Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Nov 29, 2011

Kajian Tindakan

Baru-baru ini saya telah menghadiri Kursus Kajian Tindakan yang dianjurkan oleh IAB di IPTAR. Walaupun KT ini sudah agak lama diperkenalkan tetapi secara peribadi, saya belum mendapat pendedahan langsung berkaitan KT. Terima kasih kepada pihak pengurus kursus iaitu Dr. Shahri Abdul Rahman, Dr. Abang Hut dan Pn Jacqualine serta pegawai IAB yang lain atas penganjuran kursus yang begitu banyak manfaatnya ini khsususnya untuk para pendidik. Terima kasih juga kepada semua rakan sekursus...


Pengenalan Kajian Tindakan

1.0 Bahagian ini cuba menjelaskan dengan lebih lanjut tentang Kajian Tindakan. Masalah serta kekeliruan yang dihadapi oleh guru semasa menjalankan kajian tindakan dijadikan panduan dalam membuat penjelasan ini.

1.1 Beberapa Perbezaan Antara Penyelidikan Pendidikan Tradisi Dengan Kajian Tindakan
Kajian Tindakan juga tergolong dalam penyelidikan pendidikan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perbezaan antara Kajian Tindakan dengan penyelidikan pendidikan tradisi atau konvensional yang selalu dilaksanakan dalam pendidikan. Perbezaan yang dihuraikan di sini dibataskan kepada beberapa aspek kajian tradisi yang didapati boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami Kajian Tindakan. Aspek-aspek tersebut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan penyelidik, tujuan kajian, sampel kajian, serta menggunakan dapatan untuk membuat generalisasi.

Penyelidikan pendidikan selalunya dilakukan oleh Institusi Pengajian Tinggi untuk tujuan akademik atau pun oleh individu atau organisasi tertentu untuk tujuan pembentukan dan pengembangan dasar atau program yang berkaitan dengan pendidikan. Dua pihak yang terlibat dalam kajian iaitu penyelidik dan pihak yang dikaji terdiri daripada ahli sesuatu situasi sosial atau organisasi yang berlainan serta memainkan peranan yang berbeza. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar Dan Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", penyelidik (pihak yang menjalankan kajian) mungkin terdiri daripada Pegawai Pendidikan dari Kementerian Pendidikan, pelajar atau pensyarah dari Institusi Pengajian Tinggi. Manakala sampel kajian (pihak yang dikaji) pula terdiri daripada murid, guru dan pengetua sekolah di bandar dan di luar bandar.

Lazimnya tujuan sesuatu kajian ialah untuk melihat sejauh manakah sesuatu keadaan sosial wujud. Bagi menentukan sama ada sesuatu keadaan yang dikaji itu wujud atau tidak, dikemukakan beberapa soalan kajian berkaitan dengan perkara yang dikaji. Contoh, sejauh manakah minat pelajar bandar / luar bandar dalam mata pelajaran sains? Atau sejauh manakah kemudahan makmal mempengaruhi minat pelajarterhadap sains? Penyelidikan pendidikan tradisi menggunakan sampel kajian dari sesuatu kelompok populasi. Contoh, dalam kajian tentang "Minat Pelajar Bandar / Luar Bandar Dalam Mata Pelajaran Sains", kelompok populasi yang dikaji ialah murid, guru sains dan pentadbir sekolah di bandar dan luar bandar.

