Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Aug 8, 2011

Tanah Runtuh 1



ABAI KETAHANAN STRUKTUR TANAH PUNCA TANAH RUNTUH
Sumber: Berita Harian
PEMBANGUNAN yang tidak mengambil kira aspek ketahanan struktur tanah serta kesan alam sekitar adalah punca utama tanah runtuh di kawasan tanah tinggi dan lereng di negara ini.
Pembangunan tidak terkawal dan terancang itu diburukkan lagi dengan sikap pemaju yang sering mengetepikan ciri keselamatan, khususnya kawal kejuruteraan di kawasan cerun.
Masalah itu sukar dibendung tanpa pengawasan teliti daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji semula semua projek tanah tinggi dan lereng bukit yang sedang dan akan dibangunkan. Ini bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti di Highland Towers, sembilan tahun lalu serta Taman Hillview, baru-baru ini tidak berulang.
Naib Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Dr Alias Abdullah, berkata kerajaan perlu memperketatkan peraturan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta pelaksanaan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 bagi memastikan pihak pemaju sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.
Begitu juga dengan garis panduan mengenai pembangunan di tanah tinggi atau lereng bukit perlu dipatuhi serta dipastikan ketelusannya oleh pihak berkuasa tempatan yang meluluskan sesuatu projek.
Beliau berkata, ini penting kerana apabila berlaku tragedi tanah runtuh, pihak berkuasa boleh merujuk kepada laporan EIA dan pelan perancangan pemaju bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Katanya, kawasan tragedi mungkin kawasan selamat ketika dibangunkan tetapi disebabkan kesan pembangunan di kawasan persekitaran, kawasan dulunya tidak berisiko kini turut terancam.
"Taman Hillview di Ampang mungkin tidak ada masalah tetapi pencerobohan oleh projek di kawasan berdekatan atau di sebelah bukit mengubah struktur tanah.
"Kegiatan, terutama penebangan pokok yang berleluasa menyebabkan sokongan tanah menjadi longgar dan mudah dihakis air hujan.
"Kesannya, apabila hujan lebat dan tiada kawasan untuk menampung air akibat bukit menjadi gondol, kecenderungan berlaku hakisan sangat besar. Ini kerana tiada benteng untuk menghalang aliran air. Itu yang berlaku kepada banglo di Taman Hillview," katanya.
Bagaimanapun, Dr Alias berkata, geoteknikal kawasan tragedi perlu dikaji bagi memastikan penempatan itu tidak termasuk dalam kawasan tadahan hujan yang sepatutnya dipelihara sebagai kawasan sumber air.
Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, tragedi yang berlaku turut menimbulkan pelbagai persoalan. Di antaranya sejauh mana kesungguhan pihak berkaitan menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan sebelum sesuatu projek diluluskan.
Ini kerana, katanya, UIAM pernah membuat kajian kawasan tadahan air di Selangor dalam mengenal pasti kawasan yang dianggap sensitif untuk pembangunan.
Sejauh mana hasil laporan itu dimanfaatkan, sukar untuk dipastikan memandangkan kebanyakan projek pembangunan di kawasan tanah tinggi dilakukan di sekitar Selangor.
Dr Alias berkata, tragedi tanah runtuh sebelum ini sepatutnya menjadikan semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pembeli untuk lebih berhati-hati dalam mengambil langkah pencegahan supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
Katanya, pihak berkepentingan tidak sepatutnya bersikap tamak sehingga sanggup mengetepikan soal kemanusiaan, tanggungjawab kepada alam sekitar dan pengekalan sumber tadahan air yang menjadi keperluan harian.
Beliau berkata, tidak rugi jika kawasan yang mempunyai nilai ekonomi tidak dimajukan jika kesan jangka panjang adalah lebih baik demi memelihara nyawa, harta benda dan alam semula jadi.
"Jika kita serius mengenai nyawa, maka kita mesti serius melihat kawasan yang hendak dibangunkan.
"Adakah kita ingin melihat hutan di Selangor dan Wilayah Persekutuan terus diterokai atas nama pembangunan. Ini persoalan yang perlu difikirkan semua pihak," katanya.
Mengenai langkah pencegahan, katanya, sistem amaran awal seperti yang dilakukan negara lain ketika menghadapi bencana alam seperti letupan gunung berapi atau ribut taufan perlu diperkenalkan untuk kejadian tanah runtuh di negara ini.
Ini, katanya, dapat dilakukan menggunakan kaedah terkini seperti `remote sensing' untuk meninjau pergerakan tanah dan aliran air supaya langkah awal dapat diambil apabila masalah berjaya dikesan.


Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca perlu memberi gambaran jelas mengenai jumlah hujan yang tepat kerana limpahan hujan berterusan atau dalam jumlah besar boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan berisiko.
Dr Alias juga menyarankan diwujudkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai pakar geologi, geoteknik, jurutera tanah, menggunakan teknologi terkini bagi memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan sensitive atau sering berlaku tanah runtuh.
Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan seperti pemaju dan pihak berkuasa tempatan dan dicadangkan diletakkan dalam Majlis Bencana Negara.
"Jawatankuasa ini perlu ada satu unit yang berupaya melaksanakan operasi pemantauan supaya apabila berlaku saja perubahan pada struktur tanah, tindakan pantas boleh diambil untuk pencegahan," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...