Punca Penagihan Dadah & Langkah Mengatasinya
1. Pengaruh rakan sebaya
Ini merupakan punca yang paling ramai bagaimana seseorang mula terjebak dengan penagihan dadah. Cuba kita merenung sejenak, pernah kita dengar atau lihat seorang ayah mengajar anaknya menagih dadah atau mengajar anaknya bercita-cita menjadi pengedar dadah?
Sudah tentu tidak atau jarang dilihat dan dengar. Dari sini bolehlah disimpulkan bahawa kita kenal dan mula menagih dadah sebahagian besarnya dari rakan-rakan kita.
Cara menghindarkannya ialah:
* Mempunyai keyakinan pada diri sendiri
* Menerima kebaikan dan kelemahan diri sendiri
* Menghormati diri anda serat orang lain
* Merasa senang dengan diri sendiri dan orang lain
* Mempercayai diri sendiri
* Membuat keputusan sendiri kerana anda tahu apa yang baik bagi anda
2. Perasaan ingin tahu
Keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru dikenali merupakan perkara lumrah bagi seseorang. Perasaan ini lebih menonjol dalam usia remaja.
Sebab itulah kita lihat masalah sosial banyak berpunca dari golongan remaja seperti lumba haram, bohsia, peras ugut dan lain-lain.
Semuanya berpunca dari alasan, saja suka-suka nak cuba nanti kalau tak berkenan boleh berhenti. Ia ke boleh berhenti?
Cara menghindarkannya ialah:
* Sedarilah risiko yang akan ditanggung
* Fikir dengan teliti situasi tersebut
* Fikir mengenai akibatnya
* Buat keputusan agar tidak terpengaruh
3. Keseronokan
Masa di usia remaja merupakan zaman yang sungguh manis dan penuh dengan keseronokan.
Pada usia ini kebanyakan aktiviti-aktiviti yang paling digemari kebanyakannya ialah berbentuk keseronokan yang sementara. Fikir dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Cara menghindarkannya ialah:
* Renungkan sejenak perbuatan itu positif atau negatif terhadap diri anda
* Fikirkan tentang kesan jangka pendek dan juga kesan jangka panjang
* Keseronokan yang dicari tidak semestinya memberikan kebaikan kepada anda
4. Tidak mengetahui bahaya dadah
Tidak mengetahui atau tidak mempunyai sebarang maklumat tentang bahaya dadah terutamanya dadah jenis baru yang berada di pasaran.
Kebanyakan selepas mengambil, menggunakan, memakan dan sebagainya dadah ini barulah kita mencari kesannya dari segi perundangan dan kesannya pada diri kita.
``Eh... salah ke ambil pil ni? Eh... apa kesannya selepas ambil pil ni, serius ke? Tak tahu pun!''
Secara logiknya jika tidak salah kenapa membeli dan mengambil pil ini secara sorok-sorok?
Cara menghindarkannya ialah:
* Luaskan pengetahuan anda mengenai dadah melalui pembacaan atau dengan mendapatkan maklumat di dalam Internet
* Jangan malu bertanya kepada orang yang berpengetahuan dan boleh dipercayai
* Menghadiri dan turut serta dalam seminar-seminar dan juga aktiviti yang berkaitan dengan pencegahan dadah.
5. Masa lapang yang membosankan
``Bosan betullah! Eee boringnya. Tak tau nak buat apalah hari ini.''
Itulah antara perkataan yang sering diluahkan oleh setiap orang khususnya remaja.
Berdasarkan pengamatan, sebahagian besar punca sebenar perasaan ini timbul ialah tinggal di rumah yang terlalu sempit, tiada aktiviti dan tempat riadah yang dijalankan oleh penduduk di sekitar tempat tinggalnya, kurang aktiviti yang menepati minatnya diadakan, keluarga yang sentiasa sibuk dan sebagainya.
Cara menghindarkannya ialah:
* Isi masa lapang dengan perkara yang berfaedah
* Wujudkan satu hobi yang berfaedah dan menggembirakan kepada diri kita
* Sibukkan diri kita dengan pelbagai tugasan
6. Mencari ketenteraman jiwa
Jiwa yang tenang akan dapat mengimbangi keputusan tindakannya. Jiwa merana, badan juga turut sengsara. Kita pernah terdengar bidalan mandi tak basah, makan tak kenyang dan tidur tak lena. Begitulah umpama jiwa yang perlukan bantuan dan ketenteraman.
Cara mendapatkan ketenteraman jiwa ialah:
* Tingkatkan amalan berbentuk keagamaan
* Bersukan
* Beriadah (Berkelah dan sebagainya)
* Amalkan cara hidup yang sihat
* Minta nasihat kaunselor/pakar jiwa
Pilihan ada di tangan kita. Terpulang jalan mana yang kita pilih. Inginkan keseronokan yang sementara dan inginkan kebahagiaan yang hanya dalam angan-angan.
Cuba renungkan sejenak, jika menagih dadah itu membawa bahagia kenapa ramai penagih dadah yang longlai di merata tempat, mendapat penyakit AIDS, terlibat dengan jenayah dan tiada sebarang kisah yang menyatakan dia lebih bahagia selepas menagih dadah.
Sumber: AADK