menjadi tahun bersejarah buat negara kita dalam gelanggang Olimpik. Semoga ganjaran besar yang menanti atlet Malaysia bisa menyuntik semangat mereka untuk melakukan yang terbaik demi MALAYSIA.

Senarai atlet negara dan acara yang disertai.
AKUATIK: Terjun
Bryan Nickson Lomas: 3m papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal seirama, 10m platform individu
Yeoh Ken Nee: 3m papan anjal individu lelaki
Huang Qiang: 3m papan anjal seirama
Pandelela Rinong: 3m papan anjal seirama wanita, 10m plaftform individu, 10mpapan anjal seirama.
Leong Mun Yee: 10m platform seirama wanita
Traisy Vivien Tukiet: 10m platform individu wanita
Cheong Jun Hoong: 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
Wendy Ng Yan Yee - 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
AKUATIK: Renang
Khoo Cai Lin: 800m gaya bebas wanita
Heidi Gan: 10km laut terbuka
BADMINTON:
Datuk Lee Chong Wei: Perseorangan lelaki
Tee Jing Yee: Perseorangan wanita
Koo Kien Keat/Tan Boon Heong: Beregu lelaki
Chan Peng Soon/Goh Liu Ying: Beregu campuran
BERBASIKAL: Trek
Mohd Azizulhasni Awang: Keirin, 200m pecut lelaki
Josiah Ng: Keirin, 200m pecut lelaki
Fatehah Mustapa: Keirin wanita
BERBASIKAL: Lebuh Raya
Mohd Adiq Hussainie
Amir Mustafa
LAWAN PEDANG:
Yu Peng Kean: Sabre individu
MEMANAH:
Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin: Berpasukan/IndividuRecurve
Nurul Syafikah Hashim: Recurve individu wanita
MENEMBAK:
Nur Suryani Mohd Taibi: 10m air rifle wanita
KAPAL LAYAR:
Khairulnizam Mohd Affendy: Laser Standard
OLAHRAGA:
Lee Hup Wei: Lompat Tinggi lelaki
Noraseela Khalid: 400m lari berpagar wanita

Jul 27, 2012

Kahwin Muda

Dalam  HeyBro dua tiga hari lepas, saya ada keluarkan artikel berkenaan kahwin muda. Kebetulan pula hari ini Harian Metro memaparkan kisah perkahwinan pasangan muda di Pekan, Pahang. Pengantin lelaki baru berusia 16 tahun manakala pasangannya berusia 14 tahun. Youtube perkahwinan tersebut sudahpun mencatatkan lebih setengah juta pengunjung @ penonton. Menurut ayah pengantin lelaki, perkahwinan muda bukan perkara asing dalam keluarga mereka bahkan dia sendiri berkahwin pada usia 19 tahun.
Tidak ada salahnya berkahwin muda [kepada semua]. Itu hak peribadi. Pastinya kita ada alasan yang tersendiri. Cuma saya tertanya-tanya, dapatkah kita  mendaftarkan perkahwinan  memandangkan usia  masih di bawah umur. Saya sendiri kurang pasti tentang soal ini. Mungkin ada pembaca yang lebih arif, boleh berkongsi dengan kita.
Mengambil keputusan berkahwin pada usia muda merupakan keputusan yang berat bagi pada pendapat saya. Banyak pro dan kontra yang perlu kita nilai dengan teliti. Semua aspek perlu dipertimbangkan dengan rasional agar tidak menyesal di kemudian hari.  Banyak  persediaan yang harus kita buat bila melangkah ke alam rumah tangga. Pembaca yang sudah berumah tangga pasti memahami perkara yang saya sebutkan ini.
Saya tabik kepada mereka yang mengambil keputusan untuk berkahwin di usia muda. Anda betul-betul pejuang yang berani! Semoga bahagia ke akhir hayat.

Jul 23, 2012

Tanggang Moden

Saya sangat tertarik dengan sebuah artikel yang dimuatkan di dalam Harian Metro hari ini ‘Dosa Tanggang dibalas tunai’

Alkisahnya, seorang anak yang pernah mengabaikan ibunya [menghalau ibunya dari rumah sehingga ibunya pernah bermalam di kandang kerbau sebelum dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat] kerana terlalu mengikut telunjuk isteri. Akhirnya, si anak itu sendiri menjadi penghuni Rumah Sejahtera [bersebelahan bilik tempat ibunya duduk setelah dihalau dari rumah] selepas da sendiri diabaikan oleh anak dan isteri.
Itu hanyalah secebis kisah Tanggang Moden. Sebenarnya banyak lagi kes serupa yang pernah berlaku di Negara kita. Anak-anak sanggup membuang ibu bapa, meninggalkan ibu bapa di hospital, mengabaikan ibu bapa tanpa sekelumit rasa kasih.

Kadang-kadang kita terfikir, bagaimana masyarakat kita yang dikatakan penuh adab sopan dan kasih sayang tergamak memperlakukan orang tua mereka sedemikian rupa? Lupakah mereka, tanpa orang tua, mereka tidak akan ada di muka, menikmatikan kehidupan ini! Tidakkah mereka sedar akan pengorbanan besar kedua-dua orang tua membesarkan mereka sehingga dapat bersuami dan beristeri, ada yang menjadi jutawan.
Di manakah naluri kemanusiaan? Di manakah nilai kasih sayang?  
Kita tidak boleh menunding jari kepada orang lain atau menyalahkan takdir atau sebagainya bila berlakunya kes pengabaian orang tua. Kita tidak boleh menyalahkan isteri atau suami kita. Kita tidak boleh menyalahkan tuntutan kerja kita sehingga kita terlalu sibuk untuk menjaga mereka. Kita juga tidak boleh menganggap menghantar orang tua ke rumah kebajikan sebagai tanda kita menyayangi mereka! Pasti ada cara yang lebih baik untuk memastikan orang tua kita tidak terabai.

Jika ibu bapa mampu menjaga sepuluh orang anak, kenapa 10 orang anak tidak mampu menjaga orang tua mereka? Saya percaya, pengakuan ‘rela’ dihantar ke rumah kebajikan yang terpacul dari mulut orang tua kita adalah perkataan paling berat untuk diungkapkan. Tidak ada ibu bapa yang sanggup dipisahkan dari anak cucuknya ‘sebelum waktunya’. Jadi, mengapa kita terlalu mudah menganggap ‘rela’ tadi sebagai sesuatu yang betul-betul rela? Pasti orang tua kita ingin menghabiskan hari-hari tua mereka bersama anak dan cucu mereka!

Marilah kita ingatkan diri kita, betapa wajarnya kita menjaga dan membahagiakan orant tua kita selagi hayat mereka, Jangan setelah ketiadaan mereka barulah kita menyesal. Pada waktu itu, penyesalan sudah tidak bernilai walau 1 sen pun!!!


Jul 21, 2012


Bila tiba bulan Ramadhan @ bulan puasa, aku suka @ teruja sangat dengan dua perkara iaitu;

1. Pasar / Bazar Ramadhan.
Semua tahukan, masalah nilah nak merasa pelbagai jenis juadah. Sedap-sedap pulak tu, sampai rambang mata dibuatnya.

2. Lagu-lagu raya.
Bab yang ni aku memang tangkap syahdu. Aku minat sangat dengan lagu2 seperti Dendang Perantau, Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran, Suatu Hari di Hari Raya dan Selamat Hari Raya....

Teringat geng2 PAKAN aku 2001 - 2005
Muhibah Beden & Family
Hamsi Hasenan
Hisham 'Abang Long'
Abu Khuaraiah & family
Apai & Family
Kak Imah & Family
Lela
Rosnani 'Cik Ros'
Ainie
Zarilah
Yaakub

Rindunya....moga kalian bahagia dan gembira bersama keluarga tercinta...

