PENAGIHAN dadah adalah satu-satunya fenomena sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 1970-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif.
Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosiobudaya, politik mahupun keselamatan.
Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain sentiasa mengingatkan orang ramai, padahnya penyalahgunaan dadah, malah turut mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat seperti pengedar, penagih, penjual dan pembekal, tetapi hakikat ini seolah-olah langsung tidak mendatangkan kesan.
Mengikut statistik, kategori umur antara 25 hingga 29 tahun merupakan bilangan penagih paling ramai dikesan (20.07 peratus), satu hakikat yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadi satu wabak dan bencana yang menakutkan masyarakat dan negara.
Ini kerana dadah menjadi punca kepada bermacam perbuatan jenayah yang boleh membawa kepada kekacauan serta permasalahan dalam rumah tangga, masyarakat dan negara.
Golongan ini menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya manakala pengedar dadah pula menjadi ancaman besar kepada setiap individu dan boleh menjejaskan kesejahteraan negara dan agama.
Jika ini berlaku, bagaimana kita mahu memperjudikan masa hadapan negara dan bangsa di tangan mereka kelak?
Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Menurut statistik, mereka yang terjerumus ke kancah ini disebabkan pengaruh kawan atau teman sebaya bagi tempoh sepanjang Januari hingga Mac 2007 adalah seramai 1,550 orang (53.71 peratus) manakala faktor dorongan perasaan ingin tahu menyumbang 639 orang (22.14 peratus), sementara mereka yang mencari keseronokan menyumbang kepada 491 orang (17.01 peratus).
Sehubungan dengan itu, peranan ibu bapa penting. Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan gejala ini, tidak dinafikan perasaan marah, kecewa dan malu akan dirasai namun jangan pula membiarkan semua perasaan ini menguasai diri.
Seluruh ahli keluarga amat penting untuk menentukan sama ada si anak atau ahli keluarga yang terlibat akan pulih, seterusnya menjadi manusia biasa atau akan terus menjadi penagih dadah tegar.
Di era globalisasi yang serba mencabar, negara kita memerlukan golongan belia yang berwawasan korporat, berkemahiran dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan bagi meneruskan agenda negara. Oleh itu, jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah.
Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.
Sumber: Artikel oleh MOHD. FAIZAL MOHD. SALLEH [Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial, GPM].