Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jun 11, 2011

Dasar Penswastaan



Latar Belakang
Penswastaan mula mendapat perhatian yang wajar di Malaysia mulai pertengahan tahun 1983 apabila Y.A.B. Perdana Menteri melancarkan Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga telah menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara.

Penswastaan adalah bertentangan dengan pemiliknegaraan (nationalization), iaitu satu proses yang menambahkan pemilikan dan penguasaan Kerajaan dalam ekonomi. Pada dasarnya, pengswastaan melibatkan beberapa kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta.

Rasional
Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan perasmian conference The Securities Industri in Malaysia pada 28hb April, 1984 menyatakan.... Goverment the world over are notorious for inefficiency when running enterprises, even aided by monopoly and the authority of Government. On the other hand, the private sector is better motivated and generally more efficient. It is hoped that privatisation will improve the economic and general performance of the services, resulting in a more rapid growth of the nation as a whole'.

Sektor Awam bukan sahaja terlibat dalam menyediakan dasar utama dan menentukan arah dan penyediaan perkhidmatan tetapi telah juga terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan di Malaysia. Saiz sektor awam telah berkembang dengan begitu pesat sekali dalam 10 tahun yang lalu. Perbelanjaan sektor awam telah meningkat dengan begitu besar sekali dari 28% pada tahun 1975 kepada 36% pada tahun 1982 dan ini merupakan satu beban kewangan yang besar untuk ditanggung oleh Kerajaan. Keadaan ekonomi meleset juga menjadi faktor-faktor utama yang membawa kepada Dasar Pengswastaan ini diperkenalkan.

Objektif
Dasar Pengswastaan diperkenalkan dengan mempunyai objektif seperti berikut:

(i) Mengurangkan Bebanan Kewangan Kerajaan
Pada masa yang lepas, pihak Kerajaan telah membelanjakan ribuan juta ringgit dalam sektor kesihatan, pertahanan, air, api, jalan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, dan perbelanjaan tersebut terus meningkat dari masa ke semasa dan kadar pulangan balik kepada Kerajaan adalah lambat dan sangat rendah.

Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa menyelenggarakan perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan tertentu. Jumlah emolumen merupakan satu item yang terbesar iaitu lebih satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan dalam bentuk pindahan juga telah meningkat dengan pesatnya sejak akhir-akhir ini dan sekarang telah menjadi hampir setengah daripada perbelanjaan mengurus.

(ii) Meninggikan Kecekapan Dan Penghasilan Kerja
Pencapaian kebanyakan daripada perusahaan awam yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perindustrian masih tidak memuaskan walaupun mereka mempunyai kedudukan monopolistik dan menikmati berbagai sokongan Kerajaan. Dengan mengswastakan beberapa perkhidmatan Kerajaan yang tertentu, serta dengan kepakaran dan peluang yang lebih baik yang boleh di beri oleh pihak swasta, adalah dijangka perkhidmatan tersebut dapat di tingkatkan dengan lebih baik lagi.

(iii) Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Dan Kekesanan Negara
Harta-harta atau kekayaan yang dimiliki oleh negara masih belum diusahakan sepenuhnya. Halangan-halangan yang terdapat dalam sektor awam tidak menggalakkan penggunaan sumber-sumber kekayaan negara ini dengan cekap dan sepenuhnya. Lebih banyak syarikat swasta yang dapat di wujudkan yang dengan secara tidak langsung dapat meninggikan pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, pihak Kerajaan pula dapat mengecap nikmat bersama dengan mengutip cukai pendapatan dari syarikat-syarikat yang berkenaan.

(iv) Pembahagian Sumber Serta Kecekapan
Lebih banyak penglihatan Kerajaan dalam ekonomi bermakna lebih banyak penguasaan Kerajaan terhadap sumber-sumber negara. Keputusan pula biasanya dibuat berasaskan pertimbangan yang bukan bercorak pasaran. Sebahagian besar daripada barang-barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mencerminkan nilai pasaran. Harga barangan tersebut adalah berasaskan subsidi dan sumber yang diuntukkan itu untuk pengeluarannya tidak dapat diagihkan dengan cekap. Subsidi dan pengekalan sikap yang berkehendakkan kebajikan, akan menggalakkan rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Keadaan ini tidak sesuai dengan kepentingan jangka panjang perseorangan dan negara keseluruhannya.

(v) Mempercepatkan Pencapaian Matlamat dasar Ekonomi Baru
Dengan memberi lebih banyak peluang kepada pihak swasta, Kerajaan dapat mengwujudkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta Bumiputera atau bilangan pengurus-pengurus Bumiputera bagi memenuhi kehendak-kehendak Dasar Ekonomi Baru itu.


Strategi Pelaksanaan
Beberapa isu penting perlu diselidiki, dikaji dalam menimbangkan cadangan-cadangan pengswastaan sesuatu perkhidmatan itu. Kabinet telah mengarahkan satu Jawantankuasa ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan dianggotai oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Jabatan Awam (PSD) dengan dipengurusikan oleh Unit Perancang Ekonomi bagi menyediakan satu garis panduan yang lengkap untuk memudahkan Kementerian/Jabatan mengswastakan beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian/Jabatan masing-masing. Antara isu-isu yang perlu di pertimbangkan ialah:
(a) Pemecahan sesuatu khidmat (fragmentation);
(b) Soal keselamatan;
(c) Perundingan;
(d) Implikasi kewangan;
(e) Penentuan harga;
(f) Implikasi kepada kakitangan;
(g) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru;

Berdasarkan kepada angka perbelanjaan dan peruntukan-peruntukan pembangunan awam, sektor swasta pula mengkaji keupayaan mereka dalam mengurus dan mengambilalih harta-harta yang akan diswastakan. Pengawasan dan penilaian yang rapi terhadap perkhidmatan-perkhidmatan yang diswastakan juga merupakan sebahagian dari program pengswastaan. Tingkat kecekapan daya pengeluaran, daya persaingan yang sihat serta tingkat harga yang dikenakan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan perlu diawasi untuk menilai kos dan faedah dari perkhidmatan yang diswastakan.

Penutup
Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik 'national monopoly' yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut.

Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...