Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Jun 11, 2011

Kesan Inflasi


Zaman inflasi tinggi kian menjelang, apabila harga petrol dan tol dijangka melonjak, menjejaki langkah kenaikan harga gula dan roti. Pengumuman kerajaan pada awal tahun ini, bahawa sistem "dua harga petrol" akan dilaksanakan pada 1 Mei, ditambah pula beberapa lebuh raya yang akan dikaji semula harga tolnya pada Januari tahun ini, dijangka akan menambah beban rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pada 7 Januari, bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme harga petrol untuk memastikan subsidinya hanya dinikmati mereka yang berpendapatan rendah, atau betul-betul memerlukannya.

Harga petrol pastinya naik
Mereka yang menikmati subsidi bahan api ini akan membeli minyak dengan harga selepas ditolak subsidi, sementara mereka yang tidak lagi layak untuk menikmati subsidi, perlu membayar mengikut harga pasaran tanpa subsidi.

Menurut Ismail Sabri Yaakob (gambar kanan), subsidi kerajaan untuk petrol RON95 buat masa ini adalah 30 sen/liter, lantas menurunkan harga minyak ini kepada paras RM1.80/liter. Dengan kata lain, rakyat tempatan mahupun warga asing yang tidak layak menikmati subsidi, akan membeli petrol dengan harga RM2.10 atau lebih tinggi.

Walaupun golongan berpendapatan rendah masih terlindung dengan subsidi menurut Ismail Sabri Yaakob, namun arus inflasi dijangka tidak dapat terelak lagi. Jika ditinjau dari pengalaman lalu, setiap kali kenaikan harga minyak akan memberi tekanan dari segi inflasi kepada semua lapisan masyarakat.

Misalnya, apabila harga minyak antarabangsa melonjak kepada US Dollar 130 pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menaikkan harga minyak dari RM1.92 kepada RM2.70, bersamaan 78 sen atau 40.6%. Lantaran itu, kadar inflasi yang berada di bawah paras 3% pada awal tahun, telah melonjak kepada 8.5% pada Julai.

Menurut maklumat dari Kementerian Kewangan, sewa rumah, bekalan air dan elektrik, gas semula jadi dan bahan api yang lain mencakupi nisbah 21.4% dalam Consumer Price Index (CPI).

Kesan Inflasi daripada kenaikan harga minyak
Pada hakikatnya, kesan yang paling besar terhadap inflasi bukannya datang dari harga minyak, tetapi kesan rantaiannya, khususnya dalam sektor pengangkutan dan makanan. Antaranya, kadar inflasi mencecah kemuncak 8.5% pada Julai 2008, disebabkan kos pengangkutan yang melonjak secara mendadak sebanyak 22%. Kos pengangkutan mencatat 15.9% dalam CPI, malah sektor pengangkutan mencecah 41% dalam kepenggunaan sumber tenaga negara. Pendek kata, naik turunnya harga minyak memberi kesan yang besar terhadap sektor pengangkutan.

Pada masa yang sama, produk komersial dan perkhidmatan dalam setiap lapisan ekonomi melibatkan pengangkutan, yang membawa kesan rantaian terhadap semua keperluan harian, termasuklah makanan, pakaian, sehinggalah barang kehendak seperti kereta, rumah dan sebagainya.

Jikalau ditambah makanan dan minuman bukan alkohol (31.4%), pengangkutan (15.9%), dan sewa rumah, bekalan air dan elektrik, bahan api yang lain (21.4%), kesemuanya mencatat jumlah 68.7% daripada CPI.

Ringkasnya, apabila harga minyak bertambah dari RM1.80 kepada RM2.10, kos tambahan yang ditanggung oleh rakyat bukan hanya 30 sen/liter, tetapi inflasi yang berlaku berikutan kesan rantaian kenaikan harga minyak.


Inflasi lebih tinggi daripada perangkaan rasmi
Pada hakikatnya, inflasi yang menimpa rakyat sebenarnya lebih tinggi daripada perangkaan rasmi yang diumumkan. Misalnya, perangkaan rasmi yang diumumkan pada Julai 2008 adalah 8.5%, setelah kenaikan harga minyak secara mendadak dari RM1.92 kepada RM2.70.

Namun demikian, perangkaan yang tidak rasmi menunjukkan kos pembekal bahan mentah melonjak 10-20%, malah harga makanan di warong melonjak dalam lingkungan 25-40%. Bahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menaikkan harga elektrik pada kadar 26%, tahun 2008 dengan alasan penambahan kos bahan api.

Ketika ditemuramah, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) menyatakan kenaikan harga minyak melambungkan kos pengangkutan, menjurus kepada kenaikan harga bahan mentah dan berakhir dengan kenaikan harga makanan. Oleh itu, peniaga warong terpaksa menaikkan harga.

Secara puratanya, rakyat Malaysia membelanjakan 40% pendapatannya untuk makanan. Kenaikan harga minyak telah menyebabkan mereka berbelanja lebih (lebih daripada 50%) untuk makanan. Antaranya, disebabkan ketidaksempurnaan sistem pengangkutan awam, penduduk bandar perlu bergantung kepada kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Hidup semakin menyempit apabila kebanyakan penduduk bandar makan di luar, secara langsung telah menjadi golongan yang paling merasai bahang inflasi. Seandainya dikira mengikut pendapatan RM2,500 sebulan, kenaikan harga minyak dari RM1.80 kepada RM2.10 akan melonjakkan perbelanjaan petrol golongan menengah ini sebanyak 17%; ditambah pula kenaikan harga makanan sebanyak 5-10%. Jelas, pilihannya makin kurang, dengan pendapatan yang terhad ini.


Sumber : Neo Chee Hua / merdeka review
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...