Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Aug 30, 2012

Selamat Hari Merdeka!!!
 
Marilah kita anak Malaysia
menadah tangan tanda berdoa
semoga Malaysia aman sejahtera
terhindar dari segala bahaya
rakyat bersatu tiada sengketa
melangkah maju menuju jaya
 



Aug 29, 2012

Sikap Orang Kita

Apa khabar semua? Harap-harap semuanya sihat sejahtera, tersenyum ceria di samping keluarga tercinta. Dah beberapa hari tak menulis di ruangan kesayangan hamba ini. Alasan biasa, sibook! Boleh caya ker?

Kali ni nak kongsi sedikit dengan pembaca semua tentang sikap orang kita. Bukan semua ye, segelintir sahaja! Sikap segelintir inilah yang memberi imej kurang manis kepada semua. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, habis semua benda terpalit. Ha... begitulah lebih kurang mukadimah berkenaan cerita yang ingin aku kongsikan.

Cuti lepas, kami anak beranak mengambil peluang berjalan-jalan di sebuah pasaraya. Tempat parking yang strategik semuanya sudah penuh. Pusing punya pusing, terjumpa sebuah tempat parking kosong. Kira-kira 20 meter dari pintu masuk pasaraya. Masuk aje, bunyi bingit suara manusia bergabung dengan pelbagai jenis muzik. Riuh rendah jadinya. Happening! Anak-anak gembira tak terkata.

Setelah selesai membeli barang keperluan, aku menyorong sebuah troli yang hampir penuh. Agak banyak juga barang yang dibeli. Semasa memunggah barang ke dalam kereta, aku terpandang sebuah keluarga kecil [suami isteri dengan dua orang anak yang berumur bawah 10 tahun, lebih kurang]. Si suami menyorong troli. Si isteri sibuk mengelap peluh @ minyak di muka. Selepas mengelap, dengan selamba si isteri mencampakkan tisu muka tadi ke jalan. Hati aku berbisik [busy body betul], hamboiii.... Baik punya tabiat!

Si suami pula mengangkat dua plastik kecil [tak sampai 3 kilo kot] dari dalam troli lantas bergerak menuju ke kereta. Kereta pacuan 4 roda, Hilux lagi! Troli ditinggalkan begitu sahaja di tempat parking. HAMBOiiii.... baik punya perangai! Aku pulak terlebih geram. Macamlah aku baik sangat hehe. Tapi aku memang tak pernah tinggalkan troli macam tu. Itu aku boleh jamin. Walaupun tak ada sesiapa yang menegur tetapi rasa malu pula nak berbuat demikian.

Tabiat ni boleh dilihat di mana-mana pasaraya @ gedung membeli-belah. Kadang-kadang, nak parking pun sudah sebab troli dah parking awal-awal di petak parking. Rasa geram pula. Dah tahu barang tak banyak mana, tak perlulah guna troli bagai. Kalau pun nak pakai troli, pandai-pandailah hantar ke tempat yang disediakan.  Tapi siapalah aku nak betulkan keadaan. Aku hanya mampu pesan dengan anak isteri agar jangan amalkan tabiat tersebut.

Haaa... begitulah cerita tentang sikap @ mentaliti orang kita. Itu hanya secebis kisah. Banyak lagi tabiat kurang manis yang kita lakukan dan kadang kala memang kita sengajakan. Tak elok kan?Kepada pembaca semua, jadilah warga Malaysia yang menjunjung nilai-nilai murni. Takkan kita mahu dicop sebagai warga yang kurang kesedaran sivik!




Aug 23, 2012

Kongsi Hobi

Selamat bertemu kembali.
Seperti yang aku khabarkan dalam artikel sebelum ni, minat aku tentang fotografi ni memang dah menebal sejak lama lagi. Tapi hanya baru-baru ini aku mampu menzahirkan mimpiku dengan membeli kamera model Nikon [Sebelum ni pakai kamera digital biasa jer]. Bukan model terkini, tapi cukuplah sekadar untuk suka-suka. Nak beli yang mahal, aku tak mampu.

Aku suka sangat dengan alam semula jadi. Mungkin kerana aku memang dilahirkan di pedalaman yang dikelilingi kehijauan. Dan keindahan alam itulah yang aku potretkan dengan lensa kameraku. Memang hasilnya tidak seperti orang yang pro ataupun mereka yang dah lama berkecimpung dalam bidang fotografi tetapi aku tetap mencuba.
Lagi satu, aku ni takde objek khusus untuk dipotretkan. Asalkan cantik dan menarik pada pandangan mata, aku terus KLIK! Rumput pun aku ambik gambar haha...

Buah jambu yang menawan kalbu...

