Pertukaran Suaka Politik Malaysia - Australia
Definisi
Suaka politik ialah perlindungan politik. Sebagai contoh, seseorang rakyat negara China yang berfikiran demokrasi merasa tidak selamat untuk terus tinggal di China yang mengamalkan sistem komunis. Oleh itu beliau telah melarikan diri ke sebuah negara yang difikirkan selamat. Orang seperti ini mencari perlindungan politik atau suaka politik. Pendirian sesebuah negara seperti Malaysia mengenai suaka politik juga merupakan salah satu elemen dalam Dasar Luar Negara.
MELBOURNE 8 Mei c— Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra memberi jaminan kepada Australia bahawa pemohon suaka yang dipindahkan ke Malaysia akan dilayan dengan penuh perikemanusiaan dan bermaruah. Datuk Salman Ahmad memberitahu Sky TV pada Ahad bahawa, pemohon suaka yang dihantar ke Malaysia akan diberi kebebasan bergaul dengan masyarakat sementara menuggu permohonan mereka diproses.
"Mereka tidak akan ditempatkan di mana-mana pusat tahanan,” katanya. Salman membayangkan bahawa cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia itu mungkin dilaksanakan sekali sahaja dan butiran terperinci mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Katanya, Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen Australia untuk mengambil lebih banyak pelarian di Malaysia yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang 94,000 orang.
Di bawah persetujuan sedia ada, Malaysia akan mengambil 800 orang yang cuba pergi ke Australia manakala Australia pula bersetuju mengambil 4,000 pelarian yang berada di Malaysia. — Bernama
Pertukaran pemohon suaka Malaysia-Australia diteruskan
PUTRAJAYA 17 Jun – Cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia akan diteruskan, dan perbincangan mengenainya turut membabitkan wakil Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) serta Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun terdapat bantahan daripada pihak tertentu, rancangan itu berkemungkinan memulakan kaedah baru bagi menyelesaikan jenayah transnasional yang mungkin digunakan 50 tahun akan datang.
"Urusan tidak boleh berjalan seperti biasa, jika Malaysia dan Australia mahu berfikir di luar kebiasaan serta mencari penyelesaian yang tidak pernah dibuat orang lain, manalah kita tahu, ia mungkin berjaya,” katanya kepada pemberita selepas bertemu delegasi Australia dan wakil UNHCR serta IOM di pejabatnya hari ini.
Mengikut cadangan itu, Australia akan menghantar 800 orang hanyut ke Malaysia untuk diproses, dan menerima 4,000 pemohon suaka politik sebagai pertukaran.
Ditanya sama ada bantahan pemimpin pembangkang di Australia bakal menjejaskan rancangan itu, Hishammuddin berkata, sudah menjadi amalan mereka akan berbuat demikian.
"Pada akhirnya, kita perlu meyakinkan majoriti rakyat Australia dan Malaysia bahawa kita tidak mempunyai niat lain, sebaliknya mahu mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini,” katanya. – Bernama
Pakatan unik bendung pemerdagangan manusiaOleh Azmi Hassan
RAMAI yang mungkin tertanya-tanya mengapa terdapat bantahan terhadap perjanjian pertukaran pencari suaka di antara Malaysia dan Australia, sedangkan matlamat persefahaman tersebut untuk mengurangkan aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang sering membabitkan kedua-dua negara.
Perjanjian itu yang bakal dimeterai tidak lama lagi melibatkan pertukaran dua hala, iaitu Australia akan menghantar ke Malaysia 800 pencari suaka yang tiba di negara tersebut selepas perjanjian dimeterai.
Sementara Australia pula akan menerima 4,000 pencari suaka yang ditempatkan di Malaysia dalam jangka masa empat tahun. Kos pelaksanaan persefahaman itu yang dianggarkan sebanyak AUS$292 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Australia.
Persefahaman tersebut dianggap unik kerana tidak pernah dilaksanakan di antara dua negara dan secara dasarnya dianggap sebagai situasi menang-menang untuk semua pihak.
Malaysia menerima manfaat kerana dapat mengurangkan jumlah pencari suaka secara sistematik yang pada ketika ini melebihi 92,000 orang. Australia pula bakal menerima pencari suaka dengan cara lebih teratur dan terhormat. Sementara pencari suaka pula tidak akan tertipu dengan janji-janji penyeludup yang tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan kewangan.
