Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Apr 21, 2011

Bahana Daun Ketum 2

KETUM atau lebih dikenali sebagai kratom di kebanyakan negara adalah antara topik paling hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini. Berikutan penebangan sebatang pokok ketum berusia 60 tahun di Kampung Bandariang Gerik oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak, pokok ketum mula mendapat perhatian umum.

Ada yang berpendapat tindakan menebang pokok tersebut akan dapat mengurangkan aktiviti penagihan dadah. Namun begitu, tidak kurang juga yang menyuarakan kekesalan terutama penggiat aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Di Malaysia, daun ketum turut dikenali sebagai daun biak manakala nama saintifiknya pula ialah Mitragyna Speciosa.

Mengikut sejarah, daun ketum mula digunakan di Thailand sejak berkurun dahulu. Ia amat popular di kalangan orang biasa (bukan penagih) kerana kesan penagihannya yang minima selain dapat mengekalkan tenaga sepanjang hari terutama kepada mereka yang melakukan kerja berat.

Di negara ini, pokok ketum sering menjadi tumpuan penagih sebagai alternatif untuk menghilangkan ketagihan sementara. Biasanya daun ketum akan direbus terlebih dahulu sebelum diminum airnya yang pahit dan hanya boleh disimpan selama dua hari sahaja.

Pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Mahmud Mazlan berkata, kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi kesan rangsangan akan hilang sekiranya rebusan itu tidak lagi segar. Daun ketum yang kering pula akan dikunyah seperti daun sirih tetapi kesannya tidak sebaik daun ketum segar.

Pengambilan air rebusan daun ketum boleh memberikan dua kesan yang berbeza. Ia akan memberi kesan yang sama dirasai ketika mengambil morfin atau kokain. Ramai yang ambil untuk mendapatkan kesan kokain terutama orang kampung yang melakukan kerja-kerja berat. Disebabkan boleh menghasilkan dua tindak balas berbeza, daun ketum dianggap sejenis tumbuhan yang unik kerana ia jarang dijumpai pada bahan lain.
Kesan seperti mengambil morfin akan menyebabkan seseorang berasa mengantuk sama seperti selepas meminum arak atau ubat tidur. Manakala kesan seperti mengambil kokain pula akan menghasilkan tindak balas yang merangsangkan.

Namun begitu, tindak balas yang terhasil daripada rebusan daun ketum adalah 10 kali lebih kurang daripada morfin sebenar. Ia hanya menyamai kesan yang dirasai selepas mengambil ubat batuk. Apa yang memelikkan, tindak balas minuman tersebut terhadap otak adalah berbeza dengan tindak balas morfin terhadap otak.

Walau bagaimanapun, daun ketum dikatakan memberi kesan yang hampir sama dengan daun coca yang digunakan untuk membuat kokain. Daun coca asli biasanya digunakan oleh buruh kasar di Amerika Selatan terutama yang menetap di Pergunungan Andes.

Selain kurang memberi kesan penagihan, daun coca juga boleh mengekalkan tenaga dan menyesuaikan sistem tubuh manusia dengan kawasan beraltitud tinggi. Sebab itulah ramai orang asli di Pergunungan Andes gemar mengunyah daun coca untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Sementara itu, daun ketum yang dianggap bahan paling kompleks ini jarang dilakukan penyelidikan. Setakat ini hanya terdapat sepuluh penyelidikan bertaraf antarabangsa dibuat ke atas daun atau pokok ketum termasuk di Jepun dan Eropah.

Para penagih dadah menggunakan daun ketum untuk cuba mengubat diri sendiri. Sebab itu, dalam hal ini daun ketum tidak boleh dipersalahkan. Semenjak tiga tahun lalu, bekalan heroin didapati semakin berkurangan dan harganya pula semakin mahal. Ini menyebabkan ramai penagih di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, utara Perak, Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan sekitar Pahang bertukar kepada daun ketum.

Memandangkan daun ketum juga dapat memberikan kesan sama seperti morfin, penagih heroin mula bergantung kepada daun ketum pula. Kebanyakan golongan penagih yang ingin berhenti daripada mengambil heroin cuba merawat diri mereka dengan mengambil daun ketum.

Tetapi kesan seperti mengambil heroin daripada daun ketum hanya boleh bertahan di dalam badan mereka sehingga tiga atau empat jam. Ini menyebabkan para penagih heroin terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara kerap sehingga mereka tidak boleh tidur lebih daripada empat jam.

Kesan gian tersebut sebenarnya bukanlah tindak balas daripada daun ketum tetapi disebabkan kesan pengambilan heroin sebelum itu. Keadaan ini menyebabkan penagih heroin mula bertukar kepada ketagihan daun ketum. Malangnya, kuasa daun ketum tidaklah sehebat heroin sebenar. Golongan penagih biasanya menggunakan daun ketum dalam bilangan yang banyak iaitu 8 hingga 10 botol sehari bagi mengurangkan rasa gian kepada heroin.

Bagi golongan bukan penagih pula, mereka memerlukan sebanyak satu tin minuman ringan rebusan daun ketum untuk mengekalkan tenaga ketika bekerja sepanjang hari. Golongan bukan penagih tidak akan merasai kesan gian malah boleh berhenti meminum air ketum pada bila-bila masa.

Pengambilan rebusan daun ketum yang berterusan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk. Antaranya ialah kulit menjadi gelap, tubuh menjadi kurus kering, kurang tidur, mata merah dan menjadi panas baran. Dari segi kelakuan dan sifat, keadaan tersebut dilihat sama seperti yang dialami oleh penagih heroin.

Pengambilan rebusan daun ketum secara kerap selama tiga bulan juga boleh mendatangkan masalah buah pinggang dan hati. Penagih juga sering berasa loya dan menghidapi gastrik yang serius. Keadaan ini jauh lebih teruk daripada menagih heroin. Didapati penagih heroin yang cuba menggantikan heroin dengan daun ketum akan kembali kepada heroin selepas dua atau tiga bulan kerana kesan ketagihannya semakin teruk.

Sebagai rumusan, rebusan daun ketum tidak akan memberikan kesan khayal kepada seseorang penagih. Sebaliknya, pengambilannya hanya dapat mengurangkan rasa gian jauh sekali membantu penagih daripada berhenti menagih. Berbanding daun ketum, pengambilan heroin boleh membuatkan seseorang penagih bertahan lebih lama sebelum berasa gian semula.

Didapati daun ketum hanya boleh bertahan selama empat jam pada satu masa walaupun bahan tersebut diambil sebanyak mana. Disebabkan tindak balas yang kurang berkesan itu, maka daun ketum tidak popular sebagai dadah utama.
Sumber: internet
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...