Welcome To My Ruai
Jul 4, 2012
Kesan Sinetron Indon
Bukan bersikap anti, jauh sekali menaruh benci tetapi saya terpanggil untuk menulis isu ini walaupun ia bukan isu yang baru. Sebelum ini, pengiat dan peminat seni di negara kita sudahpun heboh dan kecoh dengan isu lambakan hasil karya negara seberang ataupun tepatnya, Indonesia. Pelbagai reaksi tercetus. Ada yang mengatakan ia fenomena yang membimbangkan tetapi ada juga yang lebih liberal penerimaannya.
Cuma satu perkara yang memang tidak berkenan di hati saya adalah lambakkan sinetron Indonesia di kaca tv Malaysia. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan anti karya dari Indonesia. Saya boleh layan muzik dari sana kerana melodi dan liriknya memang menarik dan puitis. Walau bagaimanapun, keadaan agak berbeza bila saya nilaikan sinetron yang disogokkan kepada kita. Satu perkataan yang boleh saya gambarkan tentang sinetron-sinetron dari Indonesia ialah MERAPU! Maaf ya kepada penggemar sinetron Indonesia!
Maaflah, saya tak hafal tajuk-tajuk sinetron yang ditayangkan. Cuma yang terbaru saya ingat ialah Putri Yang Ditukar dan Nada Cinta. Itupun saya tengok sepintas lalu dan secara kebetulan. Kita dah dapat agak bagaimana jalan ceritanya. Plotnya pasti berjela-jela, meleret-leret dan nampak sangat sengaja dibuat-buat. Watak baiknya pasti terlalu baik, tak ubah bagaikan malaikat. Langsung tidak melawan jika dihina atau diseksa. Watak jahatnya pula lebih jahat daripada iblis. Tidak berhati perut. Logik ke ada manusia macam itu? Sebaik-baik manusia, pasti ada perasaan melawan jika diperlakukan seperti binatang dan sejahat-jahat manusia, pasti ada naluri kemanusiaan. Itu belum lagi termasuk jalan cerita yang memang tidak logik, banyak tahyulnya.
Selain itu, penggunaan bahasa yang kesat dan kasar serta tingkah laku yang tidak masuk akal juga wajar kita ambil perhatian. Kita tidak mahu anak-anak kita terbiasa dengan bahasa Indon sehingga bercakap pun ala-ala Indon. Apalah nak dibanggakan sangat bercakap dengan slang sebegitu. Cuba perhatikan pula cara berpakaian dan pergaulan yang ditunjukkan dalam sinetron tersebut. Skirt pelajar sekolah bukan main singkat. Fesyen rambut, solekkan dan cara pergaulan tidak menunjukkan itu budaya yang sepatutnya bagi orang timur apatah lagi seorang pelajar. Adakah kita sedar budaya tersebut akan diserap oleh anak-anak muda kita?
Saya tidak ingin membincangkan hal ini dari aspek penggiat seni kerana saya lebih melihat dari aspek kesan negatif lambakan sinetron Indonesia di tv Malaysia. Saya sendiri hairan dengan sikap stesen-stesen tv yang seolah-olah berlumba untuk menayangkan sinetron yang saya rasa langsung tidak menekankan aspek moral dan norma masyarakat. Drama-drama tempatan jauh lebih berkualiti daripada sinetron 'entah apa-apa' yang disogokkan ke negara kita.
Di manakah sikap prihatin dan tanggungjawab sosial stesen-stesen tv kita? Tidakkah mereka sedar akan impak negatif yang dibawa masuk dalam sinetron-sinetron tersebut ke atas masyarakat kita? Atau kerana mengejar keuntungan semata-mata, nilai murni dan estetika bukan lagi keutamaan. Pihak kementerian dan badan-badan berkaitan harus meneliti perkara ini dengan jujur dan peka jika tidak ingin stesen tv dan minda masyarakat kita dijadikan sebagai tapak pembuangan sampah sarap dari seberang!