"Saya masuk ke Tingkatan Enam kerana terpaksa. Ibu bapa yang suruh, padahal saya tak berminat untuk belajar lagi"
"Saya tak ada pilihan. Saya tidak sanggup bekerja membantu orang tua di kebun 'dll' "
" Kalau tak sambung belajar di Tingkatan Enam, emak bising, ayah pula tak bagi duit"
"Saya tidak layak memohon melanjutkan pelajaran ke IPTA"
"Malas nak duduk rumah"
"Masuk Tingkatan Enam dapat ramai kawan"
Begitulah antara alasan segelintir pelajar yang ditawarkan masuk ke Tingkatan Enam. Jika inilah faktor yang membawa mereka menjejak kaki ke T6, memang menyedihkan! Mereka masuk ke T6 bukan atas kehendak diri sendiri tetapi TERPAKSA. Melakukan kerja secara terpaksa amat membebankan.
Sebenarnya kita harus keluar dari kepompong sempitnya pandangan. Ibu bapa misalnya, tidak harus mengecilkan skop hala tuju masa depan anak mereka. Tidak masuk ke T6, tidak bermakna tidak ada masa depan. Menolak tawaran ke T6 bukan bererti hidup akan berakhir. Masih banyak ruang dan peluang lain yang mungkin selari dengan minat anak-anak kita. Tidak salah kita mengesyorkan anak-anak kita mengikuti kursus-kursus kemahiran yang semakin diperlukan dalam pasaran kerja pada masa ini.
Memaksa anak-anak untuk belajar di T6 tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, malah mungkin mendatangkan kesan seperti anak-anak mendapat keputusan peperiksaan yang teruk. Logiknya, jika keputusan teruk, sudah pasti sukar untuk mereka bersaing masuk ke IPTA atau pasaran kerja. Setahun setengah terbazir begitu sahaja.
Minat anak-anak perlu diambil kira. Ibu bapa seharusnya peka dengan naluri anak-anak dan memberi bimbingan dan galakkan yang sewajarnya. Kecenderungan anak-anak wajar diberi perhatian, dan sokongan ibu bapa memberi kesan yang amat positif kepada usaha anak-anak.
Walau apapun, bukan bermakna saya pesimis terhadap pelajar yang masuk ke T6. Pengalaman mengajar T6 banyak memberi pengetahuan baru. Memang ramai yang layak dan patut menerima tawaran masuk ke T6. Golongan ini bukan sahaja layak dari segi akademik tetapi juga mempunyai semangat yang tinggi. Cuma yang menjadi masalah ialah apabila terdapat segelintir pelajar yang menjadikan T6 sebagai tempat escapisme atau transit. Bukankah ianya sia-sia sahaja.
Tuntasnya, kejayaan ada di mana-mana. Lorongnya mungkin berliku tetapi penghujungnya menjanjikan madu. Peranan kita ialah berusaha menemukan lorong-lorong tersebut. Bertindaklah secara bijak dan berfikirlah secara waras agar tidak tersesat di tengah jalan.