Kemunculan kafe siber yang begitu pesat membolehkan masyarakat mengakses maklumat dengan cepat selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik IT. Walau bagaimanapun, timbul juga rungutan dalam kalangan masyarakat yang bimbang akan impak negatif akibat perkembangan ini. Huraikan penyataan di atas.
PENGENALAN
Penyataan umum:
Penyataan sokongan 1:
Penyataan sokongan 2:
ISI
Kebaikan Kafe Siber
ISI 1: Membantu menjayakan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat celik IT.
Hujah 1:
Hujah 2:
Hujah 3:
Hujah 4:
ISI 2: Memudahkan masyarakat mengakses maklumat / informasi.
Hujah 1:
Hujah 2:
Hujah 3:
Hujah 4:
Keburukan Siber Kafe
ISI 3: Menyemai budaya lepak dalam kalangan remaja.
Hujah 1:
Hujah 2:
Hujah 3:
Hujah 4:
ISI 2: Penyalahgunaan kafe siber.
Hujah 1:
Hujah 2:
Hujah 3:
Hujah 4:
KESIMPULAN
Pendapat umum:
Saranan:
Harapan:
CONTOH 2: Konsep rancangan bercorak program realiti tv telah mencetuskan fenomena dalam masyakarat kita. Ramai pihak beranggapkan program sebegini memberi banyak manfaat kepada penonton. Walau bagaimanapun, tidak semua program bercorak realiti memberi faedah kepada penonton. Bincangkan.
PENDAHULUAN
Sejak akhir-akhir ini stesen-stesen tv berlumba-lumba menerbitkan rancangan realit1y tv demi meningkatkan rating siaran mereka [1]. Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol dan One In a Million adalah antara contoh program realiti tv yang mendapat sambutan hangat daripada penonton [2]. Penerbitan rancangan realiti tv ini banyak memberikan kesan baik dan juga kesan buru kepada penonton [3].
ISI
Antara kebaikan program realiti tv ialah dapat mengasah bakat peserta [1]. Penerbitan program reality bercorak hiburan seperti Akademi Fantasia dan Mentor dapat menonjolkan lagi bakat anak muda di negara kita [2]. Semasa di dalam akademi mereka akan diajar dan dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman [3]. Mereka juga diajar tentang selok-belok dunia hiburan [4]. Ilmu yang mereka dapat ini akan mempertajamkan lagi bakat dan persediaan mereka bila bergelar anak seni suatu ketika nanti [5].
Selain itu, penerbitan program realiti tv juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan [1]. Fenomena yang dicetuskan oleh program Akademi Fantasia membuatkan setiap keluarga berkumpul bersama-sama menonton siarannya [2]. Hubungan mesra dan harmoni antara ahli keluarga dapat dieratkan lagi [3]. Ibu bapa yang selama ini sibuk, dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama anak-anak mereka [4]. Hubungan erat dan penuh kasih saying ini dapat merealisasikan slogan kerajaan iaitu Rumahku Syurgaku [5].
Walau bagaimanapun, penerbitan program realiti tv juga mencetuskan kesan yang negatif iaitu meresapnya pengaruh budaya barat dalam kalangan masyarakat kita [1]. Pergaulan bebas dalam kalangan peserta rancangan tersebut mencermin terhakisnya nilai-nilai murni yang kita sanjung selama ini [2]. Gelagat peserta yang berpelukan bila penyingkiran diumumkan tidak bersesuaian dengan budaya ketimuran [3]. Pengaruh budaya barat juga terpamer melalui cara berpakaian para peserta [4]. Siaran secara langsung rancangan sebegini mampu mendatangkan kesan buruk kepada minda anak-anak yang masih kecil [5].
Di samping itu, penerbitan rancangan realiti juga dikatakan telah menyemai sikap mencarut dalam kalangan masyarakat kita [1]. Peminat fanatik peserta yang bertanding tidak segan silu menghina dan memburuk-burukan peserta lain ataupun peminat peserta lain [2]. Tidak kurang juga ada peminat yang bergaduh dalam laman chatting apabila timbul perasaan tidak puas hati terutama bila peserta pilihan mereka tersingkir atau tewas [3]. Amalan mencaci orang lain amat bertentangan dengan budaya kita [4]. Sikap memalukan sebegini tidak harus wujud dalam masyarakat kita yang terkenal dengan sopan santun dan budi bahasa.
