Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Aug 11, 2011

Budaya Hedonisme


Budaya HEDONISME ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Faktor Menularnya Budaya Hedonisme Dalam Kalangan Masyarakat Kita;
1. Pengaruh media massa [tv, internet, majalah dll]
2. Pengaruh rakan / persekitaran
3. Institusi kekeluargaan yang semakin longgar - kurang perhatian dan kawalan ibu bapa
4. Gaya hidup hari ini mementingkan keseronokan tanpa batasan
5. Kurang didikan agama

Kesan
1. Masyarakat menjadi alpa / lalai [lupa pada pelajaran / keluarga / kerja dan tanggungjawab kepada negara]
2. Penyakit sosial [pergaulan bebas / seks bebas / pembuangan bayi / perjudian / lepak dll]
3. Menularnya penyakit kelamin [AIDS dan sifilis]
4. Lahirnya generasi yang tidak ada pegangan hidup
5. Pembangunan negara terjejas - mudah dijajah

Hedonisme Melalaikan
Semua orang tahu, masalah lepak di kalangan remaja bukan lagi fenomena baru, malah seolah-olah sudah menjadi budaya yang boleh disifatkan sebagai berkesinambungan dari satu generasi ke generasi baru. Cuma bezanya dengan generasi terdahulu, remaja yang melepak sekarang kelihatan lebih mewah kerana ramai daripada mereka kelihatan bergaya dengan telefon bimbit, selain berpakaian berjenama, malah ada yang berkenderaan sama ada motorsikal ataupun kereta. Senario ini mencerminkan kehidupan generasi hari ini lebih senang dan mewah berkat hasil kemajuan yang dicapai sejak merdeka.

Masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk hidup mewah, bergaya dan berhibur secara berlebih-lebihan. Di rumah misalnya, segala kelengkapannya seperti perabot dan peralatan elektriknya mestilah yang serba moden dan canggih. Kenderaan pula bukan sahaja dari jenama yang terkenal, tetapi juga ia harus dilengkapi dengan pelbagai aksesori mutakhir yang memperlihatkan kehebatan pemiliknya. Begitu juga dengan pakaian, harus dari jenis yang berjenama dan bergaya dan kalau bersantai ataupun berhibur, harus pula di tempat-tempat yang ada kelas. Pengaruh budaya hidup serupa inilah yang menyebabkan masyarakat terus dibebani hutang. Keinginan untuk hidup mewah dan bergaya inilah juga yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah sejak kebelakangan ini.


Tidak menghairankan kita bila berita rompakan bank dan kedai emas, kehilangan kenderaan, rasuah, peras-ugut, pengedaran dadah dan lain-lain lagi hampir setiap hari menghiasi dada-dada akhbar. Kesemua jenayah yang dilakukan itu lebih bermotifkan untuk mendapatkan wang, justeru wang adalah umpama kuasa yang dapat menjana segala keperluan manusia seperti harta, hiburan dan sebagainya. Pendek kata, demi mendapatkan wang yang disifatkan sebagai sumber kesenangan dan kemewahan hidup di dunia, ada manusia yang sanggup melakukan apa saja pekerjaan meskipun barangkali terpaksa menjatuhkan orang lain dengan pelbagai tipu muslihat ataupun barangkali terpaksa menggadai nyawa dan maruah diri serta mengorbankan nyawa orang lain. Sesuatu hal yang amat membimbangkan kita ialah jenayah-jenayah ini turut membabitkan golongan remaja.

Kecenderungan untuk bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan diistilahkan sebagai budaya hedonisme. Budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri ini seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, berhibur di kelab-kelab malam dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Gejala sosial yang kian membimbangkan pelbagai pihak ini dikesan dirangsang oleh pengaruh iklan, rakan-rakan serta keadaan persekitaran.

Sungguhpun keinginan untuk hidup senang dan mewah adalah sebahagian daripada naluri semula jadi manusia, namun bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan itu tidak boleh dibiarkan terus menular dan membudaya dalam masyarakat kita. Budaya hedonisme boleh mengakibatkan pelbagai gejala negatif. Di samping ia boleh menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah jenayah, amalan berhutang dan fitnah menfitnah, budaya hedonisme juga berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa yang lena dibuai dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup serta didodoikan dengan pelbagai jenis hiburan akan menjadi lalai terhadap kewajipannya, malah menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah. Demikianlah juga dengan budaya hedonisme yang sedang menular dalam masyarakat kita hari ini turut mengakibatkan penyakit lalai di kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang asyik berhibur dengan berkaraoke dan bersuka ria bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam tertentu akan dilalaikan oleh perbuatannya daripada melaksanakan kewajipannya terhadap Allah seperti bersembahyang, berpuasa dan sebagainya di samping lalai terhadap kewajipannnya terhadap sesama manusia seperti memberi perhatian yang sepenuhnya sama ada kepada ibu bapa mahupun kepada isteri dan anak-anak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya hedonisme atau budaya berhibur ini turut dikesan semakin menjadi kegemaran di kalangan kaum remaja di negara ini. Masalah ini sangat berat dan membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang bakal mewarisi dan memimpin negara ini pada masa depan. Justeru, pembabitan semua pihak perlu dalam mengatasi budaya ini tanpa diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata. Ia boleh dibendung jika semua pihak berganding bahu kerana kerajaan atau remaja tidak dapat mengatasi semua masalah berkenaan secara bersendirian.

Dalam hubungan ini, kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah. Para ibu bapa harus memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya hidup yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak itu sendiri di samping menimbulkan banyak masalah kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Sungguhpun ada di kalangan kita yang barangkali berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaliknya, suburkanlah anak-anak ataupun golongan remaja kita dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tugas ibu bapa, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu digerakkan bagi membentuk generasi remaja yang bersifat terbuka dan berlandaskan ajaran agama, budaya dan jati diri yang kukuh. Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta kupasan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan. Ini penting kerana tanda keruntuhan nilai budaya dan moral di kalangan remaja semakin terasa di negara ini sejak kebelakangan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...