Aug 22, 2012

Kesayanganku

Gajet kesayanganku yang wajib dibawa kemana pergi...
Apa khabar semua?
Semoga keceriaan dan kedamaian milik anda semua. Pastinya mereka yang menyambut Hari Raya masih dengan mood raya. Bagi mereka yang masih bercuti, tentunya masih tersenyum lebar. Manakala mereka yang sudah pun memulakan tugas masing-masing pastinya sudah memulakan tugasan harian dengan penuh semangat.

Saya sendiri masih dalam mood cuti. Kerana mood cuti inilah, blog ini saya 'tinggalkan' hampir seminggu. Rasa rindu pula.

Cuti ni, sempat bawa keluarga jalan-jalan. Mengambil peluang shopping sempena 'sale' Raya. Hehe... apapun, dalam keghairahan membeli belah, berhati-hatilah dengan kempen 'potongan harga'! Bukan sesuatu yang asing bila ada peniaga yang mengambil peluang 'menyembelih' leher pengguna @ pembeli. Selain berjalan-jalan, sempat juga menjenguk emak di rumah panjang, menjenguk keluarga mertua dan paling penting ialah dapat 'menunaikan' hobi yang satu ini: fotografi! Inilah sebahagian hasil fotografi seorang amatur seperti saya [itupun kalau boleh dipanggil hasil fotografi hehe...].
Klik imej untuk visual yang lebih jelas

Selamat Hari Raya
&
Salam Kemerdekaan

Aug 13, 2012

Bahaya 'Smoke Candy'

Sikap rakus dan tamak sesetengah peniaga yang sanggup mengenepikan norma dan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat amat dikesali. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mengaut keuntungan walaupun terpaksa mempertaruhkan kepentingan pihak lain. Sebagai contoh, keghairahan kumpulan peniaga tamak begitu ketara sehingga sanggup menjual Smoke Candy atau gula-gula rokok.

Sasaran utama penjualan Smoke Candy sudah semestinya kanak-kanak yang begitu mentah akal dan pertimbangannya. Untuk menarik minat orang membeli gula-gula ini, Smoke Candy ini dibungkus menyerupai corak dan reka bentuk rokok sebenar yang berada di pasaran. Smoke Candy juga dibungkus dan dijenamakan mengikut jenama rokok terkenal seperti Kent, Malboro dan King. Selain rasa manisnya yang memang menjadi kegemaran kanak-kanak, bungkusan yang menarik juga begitu menarik hati. Jadi, tidak mustahil kanak-kanak akan terpikat.

Daripada sekadar suka-suka berlagak seperti orang dewasa yang merokok, tidak mustahil kanak-kanak yang masih cetek pengetahuannya ini akan terjebak dengan amalan merokok. Hal ini amat membimbangkan dan mendukacitakan. Dalam kesibukan kerajaan menganjurkan kempen anti merokok, ada pihak yang seolah-olah menggalakkan budaya merokok dalam kalangan generasi muda.

Perkara yang lebih merisaukan kita ialah Smoke Candy ini dipercayai diimport dari negara China. Selain  tidak mempunyai sebarang label nutrisi, ia juga tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia. Selain itu, status halalnya juga turut diragui. Smoke Candy ini tidak memaparkan logo halal dari negara pembuat apatah lagi logo halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).

Jadi ibu bapa dan pihak sekolah iaitu orang yang terapat dengan pelajar seharusnya memberi penjelasan tentang keburukan Smoke Candy kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah. Pihak kerajaan melalui kementerian berwajib juga wajar membuat pemantauan terhadap penjualan gula-gula rokok ini. Pihak kerajaan harus memandang perkara ini dengan serius dan tidak salah jika undang-undang berkaitan digubal. Kita sudah pasti tidak mahu anak-anak kita menjadi generasi perokok yang berisiko diserang pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit jantung, kanser dan sebagainya.


