Alkisahnya, seorang anak yang pernah mengabaikan ibunya
[menghalau ibunya dari rumah sehingga ibunya pernah bermalam di kandang kerbau
sebelum dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat] kerana terlalu mengikut
telunjuk isteri. Akhirnya, si anak itu sendiri menjadi penghuni Rumah
Sejahtera [bersebelahan bilik tempat ibunya duduk setelah dihalau dari rumah] selepas da sendiri diabaikan oleh anak dan isteri.
Itu hanyalah secebis kisah Tanggang Moden. Sebenarnya banyak
lagi kes serupa yang pernah berlaku di Negara kita. Anak-anak sanggup membuang
ibu bapa, meninggalkan ibu bapa di hospital, mengabaikan ibu bapa tanpa
sekelumit rasa kasih.
Kadang-kadang kita terfikir, bagaimana masyarakat kita yang
dikatakan penuh adab sopan dan kasih sayang tergamak memperlakukan orang tua
mereka sedemikian rupa? Lupakah mereka, tanpa orang tua, mereka tidak akan ada di
muka, menikmatikan kehidupan ini! Tidakkah mereka sedar akan pengorbanan besar
kedua-dua orang tua membesarkan mereka sehingga dapat bersuami dan beristeri,
ada yang menjadi jutawan.
Di manakah naluri kemanusiaan? Di manakah nilai kasih
sayang?
Kita tidak boleh menunding jari kepada orang lain atau
menyalahkan takdir atau sebagainya bila berlakunya kes pengabaian orang tua.
Kita tidak boleh menyalahkan isteri atau suami kita. Kita tidak boleh
menyalahkan tuntutan kerja kita sehingga kita terlalu sibuk untuk menjaga
mereka. Kita juga tidak boleh menganggap menghantar orang tua ke rumah kebajikan
sebagai tanda kita menyayangi mereka! Pasti ada cara yang lebih baik untuk
memastikan orang tua kita tidak terabai.
Jika ibu bapa mampu menjaga sepuluh orang anak, kenapa 10
orang anak tidak mampu menjaga orang tua mereka? Saya percaya, pengakuan ‘rela’
dihantar ke rumah kebajikan yang terpacul dari mulut orang tua kita adalah
perkataan paling berat untuk diungkapkan. Tidak ada ibu bapa yang sanggup
dipisahkan dari anak cucuknya ‘sebelum waktunya’. Jadi, mengapa kita terlalu
mudah menganggap ‘rela’ tadi sebagai sesuatu yang betul-betul rela? Pasti orang
tua kita ingin menghabiskan hari-hari tua mereka bersama anak dan cucu mereka!
Marilah kita ingatkan diri kita, betapa wajarnya kita
menjaga dan membahagiakan orant tua kita selagi hayat mereka, Jangan setelah
ketiadaan mereka barulah kita menyesal. Pada waktu itu, penyesalan sudah tidak
bernilai walau 1 sen pun!!!