Artikel 1: Teknologi Nuklear
MUNGKIN ramai rakyat Malaysia yang masih merasa agak terkejut atau tersentak dengan keputusan Majlis Perundingan Ekonomi (MPEN) yang memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memulakan langkah rancangan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di Asia Tenggara.
Mana tidaknya. Ini kerana ungkapan nuklear dianggap sebagai sesuatu yang mempunyai pantang larang yang tersendiri kerana penggunaannya sudah pasti akan membawa kepada suatu petanda yang tidak baik. Tidak kira sama ada pembangunan nuklear untuk tujuan tenaga atau senjata, persepsi yang sudah pasti timbul adalah penggunaan nuklear adalah satu malapetaka.
Tambahan pula Malaysia tidak dikenali sebagai negara yang mempunyai teknologi dan kemahiran nuklear membuatkan ramai rakyat Malaysia masih sangsi dengan saranan MPEN beberapa hari lalu.
Kebiasaannya, seseorang pemimpin tidak kira dari negara maju atau sedang membangun, seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada menggunakan ungkapan nuklear tidak kira sama ada untuk kegunaan keamanan atau ketenteraan kerana ia boleh memakan diri memandangkan isu tersebut begitu sensitif.
Sebab itulah, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melakukan lawatan rasmi ke Korea Selatan pada Jun 2009 mengumumkan bahawa Malaysia berminat untuk membina loji nuklear berskala kecil bagi tujuan menjana kuasa elektrik, maka ramai penganalisis berpendapat kenyataan tersebut dilihat sebagai berani dan penuh risiko.
Keputusan MPEN beberapa hari lalu itu pula dianggap sebagai kemuncak kepada harapan Malaysia untuk memiliki teknologi nuklear dan seterusnya menjadikannya sebagai sumber penjanaan kuasa elektrik.
Perdana Menteri juga menegaskan, pandangan rakyat terhadap penggunaan nuklear ataupun sebarang tenaga alternatif yang belum dipertimbangkan bagi membolehkan Malaysia diletakkan sebagai pelopor revolusi bumi hijau akan diambil kira. Kedua-dua langkah tersebut amat penting dilaksanakan untuk mengelak berlakunya kesilapan pelaksanaan dasar oleh pemimpin tertinggi dan salah tafsir di kalangan rakyat.
Berbanding dengan negara Asean lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, Malaysia dikatakan agak ketinggalan dalam membangunkan program nuklear untuk kuasa elektrik. Pembangunan loji nuklear memerlukan masa paling minimum 15 tahun sebelum ia berfungsi sepenuhnya. Ini kerana pembinaannya terpaksa melalui banyak peringkat tapisan yang agak ketat dari segi perundangan dan protokol.
Malaysia pernah satu ketika mempunyai program pembangunan nuklear untuk tenaga yang begitu mantap tiga dekad yang lalu. Oleh kerana pada ketika itu, harga minyak mentah begitu murah sehingga mencapai tahap AS$5 setong (RM16), program tersebut bagaikan telah dilupakan.
Jika diandaikan dasar nuklear tahun 70-an diteruskan maka sudah pasti Malaysia akan mempunyai loji nuklear yang bukan sahaja mampu menjana tenaga elektrik tetapi juga untuk penyelidikan berdaya tinggi.
Pada ketika ini, sebahagian besar kuasa elektrik dihasilkan melalui penggunaan gas asli iaitu sebanyak 60 peratus, sementara melalui arang batu pula merangkumi 24 peratus. Tenaga hidro hanya menyumbang sebahagian kecil daripada keperluan elektrik negara. Peratus pergantungan terhadap gas asli dan arang batu yang begitu tinggi bukan sahaja menyumbang kepada kadar pengeluaran karbon yang tinggi tetapi juga begitu kritikal dari segi strategik.
Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pelopor teknologi nuklear dikatakan agak ketinggalan kerana hanya 20 peratus kuasa elektrik dijana melalui nuklear. Berbeza dengan Perancis, loji nuklear mereka menghasilkan 80 peratus tenaga elektrik untuk kegunaan seluruh negara.
Sejak berlakunya peristiwa kebocoran loji nuklear Three Mile Island pada tahun 1979, dasar AS terhadap program nuklear untuk elektrik tidak diberi perhatian langsung dan akibatnya tiada satu pun loji nuklear dibangunkan sepanjang 30 tahun lalu. Dasar yang diambil oleh AS dikatakan agak aneh kerana pembangunan program nuklear untuk senjata pada era tersebut langsung tidak terbantut, malah semakin rancak.
Presiden Barack Obama mengakui kepincangan dasar tersebut dengan menabur beberapa inisiatif baru supaya lebih banyak loji nuklear dapat dibangunkan secepat mungkin. China adalah negara yang paling aktif membina loji nuklear yang mana dianggarkan setiap tiga bulan, satu loji nuklear baru dibina.
Tidak dapat dinafikan lagi tenaga elektrik yang diraih dari kuasa nuklear adalah kaedah paling selamat, mesra alam sekitar, boleh diharap dan murah dalam jangka masa panjang. Walaupun pembinaan loji nuklear memerlukan pelaburan awal yang agak besar, tetapi faedah yang diperoleh adalah melebihi daripada segala-galanya.
Apa yang perlu diketengahkan adalah pendekatan yang perlu diambil untuk menyakinkan rakyat supaya menerima pembangunan teknologi nuklear. Pendekatan yang diambil mesti digerakkan mulai sekarang supaya Malaysia tidak ketinggalan terlalu jauh. Tetapi apabila pemimpin tertinggi negara telah menyatakan dengan jelas bahawa penggunaan kuasa nuklear adalah alternatif terbaik untuk menjana kuasa elektrik, maka ini sudah tentu akan memudahkan tugas untuk menyakinkan rakyat.
Memang benar bahawa peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986 adalah malapetaka yang perlu dihindarkan dan cara terbaik adalah dengan tidak membangunkan loji nuklear. Tetapi perlu diberi perhatian bahawa teknologi yang digunakan oleh Rusia jauh ketinggalan dan sememangnya tidak selamat. Teknologi ketika ini terutama sekali yang dimiliki oleh Perancis, Korea Selatan dan Jepun sudah terbukti keberkesanannya sehinggakan menjadi kebiasaan loji nuklear ditempatkan dalam kawasan perumahan dan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia.