Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Sep 30, 2012

Telefon Awan: Masih Relevan?

Sepuluh tahun lalu, telefon awam masih menduduki rating yang tinggi dalam hati pengguna. Ia kekal sebagai pilihan terutama mereka yang tidak mampu membeli telefon bimbit. Walau bagaimanapun, perkembangan pesat dunia ICT menyaksikan perubahan selera pengguna. Pengeluaran pelbagai jenis telefon bimbit oleh syarikat-syarikat telekomunikasi menyebabkan pengguna mulai beralih arah kepada telefon bimbit yang ternyata lebih praktikal dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

Telefon bimbit yang dipasarkan mempunyai pelbagai aplikasi menarik dan canggih ternyata menarik minat pengguna. Selain itu, kepelbagaian jenama, bentuk, warna dan harga yang mampu milik semua golongan juga menyebabkan pasaran telefon bimbit mendapat sambutan hangat dari segenap lapisan masyarakat. Bukan hanya golongan berkerjaya, bahkan remaja @ pelajar sekolah dan orang kampung @ penduduk luar bandar rata-rata mempunyai telefon bimbit.

Senario ini seakan-akan memperlihatkan nasib telefon awam yang semakin terpinggir. Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apakah nasib telefon awam di masa depan? Masihkah telefon awam mendapat tempat di hati masyarakat kita sedangkan telefon bimbit terus mengalami revolusi yang mengkagumkan? Tidak mustahil telefon awam akan lenyap ditelan kepesatan perkembangan bidang ICT. Sayang seribu kali sayang, tetapi kita tidak mampu menafikan telefon awam tidak mampu bersaing dalam menongkah arus kemajuan. Ledakan jalur lebar memperkuatkan lagi kemungkinan berakhirnya legasi telefon awam.
Lenyapnya telefon awam mungkin juga memberi impak positif kepada kerajaan. Kita tidak akan ada lagi terdengar rungutan tentang kegiatan vandalisme iaitu merosakkan atau menconteng pelbagai corak dan kata-kata di telefon awam. Kita juga tidak akan sakit mata melihat dinding-dinding telefon awam dipenuhi oleh tampalan pelbagai iklan. Kerajaan juga boleh menjimatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan telefon awam. Hal ini sudah pasti mengurangkan beban kerajaan yang selama ini terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit bagi membaiki telefon awam yang dirosakkan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab.
 
Apapun, telefon awam tetap menjadi memori terutama kepada generasi pengguna telefon awam. Seandainya suatu ketika nanti telefon awam akan lenyap, ia tetap pernah  berjasa dan meninggalkan memori indah kepada kita. Ia pernah menjadi pengubat rindu, penghubung kasih dan pembantu di kala kita ditimpa situasi yang tak terduga.

Sep 27, 2012

Perang PRU13

Saya bukanlah orang yang cerdik pandai mahupun berpengetahuan luas di dalam bidang politik. Jauh sekali berani mengakui diri sebagai penganalisis politik. Malah tulisan ini pun sekadar tulisan orang biasa yang melihat aspek politik dari kaca mata yang tidak sempurna. Saya tidak berminat dengan politik apatah lagi untuk menjadi penyokong taksub kepada mana-mana parti.

Bagi saya, cukuplah kalau saya menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi iaitu MENGUNDI! Senang cerita, saya adalah pemerhati di atas pagar yang tidak mahu melibatkan diri dalam karenah politik yang memeningkan kepala. Bukan bermakna mereka yang berada di atas pagar ini tidak ada pendirian mahupun prinsip! Bukan juga bermaksud mereka yang tidak menyertai mana-mana parti ini senang dipengaruhi. Tidak!

Secara peribadi, saya menghormati golongan di atas pagar ini. Golongan ini bukan golongan yang mudah diperkotak-katikkan. Puak atas pagar merupakan orang yang teliti mengamati sesuatu dasar mahupun perubahan. Mereka juga boleh dikatakan sebagai penilai dan penganalisis yang mungkin lebih tajam dan liberal pertimbangannya. Mereka ini bukan golongan fanatik yang mudah dipengaruhi oleh sentimen kepartian membuta-tuli.