Say No to MerCUN

Jul 18, 2012

Telefon Bimbit Dibawa Ke Sekolah?

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar sekolah berkemungkinan dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013. Reaksi pelbagai pihak ternyata bercampur. Ada pihak yang menyatakan bahawa ia adalah satu langkah yang perlu diteruskan dan ada pula yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.


Perkara sebegini wajar diteliti dengan mendalam. Sesi rundingan dengan pelbagai pihak yang berkaitan wajar dilakukan untuk mengetahui maklum balas yang jujur dan telus. Kita pasti tidak mahu perkara ini akan menimbulkan banyak kesan yang mungkin kita tidak dapat bayangkan. Penilaian menyeluruh dari pelbagai aspek wajar dilaksanakan. Kita tidak boleh menyempitkan perspektif kita kepada satu aspek sahaja sedangkan aspek yang lebih dominan kita abaikan.

Kebaikan
1. Faktor keselamatan: Salah satu rasional terpenting dalam membuat cadangan ini ialah faktor keselamatan lebih-lebih lagi kes penculikan yang kian membimbangkan. Para pelajar boleh memaklumkan kepada ibu bapa dengan segera jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini atau dijangkakan. Selain faktor keselamatan, ada tak faktor lain yang memungkinkan kita bersetuju dengan cadangan ini?

Keburukan
1. Kes kecurian telefon mungkin berlaku dan boleh menjadi isu jika ibu bapa campur tangan sehingga pihak sekolah dipersalahkan.
2. Penyebaran unsur pornografi seperti gambar, video klip 3gp dan SMS berunsur lucah boleh berlaku dengan mudah dan pantai sehingga menjurus kepada masalah sosial yang semakin serius.
3. Penyalahgunaan telefon bimbit juga boleh berlaku. Walaupun dicadangkan bahawa telefon bimbit hanya dibenarkan digunakan ketika diluar waktu kelas, tidak mustahil ada anak-anak kita yang nakal membawanya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Mengambil gambar atau video guru, SMS dengan rakan-rakan mahupun bermain game adalah perkara yang tidak mustahil akan berlaku. Bukankah ini akan menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar sekaligus mengganggu kelancaran proses P&P?

Sebenarnya cadangan ini lebih banyak mendatangkan kesan negatif kepada pelajar dan sekolah kahsnya. Walaupun nawaitu kita murni tetapi kita tidak mampu untuk menyembunyikan hakikat yang terpaksa kita hadapi kelak. Jika cadangan ini diluluskan, kita berharap agar adanya satu undang-undang atau peraturan yang khusus untuk mengurangkan kesan negatif pelaksanaan cadangan ini.

Jul 17, 2012

Cinta Warga Asing

Terkejut dan sedih!
Itulah perasaan bila membaca berita yang dipaparkan di dalam akhbar-akhbar utama dan beberapa akhbar lain hari ini.




 Gambar: Siti Norzana Nordi


Penderitaan mereka bermula apabila Nordi (57 tahun) mengahwini isteri keduanya (pada tahun 2010) selepas isteri pertama menghilangkan diri. Dia membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Indonesia bagi memulakan kehidupan bersama isteri serta keluarga mentuanya namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.

Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000 dan dia serta empat anaknya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu mentuanya sebelum dia kembali ke tanah air bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat beradik itu.

Nordi kini diperas ugut keluarga terbabit sebagai sumber kewangan mereka dan anaknya dianggap seperti beban dan tidak dilayan dengan baik. MyMetro.

Ini bukanlah kes pertama yang melibatkan warganegara kita ditipu oleh pasangan warga asing mereka. Sebelum ini kita pernah dikecohkan dengan kes anak-anak gadis kita termasuk gadis bawah umur dilarikan oleh jejaka Lombok atas nama "adat tradisi". Tidak kurang yang menderita dan minta bantuan untuk kembali ke Malaysia.

