Temasya Olimpik yang bermula semalam menyaksikan tirai pembukaan yang gilang-gemilang. Jutaan penonton terpancing untuk menyaksikan siaran pembukaan yang dianggap 'terbaik' setakat ini. Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk sama-sama 'merasai' kehebatan dan kemeriahan acara pembukaan melalui siaran di tv. Rasa bangga dan megah melihat kontingen Malaysia yang didahului oleh Pandalela Rinong melangkah penuh bergaya sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Walaupun hanya sepintas lalu, tergambar senyuman penuh semangat atlit negara yang membawa harapan dan impian 27 juta rakyat Malaysia untuk melihat sekurang-kurangnya sebutir pingat emas dibawa balik.
Persoalannya, mampukah impian ini dijelmakan menjadi sebuah realiti dan bukannya mimpi ngeri lagi? Perjuangan ini pastinya begitu payah, penuh onak dan duri. Kalau tidak, masakan penembak terbaik wanita negara kita awal-awal lagi sudah ditunjukkan jalan balik ke Malaysia.
Maaf, saya bukanlah bersikap pesimis ataupun memperkecilkan kemampuan atlet kita. Tidak ada yang mustahil dan kita juga punyai slogan keramat pembakar semangat iaitu Malaysia Boleh! Tetapi realitinya, persaingan begitu hebat. Sesetengah atlet kita yang mewakili negara pula masih terkial-kial untuk menonjolkan diri di peringkat Asean apatah lagi bersaing di peringkat DUNIA!
Sekali lagi saya mohon maaf. Mungkin harapan kita banyak disandarkan ke bahu pemain badminton utama kita, Datuk Lee Chong Wei. Tetapi DLCW juga berdepan dengan ranjau yang berliku walaupun dikatakan laluannya kali ini lebih mudah. Dibayangi isu kecederaan dan masalah keluarga, DLCW juga pasti tambah tertekan dengan kehadiran dua seteru utamanya iaitu Cheng Long dan Lin Dan. Mampukan DLCW menggalas tugas maha berat ini?
Bagaimana atlet-atlet negara yang lain? Mungkin emas agak sukar dijangkau, tetapi sekurang-kurangnya biarlah kita dihadiahkan dengan pingat tak kira apapun warnanya. Bukan satu perkara yang mustahil jika ada di antara wakil negara kita mampu menyerlah di persada Olimpik London 2012. Malaysia Boleh!
Apapun kita berharap agar berlaku magik yang mungkin membantu kita merealisasikan impian kita selama ini. Perak dan gangsa sudah kita miliki, kita berharap agar kali ini lagu Negaraku berkumandang di bumi London! Biarlah tahun 2012 menjadi tahun bersejarah buat negara kita dalam gelanggang Olimpik. Semoga ganjaran besar yang menanti atlet Malaysia bisa menyuntik semangat mereka untuk melakukan yang terbaik demi MALAYSIA.
Senarai atlet negara dan acara yang disertai.
AKUATIK: Terjun
Bryan Nickson Lomas: 3m papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal seirama, 10m platform individu
Yeoh Ken Nee: 3m papan anjal individu lelaki
Huang Qiang: 3m papan anjal seirama
Pandelela Rinong: 3m papan anjal seirama wanita, 10m plaftform individu, 10mpapan anjal seirama.
Leong Mun Yee: 10m platform seirama wanita
Traisy Vivien Tukiet: 10m platform individu wanita
Cheong Jun Hoong: 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
Wendy Ng Yan Yee - 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
AKUATIK: Renang
Khoo Cai Lin: 800m gaya bebas wanita
Heidi Gan: 10km laut terbuka
BADMINTON:
Datuk Lee Chong Wei: Perseorangan lelaki
Tee Jing Yee: Perseorangan wanita
Koo Kien Keat/Tan Boon Heong: Beregu lelaki
Chan Peng Soon/Goh Liu Ying: Beregu campuran
BERBASIKAL: Trek
Mohd Azizulhasni Awang: Keirin, 200m pecut lelaki
Josiah Ng: Keirin, 200m pecut lelaki
Fatehah Mustapa: Keirin wanita
BERBASIKAL: Lebuh Raya
Mohd Adiq Hussainie
Amir Mustafa
LAWAN PEDANG:
Yu Peng Kean: Sabre individu
MEMANAH:
Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin: Berpasukan/IndividuRecurve
Nurul Syafikah Hashim: Recurve individu wanita
MENEMBAK:
Nur Suryani Mohd Taibi: 10m air rifle wanita
KAPAL LAYAR:
Khairulnizam Mohd Affendy: Laser Standard
OLAHRAGA:
Lee Hup Wei: Lompat Tinggi lelaki
Noraseela Khalid: 400m lari berpagar wanita