Puak atas pagar ini merupakan puak yang bebas melontarkan pandangan mahupun prinsip masing-masing. Dengan kata lain, mereka tidak terikat dengan sesetengah "peraturan @ dasar" parti yang kadang-kala bercanggah dengan pendirian mereka. Fikiran mereka tidak disempitkan dengan 'etika' parti yang ada di antaranya terlalu bias sehingga merencatkan perkembangan pemikiran. Puak atas pagar ibarat pemerhati bebas!

Belakangan ini, isu PRU13 semakin heboh diperkatakan. Pelbagai telahan, jangkaan dan ramalan dikeluarkan oleh pelbagai pihak tentang tarikh keramat PRU13. Perang propaganda sudah sekian lama meletus. Tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain sudah semakin menjadi mainan sama ada di tv, dada-dada akhbar, radio mahupun internet. Kadang-kadang saya merasa jelik dengan sikap sesetengah ahli politik yang tidak segan silu melontarkan makian dan cacian kepada pihak lawan. Perbuatan sebegitu nampak sangat murahan dan tidak mencerminkan pemikiran ahli politik yang sepatutnya "tinggi".
Seharusnya, sebagai pemimpin mereka mesti menunjukkan keperibadian yang elok bukan sahaja dari sudut pemikiran, malah perlakuan. Kalau tidak slogan "Kepimpinan Melalui Tauladan" sekadar tinggal slogan yang tidak memberi apa-apa makna. Setiap patah perkataan yang mereka lontarkan biarlah beralas, berunsur nasihat dan dorongan. Biarlah kepetahan mereka berhujah digunakan untuk berdebat tentang masalah dan kepentingan rakyat bukannya saling mengutuk! Kutuk-mengutuk tidak mendatangkan sebarang faedah kepada rakyat yang dahagakan pembangunan.

Kempen yang berbau seribu janji biarlah dikotakan dan bukan hanya retorik semata-mata. Lambakkan projek biarlah sampai kepada sasaran iaitu rakyat jelata di segenap ceruk dan bukannya hanya untuk rakyat atau penyokong di sesetengah tempat sahaja. Selagi bergelar rakyat Malaysia, sama ada penyokong parti kerajaan mahupun pembangkang, hak untuk menikmati kemudahan dan juga bantuan tidak wajar diperlekehkan. Biarlah 'hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicubit'. Istilah 'kawasan putih' dan 'kawasan hitam' tidak harus diamalkan jika para pemimpin benar-benar ikhlas membantu rakyat.

PRU13, diramalkan sebagai pilihanraya terhangat dan menjadi penentu kepada legasi pihak pemerintah yang ada sekarang dan juga kelangsungan parti pembangkang. Dengan bertambahnya pengundi muda yang terdedah dengan ICT dan pengetahuan baru, pilihan biarlah tepat. Pilihan tidak seharusnya bersifat warisan. Buat penilaian tentang trak rekod pemimpin yang bertanding dan bukannya bersandarkan lambang parti. Jika trak rekodnya bagus, membawa banyak perubahan mahupun kemajuan, mesra dan berjiwa rakyat, berwawasan dan berkeperibadian mulia, calon inilah yang layak disokong. Calon yang 'banyak kuah dari isi', suka menabur janji palsu dan hanya timbul kelibatnya bila tiba musim pilihanraya wajar ditolak.

Ingatlah wahai rakyat Malaysia, kitalah penentu pemimpin yang akan mencorakkan kanvas politik Malaysia. Pilihan ada ditangan kita. Pilihlah dengan bijak kerana masa depan Malaysia adalah pilihan kita. HIDUP MALAYSIA!!!
Sekadar pandangan peribadi penulis.

Sep 26, 2012

Operasi Fogging

Sedang khusyuk melayari dunia maya, isteri tersayang tergesa-gesa datang menghampiri. "Operasi Fogging" ujarnya tanpa aku sempat bertanya. Aku menjenguk keluar jendela [hamboi...], betullah. Kenderaan 'Kementerian Kesihatan Malaysia' sudahpun berlabuh di depan kuartes salah seorang staf guru, jaraknya hanya beberapa ela  dari kuartes yang kami sekeluarga duduki. Beberapa orang pekerja mulai menjalankan operasi membasmi nyamuk dan suku-sakatnya.