Walaupun masih dianggap kes terpencil, tetapi perkara ini tidak patut dipandang sebelah mata. Statistik kes seumpama ini sentiasa menunjukkan peningkatan walaupun bukan di tahap kritikal. Tetapi perlukah kita menunggu keadaan menjadi lebih parah baru bertindak? Mencegah itukan lebih baik daripada mengubati.

Individu terutamanya anak gadis ataupun mereka yang merancang untuk berkahwin dengan warga asing harus berfikir dengan rasional. Timbang baik buruknya dan selidik latar belakang pasangan sebaik mungkin. Kita tidak mahu warga kita tertipu seperti yang berlaku kepada Nordi Adi. Lebih menakutkan jika kita tertipu dengan sindiket yang mengumpan anak-anak gadis kita untuk dijadikan keldai dadah mahupun pelacur. Para ibu bapa harus perihatin dengan situasi seumpama ini.

Dalam kes Nordi Adi, salah seorang anaknya, Siti Norzana Nordi didakwa sudah dijual kepada orang ketiga sehingga membantutkan usaha Biro Komuniti Pemuda UMNO untuk membawa gadis cilik tersebut kembali ke pangkuan bapa kandungnya. Justeru usaha yang lebih teratur harus diambil bagi memastikan anak-anak beliau dapat dibawa balik ke Malaysia. Pihak kerajaan melalui duta mahupun kementerian boleh mengadakan rundingan dengan kerajaan Indonesia untuk menyelesaikan kes ini.

Jul 16, 2012

Jul 14, 2012

Sepakat Membawa Berkat

Tanggal 13 Julai lepas [Jumaat],  pengurusan Tingkatan SMKK telah menganjurkan Hari Permuafakatan Pelajar Tingkatan Enam. Tahun 2012 ini merupakan tahun ketiga pengurusan T6 menjayakan program ini. Lebih kurang 95% pelajar membawa ibu bapa atau penjaga masing-masing.





Antara pengisian program ini ialah;
i. Ucapan PK T6
ii. Pembentangan analisis pencapaian pelajar T6
iii. Penyampaian hadiah kepada pelajar Top 5, pelajar terbaik setiap subjek, pelajar yang menunjukkan peningkatan dalam Peperiksaan Penggal Pertama dan anugerah khas kepada pelajar yang menunjukkan  peningkatan dalam 4 kali peperiksaan [sejak T6 Bawah]
iv. Slot 'Mohon Restumu'
v. Slot menandatangani buku laporan akademik pelajar oleh ibu bapa masing2.

Pentingkah Program Sebegini?
Secara peribadi saya berpendapat program ini sangat releven untuk diadakan. Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan guru-ibu bapa - pelajar malah mampu menyelesaikan isu yang selama ini mungkin menghantui hubungan sekolah dengan para ibu bapa. Melalui program seumpama ini, ibu bapa boleh terlibat secara langsung dalam perkembangan akademik anak masing2. Mereka boleh bertanya secara langsung kepada guru-guru berkenaan sikap, disiplin dan prestasi akademik anak masing-masing.  Hubungan rapat antara pihak sekolah dengan masyarakat luar [ibu bapa] diharapkan dapat membantu membanteras masalah disiplin dan penyakit sosial yang semakin menular dalam kalangan pelajar sekaligus melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaranya.

Bukan bermaksud menidakkan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG] tetapi saya berpendapat, program permuafakatan sebegini lebih 'dekat' dengan kelompok sasaran berbanding fungsi Persatuan Ibu Bapa dan Guru [PIBG]. Para ibu bapa boleh bertemu secara terus atau bersemuka dengan ibu bapa sekaligus mengadakan perbincangan dua hala yang lebih mesra dan berkesan.

