Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jan 20, 2012

Sedih!

Dua bayi mati tersedak susu di pusat asuhan
KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dari sebuah pusat asuhan maut dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh mereka di Taman Pertama, Ampang dekat sini, tengah hari semalam. Kejadian jam 1 tengah hari itu dikatakan berlaku tidak lama selepas kedua-dua bayi malang itu, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Harris, tujuh bulan, diberikan susu di pusat asuhan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas dikejarkan petugas pusat asuhan terbabit ke sebuah poliklinik di Taman Permata sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. ...

Begitulah tajuk berita pilu yang terpampang di dada akhbar Berita Harian hari ini, Jumaat 20 Januari 2012. Memang satu berita yang menyedihkan bagi para pembaca apatah lagi ibu bapa dan keluarga bayi malang tersebut.

Kejadian tragis ini mengundang reaksi pelbagai pihak berhubung peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh sesebuah pusat asuhan atau jagaan kanak-kanak. Kita tidak mahu menunding jari kepada sesiapa tetapi pemantauan ke atas sesebuah pusat asuhan wajar menjadi antara agenda utama kerajaan kerana mereka yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan biasanya mereka yang berkerja.

Antara perkara yang wajar diberikan perhatian ialah;
1. Pemberian lesen untuk membuka pusat asuhan harus lebih ketat. Pihak berwajib harus memastikan pengurusan / pengasuh pusat asuhan mendapat pendidikan atau kelayakan yang sepatutnya. Kita tidak mahu pusat asuhan hanya bermatlamatkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira tanggungjawab besar terutama dalam aspek 'asuhan' dan keselamatan anak-anak.

2. Ketepikan dulu soal keuntungan, pihak pengurusan pusat asuhan harus memastikan mereka memiliki tenaga kerja yang berkelayakan dan mencukupi. Jika tenaga kerja tidak berkelayakan, sudah pasti tidak mampu memikul beban tugas yang berat ini. Anak-anak yang masih kecil memerlukan seorang pengasuh yang bukan sahaja 'bijak' tetapi juga penyabar. Tenaga kerja juga wajar berpadanan dengan nisbah anak-anak yang 'diterima masuk' ke pusat tersebut. Kita tidak mahu bilangan kanak-kanak yang ramai menjadikan para pengasuh tidak menang tangan sehingga akhirnya segelintir si kecil tadi terabai.

3. Bihak berkuasa juga sewajarnya sentiasa memantau atau mengawal selia perkembangan pusat asuhan kanak-kanak. Sudah pasti setelah membayar yuran yang agak mahal, para ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan mengharapkan anak mereka dijaga dengan baik dan terjamin keselamatanya. Jadi, pemantauan berkala atau mengejut mampu mengurangkan sikap leka dan lalai pihak pengurusan pusat asuhan.

4. Peranan pusat asuhan kanak-kanak juga antara isu yang wajar dititik beratkan. Aspek asuhan, keselamatan dan kesihatan anak-anak di bawah jagaan mereka harus menjadi agenda utama mereka. Sekiranya aspek ini diberi penekanan, nescaya tidak akan timbul soal anak-anak cedera kerana bergaduh sesama sendiri, anak-anak terjatuh dan luka, jangkitan penyakit dan lain-lain.

Kita berharap, insiden sedih ini tidak akan terus mewarnai dunia pusat jagaan kanak-kanak termasuk tadika dan juga taska. Pihak berwajib, pihak pengurusan pusat jagaan, ibu bapa dan orang ramai harus sedia untuk berganding bahu mencari resolusi bagi mengelakkan berita sedih berulang kembali.

*Artikel ini ditulis secara umum dan bukannya ditujukan kepada mana-mana pihak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...