Masalah buli di sekolah kian membimbangkan masyarakat terutama ibu bapa dan para pelajar. Banyak kes buli berlaku sehingga ada diantaranya mengakibatkan kematian. Berikut ialah contoh-contoh kes buli yang dilaporkan oleh media massa dari tahun 2004 hingga tahun 2009.
• 2004 – Muhammad Farid Ibrahim meninggal dunia akibat dipukul dan dipijak lapan pelajar senior Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor (SMADKPM) Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.
• 2006 – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS), Syafiqah Borhan dibunuh dan dirogol sebelum mayatnya dicampak ke sebuah longkang di Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru.
• 2007 – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Asrama Penuh Persint 1, Putrajaya, Muhammad Ritzwan Roslan dibelasah dua jam dengan kemaluannya ditendang 20 pelajar senior termasuk anak seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor, berusia 16 tahun kerana salah faham dan membalas dendam.
• 008 – Sekumpulan pelajar tingkatan dua dan tiga sebuah sekolah menengah di Johor membelasah beramai-ramai seorang pelajar baru dikenali Muhamad di luar pintu sekolah hanya kerana mangsa menjeling mereka.
• 2009 (Februari) – Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Dalat disepak dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar di bilik asrama dan aksinya dirakam dan disiarkan selama 3.05 minit menerusi laman Youtube
• Mac – Mohd Azwan Md Ribi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Pekan, Kuantan melecur teruk lengan kanan akibat diseterika senior di asrama kerana enggan membelikannya rokok.
• Ogos – Disebabkan tidak puas hati hanya memperoleh 50 sen selepas memeras ugut rakan sekelas, seorang murid tahun satu sanggup bertindak ganas dengan menoreh buah zakar rakannya, Muhammad Amir Amri dengan sebilah pisau lipat di sebuah sekolah kebangsaan di Alor Setar, Kedah.
Sumber: BHO
Buli Harus Diperangi
Berdasrkan contoh kes di atas, jelaslah bahawa gejala negatif ini wajar diperangi habis-habisan oleh semua pihak.
Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali (Hazler & Hoover, 1993).
Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malahan apabila Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru mula menangani kes samseng dan buli ini secara serius sehingga dibentuk Jawatankuasa Petugas Khas, dan talian hotline tentangnya ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung terhadap usaha gigih wanita ini tentang buli dan implikasinya terhadap pengurusan sekolah.
Menurut Trump, KS (2000) dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent And Manage School Crises buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut beliau lagi jika pendidik peka terhadap masalah perlindungan, mereka harus bermula dengan sebab-sebab yang mencetuskan gejala buli, berusaha untuk meminimumkannya ketika pelajar masih dalam usia kecil dan memeranginya secara konsisten. Ini termasuklah dalam melaksanakan strategi-strategi perlindungan dan pencegahan ketika anak-anak membesar dalam saat-saat persekolahan mereka.
Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School. Urutan kehangatan peristiwa-peristiwa tembak-menembak yang berlaku di sekolah di sekitar Amerika Syarikat pada akhir 1990-an.
Wujudnya hot line buli di bawah kementerian pelajaran yang baru dilihat betapa seriusnya masalah buli. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar. Ibu bapa pelajar percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai in loco parentis dalam tempoh masa rasmi persekolahan.
Semua pihak tidak kira dari peringkat manapun wajar berganding bahu bagi mencari alternatif terbaik bagi mengatasi masalah ini. Sikap saling salah-menyalahi tidak akan memberi manfaat. Oleh itu, semua pihak harus duduk semeja dan berbincang bagi memastikan anak-anak turun ke sekolah dengan perasaan selamat.