Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Oct 28, 2012

Bijak Mengurus Pendapatan

Menghadapi masalah kewangan memang membuntukan. Walaupun gaji naik setiap tahun [terutama bagi yang berkerja kerajaan] tetapi masalah kewangan masih menyesakkan fikiran. Masih lagi belum mencukupi. Malah, sukar sekali untuk menabung! Kenapa?

FaktOr utama: Kelemahan dalam pengurusan kewangan

 Berikut ialah secebis saranan yang mungkin boleh kita praktikkan untuk mengurangkan beban masalah kewangan.

1. Buat anggaran belanja yang paling sesuai dengan pendapatan serta keperluan kita.

- Belanjakan wang sebijak mungkin dan elakkan dari membeli barang yang tidak perlu atau mengatasi kemampuan kita.






 

2. Catat aliran keluar wang kita agar kita tahu kemana atau untuk apa wang kita dibelanjakan.

-Ini memudahkan kita menganalisis kewajaran perbelanjaan kita sama ada kita telah berbelanja untuk keperluan atau ikut nafsu. Juga bakal membantu memastikan kita menggunakan wang dengan betul.

3. Tetapkan jumlah simpanan [walau sekecil manapun jumlahnya] dan simpan terus di bank agar kita tak "terbelanja" wang tersebut.

- Bagi kita yang berpendapatan sederhana, amat susah untuk mendapat lebihan perbelanjaan. Oleh sebab itu, wang untuk tabungan wajar diasingkan bagi memastikan kita menabung secara tetap setiap bulan. Simpan terus wang yang kita asingkan bagi mengelakkan kita 'terpakai' wang tadi.

 4. Latih anak-anak untuk menghargai nilai wang [sematkan sikap berjimat cermat].
 - Bagi kita yang sudah berkeluarga, elakkan terlalu memanjakan anak-anak dengan wang ringgit. Beli perkara yang 'patut' sahaja dan bukannya terikut-ikut dengan budaya berbelanja sekadar untuk suka-suka.

5. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh "menghilangkan" wang dalam sekelip mata seperti berjudi, bertaruh dan skim cepat kaya.

- Selain salah di sisi agama dan undang-undang, menjebakkan diri dalam perbuatan di atas boleh menyebabkan kita muflis dalam sekelip mata. Nisbah mereka yang kaya akibat berjudi atau skim cepat kaya amat sedikit, jadi usah jadikan golongan ini sebagai idola.

6. Buat inisiatif untuk menambahkan pendapatan [bagi yang mempunyai pekerjaan tetap atau suri rumah].

- Setiap daripada kita mempunyai bakat terpendam yang kadang kala kita sendiri tidak menyedari kelebihan tersebut. Terokai potensi diri anda. Sekiranya anda berbakat dalam masakan, cubalah berjual secara-kecil-kecilan. Bagi yang mahir dalam dunia internet, buatlah sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan [bukan menipu]. Sekurang-kurangnya hasil usaha anda meringankan beban suami / keluarga.
 
*Teringat peristiwa sewaktu saya membayar bil di pejabat pos. Seorang nenek tua [rasa rasa berusia lewat 50-an] yang berbaris di depan saya menambahkan tabungannya dalam ASB. Tahu tak berapa jumlah yang dia simpan? RM24.00!  Sumpah, saya tak bohong sebab saya secara tak sengaja terlihat dia menghitung wangnya dan memberi kepada kerani. Saya betul-betul tersentuh. Tersentuh kerana walaupun jumlahnya sedikit tetapi dia masih mampu menabung. Bayangkan, mungkin itulah jumlah lebihan perbelanjaannya pada bulan tersebut. Merenung ke dalam diri, terasa malu sangat. Walaupun bergaji 4 angka, masih tidak mampu menabung setiap bulan.
 

Walau bagaimanapun, jika masalah kewangan anda masih sukar diperbaiki, berusahalah untuk bersikap positif. Terima seadanya dan teruskan berusaha. Paling penting, jangan sekali-kali melibatkan diri dengan ALONG!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...