Kecoh! Kelas huru-hara, tak ubah bagaikan tongkang pecah. Pelajar keluar masuk kelas sesuka hati, berjalan ke sana-sini. Ada pula yang tidur, mengganggu kawan yang lain dan tak kurang ada yang menjerit-jerit, ketawa dan bergurau senda antara satu sama lain. Langsung tidak menghiraukan guru yang mengajar di depan. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini?
Pastinya situasi ini amat mencabar malah memberi tekanan kepada guru tersebut. Bagaimana hendak mengajar dalam suasana serabut sedemikian? Apa yang patut dilakukan? Kawalan Kelas yang konsisten merupakan antara senjata ampuh untuk menangani masalah ini. Jom baca 11 TEKNIK MENGAWAL KELAS berikut.
1. Berfokus
Teknik berfokus bererti guru meminta perhatian pelajar sebelum memulakan pengajaran - guru akan tunggu dan tidak memulakan pengajaran sehingga semua pelajar bersedia. Teknik senyap sangat berkesan. Guru boleh berhenti selama 5 - 10 saat selepas semua pelajar telah senyap. Selepas itu, gunakan suara yang lebih lembut daripada biasa. Guru yang menggunakan suara yang lembut biasanya mewujudkan bilik darjah yang lebih senyap berbanding dengan guru yang menggunakan suara yang kuat. Pelajar-pelajar terpaksa duduk dengan tertib untuk mendengar pengajaran guru. [Pastikan anda memiliki perhatian semua pelajar sebelum memulakan pengajaran & jangan cuba mengajar apabila masih ada pelajar yang berbual-bual.]
2. Instruksi Secara Langsung
Teknik instruksi secara langsung ialah untuk memulakan setiap pengajaran dengan memaklumkan pelajar sejelas-jelasnya apa yang akan berlaku dalam kelas itu. Guru menyatakan apa yang ia dan murid akan buat serta had-had masa untuk tugasan-tugasan. Hal ini penting kerana ketidakpastian pelajar tentang “tugasan / skop pengajaran guru / apa yang patut dilakukan” sebenarnya akan meningkatkan aras ‘karenah’ pelajar dalam bilik darjah.
3. Pemantauan
Kunci utama di sini ialah guru bergerak [elakkan daripada duduk sahaja] semasa murid melaksanakan tugasan. Sambil berjalan, guru harus memantau kerja pelajar. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada membuat gangguan [membuat pengumuman dll] semasa pelajar menyiapkan tugasan. Guru yang berkesan akan bergerak di seluruh bilik darjah selepas 3 minit pelajar diberi tugasan bertulis [bertujuan menyemak dan memberi bimbingan bersifat individu.]
4. Teladan
"Values are caught, not taught." - ini bererti nilai-nilai diamalkan dan dicontohi oleh pelajar dan bukan diajar secara langsung. Guru yang bersopan, tekun, bersemangat, bersabar dan dapat mengawal diri, menjadi contoh yang baik untuk pelajar. Kepimpinan melalui tauladan, berikan contoh peribadi yang baik kepada pelajar.
5. Isyarat Bukan Lisan
Isyarat bukan lisan penting untuk mendapatkan perhatian daripada pelajar. Ia boleh berbentuk ungkapan muka, postur badan, dan isyarat tangan dan sebagainya. Contohnya 'isyarat senyap' yang dicadangkan oleh Kagan - apabila guru angkat tangannya, semua pelajar mesti berhenti bercakap dan turut angkat tangan.
6. Kawalan Persekitaran
Karenah pelajar juga dapat dikawal jika guru berupaya mewujudkan kelas menjadi tempat yang menarik, mesra pelajar dan ceria. Pelajar akan rasa lebih seronok jika persekitarannya bertukar wajah dari semasa ke semasa. Oleh itu, ia harus di’update’ sentiasa. Sudut pembelajaran yang mempunyai gambar dan warna menimbulkan minat akan sesuatu mata pelajaran. Walau bagaimanapun, sediakan juga sudut yang kurang bahan / hiasan. Ini penting bagi pelajar yang mudah hilang tumpuan [‘hiasan’ mudah mengalihkan perhatian pelajar sebegini].