Penyelidik melibatkan sebahagian sahaja daripada keseluruhan kelompok yang dikaji misalnya sebanyak 30% untuk dijadikan sampel kajian. Berasaskan pertimbangan bahawa semua ahli kelompok mempunyai ciri-ciri yang sama seperti dari segi peranan, tanggunjawab, amalan atau lain-lain ciri yang berkaitan dengan perkara yang dikaji, sampel 30% ini dianggap mewakili keseluruhan populasi yang terbabit. Oleh itu dapatan kajian daripada sampel sebanyak 30% boleh dijadikan asas untuk membuat satu anggapan umum atau generalisasi terhadap keseluruhan kelompok populasi tadi. Contoh generalisasi yang mungkin boleh dibuat daripada dapatan kajian ialah "pelajar bandar lebih minat belajar sains daripada pelajar luar bandar". Seiring dengan itu penyelidik juga boleh menggunakan dapatan kajian untuk membuat cadangan umum bagi meningkatkan minat dalam mata pelajaran sains di kalangan populasi luar bandar. Lazimnya cadangan untuk memperbaiki program dimajukan kepada organisasi pendidikan yang terlibat secara langsung dalam perancangan pendidikan sains di sekolah. Dalam konteks pelaksanaan kajian, peranan penyelidik berakhir setelah laporan kajian disediakan.

1.2 Pengertian Tentang Kajian Tindakan
Kajian Tindakan adalah kajian berbentuk kualitatif. Kajian kualitatif menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca. Data berbentuk statistik (nombor) juga digunakan tetapi tidak menjadi cacat sesuatu Kajian Tindakan yang tidak menggunakan data berbentuk itu. Peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan Kajian Tindakan ialah keempat-empat langkah asas iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek yang dilakukan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Berikut dihuraikan dengan lebih terperinci beberapa perkara asas tentang Kajian Tindakan. Masalah yang dialami oleh guru-guru yang menjalankan Kajian Tindakan di sekolah dijadikan asas dalam membuat huraian dan cadangan.

1.2.1 Pengembangan Profesionalisme Guru
Kajian Tindakan mengembangkan kemampuan guru sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Guru sebagai seorang profesional tidaklah semata-mata mengamalkan pengetahuan yang dikemukakan oleh orang lain tetapi berupaya merintisjalan bagi menangani pelbagi masalah P&P. Dalam Kajian Tindakan, guru sebagai penyelidik mengkaji amalan bekerjanya sendiri serta kaitannya dengan keberkesanan pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya. Amalan bekerja iaitu amalan mengajar termasuklah cara guru berinteraksi dengan murid, latihan-latihan yang disediakan, gaya penyampaian, soalan-soalan yang digunakan dan sebagainya. Guru menjalankan kajian atas kesedaran bahawa terdapat masalah yang mengganggu proses pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya dan masalah itu perlu ditanganinya sendiri.

Apabila seseorang guru mengamalkan Kajian Tindakan beliau perlu melakukan pengubahsuaian amalan P&P secara berterusan sehingga berlaku peningkatan dalam pencapaian murid pada tahap yang jauh lebih baik berbanding dengan keadaan sebelum kajian dijalankan. Sekiranya pencapaian murid meningkat setelah melakukan aktiviti P&P yang telah dirancang untuk menangani masalah yang wujud, bolehlah dirumuskan bahawa amalan pengajaran guru berkesan. Keberkesanan pengajaran guru meningkatkan kewibawaannya sebagai pendidik dan dengan itu tahap profesionalisme guru itujuga turut meningkat. K.ajian Tindakan memperlihatkan pengembangan guru sebagai sesuatu yang mengarah dari bawah ke atas (bottom-up) dan bukan dari atas ke bawah (top-down). Model penjana pengetahuan (knowledge-generating model) mengandaikan bahawa kemajuan dalam latihan pendidikan perlulah berasaskan pada pandangan dan pengalaman guru sendiri. Model ini menekankan peranan guru sendiri sebagai model utama kajian tanpa menerima tekanan atau arahan dari pihak atasan. Dapatan dari kajian diterima sebagai sebahagian daripada percambahan idea dalam bidang yang dikaji.

