Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

May 16, 2011

Keldai Dadah 2: Warga Tempatan Terpedaya?

Artikel 1: Sindiket Antarabangsa guna Ejen Tempatan

KUALA LUMPUR: Penggunaan ejen rakyat tempatan kini dikenal pasti sebagai taktik terbaru sindiket dadah antarabangsa untuk mencari "keldai dadah" melalui laman web sosial Facebook.

Taktik yang menggunakan rakyat tempatan untuk merekrut "keldai dadah" itu masih menggunakan cara yang sama iaitu menabur janji manis, kemewahan dan percutian menarik kepada mangsa sebelum ditugaskan membawa dadah ke negara ketiga.

"Di dalam Facebook mereka berkenalan, menjalin hubungan rapat dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk dijadikan keldai dadah," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim. Beliau berkata, taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.

"Hasil soal siasat polis negara itu, lelaki terbabit mendedahkan tiga rakyat Malaysia memperdayanya untuk ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Noor Rashid berkata, sebelum ini tugas merekrut mangsa untuk dijadikan "keldai dadah" dilakukan rakyat Iran dan Nigeria, tetapi selepas mendapati taktik itu kurang mendapat sambutan, mereka mengubahnya menggunakan rakyat Malaysia.

Beliau mengulas taktik terkini sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang kini menggunakan rakyat tempatan sebagai ejen mencari keldai dadah. "Kita akan terus membuat pemantauan dan mengingatkan orang ramai melalui program-program kemasyarakatan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan sindiket antarabangsa ini," katanya.

Beliau berkata sepanjang 2010 seramai 35 rakyat tempatan termasuk 12 wanita ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah, jumlah itu berkurangan berbanding tiga tahun sebelumnya, iaitu 54 orang pada 2009, 66 orang (2008) dan 84 orang (2007). Kebanyakan mereka berumur 40 tahun ke bawah dan ditahan di beberapa negara antaranya Taiwan, Peru, Brazil dan Thailand.

Sementara itu, seramai 14,652 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah narkotik dan polis berjaya merampas dadah yang bernilai RM38.77 juta sepanjang Januari lalu. Noor Rashid berkata, dalam tempoh itu juga, empat makmal memproses dadah -- dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Perak dan Pulau Pinang -- dibongkar dan lapan orang ditahan.

"Dalam tempoh sebulan itu, kita juga berjaya menahan 24 orang termasuk 17 rakyat Iran dalam penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)," katanya. Beliau berkata, 19 orang ditahan di KLIA dan lima lagi di LCCT dengan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 49.8 kg yang kesemuanya bernilai RM3.29 juta.

"Serami 103 orang diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang Januari lepas dan sebanyak RM3 juta harta di sita termasuk kes yang meyumbang nilai sitaan tertinggi dalam Ops Ramelia yang membabitkan sindiket pengedaran dadah rakyat Iran," katanya.-Bernama
Sumber: MyMetro



Artikel 2: Warga Tempatan Jadi Keldai Dadah
TAK habis-habis! Mungkin itu frasa paling sesuai merujuk kes rakyat negara ini yang dijadikan keldai dadah dan mangsa penipuan internet oleh sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika termasuk terbaru di Perak, 1 Mei lalu.

Sungguh menghairankan, ketika isu keldai dadah dan penipuan internet atau dikenali ‘African Scam’ hangat diperkatakan selain pelbagai taktik digunakan untuk memerangkap mangsa didedahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih ada rakyat kita khususnya wanita yang terpedaya.

Deretan kes keldai dadah dipaparkan media nampaknya belum cukup untuk menjadi perisai dan memberi kesedaran kepada warga kita untuk menghindari sindiket atau bentuk pemerdayaan dan penipuan seperti itu. Lebih membimbangkan, perkembangan terkini menunjukkan kes keldai dadah sejak setahun lalu ‘kembali panas’ dengan beberapa laporan penahanan ke atas rakyat kita atas dakwaan menyeludup dadah di luar negara.

