Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar
sekolah berkemungkinan dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun
2013. Reaksi pelbagai pihak ternyata bercampur. Ada pihak yang menyatakan bahawa ia adalah satu langkah yang perlu diteruskan dan ada pula yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Perkara sebegini wajar diteliti dengan mendalam. Sesi rundingan dengan pelbagai pihak yang berkaitan wajar dilakukan untuk mengetahui maklum balas yang jujur dan telus. Kita pasti tidak mahu perkara ini akan menimbulkan banyak kesan yang mungkin kita tidak dapat bayangkan. Penilaian menyeluruh dari pelbagai aspek wajar dilaksanakan. Kita tidak boleh menyempitkan perspektif kita kepada satu aspek sahaja sedangkan aspek yang lebih dominan kita abaikan.
Kebaikan
1. Faktor keselamatan: Salah satu rasional terpenting dalam membuat cadangan ini ialah faktor keselamatan lebih-lebih lagi kes penculikan yang kian membimbangkan. Para pelajar boleh memaklumkan kepada ibu bapa dengan segera jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini atau dijangkakan. Selain faktor keselamatan, ada tak faktor lain yang memungkinkan kita bersetuju dengan cadangan ini?
Keburukan
1. Kes kecurian telefon mungkin berlaku dan boleh menjadi isu jika ibu bapa campur tangan sehingga pihak sekolah dipersalahkan.
2. Penyebaran unsur pornografi seperti gambar, video klip 3gp dan SMS berunsur lucah boleh berlaku dengan mudah dan pantai sehingga menjurus kepada masalah sosial yang semakin serius.
3. Penyalahgunaan telefon bimbit juga boleh berlaku. Walaupun dicadangkan bahawa telefon bimbit hanya dibenarkan digunakan ketika diluar waktu kelas, tidak mustahil ada anak-anak kita yang nakal membawanya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Mengambil gambar atau video guru, SMS dengan rakan-rakan mahupun bermain game adalah perkara yang tidak mustahil akan berlaku. Bukankah ini akan menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar sekaligus mengganggu kelancaran proses P&P?
Sebenarnya cadangan ini lebih banyak mendatangkan kesan negatif kepada pelajar dan sekolah kahsnya. Walaupun nawaitu kita murni tetapi kita tidak mampu untuk menyembunyikan hakikat yang terpaksa kita hadapi kelak. Jika cadangan ini diluluskan, kita berharap agar adanya satu undang-undang atau peraturan yang khusus untuk mengurangkan kesan negatif pelaksanaan cadangan ini.