Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Oct 24, 2011

Kepentingan Bioteknologi

Contoh esei

Bioteknologi memberi banyak manfaat kepada manusia. Teknologi yang mencakupi kejuruteraan genetik dan pengklonan ini begitu besar sumbangannya dalam memajukan sektor pertanian dan penternakan.

Kemajuan dalam bidang bioteknologi membantu menghasilkan tanaman yang berkualiti. Melalui kaedah mutasi aruhan, baka padi yang lebih baik dapat dihasilkan. Baka padi ini mempunyai rintangan yang lebih tinggi terhadap penyakit. Selain itu, baka padi ini lebih cepat membesar dan mengeluarkan hasil yang lebih banyak. Kaedah kultur sel juga membantu membiakkan tanaman dalam kuantiti yang lebih banyak. Kaedah ini dapat menjamin pengeluaran hasil yang berterusan bagi menampung keperluan pengguna.

Bioteknologi juga dapat menghasilkan tanaman yang mempunyai rintangan terhadap penyakit yang lebih tinggi. Sebagai contoh, ubi kentang New Leaf yang bakanya dihasilkan melalui teknologi genetik mempunyai system pertahanan yang lebih kebal. Gen yang mempunyai rintangan terhadap penyakit diterapkan di dalam baka yang baru. Selain itu, bau yang sering menarik perhatian kumbang juga dikurangkan. Oleh hal yang demikian, ubi kentang ini tidak mudah diserang oleh kumbang kentang Colorado.

Di samping itu, bioteknologi juga menjamin hasil tanaman tahan lebih lama. Betik Eksotika, Pisang Mutan dan nangka madu adalah contoh baka buah-buahan yang dihasilkan melalui bioteknologi. Betik Eksotika misalnya mempunyai tempoh matang tiga minggu lebih lewat daripada betik biasa. Pisang Mutan pula dapat bertahan dua bulan sebelum kulitnya bertukar warna. Buah-buahan ini tahan lebih lama berbanding buah-buahan baka asli dan senang untuk dieksport keluar negara.

Selain itu, bioteknologi juga membantu menghasilkan baka ternakan yang lebih baik. Kaedah kimera, teknik in-vitro dan permanian beradas adalah antara kaedah di dalam bioteknologi yang membantu menghasilkan baka ternakan yang berkualiti. Melalui kaedah tersebut, lembu yang dapat menghasilkan susu lebih banyak dapat dihasilkan. Penghasilan baka ayam daging yang dapat membesar dalam tempoh 51 hari sahaja sudah pasti dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan penternak. Melalui teknik in-vitro, ternakan ini tidak perlu menunggu musim untuk mengawan.

Tegasnya, bioteknologi penting dalam usaha memajukan sektor pertanian dan penternakan. Walau bagaimanapun, penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini perlu dipergiatkan lagi bagi memastikan bidang bioteknologi ini dapat diperluaskan lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...