Nah...Rasakan! Bisikku gembira. Pasti suku-sakat pembawa penyakit itu akan mati termasuk yang tersembunyi haha... Aman sikit hidup. Terima kasih pihak KKM. Cuma yang kurang 'cun' ialah kita tidak dimaklumkan dengan kedatangan mereka [ataupun kami yang tak tengok notis]. Isteri yang tengah memasak terburu-buru 'menyelamatkan' masakan daripada dihembus oleh angin sepi-sepoi yang membawa bersama asap.
Flat staf turut di'sembur'.

Apapun...sekali lagi jutaan terima kasih kepada kakitangan KKM yang sudi membantu membasmi nyamuk di kawasan kami. Jasa kalian kami hargai.

Sep 19, 2012

Jatuh Cinta Lagi

Alamak...
Jatuh cinta lagi
Lagi-lagi ku jatuh cinta
Kepada.....???

Jangan salah sangka, bukan jatuh cinta kepada semua wanita tetapi jatuh cinta kepada drama Korea haha... Tapi betullah, sejak dua menjak ni makin asyik pula menonton drama-drama Korea. Pelakon-pelakon yang hensem dan cantik [meskipun banyak yang menjalankan pembedahan plastik untuk tampil menarik] itu satu hal tetapi faktor yang lebih kuat tarikannya ialah jalan cerita, mutu lakonan dan sinematografi yang sangat hebat.
 
Glass Castle
 
 To The Beautiful You
Latar belakang budaya dan lokasi yang menarik dan berbeza dari negara kita merupakan satu daya tarikan. Maklumlah, saya sendiri tak pernah pergi ke Korea apalagi mengenali budayanya secara dekat. Sekurang-kurangnya dengan menonton drama mereka, dapatlah saya 'melancong' dan melihat sendiri budaya dan cara hidup mereka. Lakonan mereka juga hebat dan berkesan. Jika kisah romantik memang romantik dan fiillll sangat. Jika sedih, memang sedih sesangat dan air mata serta ekspresi muka betul-betul real. Bukan dibuat-buat.
Stay With Me My Love

Yes Captain

Saya merasakan itulah kekuatan cerita Korea. Kisah hidup masyarakat, pergolakan rumah tangga, kisah persaingan empayar perniagaan dan cerita remaja digarap dengan begitu baik sehingga terasa begitu dekat dengan penonton. Ini hanya pandangan peribadi saya. Mungkin kerana menggemari drama Korea maka saya merasakan semuanya menarik belaka [Tak semua cerita Korea menarik]. Bagi yang kurang tidak berminat, mungkin lain pendapatnya. Semuanya ada citarasa masing-masing.
 
The First Wives Club


Lagu tema dan OSTnya best...walaupun sepatah haram tak tahu tapi boleh layannnn....

Sep 12, 2012

Oh My English!

Salam penuh kerinduan buat pembaca semua.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang sebuah program terbitan Astro yang memang superb! Pasti semua tahu akan rancangan Oh My English! Secara peribadi saya memang suka rancangan tersebut apatah lagi anak-anak saya yang berumur 8 dan 6 tahun. Walaupun diulang berpuluh kali, kedua-duanya tidak jemu-jemu. Nama-nama seperti Mr. Henry, En. Mohd Salleh, Pn. Hajar, Jibam, Anusha, Azlin, Faiz dan lain-lain tidak lekang daripada mulut comel mereka. Bagus juga daripada mereka menonton lambakan cerita seram, ganas, lawak poyo dan cerita fantasi Indon yang tidak memberi sebarang manfaat [maaf, ini hanya pendapat peribadi].