Jul 11, 2012

Sayang Sarawak


Pagi tadi, Program Klinik STPM SeMeKaR bagi subjek Sejarah berjalan lancar seperti yang dirancang.  Guru yang dijemput ialah guru pemeriksa kertas dari SMKS. Memang berbaloi menjemput guru berpengalaman luas seperti beliau. Sepuluh tahun menjadi guru pemeriksa kertas sejarah STPM membolehkan beliau berkongsi ilmu dan tips berguna kepada para pelajar dan juga guru sejarah. Dua jam bengkel bersama beliau sungguh tidak terasa.
Satu perkara yang menarik tentang beliau ialah kesanggupannya bermastautin di Sarawak untuk tempoh yang begitu lama. Sudah 17 belas tahun beliau mengajar di Sarawak. Satu tempoh yang begitu lama [Dah terer berbahasa Iban hehe…]. Bukan tidak ada, tetapi jumlah guru dari negeri lain yang sanggup mengajar berbelas tahun di Sarawak amat kurang melainkan guru tersebut berkahwin dengan orang tempatan. Saya dimaklumkan bahawa isteri beliau juga berasal dari semenanjung.
Secara ikhlas, saya menyanjungi orang seperti ini. Bagi beliau, tugas mendidik anak bangsa di ceruk mana sekalipun adalah keutamaan. Inilah jati diri mulia yang patut tersemat di dalam jiwa setiap warga pendidik [bukannya mengajar sebulan dua kemudian berkahwin di tempat asal agar ada alasan untuk memohon pertukaran. Maaf ye, memang tak manis nak menyebut semua ini tetapi ini realiti yang berlaku. Terdapat kes di mana guru tersebut hanya sempat berada di sekolah yang beliau ditempatkan selama seminggu. Beliau langsung tidak berkesempatan masuk ke kelas kerana sibuk menguruskan permohonan pindahnya.  Pelajar tak sempat kenal nama pun, guru dah berpindah.]
Berbalik kepada kisah guru pemeriksa kertas tadi, syabas kerana anda masih menjunjung prinsip dan ikrar pendidik.  Semoga terus menjadi contoh kepada pendidik generasi baru.

Jul 8, 2012

Winci Juara Selebriti Masterchef Malaysia?

Winci...

Pasti ramai yang dah kenal dengan amoi seorang ni sekarang [aku sendiri pun baru dengar nama dan kenal rupa amoi ni]. Maklumlah, sejak dah join program Selebriti Masterchef Malaysia namanya mula meniti di bibir para penonton rancangan tersebut. Lebih kurang jam 9.50 malam tadi beliau diumumkan sebagai pemenang bagi cabaran minggu ini sekaligus melayakkannya masuk ke final secara automatik. Tahniah Winci...

Sebenarnya aku tabik spring sangat dengan dia ni. Cantik memanglah cantik. Aku tak sangka dia ni pandai masak apatah lagi berjaya masuk ke final. Tapi bila aku dengar komen positif daripada juri-juri tadi aku percaya dia akan menang walaupun dia tak pernah dengar lagu yang menjadi tema masakannya, Dari Sinar Mata.

Siapa lagi yang layak ke final? Entahlah, aku suka dengan kelima-lima peserta tersebut. Bukan apa, suka tengok diaorang daripada 'blur' dengan tugasan yang diberikan tetapi akhirnya dapat menghasilkan masakan yang penuh kreativiti. Cuma rasa tak begitu adil sebab Juliza Adlizan boleh dikatakan jauh lebih pakar dan berpengalaman dalam dunia dapur memandangkan beliau sendiri ada buku resipi. Berbanding Juliza, yang lain nampaknya agak 'kureng' [selain Farouk yang berpengalaman luas dalam 'merasa' masakan / makan pelbagai masakkan sebelum ini hehe...].

Apapun, semoga sukses kepada semua peserta!