Aug 11, 2012

Sisa Pepejal vs Kitar Semula


Pernahkah kita mengambil berat tentang masalah alam sekitar yang semakin kronik? Isu sampah-sarap, pencemaran sungai, pencemaran udara dan lambakan sisa pepejal adalah antara isu alam sekitar yang menjadi perbincangan hangat di peringkat global. Pernahkan kita terfikir, salah satu cara mudah untuk mengurangkan beban pencemaran alam sekitar ialah memperhebatkan kempen kitar semula. Sejauh mana kempen ini mampu menyelamatkan alam sekitar?
                Masyarakat global semakin risau dengan bahana kepupusan sumber alam dan juga pencemaran alam. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menangani masalah ini termasuklah pelaksanaan kempen kitar semula. Kempen kitar semula yang menggabungkan kaedah recycle, refuse dan reuse dianggap antara langkap paling praktikal untuk mengatasi masalah ini.
                Pelaksanaan kempen kitar semula mampu memelihara alam sekitar daripada tercemar. Kepesatan pembangunan termasuklah perindustrian, pertanian, penternakan dan petempatan menghasilkan banyak bahan buangan sisa pepejal. Besi dan plastik yang mengambil masa puluhan tahun untuk reput menambahkan lagi kroniknya pencemaran alam sekitar. Justeru, dengan adanya kempen kitar semula ini, bahan-bahan besi , plastik, kertas dan kaca boleh diproses semula atau digunakan semula. Langkah ini sudah pasti dapat mengurangkan kuantiti sampah yang mencemarkan alam sekitar.
                Selain itu, program kitar semula juga mampu untuk memelihara sumber yang terhad.
Kerakusan manusia untuk mengaut keuntungan menyebabkan hutan ditebang dan perlombongan dijalankan tanpa had. Sekiranya kegiatan ini dijalankan secara tidak terancang, tidak mustahil kita akan mengalami kepupusan sumber yang bernilai. Oleh yang demikian, kitar semula mampu kertas dan tin-tin aluminium mampu menyelamatkan hutan dan sumber galian. Tegasnya, langkah mengitar semula ini mampu memelihara sumber daripada mengalami kepupusan.

                Langkah kitar semula juga dapat menjimatkan kos. Sebagai contoh, kos melombong mineral sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos mengutip dan meleburkan semula besi buruk atau tin-tin aluminium yang jauh lebih murah. Kos menebang dan memproses pokok menjadi kertas juga jauh lebih mahal daripada kos memproses semula terpakai. Langkah bijak ini sudah pasti member pulangan yang lumayan kepada pengusaha.  Mereka bukan sahaja dapat  menjimatkan kos tetapi membantu dalam meningkatkan keuntungan.

                Di samping itu, langkah mengitar semula ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Orang ramai boleh melakukan pekerjaan ini secara sambilan dari rumah. Para peniaga juga berpeluang menjalankan perniagaan mengumpul dan membeli  barangan terpakai. Secara tidak langsung hal ini akan membawa kepada wujudnya kilang pemprosesan barang buangan ataupun barang terpakai. Berdirinya kilang pemprosesan ini sudah pasti akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

                Sebagai warganegara yang bijak, kita seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan program kitar semula ini. Sokongan padu semua pihak amat penting bagi menjamin kelestarian alam kita. Kita sudah pasti tidak mahu menyesal dikemudian hari apabila bumi yang satu ini tercemar dan kehilangan sumber pentingnya.

Aug 8, 2012

Pemerdagangan Kanak-kanak


Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Sumber: Wikipedia, ensiklopedia bebas



ARTIKEL: DERITA KANAK-KANAK MANGSA PEMERDAGANGAN
LINA (bukan nama sebenar) baru berumur lapan tahun. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, bergaul bersama rakan-rakan sebaya, bermain dan mengulang kaji pelajaran. Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapanya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks.

Setiap hari, Lina yang berasal dari sebuah kawasan di Selangor, dipaksa bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa atau datuk kepadanya. Dia, yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil ‘uncle’, tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini.

Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez dalam temubual sebelum ini menyatakan ramai kanak-kanak Malaysia yang menjadi mangsa kes seumpama telah diselamatkan dari negara seperti Kanada, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat. Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.

Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia.


Kenapa kanak-kanak?
Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Contohnya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak.

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan jenayah melangkaui sempadan yang berlaku di merata negara di dunia ini diangkat menjadi isu global yang ditangani secara serius di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Pengutip Dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr. Hartini Zainudin berkata, kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental.

Beliau yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak terutama di Chow Kit berkata, banyak faktor yang mendorong kanak-kanak mudah terjerat hingga bersetuju untuk dibawa pergi dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui yang mereka akan dieksploitasi.

Ada sebahagian mereka percaya dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Namun ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual.

Sekarang memang penjualan bayi yang kita nampak menonjol. Mereka yang tidak punya anak biasanya akan membeli bayi itu tanpa diketahui latar belakang mereka. Menjadi satu kebimbangan jika perkara ini tidak dibendung kerana mereka yang mampu boleh membelinya. Perkara ini akan berterusan kerana cuba kita lihat berapa ramai yang mengandung anak luar nikah, wanita yang tidak mempunyai dokumen diri, wanita yang tidak diketahui warganegaranya yang menyebabkan mereka tidak tahu di mana harus diletakkan bayi tersebut, jadi jalan paling mudah adalah dengan menjualnya,” katanya.

Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya bayi tersebut tidak mempunyai dokumen, kerana tidak diketahui asal-usul. Namun yang menjadi fokusnya kini ialah kanak-kanak yang diperdagangkan untuk komersial antaranya dijadikan pelacur, peminta sedekah, mahupun keldai dadah dan aktiviti jenayah lain.
Sumber: Utusan Malaysia, 17 Mei 2011


Aug 5, 2012

BRIM Siri 2?

