Itulah perasaan bila membaca berita yang dipaparkan di dalam akhbar-akhbar utama dan beberapa akhbar lain hari ini.
Gambar: Siti Norzana Nordi
Penderitaan mereka bermula apabila Nordi (57 tahun) mengahwini isteri keduanya (pada tahun 2010) selepas isteri pertama menghilangkan diri. Dia membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Indonesia bagi memulakan kehidupan bersama isteri serta keluarga mentuanya namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.
Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000 dan dia serta empat anaknya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu mentuanya sebelum dia kembali ke tanah air bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat beradik itu.
Nordi kini diperas ugut keluarga terbabit sebagai sumber kewangan
mereka dan anaknya dianggap seperti beban dan tidak dilayan dengan baik. MyMetro.
Ini bukanlah kes pertama yang melibatkan warganegara kita ditipu oleh pasangan warga asing mereka. Sebelum ini kita pernah dikecohkan dengan kes anak-anak gadis kita termasuk gadis bawah umur dilarikan oleh jejaka Lombok atas nama "adat tradisi". Tidak kurang yang menderita dan minta bantuan untuk kembali ke Malaysia.
Walaupun masih dianggap kes terpencil, tetapi perkara ini tidak patut dipandang sebelah mata. Statistik kes seumpama ini sentiasa menunjukkan peningkatan walaupun bukan di tahap kritikal. Tetapi perlukah kita menunggu keadaan menjadi lebih parah baru bertindak? Mencegah itukan lebih baik daripada mengubati.
Individu terutamanya anak gadis ataupun mereka yang merancang untuk berkahwin dengan warga asing harus berfikir dengan rasional. Timbang baik buruknya dan selidik latar belakang pasangan sebaik mungkin. Kita tidak mahu warga kita tertipu seperti yang berlaku kepada Nordi Adi. Lebih menakutkan jika kita tertipu dengan sindiket yang mengumpan anak-anak gadis kita untuk dijadikan keldai dadah mahupun pelacur. Para ibu bapa harus perihatin dengan situasi seumpama ini.
Dalam kes Nordi Adi, salah seorang anaknya, Siti Norzana Nordi didakwa sudah dijual kepada orang ketiga sehingga membantutkan usaha Biro Komuniti Pemuda UMNO untuk membawa gadis cilik tersebut kembali ke pangkuan bapa kandungnya. Justeru usaha yang lebih teratur harus diambil bagi memastikan anak-anak beliau dapat dibawa balik ke Malaysia. Pihak kerajaan melalui duta mahupun kementerian boleh mengadakan rundingan dengan kerajaan Indonesia untuk menyelesaikan kes ini.