7. Interversi Berprofail Rendah
Guru yang berkesan akan memastikan pelajar yang melakukan salah laku tidak dijadikan fokus perhatian. Pendekatannya terhadap pelajar yang menggangu kelas adalah dalam bentuk yang tidak mudah dilihat atau tidak menarik perhatian orang lain. Pelajar lain tidak rasa terganggu. Sebagai contoh, Semasa memberi penerangan, guru boleh teknik "name-dropping". Sekiranya ia dapati seseorang pelajar bercakap atau tidak membuat kerja yang disuruh, ia akan menggunakan nama pelajar berkenaan dalam dialognya dalam cara yang natural. Ia dapat mengurangkan sikap memberontak dalam kalangan pelajar kerana ‘dimalukan’ di depan rakan-rakannya.
8. Disiplin Asertif
Ini merupakan autoriti yang menetapkan had-had tingkah laku yang dibenarkan. Guru adalah bos dalam bilik darjah dan tiada sesiapa dibenarkan menggangu pembelajaran orang lain. Peraturan dinyatakan dengan jelasnya dan dikuatkuasakan dengan konsisten.
9. Mesej-Saya yang Asertif
Salah satu komponen disiplin asertif ialah mesej- iaitu pernyataan yang digunakan oleh guru ketika murid menimbulkan masalah disiplin. Mesej-mesej ini berbentuk jangkaan yang jelas tentang apa yang harus dilakukan oleh murid. Fokus guru ialah memusatkan perhatian pelajar kepada tingkah laku yang dikehendaki, bukan 'misbehaviour' atau tingkah laku yang tidak baik.
Contohnya ialah: 'Saya inginkan anda ...'; 'Saya hendakkan anda ...'; 'Saya jangkakan anda akan ...'.
Guru yang kurang berpengalaman akan menggunakan arahan seperti: 'Saya mahukan anda berhenti ...'. Ini akan menimbulkan rasa konfrontasi dan penafian.
10. Mesej-Saya yang Humanistik
Mesej ini merupakan ekspresi perasaan. Mengikut Thomas Gordon, mesej ini terdiri daripada 3 bahagian.
Pertamanya, suatu deskripsi tentang tingkah laku pelajar: 'Semasa anda bercakap ketika saya memberi penerangan...'.
Keduanya, kesan tingkah laku pelajar ke atas guru: '... saya terpaksa berhenti pengajaran saya ...'.
Ketiganya, perasaan yang dialami oleh guru akibatnya: '...ini menghampakan saya.'
Contohnya seorang guru yang diganggu oleh murid yang kerap bercakap apabila ia sedang mengajar pernah menyatakan ekspresi perasaannya seperti berikut: 'I can not imagine what I have done to you that I do not deserve the respect from you that I get from the others in this class. If I have been rude to you or inconsiderate in any way, please let me know. I feel as though I have somehow offended you and now you are unwilling to show me respect.' Cuba lihat perubahannya.
11. Disiplin Positif
Gunakan peraturan bilik darjah yang menghuraikan tingkah laku yang dikehendaki dan bukan perlakuan yang dilarang. Contohnya, elakkan daripada 'dilarang berlari dalam bilik' tetapi gunakan 'bergerak dalam bilik dalam cara yang teratur'. 'Selesaikan konflik dengan cara yang sesuai' bukan 'Dilarang bergaduh'. Selalu nyatakan jangkaan anda tentang peraturan yang telah ditetapkan.
Gunakan pujian setiap kali sesuatu tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh pelajar. Pujian tidak semestinya berbentuk verbal, ada kalanya senyuman, anggukan, atau tanda bagus dengan ibu jari boleh memperkukuhkan tingkah laku yang baik.
Selamat mencuba dan semoga berjaya!!!