Welcome To My Ruai
Jun 11, 2011
Pengurangan Subsidi: Kesannya
Perdebatan tentang isu subsidi memang panas dan emosional. Tak kira di negara kaya macam Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin macam Mesir.
Di Mesir berlaku rusuhan bila subsidi roti dikurangkan. Di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran. Hendak mudah cakap, kalau tidak kerana subsidi baja dan subsidi harga padi, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil padi/beras negara merudum.
Jadi kita saling bantu membantu. Orang yang beli beras bayar harga yang tinggi sedikit dan harga tambahan itu dipindahkan kepada penanam padi sebagai subsidi. Ahli ekonomi selalu kata subsidi mengherotkan (distort) ekonomi. Tapi mereka jarang cakap kesan positif subsidi kepada penerima atau seolah-olah pengguna individu dan orang miskin saja nikmati subsidi.
Ambil contoh subsidi baja. Petani dapat baja dan pengilang dapat hasil membekalkan baja. Kalau tidak kerana skim subsidi baja, industri baja kita tidaklah sebesar sekarang.
Subsidi menjana ekonomi. Seorang pengguna yang terima RM1 ringgit subsidi akan belanja duit itu. Pekedai dapat hasil. Pekedai pasti buat keuntungan kerana barang yang dijual dengar harga RM1 itu diperolehnya dengar harga lebih rendah daripada pembekal. Pembekal beli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 itu bertukar tangan, ia menambah kepada nilai ekonomi.
Dan jangan lupa, di Malaysia pengilang dan pelabur yang kononnya sangat pandai berniaga itu pun mendapat subsidi berbilion-bilion ringgit. Antaranya subsidi diesel (untuk pengangkutan) dan subsidi gas asli cecair (untuk penjanaan elektrik oleh IPP dan kilang pembuatan).Malah tauke-tauke billionaire yang pakai kereta Mercedes Benz 6,000cc dapat subsidi minyak petrol yang berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang guna Kancil atau Proton.
Subsidi dari duit kita juga
Sebahagian besar subsidi adalah daripada sumber kewangan yang diamanahkan kepada kerajaan, sama ada hasil cukai atau keuntungan pelaburan. Duit yang digunakan untuk subsidi itu bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan sekadar menguruskannya.
Jadi soalnya sekarang bagaimana kita hendak melaksanakan rasionalisasi subsidi ini?
Baguslah kerajaan mengadakan mekanisme khas dipanggil Makmal Rasionalisasi Subsidi untuk tujuan perbahasan dan mengadakan hari terbuka makmal itu Khamis lepas di Ibu Negara. Jadi adalah wajib kita memberi maklum balas sebelum cadangan dikemukakan kepada Kabinet.
Potongan subsidi akan jejaskan rakyat
Pengurangan subsidi pasti akan jejaskan taraf hidup rakyat. Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi. Setiap peringkat rangkaian pembekalan (supply chain) akan menaikkan harga. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan (profiteering).
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tentu sedar kesan rasionalisasi subsidi ini. Ia mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara yang mencecah RM362 bilion (54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi kesannya kepada ekonomi dan rakyat jelata juga besar.
Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.
Tetapi ia juga menyebabkan kemudaratan bila harga yang murah menyebabkan penggunaan berlebihan, misalnya gula dan minyak masak yang memudaratkan kesihatan. Soalnya, bagaimanakah Najib dan para penasihat ekonominya akan melaksanakan tugas rumit dan sensitif ini tanpa menjejaskan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat dan sokongan pengundi.
Langkah mengurangkan subsidi pasti mendapat sokongan dan pujian hebat para “free marketeer”, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Tetapi sokongan mutakhir yang menentukan jatuh atau bangun pemerintah adalah rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin, terpinggir dan memerlukan bantuan.
Perhatian untuk para pelajar: Artikel ini perlu disesuaikan dengan esei anda.