KESIMPULAN
Masyarakat kita tidak seharusnya disogokkan dengan rancangan hiburan semata-mata [1]. Kementerian, pemilik stesen-stesen tv dan penerbit harus memikirkan konsep penyiaran dan rancangan yang dapat memberi informasi dan pendidikan kepada para penonton [2]. Kita berharap, pihak terbabit sedar akan tanggungjawab sosial yang patut dimainkan dalam usaha dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan memelihara nilai ketimuran [3].
* [ ] Nombor dalam kurungan tidak perlu ditulis semasa menulis esei sebenar. Dalam hal ini, ia hanya ditulis untuk memandu pelajar agar tidak berlebih-lebih dalam menghuraikan sesuatu isi.
CONTOH 3: Setiap tahun kerajaan memberikan peruntukan jutaan ringgit untuk meningkatkan kekuatan ketenteraan dan sistem keselamatan negara. Berikan alasan anda untuk menyokong usaha kerajaan meningkatkan kekuatan ketenteraan Malaysia dan masalah yang menyekat usaha ini.
Kekuatan ketenteraan amat penting bagi sebuah negara berdaulat seperti Malaysia. Oleh itu, kerajaan Malaysia telah memberi peruntukan kewangan yang besar untuk mempertingkatkan kekuatan ketenteraan negara. Namun demikian, terdapat beberapa masalah yang mengekang usaha memperkuatkan pasukan tentera kita.
Antara kepentingan meningkatkan kekuatan ketenteraan negara ialah untuk menjamin keselamatan negara. Sempadan Negara yang luas memerlukan pasukan tentera yang cukup selain peralatan seperti radar pengesan yang canggih. Keganasan antarabangsa yang semakin berleluasa juga menuntut kerajaan meningkatkan system pertahanan negara ke tahap yang lebih baik. Negara kita seharusnya sentiasa bersiap sedia dengan peralatan ketenteraan yang terkini demi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman pencerobohan dari kuasa luar. Kita sudah pasti tidak mahu menjadi negara Afghanistan dan Iraq yang menjadi mangsa pencerobohan negara asing.
Selain itu, pasukan tentera yang cukup dan terlatih juga mampu menjadi sandaran ketika berlakunya kecemasan atau malapetaka. Tenaga perajurit kita sentiasa bersedia untuk dikerah bila-bila masa sahaja. Sebagai contoh, pasukan penyelamat tentera dapat membantu bila berlaku tragedi seperti bangunan runtuh. Semasa bencana banjir berlaku, pasukan tentera dapat dikerah untuk menyelamatkan mangsa. Oleh itu, usaha kerajaan memperuntuk perbelanjaan yang besar bagi menambah jumlah anggota tentera merupakan usaha yang berbaloi.
Walau bagaimanapun, usaha kerajaan ini terjejas oleh faktor kekangan seperti kurangnya minat para belia untuk menyertai pasukan tentera. Faktor latihan yang berat, disiplin yang ketat dan risiko kehilangan nyawa menjadi penyumbang permasalahan ini. Selain itu, penawaran gaji yang rendah berbanding sektor pekerjaan yang lain juga menyebabkan usaha memperkukuhkan pasukan tentera terbantut. Para belia lebih berminat dengan tawaran gaji yang lumayan dan peluang kenaikan pangkat yang lebih terbuka dalam sektor pekerjaan lain. Kurangnya sambutan para belia terhadap bidang pertahanan ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha murni kerajaan untuk memperkasakan sistem pertahanan negara.
Di samping itu, kos penyelenggaraan yang tinggi untuk angkatan tentera juga menjadi penghalang kepada usaha memperkukuhkan bidang ketenteraan. Kem-kem tentera yang lengkap, peralatan terkini dan tempat tinggal untuk keluarga tentera perlu disediakan dan diselenggara dari masa ke semasa. Pakar dari luar negara sudah pasti diperlukan khidmatnya untuk melatih pegawai tentera negara kita mengendalikan peralatan pertahanan yang moden dan terkini. Langkah ini sudah pasti memerlukan kos yang tinggi dan mampu menjerat kerajaan untuk terbeban dengan masalah kewangan.
Usaha kerajaan untuk meningkatkan kekuatan ketenteraan memang wajar dilaksanakan. Walau bagaimanapun, perancangan yang teliti perlu dilakukan agar tidak berlaku pembaziran. Semoga kekuatan tentera kita mampu menjamin kedaulatan negara untuk selama-lamanya.
CONTOH 4: Masalah kepupusan sumber alam dan pencemaran alam sekitar kian kronik. Kini, muncul kesedaran untuk memelihara dan memulihara sumber alam melalui kempen kitar semula. Berikan alasan anda untuk menjelaskan pentingnya mengitar semula barangan buangan dan barangan terpakai.
Masyarakat global semakin risau dengan bahana kepupusan sumber alam dan juga pencemaran alam. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menangani masalah ini termasuklah pelaksanaan kempen kitar semula. Kempen kitar semula yang menggabungkan kaedah recycle, refuse dan reuse dianggap antara langkap paling praktikal untuk mengatasi masalah ini.
Pelaksanaan kempen kitar semula mampu memelihara alam sekitar daripada tercemar. Kepesatan pembangunan termasuklah perindustrian, pertanian, penternakan dan petempatan menghasilkan banyak bahan buangan sisa pepejal. Besi dan plastik yang mengambil masa puluhan tahun untuk reput menambahkan lagi kroniknya pencemaran alam sekitar. Justeru, dengan adanya kempen kitar semula ini, bahan-bahan besi , plastik, kertas dan kaca boleh diproses semula atau digunakan semula. Langkah ini sudah pasti dapat mengurangkan kuantiti sampah yang mencemarkan alam sekitar.
Selain itu, program kitar semula juga mampu untuk memelihara sumber yang terhad.
Kerakusan manusia untuk mengaut keuntungan menyebabkan hutan ditebang dan perlombongan dijalankan tanpa had. Sekiranya kegiatan ini dijalankan secara tidak terancang, tidak mustahil kita akan mengalami kepupusan sumber yang bernilai. Oleh yang demikian, kitar semula mampu kertas dan tin-tin aluminium mampu menyelamatkan hutan dan sumber galian. Tegasnya, langkah mengitar semula ini mampu memelihara sumber daripada mengalami kepupusan.
Langkah kitar semula juga dapat menjimatkan kos. Sebagai contoh, kos melombong mineral sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos mengutip dan meleburkan semula besi buruk atau tin-tin aluminium yang jauh lebih murah. Kos menebang dan memproses pokok menjadi kertas juga jauh lebih mahal daripada kos memproses semula terpakai. Langkah bijak ini sudah pasti member pulangan yang lumayan kepada pengusaha. Mereka bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi membantu dalam meningkatkan keuntungan.
Di samping itu, langkah mengitar semula ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Orang ramai boleh melakukan pekerjaan ini secara sambilan dari rumah. Para peniaga juga berpeluang menjalankan perniagaan mengumpul dan membeli barangan terpakai. Secara tidak langsung hal ini akan membawa kepada wujudnya kilang pemprosesan barang buangan ataupun barang terpakai. Berdirinya kilang pemprosesan ini sudah pasti akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sebagai warganegara yang bijak, kita seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan program kitar semula ini. Sokongan padu semua pihak amat penting bagi menjamin kelestarian alam kita. Kita sudah pasti tidak mahu menyesal dikemudian hari apabila bumi yang satu ini tercemar dan kehilangan sumber pentingnya.
CONTOH 5: Penemuan dan penghasilan sumber tenaga alternatif memberi banyak manfaat kepada kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, pekara yang membimbangkan ramai pihak ialah kesan yang mungkin timbul akibat penggunaan tenaga alternatif.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan di atas.
Sumber tenaga seperti petroleum, arang batu dan gas diramalkan semakin berkurangan. Penemuan dan penghasilan tenaga alternatif seperti tenaga solar, ombak dan nuklear penting dalam mengatasi krisis tenaga yang kian meruncing. Namun demikian, risiko akibat penggunaan tenaga alternatif juga tidak harus dipandang ringan.
Antara kepentingan sumber tenaga alternatif ialah dapat membekalkan tenaga yang mencukupi. Sumber tenaga yang semakin berkurangan pasti menjejaskan pengeluaran sektor perusahaan. Banyak barang mentah rosak akibat tidak dapat diproses. Akibatnya, kilang-kilang akan mengalami kerugian sekaligus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Jadi, penemuan dan penghasilan tenaga alternatif amat penting bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi.
