Buang bayi: 80% kes didakwa libatkan Melayu
Meskipun tiada butiran tepat kaum-kaum yang terlibat dalam kes pembuangan bayi - yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa percaya majoriti mereka yang terlibat merupakan orang Melayu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merumuskan perkara ini memandangkan lebih 80 peratus mereka yang didakwa terlibat dalam kes pembuangan bayi terdiri daripada orang Melayu.
Malah 13 dari 65 kes sepanjang tahun ini telah pun masuk proses pendakwaan di mahkamah dan semua yang tertuduh adalah orang Melayu. Sebanyak 67 kes direkodkan pada 2005, dan disusuli 83 kes pada tahun berikutnya, 76 (2007), 102 (2008) dan 79 (2009).
Ketua Penolong Pengarah Unit Siasatan Seksual/Kanak-kanak Bukit Aman, ACP Hamidah Yunus menjelaskan, komposisi kaum yang tepat tidak dapat diberi secara terperinci kerana kebanyakan kes tidak dapat diselesaikan ekoran ketiadaan bukti untuk menahan ibu bapa bayi yang dibuang.
“Kesemua 13 yang didakwa (tahun ini) itu Melayu... yang tak dapat selesai kita pun tak tahulah, kebanyakan bayi yang dijumpai nampak macam Melayu, tetapi orang Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Nepal juga nampak macam Melayu. Kita tak tahu selagi tak dapat siapa yang membuang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider. Sementara itu jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, kebanyakan bayi yang ditinggalkan sukar untuk dikenal pasti identiti kaum mereka.
“Bagi bayi yang ditinggalkan kita tidak boleh untuk kenal pasti secara tepat identiti kaum mereka.
“Apa yang kita boleh bezakan melalui warna kulit dan juga rupa mereka untuk membezakan mereka kaum apa.
“Tapi, bagi bayi yang sudah meninggal ketika ditinggalkan, kita memang tidak boleh untuk mengenal pasti (keturunan),” katanya.
Hamidah menjelaskan, statistik kes pembuangan bayi menunjukkan peningkatan daripada 65 kes pada 2005 kepada 79 tahun lalu. Secara purata lapan bayi dibuang tiap-tiap bulan tahun ini setakat ini.
“Sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 65 kes pembuangan bayi. Kalau nak dibandingkan dengan tahun lalu, dari 1 Januari sehingga 31 Ogos 2009, hanya 42 kes... bermakna ini satu keadaan yang cukup membimbangkan,” katanya.
Mengulas mengenai punca bayi dibuang, Hamidah memberitahu, sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab merupakan sebab utama mereka mengambil keputusan membuang bayi.
“Kawalan ibu bapa dan keluarga itu kurang, sebabkan mereka kurang ilmu dan kesedaran.
“Kemudian kalau mengandung, malulah kepada masyarakat. Ada yang tidak bersedia untuk bertanggungjawab, muda sangat dan tak boleh kahwin, jadi ambil keputusan buang bayi,” jelasnya.
Hamidah juga memberitahu peranan keluarga dan masyarakat merupakan jalan penting yang dapat mengubah perkara ini.
“Peranan keluarga dalam mendidik anak dari rumah adalah penting. Tidak boleh harapkan kerajaan sahaja kerana didikan sebenar bermula dari rumah,” katanya.
Sisters In Islam (SIS) mendakwa salah satu punca utama menyumbang kepada kes pembuangan bayi adalah kerana ibu kepada bayi terbabit tidak mempunyai pilihan sehingga menyebabkan terpaksa meninggalkan anak mereka begitu sahaja. Jurucakap SIS Yasmin Masidi berkata, remaja yang mengandung luar nikah biasanya disisihkan oleh masyarakat selain bimbang akan dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam.
“Jadi apabila ini berlaku mereka mengambil langkah meninggalkan bayi mereka,” kata beliau sambil menambah, kekurangan pusat-pusat perlindungan juga merupakan faktor berlakunya kes pembuangan bayi. Yasmin berkata, beberapa punca lain yang menyebabkan berlaku kes pembuangan bayi termasuk seks rela sesama pasangan, rogol dan sumbang mahram namun ia tidak boleh dibuktikan secara jelas.
“Mungkin kes pembuangan bayi ini berpunca daripada seks rela sesama pasangan, malah satu dari 10 kes rogol yang dilaporkan berpunca daripada sumbang mahram.
“Jadi ada kemungkinan sebahagian daripada kes buang bayi yang berlaku disebabkan kes rogol atau sumbang mahram,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan majoriti yang ditangkap atas kesalahan pembuangan bayi adalah remaja, jadi keperluan pendidikan seks di sekolah perlu dilaksanakan.
Menurut Yasmin, remaja lelaki juga perlu diajar untuk bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan mereka termasuk kesannya.
“Selama ini remaja perempuan selalu ditekan untuk mengadakan hubungan seks dan mereka sentiasa dipersalahkan apabila berlaku kes pembuangan bayi.
“Jadi remaja lelaki juga perlu diajar untuk bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dan kesannya,” katanya lagi.
Berhubung sebab orang Melayu jadi majoriti dalam statistik kes membuang bayi, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tingkah laku tidak bermoral yang tidak dapat dikawal dan mereka bebas berbuat apa sahaja disukai serta terlanjur menyebabkan mereka bertindak sedemikian.
“Kerana tanpa panduan agama, mereka melakukan hal ini yang saya anggap sebagai bala daripada Allah,” kata beliau.
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang memberitahu, orang Melayu mengambil jalan singkat dengan membuang bayi kerana mereka rasa takut dengan masyarakat sekeliling apabila membuat kesalahan.
“Kemungkinan kaum lain tidak menganggap itu sebagai satu masalah.
“Masyarakat akan pandang serong dan diberi pandangan negatif dan disisihkan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin berkata, statistik yang dikeluarkan oleh polis tahun ini sememangnya amat mengejutkan.
“Apa yang boleh dibaca ialah orang Melayu tidak praktikan seks selamat, dan hakikatnya banyak daripad mereka terlanjur.
“Perkara pokok ialah terlanjur dan mengandung, buang bayi isu lain tetapi ia sekali gus berkaitan menyumbang kepada statisktik buang bayi.
“Bayangkan kalau remaja itu mengandung, panik, tak tau nak buat apa, dan tak tahu jalan untuk membantu dia,” katanya lagi.
Kata beliau, orang Melayu tebal dengan stigma dan “mereka tidak tahu hendak buat apa lepas mengandung.”
“Tanggungjawab umum masyarakat perlu untuk atasi perkara ini tetapi semua bermula dari individu itu sendiri supaya menjaga diri,” kata beliau.
Sumber:Themalaysianinsider
Kes Buang Bayi : Manusia zaman moden lebih kejam dari zaman jahiliah
Mutakhir ini kita sering digembar-gemburkan dengan kes pembuangan bayi yang kian menular . Kes buang bayi ini seakan-akan telah menjadi satu rutin bagi pihak akhbar-akhbar dalam melaporkan kes. Hampir setiap hari kes buang bayi ini tertulis di dada-dada akhbar sehinggakan ianya menjadi satu gejala yang biasa di kalangan masyarakat sekarang. Ini merupakan satu penghinaan kepada bayi yang merupakan sesuatu anugerah dari Tuhan. Kes-kes ini makin hari menjadi semakin kejam. Pada mulanya dicampak ke hutan, kemudian di tong sampah, longkang sehinggakan ke lubang jamban sekalipun masih ada mereka yang sanggup untuk melakukannya demi mengelak dari suatu tanggungjawab menimpa ke atas mereka yang akhirnya menjadi sesuatu azab bagi mereka yang bergelar bayi.