Natijahnya, mereka yang terperangkap dengan helah, muslihat dan janji manis anggota sindiket selain ditokok sikap mangsa sendiri yang alpa, tamak, mahu mendapat wang mudah atau cepat kaya, akhirnya menyebabkan diri sendiri yang merana.

Kesannya tidak bernokhtah di situ kerana keluarga mereka turut menanggung azab dengan meratapi nasib malang yang menimpa orang yang mereka sayangi apabila terpaksa meringkuk dalam penjara di luar negara.

Bayangkan kesan psikologi terpaksa ditanggung seorang kanak-kanak yang bermanja dengan ibu atau bapanya, namun tiba-tiba orang yang membelai mereka saban hari hilang dalam sekelip mata. Tangisan dan kerinduan dizahirkan ‘si kecil’ pasti lebih menyentuh perasaan sanak saudara.

Kes terbaru keldai dadah di Perak membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang sudahpun mempunyai lima anak yang kebetulan berlaku ketika sambutan Hari Buruh lalu. Wanita itu yang tinggal di Ipoh, terjebak sebagai keldai dadah selepas termakan pujukan seorang rakan lama yang juga warga tempatan dikenali sebagai Aishah untuk memulakan perniagaan spa.

Namun, dalam mengejar hasratnya itu, mangsa terperangkap dalam sindiket dadah didalangi dua warga Afrika hingga mangsa mendakwa dipaksa menelan 75 bungkusan kecil dadah sebelum dipaksa menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Australia pada hari berkenaan. Nasib tidak menyebelahinya apabila ditahan polis negara berkenaan.

Bagi penulis, seperkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak polis dalam kes terbaru itu adalah kemunculan wanita bernama Aishah. Mungkin wanita itu menggunakan nama samaran, namun hakikatnya dalam beberapa kes sebelum ini, nama Aishah dikaitkan oleh beberapa rakyat kita yang ditahan di luar negara sebagai individu yang memperkenalkan mereka kepada lelaki Afrika untuk direkrut sebagai keldai dadah.

Dalam kes keldai dadah ini juga saranan Kementerian Luar yang mahu tahap pemeriksaan ke atas individu yang hendak meninggalkan negara ini dipertingkatkan bagi mengekang masalah itu, perlu diberi perhatian serius.

Jika dadah itu dapat dikesan di pintu keluar negara kita, mungkin masih ada ruang bagi mereka yang benar-benar teraniaya sebagai keldai dadah untuk diselamatkan selain memudahkan lagi pihak berkuasa mengesan dalang yang memerangkap dan memaksa mereka berbuat demikian.

Namun, jika rakyat kita ditahan di negara lain, kita perlu menghormati undang-undang negara lain selain kemungkinan ada maklumat diperoleh pihak berkuasa kita terhad bergantung kepada kesediaan pihak berkuasa negara asing menyalurkan maklumat.

Mengikut rekod Kementerian Luar, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk sembilan wanita ditahan di luar negara kerana terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dalam tempoh 20 tahun, rakyat Malaysia antara paling ramai ditahan di luar negara kerana terbabit dengan pengedaran dadah iaitu 833 orang, selain Thailand (272), Singapura (164), Taiwan (125) dan China (82).

Merujuk penipuan melalui internet pula, pihak berkuasa meluahkan rasa kecewa kerana masih ada yang terpedaya hingga mengalami kerugian besar dalam bentuk wang ringgit.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, sendiri masih menerima banyak laporan kes individu khususnya wanita belum berkahwin kerugian wang akibat ditipu lelaki Afrika yang berpura-pura mencintai mereka selepas berkenalan secara maya.

Kepada warga kita, penulis berharap bukalah minda dan mata seluas-luasnya agar menjadi seorang yang lebih arif untuk menghindari dan menjauhkan diri daripada punca yang boleh memerangkap mereka sebagai keldai dadah atau kerugian wang melalui penipuan di internet.
Sumber: BH Mei 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...