1.2.2 Meningkatkan Keberkesanan Amalan Mengajar
Peningkatan keberkesanan amalan mengajar seseorang guru boleh dilihat melalui peningkatan prestasi pihak yang menerima perkhidmatan guru tersebut iaitu murid-murid. Melalui pemerhatian terhadap aktiviti-aktiviti P&P yang dijalankan di bilik darjah, guru mengumpul data secara terancang untuk mengesan kelemahan dan kekuatan aktiviti yang dilaksanakan. Data yang telah dianalisis memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan proses P&P. Berpandukan kepada analisis data guru mengubahsuai amalan mengajar yang lalu supaya menjadi lebih berkesan. Proses mengutip data dan mengubahsuai amalan berlaku berulangkali sehinggalah berlaku peningkatan dalam prestasi murid.

1.2.3 Tujuan Kajian
Pelaksanaan Kajian Tindakan di bilik darjah bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap cemerlang dalam mata pelajaran itu. Sesuatu Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran.
Perhatikan contoh berikut:
• Membantu murid belajar dengan berkesan melalui pengajaran yang berkesan.
• Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang berkesan.

Contoh di atas boleh dijadikan tujuan kajian tindakan untuk dilaksanakan oleh seorang guru dalam satu kelas, atau untuk semua guru dalam satu sekolah bagi satu atau semua mata pelajaran atau pelbagai mata pelajaran. Kajian itu boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau untuk beberapa tahun. Pelaksanaan Kajian Tindakan untuk satu atau beberapa tahun sesi persekolahan pastilah mengandungi beberapa pusingan atau kitaran mengikut masalah-masalah yang hendak ditangani. Tiap-tiap kitaran kajian mengandungi tujuan khusus berkaitan dengan satu-satu masalah atau kemahiran yang cuba ditangani.

Perhatikan contoh-contoh berikut:
• Meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab sifir 2 hingga 4.
• Meningkatkan kefahaman murid tentang rumah sa, puluh dan ratus dalam kemahiran asas menambah.

Selain daripada bertujuan untuk menangani masalah pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pencapaian rendah di kalangan murid, Kajian Tindakan juga boleh dijadikan strategi untuk memperbaiki lagi pencapaian murid yang berada pada tahap baik ke tahap cemerlang.

1.2.4 Langkah-Langkah Melaksanakan KajianTindakan
Dalam proses pembelajaran di bilik darjah, tiap-tiap kemahiran lazimnya dipelajari satu per satu. Proses yang sama berlaku dalam Kajian Tindakan. Tiap-tiap masalah pembelajaran di tangani satu per satu. Proses pelaksanaan Kajian Tindakan merangkumi empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek.

Langkah-langkah ini dilaksanakan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Gelungan seperti ditunjukkan dalam rajah di bawah menggambarkan proses pelaksanaan tanpa penghujung. Dalam satu gelungan atau kitaran kajian, pengkaji cuba menangani satu masalah tertentu seperti meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiranan dalam sesuatu mata pelajaran. Pelbagai aktiviti P&P dicuba untuk menangani masalah itu. Setelah masalah dapat ditangani kitaran kajian seterusnya dimulakan dengan memberi tumpuan kepada masalah lain pula. Setelah dibuat perancangan rapi untuk mengatasi sesuatu masalah, adalah dijangkakan bahawa sesuatu masalah itu seharusnya dapat diatasi. Mungkin berlaku keadaan di mana penyelidik mendapati tiada perubahan berlaku atau sedikit sahaja kejayaan dicapai setelah kajian dilaksanakan. Sekiranya pengkaji tidak melakukan pemerhatian yang teliti dan tidak membuat catatan semasa kajian berlangsung, sukar baginya untuk mengesan dengan tepat kelemahan aktiviti yang dilaksanakan. Oleh itu amalan mencatat atau merekod segala perkembangan yang berlaku semasa aktiviti dilaksanakan adalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dalam Kajian Tindakan. Seseorang guru yang mengamalkan kajian tindakan sentiasa mencari masalah pembelajaran yang dihadapi oleh muridnya. Setelah masalah dikenalpasti usaha dilakukan untuk menangani masalah itu melalui langkah-langkah merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Proses kajian untuk menangani masalah-masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti berlaku berterusan sehingga semua masalah diatasi.

