Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Oct 19, 2012

Lambaian Pulau Nami


Pagi yang nyaman. Aku membuka jendela kamar. Angin sejuk yang segar menyerbu masuk. Aku berpeluk tubuh, kononnya mengurangkan kesejukan. Namun kedinginan tetap terasa. Tetapi aku tidak kisah. Badan yang lesu akibat perjalanan yang jauh semalam terasa segar kembali. Isteri tercinta dan dua orang puteri kecilku masih lena beradu. Semalam kedua-duanya mengadu letih yang teramat tetapi seronok! Berkali-kali kedua-duanya mengucapkan terima kasih kerana menunaikan hajat mereka untuk menjejak kaki ke bumi kelahiran artis kegemaran mereka, Lee Minho.

Sudah dua hari kami anak-beranak meredah kesibukan kota Seoul. Namsan Tower, Namdaemun Market, Dongdaemun Market, Myeondong dan 63 Building adalah antara tempat menarik dan pusat membeli belah yang terkenal di Korea yang telah kami lawati. Rambang mata dibuatnya. Isteri tersayang bukan main lagi, seolah-olah semua barang yang dijual nak diborong. Aku tersenyum.

Deruan ombak menyedarkan aku. Di depan sana, terbentang laut membiru, sayup pandangan. Di pantainya, berbaris pokok-pokok yang tengah menghijau. Bebunga mekar menguntum. Berkembang segar, sungguh memukau mata. Maklumlah, sekarang musim bunga. Bumi yang ku pijak ini begitu indah. Aku benar-benar terpukau. Benar-benar jatuh cinta. Seolah-olah aku ingin menetap di sini. Menjadi penghuni pulau yang begitu bersih, indah dan kental dengan alam sekitar yang terpelihara. Pulau Nami, pulau impian semua pencinta. Pulau nostalgia Winter Sonata.

Daddy! Daddy! Daddy! Aku berpaling bila namaku dipanggil. Pasti itu panggilan dari puteri bongsuku. Daddy! Daddy! Aku terasa bahuku digoncang. Apa pula ni, aku bisik dalam hati. "Kacaulah, nak mengelamun pun tak boleh", aku bersuara. "Daddy, bangun. Sekarang dah pukul 6.00. Daddy tak turun kerja?. Aku kehairan. Kerja apa pula di bumi Korea ni, kan kami sedang melancong? Aku betul-betul hairan.
"Sayang. Bangunlah, nanti lewat nak turun kerja" Ha tu dia, suara isteriku. Bahuku ditepuk lembut, tetapi cukup membuatkan aku terkejut. Aku terpisat-pisat. Pulau Nami hilang dari pandangan.....



Pulau Nami, pulau impian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...