Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jun 11, 2011

Jenayah Ragut



PENDAHULUAN
Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah seperti ragut. Kejadian ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian malah boleh mendatangkan kesan kecederaan mahupun maut kepada mangsa. Menurut kajian, ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini. Bayangkan kesan kepada imej negara daripada kejadian jenayah yang melibatkan tetamu-tetamu kita sempena dengan Tahun Melawat Malaysia? Pastinya kesan mendalam akibat di ragut sedikit sebanyak member kesan jangka panjang kepada mangsa tersebut.

PUNCA / FAKTOR
Jika mengkaji punca kes-kes jenayah dengan lebih teliti, kita akan mendapati banyak punca yang mengakibat berlakunya kes-kes jenayah ragut. Antaranya ialah didikan yang kurang sempurna daripada ibu bapa dan keluarga. Ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan yang paling penting dalam pembentukan peribadi dan sahsiah di kalangan anak-anak. Pada zaman teknologi maklumat dan globalisasi sekarang, mereka sentiasa sibuk bekerja dalam mengisi tuntutan kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan mengajar anak-anak menjadi insan yang sempurna.

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah di kalangan pelajar-pelajar dan remaja-remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral.

Selain itu, media massa juga ialah salah satu punca kegiatan jenayah ragut. Kemudahan seperti internet, e-mel, televisyen, dan radio boleh disalahgunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan video tentang cara-cara meragut, dan sebagainya.

Pada zaman ini, ekonomi yang semakin merosot menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan. Selain itu, kadar pengangguran juga semakin meningkat sedangkan taraf hidup semakin tinggi. Hal ini menyebabkan ramai penganggur mengambil jalan mudah dengan menjadikan ragut sebagai batu loncatan bagi memenuhi keperluan hidup.

Di samping itu, dadah yang semakin popular di kalangan remaja merupakan punca berlakunya jenayah. Penagih yang menagih akan melakukan jenayah ragut untuk mendapatkan wang dan membeli dadah daripada pembekalnya. Kadang kala penagih juga mampu bertindak di luar jangkaan seperti menikam ibu sendiri atau sanggup membunuh mangsa yang di ragutnya.

Menurut akhbar Harian Metro Sabtu,17 Julai 2010, berita sensasi yang menggemparkan seluruh dunia dengan tindakan berani pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UITM), memecut laju motosikalnya sejurus diragut bukan sahaja berjaya menangkap penjenayah terbabit, malah membantu polis menyelesaikan beberapa kes yang berkaitan ragut di sekitar daerah ini. Berita ini telah menunjukkan kejadian ragut yang semakin berleluasa dan membimbangkan masyarakat sekeliling. Kejadian ini, telah menjadi tumpuan semua pihak dengan mengambil langkah berjaga-jaga dengan situasi yang melanda negara ini.

KESAN JENAYAH RAGUT
Sejak dahulu, masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun adakalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas. Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Kesan daripada kejadian ragut masyarakat menjadi semakin huru-hara akibat daripada kejadian yang semakin berleluasa yang membimbangkan masyarakat sekarang. Selain itu juga, kes-kes jenayah di negara ini semakin meningkat.Di sebabkan,ramai pelancong asing yang menjadi mangsa ragut,imej negara tercemar di mata dunia.

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI
Memandangkan kes semakin meruncing,kuatkuasa undang-undang hendaklah diperketatkan. Masyarakat yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh semasa proses meragut hendaklah dikenakan hukuman mati mandatory bagi memberikan pengajaran kepada orang lain.Selain itu, Polis Kuala Lumpur mewujudkan operasi berkonsepkan ‘kepolisian agresif’ dengan menggabungkan setiap jabatan dan cawangan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam apa jua jenayah di ibu negara. Untuk mengatasi jenayah ragut ini,kaum wanita haruslah belajar seni mempertahankan diri untuk melindungi diri daripada jenayah ragut.

Antara langkah yang boleh diamalkan oleh individu untuk mengelakkan diri jadi mangsa ragut ialah;
1)Memerhatikan sekeliling anda semasa berjalan di lorong kecil atau kawasan yang sepi.

2)Memerhatikan orang yang disyaki dengan memakai topi keledar,cermin mata hitam ataupun memakai topi dengan menarik ke bawah untuk menutup muka mereka.

3)Jika terpaksa menggunakan jalan yang gelap dan sepi, seharusnya ditemani oleh orang yang dikenali.

Menurut Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia(UUM) berkata, kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu. Menurut Mahmood, jenayah itu kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita.

KESIMPULAN
Isu ragut bukan lagi isu terpencil yang boleh kita pandang sebelah mata. Sudah terlalu banyak korban yang menderita gara-gara si peragut durjana. Justeru kerajaan harus mengambil tindakan bersepadu untuk menangani masalah ini. Kerjasama anggota masyarakat juga amat penting untuk menjayakan langkah membendung kegiatan tidak berperikemanusiaan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...