Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jul 2, 2011

Kesan Demonstrasi Jalanan 1


[i] Kesan Demonstrasi Jalanan

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat pengangkutan awam dan persatuan teksi terus melahir kecaman terhadap tindakan penganjur serta mereka yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu kota, Sabtu lalu.

Rata-rata mereka masih tidak dapat memaafkan perbuatan itu yang bukan saja menyusahkan rakyat malah menjejaskan ekonomi dan melumpuhkan sektor pengangkutan awam dan perniagaan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman, berkata kejadian itu bukan saja memberi mesej salah kepada masyarakat antarabangsa malah menimbul kesan trauma mendalam kepada mangsa terutama golongan kanak-kanak dan wanita.

Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab dan keterlaluan, melampaui batas fikiran dan undang-undang serta memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk peniaga yang mengalami kerugian dalam perniagaan mereka.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata mereka yang berdemonstrasi perlu menggunakan saluran yang betul bagi mengelak golongan yang tidak bersalah menjad mangsa.

Pengurus Besar Komunikasi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), Ebi Azly Abdullah, berkata kejadian itu menjejaskan operasi bas serta transit aliran ringan (LRT) selepas stesen Masjid Jamek dan Bandaraya terpaksa ditutup dari jam 1.57 hingga 6.20 petang.
Sumber: Bernama



[ii] Kesan Demonstrasi Jalanan
KETIKA menghadiri satu majlis perkahwinan di Kuala Terengganu malam kelmarin, ramai bertanyakan mengenai penganjuran perhimpunan haram di ibu kota pada 9 Julai ini. Ada juga bertanyakan apakah individu utama menganjurkan perhimpunan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan, orang yang sama menjadi peguam kes murtad Lina Joy dan bertanggungjawab, bagi pihak Majlis Peguam, menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kira-kira 10 tahun lalu.


Jika reaksi beberapa orang itu boleh dianggap mewakili majoriti orang Melayu luar bandar, maka reaksi mereka terhadap rancangan mengadakan perarakan haram itu agak membimbangkan. Barangkali kerana rekod Ambiga sebelum ini, mereka melihat cadangan perarakan itu tidak lebih daripada provokosi bukan saja kepada pihak berkuasa tetapi kepada orang Melayu dan Islam. Malah, ada yang mempersoalkan kenapa perarakan seumpama itu sentiasa diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang kesannya menimpa kepada peniaga kecil Melayu di kawasan itu, bukannya di Brickfields dan segi tiga emas Bukit Bintang?

Mungkin kerana kebimbangan perarakan ini bertukar menjadi rusuhan perkauman, ia mendapat bantahan daripada berpuluh pertubuhan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat. Ratusan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan terhadap penganjur perarakan itu cukup untuk menunjukkan bahawa majoriti rakyat menolak budaya demonstrasi jalanan dan amat menghargai keamanan. Mereka bukan saja pernah merasai kesan buruk daripada siri demonstrasi yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini, tetapi turut melihat kematian, kecederaan dan kemusnahan daripada tindakan serupa di beberapa negara asing sekarang. Bagi generasi yang lebih dewasa, mereka masih tidak lupa dengan kesan buruk daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Kepada banyak pihak, rancangan perarakan haram itu tidak lebih daripada cubaan pembangkang, yang berselindung di sebalik pergerakan berkenaan untuk mencetuskan momentum baru bagi menghadapi pilihan raya umum, yang mereka percaya akan diadakan dalam tempoh setahun ini. Mereka pernah melakukannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan pembangkang mencatat kejayaan besar. Jika benar pilihan raya di negara ini tidak bersih, bagaimana mungkin parti pemerintah boleh kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di lima negeri.

Oleh kerana itu, perarakan haram yang dijadualkan kali ini, sebenarnya bukan mahu menuntut pilihan raya bersih dan adil tetapi mahu memberi nafas serta modal baru kepada pembangkang. Penerimaan semula rakyat khususnya sokongan orang Melayu dan India kepada kerajaan serta masalah kepemimpinan dalam barisan pembangkang, memerlukan satu peristiwa besar bagi mengalih perhatian umum sama ada dari dalam negara dan media antarabangsa. Bagaimanapun, mereka lupa budaya, iklim politik dan kehidupan rakyat di negara ini jauh berbeza dengan negara yang saban hari sekarang menyaksikan demonstrasi jalanan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan setakat ini, pihak berkuasa seharusnya sudah boleh bertindak bagi memastikan perarakan itu tidak menjadi kenyataan pada 9 Julai ini. Tindakan tegas harus diambil kepada ketua mana-mana kumpulan yang terbabit, sama ada yang menyokong atau menentang perarakan itu. Publisiti mengenai perarakan haram ini sudah cukup membimbangkan rakyat biasa, apa lagi peniaga di kawasan terbabit serta pelancong yang mahu datang ke negara ini ketika itu.

Kita mempunyai pelbagai undang-undang bagi mencegah perkara yang boleh mencetuskan keadaan huru hara di negara ini. Pihak berkuasa tidak seharusnya takut untuk bertindak walaupun pembangkang nanti pasti menjadikannya sebagai modal menagih simpati masyarakat antarabangsa. Yang penting ialah ketenteraman majoriti rakyat negara ini yang cintakan keamanan, bukannya pandangan negara atau media asing.
Sumber: Utusan.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...