1.2.5 Mengubah Amalan Mengajar
Dalam situasi pembelajaran di bilik darjah murid-murid menghadapi berbagai-bagai masalah. Perkara ini boleh dikesan melalui pencapaian murid yang berbeza-beza walaupun mereka diberi pengalaman pembelajaran yang sama. Apakah lagi yang boleh dilakukan oleh guru untuk membantu murid-murid golongan ini? Langkah-langkah P&P melalui Kajian Tindakan melibatkan guru mengutip data terperinci tentang berbagai faktor bilik darjah yang mempengaruhi proses pembelajaran. Hasil analisis data tersebut membantu guru memahami mengapa sesuatu aktiviti P&P yang dilaksanakan tidak mencapai matlamat. Dengan cara ini guru dapat mengesan langkah menjalankan aktiviti yang perlu diubahsuai. Apabila berlaku pengubahsuaian aktiviti, secara tidak langsung guru yang terlibat mengubah amalan mengajar iaitu amalan dalam bentuk menyediakan aktiviti P&P.

Dalam K.ajian Tindakan pengubahsuaian terhadap aktiviti P&P perlu dan sentiasa dilakukan. Amalan mengubahsuai aktiviti diteruskan sehingga pencapaian murid meningkat ke tahap yang sebaik mungkin. Proses pengubahsuaian sesuatu aktiviti berlaku setelah aktiviti itu dilaksanakan. Data tentang pelaksanaan aktiviti dianalisis dan hasil analisis itu dijadikan panduan atau landasan untuk memperbaiki aktiviti yang sama atau membina aktiviti baru. Melalui proses "cuba-cuba" aktiviti diubahsuai mengikut keperluan murid dan dengan cara tersebut keberkesanan aktiviti P&P boleh dipertingkatkan. Usaha berterusan oleh guru untuk menilai keberkesanan amalan mengajar juga membolehkan guru tersebut mengesan kelemahan yang menimbulkan masalah pembelajaran seawal mungkin. Dengan cara ini langkah pembaikan dapat dibuat sebelum sesuatu masalah menjadi serius dan terlalu sukar untuk ditangani.

1.2.6 Kajian Menjelaskan Amalan Penyelidik
Guru yang menjalankan Kajian Tindakan memainkan peranan sebagai pengkaji. Perkara yang dikaji ialah amalan guru itu sendiri berkaitan dengan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid yang diajar. Oleh itu guru adalah pihak yang dikaji dan beliau tidak mewakili mana-mana kelompok populasi. Justeru, adalah tidak wajar dapatan Kajian Tindakan digunakan untuk membuat generalisasi terhadap amalan guru lain. Begitu juga, cadangan untuk memperbaiki aktiviti atau langkah P&P berdasarkan dapatan sesuatu kajian adalah sesuai dan lebih tepat untuk memperbaiki amalan guru yang menjalankan Kajian Tindakan itu sendiri.

1.2.7 Perkongsian Maklumat
Perkongsian dapatan kajian adalah perkara penting yang disarankan dalam Kajian Tindakan. Melalui perkongsian itu guru lain boleh menggunakan dapatan kajian sebagai rujukan atau panduan bagi melaksanakan kajian mereka sendiri. Seseorang guru yang berhasrat untuk mencuba aktiviti-aktiviti P&P yang telah dilaksanakan dalam Kajian Tindakan guru lain perlulah mengutip data tentang amalannya dahulu. Berdasarkan analisis data yang dikutip itu aktiviti yang hendak dicuba diubahsuai mengikut keperluan murid-muridnya sendiri.

1.2.8 Memahami Proses Pembelajaran
Guru yang menjalankan Kajian Tindakan turut mengalami proses pembelajaran. Melalui pendekatan ini guru cuba memahami proses pembelajaran murid-muridnya. Dengan memahami proses pembelajaran murid, guru boleh mengambil langkah untuk memperbaiki pengajarannya yang tidak berkesan. Kajian Tindakan yang memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk membuktikan bahawa sesuatu pendekatan atau aktiviti pengajaran adalah lebih baik daripada yang lain atau untuk menentukan sejauh mana keberkesanan penggunaan sesuatu alat bantu dalam pengajaran tidak menepati matlamat untuk memperbaiki amalan guru.

