Terkini, pelbagai gajet teknologi berada di pasaran. Daripada notebook, tablet, telefon pintar, kamera digital hingga ke pemain muzik semuanya ada. Syarikat pengeluar seperti Samsung, Apple, HTC, Huwei, Nokia, Blackberry, Acer dan banyak lagi seakan berlumba-lumba mengeluarkan model terbaru. Pelbagai aplikasi dan rekabentuk menarik ditawarkan. Semuanya untuk menarik minat pembeli.
Persoalannya, perlukah kita mengikut trend semasa dengan membeli setiap gajet terkini yang berada di pasaran? Adakah kita membelinya kerana tertarik dengan pakej yang ditawarkan atau sekadar menurut keinginan hati ataupun kita betul-betul memerlukan gajet tersebut?
Persoalan ini wajar kita lontarkan kepada diri. Tanyakan kepada hati!
Walau bagaimanapun, perlukah kita 'membuang' wang kita untuk mendapatkan setiap gajet yang berada di pasaran? Bukan satu rahsia, terdapat syarikat pengeluar gajet teknologi yang hanya menambahkan satu dua aplikasi atau sedikit pembaharuan bagi model tertentu keluaran mereka. Bukankah ini suatu pembaziran bila kita mendapatkan gajet terbaru dengan harga yang mahal sedangkan ia tidak jauh bezanya berbanding model sebelumnya!
Perlukah kita membeli model baru sebuah telefon pintar yang hanya menawarkan pengemaskinian dari segi pixel kamera sedangkan kita sudah memiliki model sebelumnya [hanya kurang dari segi pixel]? Wajarkah kita mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan gajet terkini sedangkan kita tidak memerlukan gajet tersebut kerana kita sudah memiliki gajet lain yang tidak kurang hebatnya dari segi fungsinya?
Terkadang, kita membeli sesebuah gajet terbaru bukan kerana keperluan tetapi lebih kepada 'nafsu' ingin memiliki @ mengumpul gajet tersebut. Keghairahan tersebut juga banyak menjebakkan pembeli tertipu dengan membeli gajet tiruan. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai model telefon bimbit tiruan yang hampir 100% menyerupai model asli berada di pasaran. Pengguna yang tidak berhati-hati mudah tertipu dengan peniaga yang sanggup berbuat apa saja untuk mengaut keuntungan.
Apapun, segalanya terpulang kepada diri sendiri. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan kewangan yang stabil, membeli gajet terbaru bukan suatu masalah. Walau bagaimanapun, bagi pengguna yang berpendapatan sederhana seperti saya, niat untuk memiliki gajet terbaru memang sentiasa membuak-buak tetapi terpaksa memikirkan berpuluh kali untuk membelinya. Sesekali terpaksa menelan air liur sahaja hehe...