Selamat Datang ke Ruai Aman. Blog Berinformasi dan BerilmiahTerima kasih atas kunjungan anda. Kehadiran anda amat dialu-alukan.

Welcome To My Ruai

Aug 13, 2012

Bahaya 'Smoke Candy'

Sikap rakus dan tamak sesetengah peniaga yang sanggup mengenepikan norma dan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat amat dikesali. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mengaut keuntungan walaupun terpaksa mempertaruhkan kepentingan pihak lain. Sebagai contoh, keghairahan kumpulan peniaga tamak begitu ketara sehingga sanggup menjual Smoke Candy atau gula-gula rokok.

Sasaran utama penjualan Smoke Candy sudah semestinya kanak-kanak yang begitu mentah akal dan pertimbangannya. Untuk menarik minat orang membeli gula-gula ini, Smoke Candy ini dibungkus menyerupai corak dan reka bentuk rokok sebenar yang berada di pasaran. Smoke Candy juga dibungkus dan dijenamakan mengikut jenama rokok terkenal seperti Kent, Malboro dan King. Selain rasa manisnya yang memang menjadi kegemaran kanak-kanak, bungkusan yang menarik juga begitu menarik hati. Jadi, tidak mustahil kanak-kanak akan terpikat.

Daripada sekadar suka-suka berlagak seperti orang dewasa yang merokok, tidak mustahil kanak-kanak yang masih cetek pengetahuannya ini akan terjebak dengan amalan merokok. Hal ini amat membimbangkan dan mendukacitakan. Dalam kesibukan kerajaan menganjurkan kempen anti merokok, ada pihak yang seolah-olah menggalakkan budaya merokok dalam kalangan generasi muda.

Perkara yang lebih merisaukan kita ialah Smoke Candy ini dipercayai diimport dari negara China. Selain  tidak mempunyai sebarang label nutrisi, ia juga tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia. Selain itu, status halalnya juga turut diragui. Smoke Candy ini tidak memaparkan logo halal dari negara pembuat apatah lagi logo halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).

Jadi ibu bapa dan pihak sekolah iaitu orang yang terapat dengan pelajar seharusnya memberi penjelasan tentang keburukan Smoke Candy kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah. Pihak kerajaan melalui kementerian berwajib juga wajar membuat pemantauan terhadap penjualan gula-gula rokok ini. Pihak kerajaan harus memandang perkara ini dengan serius dan tidak salah jika undang-undang berkaitan digubal. Kita sudah pasti tidak mahu anak-anak kita menjadi generasi perokok yang berisiko diserang pelbagai penyakit berbahaya seperti sakit jantung, kanser dan sebagainya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...