Perhatikan contoh-contoh dibawah.
• Perbandingan Antara K.eberkesanan Teknik Mengajar A Dengan Teknik Mengajar B.
• Keberkesanan Penggunaan Internet Dalam Pengajaran.

Contoh di atas mebayangkan bahawa tumpuan kajian adalah untuk menguji keberkesanan teknik mengajar atau bahan P&P, manakala kajian tindakan pula cuba mengesan kekuatan atau kelemahan amalan guru. Melalui Kajian Tindakan teknik mengajar A atau B serta penggunaan internet dalam pengajaran boleh dijadikan langkah atau aktiviti P&P untuk menangani sesuatu masalah yang dikaji.

1.2.9 Pendekatan Penyelidikan Dalam Pengajaran
Berbagai aktiviti atau program tambahan dilaksanakan di sekolah untuk mempertingkatkan prestasi murid. Seringkali aktiviti tersebut dilaksanakan di luar bilik darjah sama ada sebagai kelas tambahan atau program berbentuk kempen untuk menggalakkan lagi minat murid terhadap pelajaran. Seseorang guru yang menjalankan Kajian Tindakan tentang amalan mengajarnya bukanlah melaksanakan sesuatu projek khusus untuk tujuan penyelidikan semata-mata tetapi mengajar dengan menggunakan pendekatan penyelidikan. Kajian dijalankan semasa guru mengajar di bilik darjah dengan cara menggabungjalinkan ciri-ciri penyelidikan dalam pengajaran seperti mengumpul data tentang pengajaran dan selepas itu menganalisis data tersebut. Dalam Kajian Tindakan langkah-langkah penyelidikan iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek perlu dipatuhi.

1.2.10 Mengutip Dan Menganalisis Data
Kajian Tindakan memberi ruang kepada guru untuk menerokai daya kreativiti dan inovasi. Oleh itu alat yang digunakan untuk mengutip data tidak perlu dihadkan kepada beberapa alat yang lazim digunakan dalam kajian tradisi seperti temubual atau soalselidik. Guru boleh membina alat sendiri untuk mengumpul data asalkan alat yang dibina itu praktikal dan sesuai digunakan mengikut keperluan kajian. Pengalaman mengajar yang ada pada guru khususnya yang berkaitan dengan aktiviti penilaian yang sering dilakukan oleh guru adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk membina alat. Berasaskan data daripada pelbagai sumber, kebenaran dapatan Kajian Tindakan boleh diperkukuhkan. Melalui langkah pemerhatian terhadap pelaksanaan aktiviti-aktivit P&P data boleh dikumpul oleh tiga pihak iaitu penyelidik sendiri, rakan dan murid-murid yang diajar. Manakala di peringkat memahami masalah pula, guru boleh mendapatkan data daripada beberapa sumber sedia ada serta mengutip data daripada murid-murid sebagai data tambahan sekiranya perlu. Data yang dikumpul perlulah dianalisis supaya memberi makna kepada keadaan yang sedang dikaji. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk menganalisis data. Antara cara yang mudah ialah mengelompokkan data daripada beberapa sumber mengikut tajuk atau tema tertentu. Dengan cara membandingkan data-data itu perkaitan antara data-data dapat dilihat. Melalui cara ini keadaan yang dikaji dapat dilihat atau difahami dengan lebih jelas.