Penggunaan sumber tenaga alternatif juga mampu mengurangkan masalah pencemaran alam. Pembakaran bahan api fosil telah membebaskan karbon dioksida yang menyebabkan berlakunya kesan rumah hijau. Penggunaan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar dan hidroelektrik adalah bersih dan tidak mencemarkan alam. Selain itu, tenaga biomass yang terhasil daripada bahan buangan sisa pertanian mampu mengurangkan kuantiti lambakkan bahan buangan. Jelas sekali penggunaan sumber tenaga alternatif membantu mengurangkan pencemaran alam.
Walau bagaimanapun, penggunaan tenaga alternatif juga akan menjejaskan ekologi alam sekitar. Pembinaan Empangan Hidroelektrik Bakun telah memusnahkan hutan yang begitu luas. Banyak kawasan ditenggelami air sekaligus menyebabkan beberapa spesis hidupan liar diancam kepupusan. Selain itu, kebocoran loji tenaga nuklear juga turut mencemarkan alam sekitar. Kesan radiasi menjejaskan hasil pengeluaran terutama produk pertanian.
Di samping itu, penggunaan sumber tenaga alternatif juga mampu menjadi ancaman kepada keselamatan manusia. Kebocoran loji nuklear Chernobyl di Russia pada tahun 1986 menyebabkan banyak pekerja menjadi korban akibat radiasi. Penduduk setempat juga menghidap penyakit barah yang serius. Selain itu, penggunaan senjata nuklear dalam peperangan juga mampu membunuh ribuan nyawa. Penggunaan senjata nuklear oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menghancurkan tamadun manusia.
Penggunaan dan penghasilan sumber tenaga alternatif mampu membawa manusia ke satu tamadun yang lebih maju. Walau bagaimanapun, pihak berkepentingan harus menggunakan tenaga ini untuk kebaikan. Penyalahgunaan sumber tenaga alternatif harus dielakkan demi kesejahteraan sejagat.
CONTOH 6: Kesan rumah hijau dikatakan menjadi punca utama pemanasan global. Huraikan punca berlakunya kesan rumah hijau dan langkah menangani masalah tersebut.
Kejadian kesan rumah hijau banyak member kesan kepada peningkatan suhu bumi. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya kejadian kesan rumah hijau. Masalah ini harus ditangani dengan bijak oleh semua penghuni bumi bagi mengekalkan suhu yang seimbang.
Kepesatan pembangunan terutama sektor perindustrian merupakan faktor berlakunya kesan rumah hijau. Pertumbuhan perkilangan misalnya membawa kepada pelepasan karbon dioksida yang banyak ke ruangan atmosfera. Karbon dioksida merupakan salah satu gas rumah hijau yang sifatnya membenarkan cahaya matahari menembusinya tetapi menghalang pemantulan balik haba tersebut. Keadaan ini mencetuskan fenomena meningkatnya suhu bumi. Semakin banyak gas rumah hijau dibebaskan ke ruang udara, bumi akan bertambah panas.
Selain itu, pertambahan jumlah kereta juga menyumbang kepada berlakunya kesan rumah hijau. Saban hari, jumlah kenderaan di jalan raya bertambah dengan banyaknya. Kuantiti asap kereta yang mengandungi karbon monoksida dan karbon dioksida di ruang atmosfera juga semakin bertambah. Gas-gas rumah hijau inilah yang memerangkap cahaya matahari dan menghalangnya daripada dipantulkan ke udara. Bila keadaan ini terjadi, penduduk dunia akan merasa kesan iaitu panas.
Memandangkan kesan rumah hijau memberi impak yang besar kepada suhu bumi, usaha mengurangkan masalah ini harus dilaksanakan. Deklarasi antarabangsa wajar dianjurkan untuk membolehkan pemimpin dunia duduk semeja bagi menandatangani perjanjian mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida. Para pemimpin dunia terutama negara-negara perindustrian harus sedar akan kesan buruk jika masalah ini tidak dikawal. Setiap negara di dunia harus berkerjasama menangani masalah global ini. Tanpa komitmen jitu semua negara, usaha mengurangkan kesan rumah hijau ini akan gagal.