Secara dasarnya persefahaman Malaysia- Australia ini mampu membendung aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia kerana ia memberi isyarat bahawa pencari suaka yang tiba di Australia secara haram akan dihantar ke Malaysia untuk diproses permohonan mereka.
Kriteria yang paling menarik adalah pencari suaka tersebut akan diproses menurut turutan, iaitu pencari suaka yang sudah lama berada di Malaysia akan diberi keutamaan.
Strategi sebegini memberi isyarat tiada gunanya pencari suaka yang baru menggunakan Malaysia sebagai transit untuk ke Australia kerana mereka akan berada di belakang turutan proses jika ditahan oleh pihak berkuasa. Ini secara tersirat akan mengurangkan jumlah pencari suaka yang pada ketika ini sukar dibendung.
Pihak yang membantah persefahaman ini menggunakan alasan bahawa Malaysia bukan negara ahli Konvensyen Mengenai Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebagai bukan negara ahli, pihak tersebut membuat anggapan bahawa Malaysia tidak menghormati hak orang pelarian atau imigran.
Memang benar Malaysia bukan ahli konvensyen tetapi ini bukan bermakna pelarian yang berada di negara ini dilayan secara hina atau tidak berperi kemanusiaan.
Ada sebab-sebab tertentu mengapa Malaysia berat menyertai konvensyen tersebut dan kebanyakannya berkisar dengan masalah keadaan setempat dan bukannya kerana mencari sebab untuk memberi layanan buruk.
Menarik jika diperkatakan bahawa Perdana Menteri, Julia Gillard memberi jaminan sebelum ini kepada rakyat Australia bahawa perjanjian pertukaran pencari suaka tidak akan dibuat dengan negara yang berada di luar konvensyen kerana untuk melindungi hak orang pelarian tersebut. Umpamanya perjanjian dengan Nuaru, Kepulauan Pasifik ditolak kerana negara tersebut seperti Malaysia bukan ahli konvensyen PBB.
Jika Malaysia berlaku kejam dan tidak adil terhadap pencari suaka, sudah pasti Gillard tidak akan akur dengan perjanjian tersebut. Ini adalah kerana beliau amat memahami keadaan sebenar di Malaysia dan yakin pencari suaka akan dilayan dengan adil.
Tambahan pula persefahaman ini dilaksanakan bukan semata-mata di antara dua negara berkepentingan tetapi turut dipantau oleh Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Pesuruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR).
Amat mustahil sekali perjanjian ini bakal menghukum pencari suaka sedangkan IOM dan UNHCR turut sama terlibat dalam program pertukaran tersebut. Amat mustahil jika Malaysia berlaku kejam terhadap pelarian di sini, mengapakah masih begitu ramai bukan sahaja menggunakan Malaysia sebagai negara transit bahkan sudah menjadikan negara tetap.
Tidak menghairankan terdapat generasi kedua atau ketiga pelarian yang menetap di Malaysia dan menganggap mereka sebahagian daripada rakyat negara ini.
Malaysia sedaya upaya melaksanakan usaha untuk mengurangkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Sebagai contohnya pada tahun lepas Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dipinda bagi memasukkan kesalahan berhubung penyeludupan migran menjadi akta baru itu dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sememangnya diakui terdapat kelemahan dalam membanteras kegiatan terkutuk ini terutama sekali dalam soal peruntukan undang-undang namun penguatkuasaan diperkukuhkan sehingga ke proses keputusan mahkamah.
Tumpuan banyak dilakukan terhadap pendakwaan dan penyelesaian kes perburuhan. Malaysia juga mempunyai Pelan Tindakan Kebangsaan berkaitan pemerdagangan orang yang menzahirkan mengapa Australia begitu yakin dengan keadilan Malaysia.
Bukan sahaja Australia, tetapi Amerika Syarikat (AS) juga mempunyai keyakinan dengan kesungguhan Malaysia untuk berlaku adil terhadap pelarian. Jika pada 2009 AS meletakkan Malaysia pada Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP), tetapi 2010 menyaksikan peningkatan ke Tahap 2. Laporan TIP merupakan senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia.
Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia akan hanya dapat dihapuskan melalui kerjasama serantau dan mustahil dilakukan hanya oleh sebuah negara sahaja.
Semoga persefahaman unik Malaysia-Australia ini akan menjadi model terbaik dalam usaha memberi keadilan kepada mereka yang mencari kehidupan yang lebih sempurna.
PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), UTM. Sumber: Internet