1.2.11 Usaha Berpasukan
Guru boleh melaksanakan Kajian Tindakan bersendirian tetapi berdasarkan pengalaman beberapa orang guru di sekolah-sekolah di Australia didapati bahawa K.ajian Tindakan adalah lebih berkesan apabila dilaksanakan secara usaha sama atau berpasukan. Didapati juga bahawa usaha sama di kalangan guru adalah lebih berkesan apabila semua guru dalam pasukan penyelidik turut terlibat menjalankan Kajian Tindakan di bilik darjah masing-masing. Peranan berpasukan menjadikan Kajian Tindakah lebih berkesan kerana idea dan pandangan yang berbagai boleh membantu memantapkan sesuatu keputusan. Selain daripada memberi pandangan tiap-tiap ahli boleh saling membantu dalam melaksanakan tindakan seperti membuat pemerhatian atau mengumpul data. Usaha berpasukan juga sangat penting bagi pelaksana kajian tindakan yang menghadapi kebuntuan semasa melaksanakan kajian. Dengan adanya pasukan penyelidik guru boleh saling merujuk dan saling bertanya apabila menghadapi masalah. Di sekolah kerja berpasukan boleh diwujudkan melalui panitia mata pelajaran.

Kajian Tindakan boleh dijadikan agenda utama panitia untuk membina semangat kerja berpasukan serta meningkatkan profesionalisme guru. Bagaimana usaha berpasukan dapat diwujudkan sedangkan para guru mempunyai senarai tugas yang tidak pernah berakhir? Sekiranya seseorang guru pelaksana Kajian Tindakan memerlukan bantuan daripada guru lain, adakah perlu bagi beliau mengadakan satu mesyuarat khusus? Perjumpaan yang formal hanya dapat diadakan selepas waktu sekolah. Sekiranya guru-guru terlibat tidak boleh meluangkan masa, sudah tentulah perbincangan tidak dapat dijalankan. Bagi meneruskan kajian, langkah-langkah pelaksanaan perlu diubahsuai. Perbincangan boleh diadakan secara berperingkat. Mana-mana ahli yang mempunyai waktu senggang serentak bolehlah mengadakan perbincangan dahulu. Jika perlu guru yang memerlukan bantuan itu bolehlah merujuk kepada ahli-ahli lain kemudian iaitu apabila mereka mempunyai masa terluang khususnya pada waktu senggang. Usaha berpasukan tidak semestinya berlaku di kalangan guru-guru dalam satu sekolah sahaja. Guru haruslah mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman dengan guru-guru di sekolah lain khususnya sekolah yang berhampiran. Aktiviti berkongsi pengalaman di antara sekolah-sekolah memberi peluang kepada guru untuk memperbaiki lagi kemahiran menjalankan kajian melalui pertukaran idea dan pengalaman.

1.2.12 Keberkesanan Kajian
Melalui Pelaksanaan Jangka Panjang 'Program For Enhancaing Effective Learning" (PEEL) iaitu program penyelidikan di sekolah melalui Kajian Tindakan telah dilaksanakan di sekolah-sekolah di Victoria, Australia. Menurut guru-guru yang terlibat dalam program itu, Kajian Tindakan sebagai pendekatan pengajaran untuk mencapai matlamat pendidikan terbukti berkesan apabila dilaksanakan dalamjangka waktu yang panjang. Melalui pelaksanaan kajian berulang kali dalam jangka waktu yang panjang, guru berpeluang untuk mencuba berbagai-bagai idea. Melalui proses "cuba-cuba" kemahiran menjalankan kajian meningkat dan keberkesanan pengajaran juga turut meningkat. Oleh sebab itu kajian tindakan diamalkan sebagai pendekatan pengajaran seharian di bilik darjah dan amalan penyelidikan ini diteruskan tahun demi tahun.

1.3 Kesimpulan
Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri. Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan. Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan amalan yang disarankan bukanlah perubahan secara mendadak, serta drastik atau mengubah amalan kepada sesuatu keadaan yang asing. Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah dikutip. Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti tersebut.

Di sekolah murid menghadapi pelbagi masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, Kajian Tindakan yang bertujuan untuk menangani pelbagi masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani. Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani sebarang masalah pembelajaran yang dikaji. Sumber: teachersrock.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...