Antara Zaman Jahiliah Dengan Zaman Moden
Jika diikutkan dengan kekejaman zaman jahiliah, berlaku juga kes-kes pembuangan bayi. Namun kes buang bayi pada zaman jahiliah hanya berlaku pada bayi perempuan oleh kerana pada ketika itu bayi perempuan dianggap sebagai pembawa malang atau memburukkan nama keluarga mereka. Namun pada zaman moden tidak begitu. Pembuangan bayi berlaku dengan begitu dasyat lagi tanpa mengira jantina. Mereka membuang bayi hanya kerana tidak ingin mengambil tanggungjawab sebagai ibu bapa ataupun ingin menutup aib oleh kerana mereka telah melakukan zina hingga terhasinya anak haram ini. . Jika zaman jahiliah, mereka jahil disebabkan tiadanya ilmu atau lebih dikenali dengan perkataan buta huruf, tetapi masyarakat sekarang, mereka bukan sahaja celik ilmu, malah dibimbing untuk menjauhi perkara-perkara yang haram, akan tetapi masih lagi berlakunya kes pembuangan bayi. Ini tidak lain menunjukkan bahawa masyarakat sekarang telah kembali ke zaman jahiliah ataupun lebih teruk lagi daripada zaman jahiliah
Penularan Kes Buang Bayi
Kes buang bayi makin hari menjadi makin membimbangkan. Kadar peningkatan kes buang bayi akhir-akhir ini menunjukkan satu kadar peningkatan yang dasyat. Dari satu tahun ke satu tahun, kadar peningkatan jenayah buang bayi ini telah meningkat dua kali ganda hingga menjadikan kes buang bayi antara kes yang paling kritikal berlaku di Malaysia. Menurut statistik yang dilaporkan oleh jabatan masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes jenayah buang bayi dicatatkan sepanjang januari hingga september 2008 dengan pasangan melayu mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu sebanyak 36 kes. Jika diikukan dari data kes pembuangan bayi diantara tahun 2004 hingga tahun 2006, kes ini telah mencecah angka 228 kes dan selangor telah menjadi negara yang paling tinggi kesnya dengan mencatatkan angka 65 kes daripada 228 kes. Ini bukan lagi satu angka yang mampu untuk membuatkan kita lega, tetapi angka ini adalah satu angka yang besar dan ianya perlu diberi perhatian sepenuhnya. Statistik yang diperolehi ini hanya diambil dari kes-kes pembuangan bayi yang dilaporkan, namun berapa banyak pula kes-kes pembuanga bayi yang tidak dilaporkan ataupun yang tidak dapat dikesan dan bagaimana pula kes-kes pengguguran bayi yang dilakukan oleh penjenayah ini di klinik-klinik swasta ? Hanya Allah yang mengetahuinya.
Zina Kunci Utama Kepada Masalah Buang Bayi
Masalah buang bayi ini dilihat kebanyakkannya dilakukan oleh para remaja. Jarang sekali kita melihat mereka yang sudah berumur bertindak sesuatu yang sekeji ini. Remaja-remaja yang melakukan kebanyakkannya terdiri dari mereka-mereka yang belum berkahwin. Hasil daripada perlakuan zina pasangan-pasangan tersebut yang akhirnya membuatkan terbentuknya bayi-bayi hasil dari persetubuhan haram. Bayi ini akhirnya dicampakkan di longkang-longkang dan hutan-hutan terbiar. Oleh kerena tiada ikatan perkahwinan, maka sukar untuk pasangan masing-masing melahirkan rasa tanggungjawab sesama mereka. Ini menyebabkan pasangan perempuan menjadi panik dan tidak dapat terima tanggungjawab sebagai seorang ibu, lalu dengan membuang bayi merupakan jalan singkat untuk melepaskan diri dari tanggungjawab tersebut. Justeru, Untuk membanteras kes pembuangan bayi ini samalah juga seperti pembanterasan kes-kes zina oleh kerana zina merupakan kunci utama kepada masalah pembuangan bayi. Pesanan pihak ISIUKM kepada sahabat-sahabat sekalian agar jauhilah zina kerana zina itu adalah satu perbuatan yang sangat dibenci Allah dan banyak mendatangka mudharat kepada diri mahupun pasangan masing-masing. Sumber: isiukm