Jul 7, 2012

Alkisah si pelupa

Koleksi Majalah LAMAN
[Dah kumpul majalah Laman sejak dari Edisi Pengenalan lagi]

Semalam kami sekeluarga jalan-jalan ke Bandar Sibu. Cari hadiah untuk para pelajar Tingkatan 6 yg mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penggal Pertama lepas. Sing Kwong Mall, Delta Mall dan Farley Shopping Complex habis diredah. Syukur anak-anak tidak banyak karenah. Langsung tidak mengadu letih. Cuma saya dan wife yang letih bila tiba di bahagian stationery, letih mendengar anak-anak memujuk rayu nak beli itu nak beli ini. Beli jugalah, lagipun dia orang cuma nak beli buku dan alat tulis je. Sekurang-kurangnya dia orang bersemangat untuk belajar.

Pukul 4.00 petang, Premier Shopping Mall menjadi destinasti. My wife kata nak beli baju. Biasalah kalau perempuan beli barang, belek sana belek sini, belinya tidak [Oppsss... sorry orang perempuan]. Akhirnya, setelah aku mengadu kaki naik penat [triklah tu, tak baik sungguh!] barulah misi membeli baju berjaya. My wife beli 2 helai, cukuplah daripada jalan-jalan kemudian tak beli apa-apa.

Tiba-tiba teringin pula nak tengok wayang [terdapat di atas Premier Shopping Mall]. Tanpa dirancang, kami berlima termasuk seorang anak buah saya beli tiket cerita Cina, The Ressurection Painted Skin II. Boleh tahan le citernya. Biasalah kalau citer lawan-lawan Cina memang banyak special effect.

Habis tengok wayang, singgah di kedai buku. Tetiba mata aku tertangkap majalah Bonus Anjung Seri Edisi ke-11. Tanpa berlengah, aku terus beli. Puas hati tak terkira sebab aku ni memang kaki majalah. Kalau dulu aku melanggan majalah Anjung Seri dan Impiana tapi kini tak lagi [bukan dah tak minat tapi... hatiku dah ditawan oleh Majalah LAMAN hehe... Setiap keluaran aku mesti beli]. Sekarang ni aku beli Impiana Edisi Bumper dan Anjung Seri Edisi Bonus je hehe. Semua majalah tu aku simpan elok-elok dalam rak kaca.
Pelanduk dua serupa...memang sama pun!

Berbalik kepada majalah Anjung Seri Edisi 11 yang aku beli tadi... Sampai di rumah barulah aku perasan. Opss! Rupanya aku dah beli dah edisi bonus tu! Halamakkk.... kenapa aku boleh lupa? Aku dah beli majalah tu sebulan dua yang lepas. Hemsss melayang juga RM22.00, terbeli edisi yang sama. Nak buat camna, dah nasib badan aku si pelupa!


Jul 4, 2012

Kesan Sinetron Indon


Bukan bersikap anti, jauh sekali menaruh  benci tetapi saya terpanggil untuk menulis isu ini walaupun ia bukan isu yang baru. Sebelum ini, pengiat dan peminat seni di negara kita sudahpun heboh dan kecoh dengan isu lambakan hasil karya negara seberang ataupun tepatnya, Indonesia. Pelbagai reaksi tercetus. Ada yang mengatakan ia fenomena yang membimbangkan tetapi ada juga yang lebih liberal penerimaannya.

Cuma satu perkara yang memang tidak berkenan di hati saya adalah lambakkan sinetron Indonesia di kaca tv Malaysia. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan anti karya dari Indonesia. Saya boleh layan muzik dari sana kerana melodi dan liriknya memang menarik dan puitis. Walau bagaimanapun, keadaan agak berbeza bila saya nilaikan sinetron yang disogokkan kepada kita. Satu perkataan yang boleh saya gambarkan tentang sinetron-sinetron dari Indonesia ialah MERAPU! Maaf ya kepada penggemar sinetron Indonesia!

