Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

May 10, 2011

Bank Sel Stem 2

DASAR Bioteknologi Kebangsaan telah dilancarkan pada 28 April 2005. Bidang bioteknologi merupakan suatu disiplin ke arah aplikasi teknologi yang menggunakan sistem biologi atau organisma hidup untuk dijadikan produk bagi kegunaan tertentu. Proses ini melibatkan pengetahuan dan kemahiran tinggi untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran yang berguna dan dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Sel stem merupakan satu bidang bioteknologi yang sudah lama diperkenalkan di dunia. Sel stem yang diperkenalkan di Malaysia sejak beberapa tahun yang lepas menjadi jalan penyelesaian kepada beberapa permasalahan penyakit terutama penyakit genetik.

Sel stem ialah Master Cells kerana dari sel utama inilah terbentuknya pelbagai tisu, organ, dan sistem di dalam keseluruhan sistem tubuh kita. Sel stem mempunyai kemampuan untuk berubah menjadi kebanyakan jenis sel atau tisu dalam badan manusia yang lain.

Darah tali pusat adalah darah yang berada di dalam salur tali pusat dan uri yang keluar bersama-sama dengan kelahiran bayi apabila tali pusat tersebut dipotong. Secara tradisinya dalam masyarakat Melayu, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh dan ditanam. Darah tali pusat merupakan punca yang baik bagi sel stem.

Kira-kira 20 tahun yang lalu, saintis dan penyelidik mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel termasuk sel stem. Pada tahun 1998 pula, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit fanconi anemia.

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major yang didermakan oleh adiknya yang baru lahir. Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita penyakit leukemia.

Kebaikan Sel Stem
Sel stem memiliki keupayaan terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel kosong dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Darah di dalam tali pusat bayi anda adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya unik kepada bayi dan keluarga anda sahaja.

Sel stem yang ada di dalam tali pusat adalah building block kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelets iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk menjana sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat lebih 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis multipel, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

Darah tali pusat berlainan dengan darah dari sel stem yang lain kerana darah tali pusat adalah darah yang paling muda dan selamat. Ia juga mudah diperolehi iaitu hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.

Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput selagi teknik menyimpannya dilakukan dengan baik iaitu disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku 196°c. Penyelenggaraan yang baik akan sentiasa memberi manfaat kepada bayi ini dan ahli keluarganya apabila mereka ditimpa penyakit-penyakit yang kritikal.

Kelemahan
Walau bagaimanapun, keberkesanan darah tali pusat ke atas saudara jauh atau individu di luar kelompok keluarga bergantung kepada keadaan penyakit yang dihadapi. Dan darah tali pusat bayi yang menghadapi penyakit sindrom down pula, hanya boleh digunakan ke atasnya sahaja.

Pemindahan darah tali pusat juga bergantung kepada keserasian penderma-penerima, jumlah sel stem yang berada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Proses pengumpulan darah tali pusat juga tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko kepada ibu dan bayi. Selain itu, sel stem darah tali pusat jua lebih mudah diterima oleh badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah.

Kini, darah tali pusat yang disimpan di dalam bank mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah usaha menyebarkan kebaikan dan kepentingan darah ini kepada masyarakat dilakukan secara telus. Melalui bank darah tali pusat oleh Pusat Darah Negara yang disediakan oleh kerajaan, setiap ibu bapa boleh menyimpan aset biologi ini dengan lebih selamat dan terancang untuk jangka masa panjang yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi dan ahli keluarga yang lain sekiranya diperlukan.

Pusat penyimpanan darah tali pusat swasta yang turut mengembangkan teknologi ini kepada masyarakat iaitu Stemlife Berhad, Cryocord Sdn.Bhd., dan Cellsafe International (CSI) Sdn. Bhd. Bergantung kepada ibu bapa mahu memilih pusat yang mana satu sebagai pusat pelaburan sel stem anak-anaknya. Ini merupakan satu insuran hayat yang berkesan dari segi kos dalam menghadapi penyakit yang tidak dijangka.

Namun, jumlah darah tali pusat yang dikutip sewaktu lahir adalah 80 -100 ml yang hanya cukup untuk bayi atau anak yang kecil. Apabila mereka dewasa, sel stem yang telah disimpan sejak mereka kecil tidak mencukupi untuk membantu mereka menjalani rawatan penyakit kritikal.

Oleh itu, orang awam mengambil inisiatif menyimpan tali pusat bayi untuk kegunaan bersama. Pengumpulan tali pusat ini akan membantu mereka yang memerlukan dan bukannya untuk kegunaan sendiri sahaja kerana telah terbukti tiada anggaran yang tepat kebarangkalian anak memerlukan sel sendiri yang disimpan.

Memandangkan keistimewaan darah tali pusat ini, ibu bapa harus berhati-hati dengan teknologi baru yang mula berkembang di Malaysia. Setiap darah tali pusat yang ingin disimpan harus mengambil kira soal kepercayaan kepada penyimpannya. Jika kita berhasrat untuk menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan peribadi keluarga, tujuan kaji selidik dan perubatan, anda harus sentiasa meningkatkan pengetahuan dan memantau perkembangan teknologi sel stem di sekitar anda agar tiada unsur penyalahgunaan sel ini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jika berhasrat untuk menderma darah tali pusat bayi, ia merupakan suatu usaha yang murni yang boleh membantu orang lain untuk sembuh daripada penyakit mereka. Pemilihan Bank Darah Tali Pusat Nasional yang bukan bertujuan mendapatkan keuntungan, agak bertepatan dengan objektif anda membantu orang lain. Ini kerana melalui bank darah ini, doktor-doktor boleh melakukan carian di senarai penderma awam untuk mendapatkan sampel daripada orang yang bukan saudara pesakit sebagai punca alternatif pemindahan sel stem.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...