Di samping itu, pembangunan R&D juga wajar dipergiatkan untuk mencipta alat penapis asap. Penapis ini wajib dipasang di cerobong asap kilang dan ekzos kenderaan. Jika usaha ini berjaya dilaksanakan, usaha mengurang pembebasan gas rumah hijau juga akan menemui hasilnya. Usaha mencipta bahan untuk menggantikan penggunaan gas klorofluoro karbon di dalam pembuatan peti sejuk juga harus difikirkan bagi mengurangkan kuantiti pelepasan gas rumah hijau. Pengurangan penggunaan unsur yang mengandungi gas rumah hijau perlu dilaksanakan agar pemanasan global dapat ditangani.
Kesan rumah hijau yang tidak dikawal akan menjejaskan keseimbangan suhu bumi. Usaha dan kesedaran semua pihak amat penting dalam mengurangkan berlakunya kesan rumah hijau. Semoga kesedaran dan usaha ini dapat menyelamatkan bumi kita dari bahang kepanasan matahari.
CONTOH 7: Masalah kekurangan makanan laut semakin serius di Malaysia. Oleh itu, kegiatan akuakultur telah dijalankan. Bincangkan kesesuaian kegiatan akuakultur dijalankan di Negara kita dan langkah-langkah untuk memajukan kegiatan ini.
Masalah kekurangan bekalan makanan laut di negara kita semakin meruncing. Oleh itu, kegiatan akuakultur telah diusahakan oleh beberapa agensi berkaitan. Kegiatan ini berpotensi luas untuk dikembangkan di negara ini.
Antara faktor yang menjadikan kegiatan akuakultur sesuai dijalankan di negara kita ialah kawasan pantai yang luas. Negara kita dikelilingi oleh laut dan ini membentuk kawasan pesisiran pantai yang panjang. Kawasan pantai yang terlindung daripada ancaman ombak ini sesuai untuk penternakan udang, kerang, ikan marin dan kupang. Selain itu, negara kita juga kaya dengan tasik buatan dan empangan yang luas. Lokasi ini sesuai untuk memajukan kegiatan akuakultur seperti penternakan air tawar.
Malaysia juga mempunyai iklim yang sesuai untuk menjalankan kegiatan akuakultur. Cuaca yang panas dan lembab begitu sesuai untuk memajukan kegiatan akuakultur. Suhu yang tinggi ini membantu menambahkan keaktifan hidupan yang diternak sekaligus meningkatkan kadar tumbesaran. Bekalan air yang bermutu dan mencukupi juga banyak mendorong kepada kejayaan projek akuakultur ini. Faktor-faktor ini mampu menjayakan projek akuakultur sekaligus meningkatkan hasil makanan laut di Malaysia.
Walau bagaimanapun, tenaga kerja yang berkemahiran dan mencukupi perlu diambil kira dalam usaha memajukan kegiatan akuakultur. Bidang ini memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran yang tinggi. Pekerja atau pengendali projek harus ada pengetahuan tentang mutu air dan tanah. Kemahiran untuk mengetahui punca dan cara merawat penyakit ternakan juga harus dikuasai. Oleh itu, penawaran kursus di institut pengajian tinggi dalam bidang berkaitan akuakultur harus diperluaskan lagi untuk memberi pendedahan kepada para belia kita.
Selain itu, bantuan kerajaan amat diperlukan untuk memajukan bidang akuakultur. Setakat ini, projek akuakultur dijalankan secara sambilan atau kecil-kecilan. Suntikan modal dan latihan berterusan oleh agensi kerajaan amat perlu bagi membolehkan projek sebegini dijalankan pada skala yang lebih besar. Syarikat korporat dan pelabur asing juga harus digalakkan untuk menceburkan diri di dalam bidang akuakultur agar masalah modal bukan lagi menjadi kekangan. Kerajaan melalui agensi yang berkaitan juga harus terus menjadi perunding cara kepada pengusaha persendirian agar perjalanan projek ini dapat dijayakan.
Kegiatan akuakultur sudah seiring dengan perkembangan sektor pertanian dan perikanan. Kegiatan akuakultur sewajarnya diberikan fokus kerana kesesuaiannya untuk dijalankan di negara ini selain mempunyai prospek yang cerah di masa depan.