Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jun 11, 2011

Vandalisme: Punca & Penyelesaian


1. PENDAHULUAN

Vandalisme atau laku musnah merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Selain itu,vandalisme juga satu bentu ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap kondisi masyarakat. Saban hari,kita sering mendengar isu remaja yang semakin meruncing. Berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari.Remaja sebenarnya boleh dianologikan sebagai batu permata yang bakal mencorak masa depan negara. Namun,mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’.


2. FAKTOR-FAKTOR
Remaja yang melakukan vandalism ini disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.Rakan sebaya dapat mempengaruhi golongan remaja dalam melakukan perbuatan salah laku ini.Ini kerana,golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya.Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap,nilai dan tingkah laku remaja,lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga.Kebiasaanya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja yang mempunyai kumpulan tersendiri.Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul,maka timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

Selain itu juga,ibu bapa dan keluarga juga menjadi factor terdorongnya vandalism dalam kalangan remaja.Sebagai contoh,ketika memandu,ibu bapa membuang sampah disamping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan.Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif.Selain itu,kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara factor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

Pengaruh media massa mempunyai kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini.Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan kearah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme.Remaja juga gemar meniru dan terikut-ikut dengan perkara yang berlaku disekeliling mereka termasuk media massa,apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.

Salah satu faktor lain yang mendorong berlakunya vandalisme adalah disebabkan oleh sikap apati atau tidak peduli,juga boleh dikatakan sebagai individualistik dan materialistik masyarakat.Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak mengambil peduli terhadap isu-isu sosial menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Kajian yang dibuat menyatakan bahawa golongan remaja yang terlibat dalam kegiatan vandalisme adalah oleh golongan yang terpelajar tetapi sikap mereka sukar dikawal.Di kawasan Bandar,sesetengah penduduknya tidak mengambil peduli tentang perkara yang berlaku disekeliling mereka.Tindakan sebegini menjadikan remaja merasakan diri mereka bebas untuk melakukan gejala negatif tanpa mengambil peduli tentang tanggungjawab terhadap harta benda awam.


3. LANGKAH-LANGKAH
Terdapat langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung masalah vandalisme iaitu peranan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi didikan agama dan nilai moral kepada anak-anak.Didikan yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak supaya mereka menghargai harta benda awam yang terdapat di sekeliling mereka.Selain itu,ibu bapa juga harus memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak serta mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka.Sekiranya anak-anak mereka terlibat dengan gejala salah laku ini,tindakan sewajarnya perlu diambil oleh ibu bapa,bak kata pepatah,”Sayang anak,tangan-tangankan”.

Selain daripada peranan ibu bapa,langkah lain yang boleh diambil adalah melalui kerjasama masyarakat juga perlu bagi menangani gejala vandalisme ini.Masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme berlaku secara berleluasa di kawasan perumahan mereka.Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan dan merosakkan telefon awam perlu diambil perhatian.Masyarakat di sesebuah kawasan perlu mengadakan mesyuarat dengan penduduk di kawasan tersebut.Semua anggota masyarakat perlu bekerjasama bagi membendung masalah yang semakin berlarutan sehingga hari ini.Pihak masyarakat kawasan tertentu juga perlu bersepakat bagi menangani vandalisme seperti mengenakan denda kepada pelaku yang melakukan perkara tersebut.Denda yang sewajarnya perlu dilaksanakan bagi memberi pengajaran serta pedoman kepada pesalah tersebut agar tidak terus melakukan perkara yang salah ini.

Di samping itu, kerjasama oleh pihak kerajaan juga amat penting bagi membanteras kegiatan vandalisme ini.Penguatkasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan secara berkesan oleh pihak berkenaan.Di bawah (Akta Kerajaan Tempatan 9 undang-undang kecil vandalisme),sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme.Tindakan yang lebih tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada masyarakat lain.

Peranan media massa juga amat penting bagi membendung masalah vandalisme pada masa kini.Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini,media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat.Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dalam memberi kesedaran,memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam pelbagai bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa.Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat memahami dan menghayati kempen “Harta Awam Milik Bersama”,kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat merealisasikan keberkesanannya.


4. KESIMPULAN
Kesimpulannya,semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini.Walaupun isu ini dilihat sebagai perkara biasa,namun ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara pada masa akan datang.Sekiranya semua kemudahan awam telah dimusnahkan dan tidak dapat digunakan,maka kesulitan akan berlaku terhadap masyarakat di negara ini juga.Imej negara juga akan dipandang rendah akibat daripada perbuatan salah laku ini.Semua pihak khususnya masyarakat di negara ini perlu bekerjasama dan bertindak segera dalam menangani gejala ini dan jangan sampai kita menyesal di kemudian hari,bak kata pepatah”Jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah”.
Sumber: sosialdillema. blogspot
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...