Terkini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk pemberian BRIM 2 dalam bajet 2013 yang bakal dibentangkan sedikit masa lagi. Secara peribadi, saya menyokong usaha dan niat murni kerajaan [walaupun bukan termasuk mereka yang layak menerimanya].

Walau bagaimanapun kita amat mengharapkan agar kerajaan melalui pihak berkaitan lebih peka dan telus jika niat ini menjadi kenyataan. Hal ini kerana pengagihan BRIM 1 sedikit sebanyak terpalit beberapa isu yang yang kurang enak untuk didengar. Antara isu yang timbul ialah;

1. Pengagihan yang tidak telus @ kurang sistematik iaitu terdapat pasangan suami isteri yang sama-sama layak menerima BRIM.
2. Terdapat mereka yang betul-betul layak tetapi tidak disenaraikan sebagai penerima.
3. Sistem pengagihan yang tidak teratur sehingga penerima terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapatkan cek.
4. Sistem kawalan yang longgar [terutama di bandar-bandar yang jumlah penduduknya ramai] menyebabkan berlakunya keadaan bersesak-sesak, berhimpit-himpit sehingga ada yang pengsan.


Apapun kita percaya kerajaan sudah memikirkan yang terbaik dan mempunyai rasional tersendiri jika benar langkah memberikan BRIM 2 kepada rakyat Malaysia yang betul-betul layak dilaksanakan. Kita percaya kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk menyempurnakan program murni ini. Kita juga percaya kerajaan sudah 'mengukur baju di badan sendiri'. Pemberian BRIM sudah pasti menelan jumlah peruntukan yang besarKita sudah pasti tidak mahu ada pihak merasa 'teraniaya' dan 'diperguna' ataupun negara kita terpalit dengan masalah lain seperti masalah hutang misalnya.
*Pendapat peribadi penulis sahaja.

Aug 1, 2012

Gajet Teknologi

Terkini, pelbagai gajet teknologi berada di pasaran. Daripada notebook, tablet, telefon pintar, kamera digital hingga ke pemain muzik semuanya ada. Syarikat pengeluar seperti Samsung, Apple, HTC, Huwei, Nokia, Blackberry, Acer dan banyak lagi seakan berlumba-lumba mengeluarkan model terbaru. Pelbagai aplikasi dan rekabentuk menarik ditawarkan. Semuanya untuk menarik minat pembeli.

Persoalannya, perlukah kita mengikut trend semasa dengan membeli setiap gajet terkini yang berada di pasaran? Adakah kita membelinya kerana tertarik dengan pakej yang ditawarkan atau sekadar menurut keinginan hati ataupun kita betul-betul memerlukan gajet tersebut?

Persoalan ini wajar kita lontarkan kepada diri. Tanyakan kepada hati!

Walau bagaimanapun, perlukah kita 'membuang' wang kita untuk mendapatkan setiap gajet yang berada di pasaran? Bukan satu rahsia, terdapat syarikat pengeluar gajet teknologi yang hanya menambahkan satu dua aplikasi atau sedikit pembaharuan bagi model tertentu keluaran mereka. Bukankah ini suatu pembaziran bila kita mendapatkan gajet terbaru dengan harga yang mahal sedangkan ia tidak jauh bezanya berbanding model sebelumnya!

Perlukah kita membeli model baru sebuah telefon pintar yang hanya menawarkan pengemaskinian dari segi pixel kamera sedangkan kita sudah memiliki model sebelumnya [hanya kurang dari segi pixel]? Wajarkah kita mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan gajet terkini sedangkan kita tidak memerlukan gajet tersebut kerana kita sudah memiliki gajet lain yang tidak kurang hebatnya dari segi fungsinya?

Terkadang, kita membeli sesebuah gajet terbaru bukan kerana keperluan tetapi lebih kepada 'nafsu' ingin memiliki @ mengumpul gajet tersebut. Keghairahan tersebut juga banyak menjebakkan pembeli tertipu dengan membeli gajet tiruan. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai model telefon bimbit tiruan yang hampir 100% menyerupai model asli berada di pasaran. Pengguna yang tidak berhati-hati mudah tertipu dengan peniaga yang sanggup berbuat apa saja untuk mengaut keuntungan.

 Apapun, segalanya terpulang kepada diri sendiri. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan kewangan yang stabil, membeli gajet terbaru bukan suatu masalah. Walau bagaimanapun, bagi pengguna yang berpendapatan sederhana seperti saya, niat untuk memiliki gajet terbaru memang sentiasa membuak-buak tetapi terpaksa memikirkan berpuluh kali untuk membelinya. Sesekali terpaksa menelan air liur sahaja hehe...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...