Syabas kepada Astro kerana menerbitkan banyak rancangan berbentuk pendidikan seperti OME, Art Attack, Sains Comot, Finger Tips, Tutor TV, Backyard Science dan lain-lain lagi. Rancangan sebegini amat bermanfaat bagi kanak-kanak. Ia bukan sahaja mampu memperbaiki penguasaan bahasa dan pengiraan malah mempertajamkan daya pemikiran dan kreativiti. Saya sendiri melihat banyak perubahan anak-anak saya. Sebutan bahasa Inggeris mereka lebih tepat dan lancar. Kedua-duanya juga semakin bijak menonjolkan kreativiti masing-masing. Semoga program sedemikian diteruskan ataupun diperbanyakkan lagi dengan pengisian yang lebih berkualiti.



Sep 9, 2012

Wajar Rasional

Sempena sambutan merdeka kali ini, kita dikejutkan dengan isu kononnya ada pihak nak menukar bendera Jalur Gemilang kepada Sang Saka Merah Putih. Alasannya mudah, bendera yang ada sekarang tidak menggambarkan ciri-ciri nusantara tetapi lebih condong ke arah kebaratan.
 Bendera Amerika Syarikat
 
Jalur Gemilang
 

Berikut ialah bendera Indonesia dan Singapura yang dikatakan bercirikan Sang Saka nusantara. Kedua-dua bendera ini dikatakan menjadi inspirasi kepada bendera Malaysia yang baru.
 Bendera Indonesia
 
Bendera Singapura
 
Gambar di bawah adalah wajah bendera baru negara Malaysia yang diwar-warkan menggantikan Jalur Gemilang.



Apapun tindakan kita, ia harus berlandaskan pemikiran yang waras dan rasional. Pendapat pelbagai pihak termasuk  rakyat umum wajar diambil kira. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat sebarang usul atau perubahan semata-mata taksub dengan ideologi mana-mana pihak yang berkepentingan. Bendera amat besar maknanya kepada mana-mana negara yang berdaulat!

Sep 4, 2012

Memandang Ke Depan

Beberapa minggu yang lalu, saya sempat berkunjung ke rumah saudara [makcik]. Sambil berborak, saya sempat memandang gantungan manik di dinding. "Menantu saya yang buat" jelas makcik. Sebelum ini, anak dan menantunya bekerja di Johor. Hanya baru-baru ini mereka menetap di rumah panjang.

Cantik dan halus buatannya. Saya sangat tertarik melihat hasil kraf tangan yang begitu menyerlah. Alangkah sayangnya jika hanya dijadikan sebagai penghias dinding. Memanglah cantik tak terkata tetapi jika dijual tentu lebih berbaloi.

Bukan bermakna saya ni mata duitan hehe... tetapi hasil kerja yang begitu tinggi nilainya tidak seharusnya terperap begitu sahaja. Kalau dijual, pasti berharga dan boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan. Cuba kita perhatikan orang Cina, apa sahaja barang @ produk yang boleh dijual mereka akan jual walaupun dikutip di tengah jalan. Itulah bezanya mentaliti orang kita berbanding mentaliti orang Cina.

Orang kita mempunyai pelbagai produk yang boleh diketengahkan di pasaran tetapi kita tidak mempunyai mentaliti berniaga. Kita tidak mempunyai keinginan untuk berniaga. Tidak ada kemahuan. Kita tidak melihat @ "buta" untuk melihat kemampuan diri menjana ekonomi keluarga dengan kebolehan yang ada. Ini merupakan satu pembaziran.





 Menawan hati. Ini adalah hasil kerja tangan menantu kesayangan makcik saya ni hehe... Satu lagi hasil yang sangat menarik ialah tali leher yang diperbuat daripada manik [Sori, tak sempat ambil gambar. Tunggu...]. Saya sempat membeli satu. Tanpa disangka, rupa-rupanya ramai pula rakan sekerja yang tertarik dan membuat tempahan. Kan....!!! Rantai ini sesuai digayakan untuk ke tempat kerja, majlis makan malam atapun digantung di dinding mahupun kereta. Ia juga sesuai dijadikan sebagai cendera hati. Harga? Taklah mahal sangat...RM30 - RM120.00 jer, bergantung kepada saiz.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...