Artikel 1: Teknologi hijau
Teknologi hijau atau teknologi alam sekitar adalah penggunaan sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia.
Bidang tumpuan teknologi hijau
Antara contoh bidang tumpuan teknologi hijau adalah:
• Tenaga: Isu penting dalam teknologi hijau dan ini termasuk pembangunan bahan bakar alternatif atau tenaga boleh diperbaharui.
• Bangunan hijau: Bidang ini merangkumi semuanya daripada pilihan bahan bangunan kepada lokasi bangunan.
• Nanoteknologi hijau: Nanoteknologi melibatkan manipulasi bahan pada skala nanometer atau satu per bilion meter. Nanoteknologi hijau adalah aplikasi teknologi hijau dalam bidang nanoteknologi.
• Alamtologi: Suatu teknologi yang jelas mengikut fitrah alam semulajadi. Ianya dikembangkan mengikut kepada susunan yang lebih teratur.
Artikel 2: Teknologi Hijau
Teknologi ini bagaimanapun telah lama diamalkan contohnya menerusi penjanaan kuasa hidro bagi penghasilan tenaga elektrik. Kesedaran untuk menggunakan teknologi ini terus meningkat terutama dengan kemunculan isu pemanasan global dan krisis minyak baru-baru ini.
Maksud: Teknologi hijau mempunyai banyak takrifan dan ia bergantung kepada skop tertentu. Secara umumnya mengikut laman web carian Wikipedia, teknologi hijau juga dikenali sebagai teknologi persekitaran dan teknologi bersih. Ia bermaksud, penggunaan teknologi yang menjamin pengekalan alam semulajadi dan menjamin persekitaran hidup manusia agar sentiasa bersih dan sihat.
Teknologi ini berkait rapat dengan pembangunan lestari, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pencarian sumber tenaga baru dan pembuatan peralatan atau mesin yang menggunakan tenaga pada tahap optimum serta mesra alam. Meningkatkan penggunaan tenaga solar dan memperkenalkan penggunaan tenaga daripada sumber angin dan ombak juga akan menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau ini.
Sebagai sebuah negara pertanian, Malaysia seharusnya menggunakan kelebihan ini bagi menghasilkan tenaga daripada hasil pertanian dan sisa buangan pertanian. Ia secara tidak langsung akan menyokong penggunaan konsep 'sisa sifar' (zero waste). Penghasilan tenaga daripada sisa buangan pepejal mesti terus ditingkatkan untuk kepentingan alam sekitar. Teknologi ini banyak dilaksanakan di Jepun.
Sementara itu, konsep bangunan hijau (green building) yang menumpukan kepada penjimatan tenaga, air dan bahan pembuatan haruslah dipertimbangkan untuk dikuatkuasakan dalam pembinaan bangunan di negara ini. Penjimatan tenaga di bangunan hijau banyak berdasarkan kepada reka bentuk dan penggunaan bahan binaan termaju. Konsep ini telah diterima di beberapa negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Britain.
Dan sebagai negara pengeluar kenderaan selain mempunyai banyak kenderaan di atas jalan raya, Malaysia juga mesti memikirkan dengan serius untuk mengembangkan penggunaan enjin hibrid. Ia dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pencemaran. Di samping itu, penggunaan kenderaan berkuasa elektrik dan bahan api bio juga perlu diberi tumpuan.
Teknologi hijau juga akan membuka ruang kepada para penyelidik untuk meneroka dan memantapkan lagi penyelidikan. Kita berharap dan percaya dengan iltizam yang tinggi ke arah pelaksanaan teknologi hijau di samping mengekalkan persekitaran hidup yang sihat akan memberi nilai tambah kepada pencapaian ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Apa yang lebih penting ialah konsep teknologi ini mestilah disedari dan difahami oleh semua rakyat. Promosi mengenai kepentingan dan kebaikan teknologi hijau ini juga perlu diadakan sepanjang masa.
Artikel 3: Teknologi Hijau
Pelancaran Skim Pembiayaan Teknoloji Hijau (GTFS) berjumlah RM1.5 bilion akan menggalakkan lagi pelaburan perniagaan dalam teknologi hijau, pembinaan hijau dan inovasi. Teknologi hijau dapat membantu mengurangkan kesan perubahan cuaca, salah satu penyebab utama bencana yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Mengikut Global Disaster Alert and Coordination System (GDACS), dalam tahun 2009 sahaja, dunia telah mencatatkan 133 bencana alam yang besar mengorbankan beribu-ribu nyawa akibat kemarau, banjir, taufan, badai, saiklun tropika, angin kuat dan gempa bumi.
Penerapan teknologi hijau Malaysia dapat mengekalkan dan memulihara sumber-sumber asli di samping menyediakan tahap ekonomi baru negara. Perdana Menteri menekankan empat sektor yang akan melaksanakan teknologi hijau iaitu tenaga, pengangkutan, bangunan dan air selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan pada 24 Julai tahun lepas.
Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing dalam teknologi hijau untuk memupuk pelaburan domestik dan penyertaan industri tempatan. Kajian dan inovasi teknologi hijau ke arah komersial akan dipergiatkan, dan insentif yang ditawarkan akan mewujudkan promosi besar-besaran dan kesedaran awam memandangkan ia adalah sektor baru negara.
Air permukaan yang melimpah ruah dari sungai-sungai, tasik-tasik dan empangan-empangan menjadikan bekalan air terawat amat murah di Malaysia jika dibandingkan dengan bandaraya-bandaraya lain di Asia.
Namun, pemusnahan kawasan-kawasan tadahan air dan perlepasan berlebihan sisa buangan pertanian, domestik dan industri turut menyumbang kepada degradasi kualiti air sungai.
Pada tahun lepas sahaja, Puncak Niaga telah mengalami 1,433 kes pelanggaran kualiti air di loji-loji rawatan airnya, mengakibatkan penutupan loji-loji ini. Sebagai contoh pencemaran Sungai Labu dan Sungai Langat dengan bahan kimia ammonia dan minyak diesel telah menyebabkan pemberhentian operasi LPA Salak Tinggi dan Batu 11, Cheras pada bulan Julai tahun lepas, menyebabkan kesulitan kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar Salak Tinggi dan 30,000 penduduk di sekitar Cheras.
Masalah pencemaran air sungai bukanlah perkara baru dalam episod bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Masalah pencemaran sumber air juga dialami di beberapa negeri di Malaysia.
Jumlah kes pelanggaran kualiti air telah meningkat secara mendadak setiap tahun. Pada tahun 1995, hanya 273 kes pelanggaran kualiti air yang dicatat oleh Puncak Niaga berbanding sebanyak 1,483 kes pada tahun lepas. Median kos untuk merawat air di Selangor dan di seluruh negara telah bertambah dari hanya 5 sen setiap m³ pada tahun 1960-an kepada 31 sen setiap m³ pada masa kini.
Kos operasi yang tinggi menjadi persoalan kepada dua situasi, sama ada pengguna sanggup membayar lebih atau pihak kerajaan sanggup berbelanja lebih untuk sistem air. Namun begitu, kita sebagai 1Malaysia perlu memainkan peranan dalam mengekalkan alam sekitar, khususnya aset yang amat berharga ini, sumber air.
Dalam kita menerokai sumber-sumber baru air seperti air bawah tanah, mencegah pencemaran sumber-sumber air mentah adalah lebih murah dan boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang.
Menurut Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), taburan hujan tahunan Malaysia secara purata berjumlah sehingga 990 bilion m³, di mana 550 bilion m³ dikategorikan sebagai limpahan permukaan, yang mengalir ke sungai-sungai dan tasik-tasik. Jumlah besar ini adalah sumber air mentah tersedia untuk kita nikmati dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara sumber air ini.
Kesedaran atas isu-isu mengenai risiko, keselamatan, bekalan dan pengurusan permintaan air semakin meningkat dalam semua sektor pembuatan, janakuasa, pemprosesan makanan, pertanian, kertas dan minuman, dan ia hasil daripada agenda teknologi hijau.
Sebagai syarikat perkhidmatan air bersepadu terunggul Malaysia dan tersenarai dalam 50 syarikat air terunggul di dunia, Puncak Niaga menyambut baik langkah kerajaan dalam menuju ke arah Teknologi Hijau, dan peruntukan dapat dibelanjakan untuk memperbaiki infrastruktur sistem air.
Artikel 4: Teknologi Hijau
APABILA Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Teknologi Hijau sebagai antara pemacu baru untuk ekonomi negara, Cyberjaya diberi penghormatan sebagai perintis bandar raya hijau.
*iGREET (Maklumat Mengenai Teknologi Hijau): Merupakan platform unggul bagi mereka yang berkepentingan untuk berkongsi idea mengenai bagaimana untuk mengambil kesempatan daripada infrastruktur hijau dan ekosistem holistik yang dapat ditawarkan oleh ekosistem Cyberjaya. iGREET juga merupakan peluang yang baik bagi para hadirin menjana peluang perniagaan dalam kalangan pemaju dan penyewa sedia ada di Cyberjaya.
Seminar-seminar itu yang diadakan di Rumah Kelab Tasik Cyberjaya bertujuan memperkenal pelbagai kemungkinan teknologi hijau kepada para pemaju dan pemegang kepentingan di Cyberjaya.
Siri iGREET diperkenal bukan sahaja kerana status baru kami sebagai bandar raya hijau perintis seperti yang disampaikan oleh kerajaan, tetapi juga sebagai inisiatif tersendiri untuk memperjuang tanggungjawab ekologi bandar raya siber terkemuka di Malaysia dan hab koridor raya multimedia Malaysia.