Maaflah, saya tak hafal tajuk-tajuk sinetron yang ditayangkan. Cuma yang terbaru saya ingat ialah Putri Yang Ditukar dan Nada Cinta. Itupun saya tengok sepintas lalu dan secara kebetulan. Kita dah dapat agak bagaimana jalan ceritanya. Plotnya pasti berjela-jela, meleret-leret dan nampak sangat sengaja dibuat-buat. Watak baiknya pasti terlalu baik, tak ubah bagaikan malaikat. Langsung tidak melawan jika dihina atau diseksa. Watak jahatnya pula lebih jahat daripada iblis. Tidak berhati perut. Logik ke ada manusia macam itu? Sebaik-baik manusia, pasti ada perasaan melawan jika diperlakukan seperti binatang dan sejahat-jahat manusia, pasti ada naluri kemanusiaan. Itu belum lagi termasuk jalan cerita yang memang tidak logik, banyak tahyulnya.

Selain itu, penggunaan bahasa yang kesat dan kasar serta tingkah laku yang tidak masuk akal juga wajar kita ambil perhatian. Kita tidak mahu anak-anak kita terbiasa dengan bahasa Indon sehingga bercakap pun ala-ala Indon. Apalah nak dibanggakan sangat bercakap dengan slang sebegitu. Cuba perhatikan pula cara berpakaian dan pergaulan yang ditunjukkan dalam sinetron tersebut. Skirt pelajar sekolah bukan main singkat.  Fesyen rambut, solekkan dan cara pergaulan tidak menunjukkan itu budaya yang sepatutnya bagi orang timur apatah lagi seorang pelajar. Adakah kita sedar budaya tersebut akan diserap oleh anak-anak muda kita?

Saya tidak ingin membincangkan hal ini dari aspek penggiat seni kerana saya lebih melihat dari aspek kesan negatif lambakan sinetron Indonesia di tv Malaysia. Saya sendiri hairan dengan sikap stesen-stesen tv yang seolah-olah berlumba untuk menayangkan sinetron yang saya rasa langsung  tidak menekankan aspek moral dan norma masyarakat. Drama-drama tempatan jauh lebih berkualiti daripada sinetron 'entah apa-apa' yang disogokkan ke negara kita.

Di manakah sikap prihatin dan tanggungjawab sosial stesen-stesen tv kita? Tidakkah mereka sedar akan impak negatif yang dibawa masuk dalam sinetron-sinetron tersebut ke atas masyarakat kita? Atau kerana mengejar keuntungan semata-mata, nilai murni dan estetika bukan lagi keutamaan. Pihak kementerian  dan badan-badan berkaitan harus meneliti perkara ini dengan jujur dan peka jika tidak ingin stesen tv dan minda masyarakat kita dijadikan sebagai tapak pembuangan sampah sarap dari seberang!

Jul 1, 2012

Telah Ku Katakan dulu...



Tiang elektrik: Jangan tertipu kerana hanya sebahagian kawasan / rumah panjang yang menikmati kemudahan tersebut. Masih banyak rumah panjang dan sekolah di sepanjang Jalan Ulu Awik yang belum menerima kemudahan bekalan elektrik. Sampai bila keadaan ini akan berlarutan?
Sekalung pujian kepada wartawan Andy Sabang dari Utusan Borneo...

Catuan Air Akibat Kemarau

Apa yang paling saya khuatiri akhirnya terjadi juga. Sejarah tahun 2009 berulang lagi. Daerah Kecil Roban - Kabong akhirnya mengalami musibah akibat kemarau. Tengah hari tadi saya dimaklumkan bekalan air akan ditutup petang ini. Bekalan air hanya akan disalurkan pada waktu-waktu tertentu bagi membolehkan 'bekalan' sumber air di loji penapisan bertambah. Kalau kemarau bertambah teruk, tidak mustahil bekalan air akan terputus dan sekolah akan mengambil cuti 'darurat'. Jika ini yang terjadi, susahnya tak terbayangkan. Proses pengajaran dan pembelajaran terjejas disaat-saat program menjelang PMR, SPM dan STPM baru bermula. Aktiviti harian juga terganggu. Air merupakan keperluan asas yang cukup penting dalam kehidupan harian. Biarlah kemarau kasih asalkan tidak kemarau air!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...